LAMBAIAN tangan Ryan dari luar pagar membuatkan Aisyah tersenyum manis dan gelengkan kepala. Aisyah mendekati Ryan yang sedang berdiri menunggunya di bawah pokok tempat mereka selalu akan bertemu.
“Tadi doa apa?” tanya Ryan sambil menghulurkan air mineral yang sejuk kepada Aisyah mengambilnya.
“Doa macam biasa,” balas Aisyah yang seperti tengah mencari-cari sesuatu.
“I ada dalam doa you, kan?” tanya Ryan lagi.
Aisyah senyum dan pandang Ryan lalu mengangguk. “Mestilah. Macam biasa, macam selalu.”
“You cari apa ni? Kenapa tak minum air lagi?” Ryan berjalan beriringan dengan Aisyah menuju ke keretanya.
“Ingat ada tempat duduk sebab nak minum duduk. Tapi, tak apalah I minum dalam kereta je,” kata Aisyah sambil tersenyum.
Ryan menepuk dahinya. “Yalah, mana boleh minum berdiri.”
Aisyah tersenyum dan mengangguk. Ya Allah, betapa aku sayangkan lelaki ini. Semoga yang baik-baik saja untuk dia dan aku, doa Aisyah dalam hati.
LINDA memandang Aisyah yang sedang bersiap-siap untuk keluar. Setiap pagi Ahad Aisyah akan bersiap awal untuk keluar menemani Ryan. “It’s complicated, Aisyah. Day by day.”
“What do you mean, Dada?” Aisyah duduk di sofa hadapan Linda. Linda mengikat rambutnya yang terhurai. Dia belum lagi tidur kerana menyiapkan kerja-kerjanya.
“Look, it’s been three years you and Ryan but… korang tak ada plan apa-apa ke? Aku bukan nak menyibuk tapi korang tahu kan korang agak berbeza?” Linda memandang sahabat baiknya itu dengan renungan yang lembut.
Aisyah mengangguk perlahan dan tersenyum. “Jadi, bagaimana untuk kitorang bersama ya?”
AISYAH tersenyum melihat Ryan keluar dari pagar gereja sambil berkerut mukanya. “Kenapa last minute tak jadi join? Tapi sanggup datang pulak sekarang ni? Kalau tak sihat tak perlu datang. Okey, sayang?” kata Ryan sambil menyelit rambut Aisyah ke telinga.
“Lapar…” Perkataan itu sahaja yang keluar dari mulut Aisyah. Banyak benda bermain di fikirannya ketika ini. Sebelum dia bergerak beriringan dengan Ryan matanya memandang sekilas ke gereja yang dilawati oleh Ryan.
Tuhan, berikan aku petunjukMu, ya Allah.
Dalam diam Ryan memerhatikan Aisyah yang seperti memikirkan benda yang lain. Tangannya dihulurkan dan Aisyah menyambutnya tanpa ragu. Itu sudah cukup memadai bagi Ryan.
“MINGGU depan you dah start berpuasa. I’m so happy because I can go to bazaar Ramadan and buy every food that I craving. And… that’s mean we are not seeing each other as often as before. But, I respect that.” Ryan menghentikan keretanya tepat di depan lobi apartmen Aisyah sewa bersama Linda.
“I lagi tak sabar. So, many plan that I already schedule it. I pray this year will be my best and great Ramadan than before. Solat jemaah masa terawih itu yang paling I rindu. How I wish you can join and together with me…” Ayat Aisyah terhenti di situ dan matanya terarah tepat ke mata Ryan. Ryan tersenyum sambil mengeluh kecil.
Ryan menggeleng perlahan. “But, I can’t…”
Hampa Aisyah ketika ini.
“But… I can join you berpuasa sama-sama. We berbuka sama-sama like last year. We cooked together with Linda. Come on, sayang. We can have fun together. There is no border,” balas Ryan dengan teruja. Dia mahu kekasih hatinya itu tidak merasakan hubungan ini terlalu susah dan dia mahu menjadi yang terbaik untuk kekasihnya itu.
