“MORNING, sayang…” Suaranya menyapa halus di gegendang telinga Hasya. Tersenyum sudah dia sepanjang pagi ini nanti. Ucapan yang ringkas tapi sangat indah untuknya kerana ia datang daripada insan yang dicintai.
“Love you sayang.” Hasya bangun dan mengikat rambutnya. “Pukul berapa kelas awak hari ni?”
Hasya bangun dan melihat rakan sebiliknya sudah tiada. Jam di telefon dipandang. Ya, hari ni dia saja ada kelas petang yang lain 8.00 pagi lagi sudah pergi ke kelas. Dia tidak pergi ke kelas hari ini kerana sibuk menyiapkan persiapan beberapa projek.
“Kelas batal.” Jawapan ringkas daripada Airil membuatkan Hasya cemburu. Untunglah kelas batal.
“Cuti ni awak balik berapa hari bulan? Balik awal please?” pujuk Hasya. Mereka sudah lama tidak berjumpa. Maklumlah walaupun perumahan mereka dekat tapi tempat belajar yang menjauhkan mereka. Demi masa depan yang lebih cerah dan lebih baik.
Airil seperti berfikir. “Boleh, boleh. Sabtu malam saya gerak. So, Ahad pagi dah kat KL.”
Keluhan dilepaskan perlahan oleh Hasya. “Come on, sayang. Kita nak 4 tahun dah Ahad ni…”
Bicara Hasya terhenti kerana terdengar ada suara yang memanggil Airil. Suara perempuan. “Kejap. Mell tunggu kejap. Ada urgent call ni,” kata Airil perlahan membalas suara yang dia dengar tadi.
“Airil?”
“Saya letak dulu ya. Ada benda nak kena buat. Nanti saya mesej awak. Macam biasa, macam selalu.” Airil bersuara gembira. Hasya menahan hati.
“Jangan lupa makan, sayang. Nanti saya call lagi. Bye sayang.” Belum sempat Hasya membalas Airil sudah memutuskan panggilan. Hasya berdecit geram dan mula rasa cemburu.
Ting!
AIRIL
I love you, sayang.
Mesej daripada Airil membuatkan Hasya tersenyum dan memusnahkan segala perasaan yang membuat dia berjauh hati. Mana mungkin dia dan Airil berpisah ataupun ada orang lain kerana mereka sudah lama bersama, sudah terbiasa bersama.
Dan, kerana sudah lama terbiasa bersama itulah yang memerangkap mereka. Mungkin bukan mereka tapi salah seorang mereka.
YANA menjeling Hasya yang asyik dari tadi dengan telefon di tangan. Memang sejak dia mengenali Hasya dari semester pertama lagi Hasya memang seorang yang sentiasa ada telefon di tangan. Manakan tidak, orang ada kekasih. Untung saja kekasihnya membalas mesej tanpa jemu. Sungguh kuat ikatan mereka.
Hasya tersenyum mendapat mesej rindu daripada Airil. Memang begini rasanya berhubungan secara jarak jauh. Komunikasi kena sentiasa ada dan kuat. Kena buat dia sentiasa ada di sisi.
“Tersenyum-senyum. Layanlah aku jugak ha, aku ni kurang kasih sayang jugak tau,” kata Yana dalam nada gurau. Tergelak kecil Hasya. Terus saja Hasya menjatuhkan telefon bimbitnya ke tepi.
“Tengah layan keluhan hati boyfriend aku ni ha. Yalah, budak-budak engineering ni memang streslah bila nak dekat hantar projek apa semua. Sebagai girlfriend yang berjaya aku kena ada sentiasa dengan dia,” cerita Hasya. Ya, dia bangga punya Airil.
“Kau pun kena fikir diri kau. Tempat praktikal dah dapat belum? Aku baru ni tadi dapat panggilan yang aku dah diterima kat tempat yang aku nak tu. Alhamdulillah.” Tersenyum lega Yana ketika ini.
Hasya juga tersenyum. “Aku pun dah. Kat Media Hiburan Lagi. Boyfriend aku orang pertama yang tahu.”
“Aku doakan kau semoga kau berbahagia walau siapapun dengan kau nanti.”
Hasya buat muka pelik. “Dengan Airil lah semestinya.”
Yana senyum. “Apa yang buatkan kau bertahan dengan Airil ya? Yalah, korang jarak jauh kut. Airil kat selatan kau kat Shah Alam. Jumpa pun masa cuti sem. Kita pun muda lagi, banyak orang yang bakal kita jumpa. Apa yang buat kau yakin Airil memang untuk kau?”
Angin menampar halus wajah Hasya. “Sebab kita orang memang nakkan masing-masing. Bukan memerlukan je tapi hidup kita orang ni dah memang untuk saling melengkapi.”
Yana angguk perlahan. “Ni kira kalau tak jadi ni, kau takkan jumpa lelaki lain selain Airil ke?”
Pertanyaan Yana membuatkan Hasya terdiam. Selama dia bersama Airil tak pernah terfikir tentang hal ini. Datanglah sepuluh lelaki pun. Airil tetap menjadi pilihannya. Lantas dalam diam Hasya juga mendoakan agar Airil pun sepertinya.
HASYA
Saya berdebar ni sayang. First day buat praktikal ni. Doakan saya.
AIRIL
Sayang yang terbaik. Saya tahu mana pun awak pergi semua orang akan senang dengan awak. Jaga diri tau kat sana.
HASYA
Terima kasih sayang. Ni belum tidur lagi kan sebab kejap lagi awak ada kelas dan ada discussion untuk projek akhir awak kan?
Mesej itu sudah pun hampir 30 minit dihantar, namun belum lagi dibalas oleh Airil. Hasya tidak biasa sebegini. Dia dan Airil saling mengutamakan. Tak apa, Hasya. Dia tertidur tu. Kata nak jadi girlfriend yang supportive, bisik hati Hasya.
Perlahan pintu utama Media Hiburan Lagi dia buka dengan harapan dia mahu menimba ilmu sebanyak mungkin dan mahu berjaya dalam bidang yang dia ceburi. Hidup lebih baik bersama Airil.
KEPALANYA diketuk 3 kali menggunakan telefon bimbitnya.
You have 12 missed call from Airil
Macam mana boleh tak perasan telefon ni, rungut Hasya. Mesej pun tadi dia tak sempat balas. Sudah sebulan dia di Media Hiburan Lagi pelbagai acara dia kendalikan dan sememangnya dia agak sibuk, namun dia tak pernah mengabaikan Airil.
Hasya menelefon semula Airil.
“Helo sayang? Sorry…” Perlahan suara Hasya. Serba salah.
Airil diam dan berdeham. “Saya pun nak minta maaf tak balas mesej malam tadi sebab terlupa. Terus tertidur. Banyak benda jadi. Awak dah makan?”
Tersenyum Hasya. Airil tak pernah lupakan dia. “Dah tadi. Sayang dah makan? Hari ni ada kelas pukul berapa?”
“Saya kena jumpa supervisor ni. Sebab semalam…” Airil diam sebentar.
Hasya pula terpandangkan ketua bahagian pemasaran sudah masuk ke pejabat, jadinya mereka akan ada mesyuarat untuk acara yang akan datang.
“Sayang…” Serentak kedua-duanya bersuara.
“Saya kena siap nak kena pergi fakulti,” kata Airil.
“Okay. Saya pun ada mesyuarat ni. Jaga diri sayang, jaga hati awak tu. I love you,” kata Hasya.
“I miss you.”
Panggilan terputus. Entah kenapa ada rasa yang tidak enak di hati Hasya. Dia merasakan dia dan Airil seperti berjauhan. Dia akui dia mula sibuk dengan praktikalnya dan Airil juga sibuk dengan projrk akhirnya.
Hasya menaip mesej.
HASYA
Malam ni kita dating tau. Nak borak lama-lama.
Ting!
AIRIL
Boleh sayang.
Hasya tersenyum. Bersemangat semula. Airil yang satu, Airil yang aku tuju.
PERLAHAN nafas dihembuskan oleh Airil. Dia tahu apa yang dia rasakan ini salah. Salah yang teramat salah. Namun, hati tidak pandai menipu. Serabut sungguh kepalanya memikirkan hal ini.
“Dah?” tanya suara yang lembut itu.
Airil mengangguk perlahan. Tangan wanita itu dicapai perlahan tanpa rasa bersalah.
“Nanti orang nampak.” Tangan Airil ditepis perlahan.
Airil mengeluh perlahan.
“Bagilah tahu dia. Dan awak pun buatlah pilihan. Yang saya nak awak tahu, saya memang sayangkan awak.” Terus saja wanita itu meninggalkan Airil.
Airil hanya merenung jauh dengan perasaan sukar untuk dia mengertikan. Dari jauh dia terpandangkan Bob sahabat baiknya yang memandang dia dari jauh sambil gelengkan kepala. Airil terus menghampiri Bob.
“Jangan buat Hasya macam tu boleh tak? Macam jantan tak ada telur kau ni,” berang Bob. Manakan tidak dia memang mengenali Hasya dan Airil adalah pasangan yang sangat baik dan bahagia. Dia tahu betapa setianya Hasya kepada Airil. Bukannya Hasya tu tidak cantik, pasti saja di universitinya ramai lelaki yang mahu mengurat Hasya.
Airil penat. Penat melawan perasaan. “Aku sayangkan Hasya. Sayang sangat. Aku tak nak dia kecewa dengan aku. Hubungan kitorang dah nak masuk 6 tahun dah. Sayang sangat…”
“Kau ni kalau aku tumbuk kau, sia-sia je tau. Kau pilih mana yang kau lebih sayang. Setahu aku kalau ada yang kedua tu maksudnya itulah yang kau paling sayang.” Kata-kata akhir Bob sangat meninggalkan kesan kepada Airil.
Airil menunduk. Dan Bob berlalu pergi.
HASYA tersenyum seketika memandang gambar wallpaper telefon pintarnya. Itu adalah gambar terbaharu dia dan Airil 4 bulan yang lepas. Sudah lama dia tidak berjumpa dan menghabiskan masanya bersama Airil. Waktu praktikal pula sudah tinggal beberapa minggu saja lagi. Banyak yang dia pelajari dan banyak juga yang merubahnya.
Mesej antara dia dan Airil dilihat perlahan. Ternyata mesej juga sudah tidak sekerap dahulu. Dia bukan lagi seperti dulu yang selalu bergantung harap dengan Airil dan menanti Airil. Adakah ini perubahan yang baik atau tidak?
Ting!
AIRIL
Minggu ni saya balik kejap. Ada barang nak kena ambil kat rumah. Lagipun dah lama tak balik kan.
Panjang umur. Laju Hasya menaip.
HASYA
Yeay! Tak sabarnya. Awak dah makan?
“Hasya?” panggil Encik Amran, ketua bahagian pemasaran Media Hiburan Lagi memanggilnya dengan senyuman.
Ting!
Mesej daripada Airil laju masuk tapi Hasya terus menyimpan telefon pintarnya ke dalam poket.
“Sabtu ni ada event kat PJ. Bagus untuk portfolio awak. Pengalaman yang susah nak dibeli. Event Perlancaran Hari Belia dan ramai artis yang hadir serta banyak sponsor yang ada. Nak join tak?”
Hasya terus senyap. Kenapa makin susah ya?
“HEI…” Lembut tegurannya bila Hasya masuk ke dalam kereta. Airil tersenyum melihat Hasya yang sentiasa menyejukkan matanya dan memberikan dia ketenangan tapi kali ini bagaikan ada yang mengganggu.
“Handsomenya pakwe saya ni.” Tergelak Hasya. Hasya yang selalu ceria.
Airil hanya menggeleng dan tergelak saja sambil memandu kereta. Hasya mencuri pandang wajah Airil dan terus memandang ke depan. Dia perasankan sesuatu ketika terpandangkan telefon Airil. Tiada lagi wallpaper gambar mereka. Yang hanya ada gambar bangunan yang dilukis.
“Mak lang awak masih lagi nak kenenkan awak dengan anak majikan dia tu ke?” tanya Airil dengan wajah serius sambil memandu.
Hasya tersenyum, terlintas di hatinya mesti Airil cemburu. “Datanglah 10 lelaki pun. Yang saya nampak hanya awak sorang je, sayang.” Hasya membalas dengan senyuman yang manis. Manakan tidak, bukan tidak ada yang mahukan dia sepanjang dia berpraktikal. Katakan saja wajah yang macam mana, semua mahu mendampinginya.
Airil hanya tersenyum kecil dan mengangguk. Hasya mula tak puas hati dan merasa lain pada hari ini. Bukan ke cuaca juga berlainan pada hari ini. Sepatutnya cuaca panas tapi sudah kelihatan mendung dan sikit berangin.
Kereta mula membelok ke kawasan tasik, Hasya mengerutkan wajahnya. “Nak lepak sini ke?”
Brek tangan ditarik Airil. Airil berdiam lama. Banyak sangat di kepalanya ketika ini.
Tiba-tiba bunyi panggilan masuk membuatkan Hasya memandang telefon Airil. Sara memanggil. Sara? Hati Hasya menjadi tidak tenang. “Kenapa tak angkat?” tanya Hasya.
“Malaslah. Kita kan tengah spend masa sama-sama,” balas Airil.
Ting!
Belum sempat Hasya ingin membalas. Ada mesej masuk ke telefon pintar Airil. Pantas saja Hasya memandang telefon Airil. Sara.
“Siapa Sara ni?”
Airil diam. Hasya tidak suka akan diamnya Airil. Ini bukan Airil yang dia kenal. Hati Hasya menjadi tidak keruan. 6 tahun mereka bersama takkan semuanya akan jadi sia-sia. Setianya untuk apa? Bukan ke mereka saling berjanji setia dan akan saling menyokong antara satu sama lain?
“Airil, saya tanya awak ni… Siapa Sara?”
Diam.
Hasya lepas nafas perlahan. “Kita baik-baik je kan Airil?”
“Saya sayangkan awak, Hasya. Sayang sangat.”
Tapi bukan itu jawapan yang Hasya mahu kan. Air matanya terus mengalir perlahan. Hatinya menjadi sendat. Nafasnya mula tidak teratur. Hidupnya mula nampak gelap. Kenapa yang setia sentiasa diuji?
SELEPAS 3 hari daripada kejadian itu, Airil tidak langsung bersungguh-sungguh memujuk dirinya atau menunjukkan mahu bersama dengannya. Bila suruh memilih antara dia dan Sara. Airil tidak mampu. Jika Airil tidak mampu untuk buat keputusan, biar dia saja yang memutuskan sebuah keputusan. Lelaki apa yang mahu memimpin tapi tidak tahu memberi keputusan.
Air mata di matanya mengalir laju. Sedih dan perit yang dia rasakan seakan-akan menyeksa segala sudut badan dan fikirannya. Dia tidak mahu berlamaan dengan perasaan ini.
Ting!
Ada satu pesanan masuk ke telefon pintarnya.
AIRIL
Hasya, saya tahu saya bodoh sebab buat awak macam ni. Saya pun tak tahu nak buat apa lagi. Saya dah cuba untuk menjadi yang terbaik untuk awak, dan setia dengan awak. Saya tak kuat untuk tak bersama dengan awak. Mungkin saya kalah dengan hubungan jarak jauh ini. Tak semua mampu mengharunginya.
Dah berapa hari saya cuba nak menyatakan apa yang saya rasa. Tapi saya rasa melalui lagu ini. Seperti datang dari hati saya. Dengarlah lagu ini, Let Her Go, Passenger.
Hasya tergelak kecil bersama linangan air matanya. Komputeri riba dibuka dan laju dia menaip tajuk lagu ini di YouTube. Lagu berkumandang.
Well, you only need the light when it's burning low
Only miss the sun when it starts to snow
Only know you love her when you let her go
Only know you've been high when you're feeling low
Only hate the road when you're missing home
Only know you love her when you let her go
And you let her go
Lepaskan saja saya…
Share this novel