Aisyah geleng perlahan. Mungkin ini waktunya untuk dia bersuara tentang hal ini dengan Ryan. “Ryan, you free sekarang ni?”
Ryan mengangguk perlahan. “Why?”
“I think, I have something to ask you. And I just want to check, do you in a good mood?” Aisyah memastikan supaya emosi Ryan dalam keadaan baik-baik saja.
“Woo, do you want to discuss something with me? Okay, just where we want to go first?” Ryan gugup. Dia seperti tidak suka dengan apa yang dia rasakan sekarang ini. Aisyah kelihatan sangat serius.
“Kita keluar dari sini and just park kat luar. The parking outside,” arah Aisyah. Ryan menuruti.
Brek tangan ditarik. Ryan terus mengiringkan sikit badannya untuk bertentang mata dengan Aisyah. Aisyah tersenyum kelat memandang Ryan.
“We should discuss about this thing earlier, I think,” kata Aisyah membuka kata. Dia gugup, dia risau jika Ryan atau dia tidak bersedia dengan topik yang ingin dia bawakkan ini.
“Do you want to convert as a muslim? You nak tak masuk Islam and practice cara Islam dalam kehidupan you?” tanya Aisyah perlahan dan berhati-hati.
Ada keluhan kecil keluar dari bibir Ryan. Perlahan Ryan mengangguk dan pandang ke depan semula. Aisyah tidak pasti anggukan itu untuk apa tapi dia tahu daripada keluhan kecil itu ada sesuatu yang tidak enak baginya.
“Okay before I answering that question. What makes you to ask me? Tiba-tiba je ni.” Ryan meminta pencerahan. Kenapa Aisyah membangkitkan isu ini Selama ini mereka bahagia saja. Hormat-menghormati agama dan budaya masing-masing. Perbezaan ini lagi membuatkan mereka saling sayang-menyayang.
Aisyah angkat bahu. “I just want to know.”
Ryan mengangguk. “I ada baca kat Twitter, IG and some other articles about perkahwinan yang berlainan agama. We can married and practice our religion.”
Aisyah menggeleng. “No. Itu salah. Tak boleh. Kat Malaysia itu salah. If we wanna married. You have to convert to Islam.”
“No, I don’t want!” Laju Ryan membalas membuatkan Aisyah terdiam. Suasana menjadi sunyi sebentar. Hanya nafas mereka kedengaran.
“I think that’s it. You should go home and rest. Sorry for today.” Aisyah membuka seatbeltnya dan mencapai beg tangannya. Dia menekan butang untuk membuka pintu kereta. Ryan hanya diam tapi belum sempat Aisyah nak keluar. Ryan menarik tangan Aisyah.
“I hantar you masuk dalam. Bahaya,” kata Ryan dengan wajahnya yang sedikit muram. Mungkin terganggu dengan isu yang dibangkitkan.
Aisyah pandang Ryan. “Tak apa. You balik je terus okey. I okey je. Nanti dah sampai rumah bagitahu I. Bye. Terima kasih untuk hari ni.”
“TIGA hari? Seriuslah?” Linda terkejut dengan cerita Aisyah. Aisyah mengangguk lemah. Benar, dia sudah tiga hari tidak menghubungi Ryan. Ryan juga tidak mencarinya. Entah kenapa kali ini dia seperti berserah saja dengan apa yang jadi kerana dia tidak tahu bagaimana untuk dia teruskan.
“Dia pun tak cari aku. Dan aku rasa dia pun sama macam aku tengah memikirkan apa yang terbaik untuk hubungan kitorang, kut.” Aisyah baringkan dirinya di atas sofa. Dia mula rindukan Ryan. Dia mahu Ryan untuk memeluk agama Islam dan mereka akan terus dapat bersama. Tapi, dia tahu dalam beragama kita tak boleh nak memaksa seseorang.
Linda gelengkan kepala, dia tidak tahu untuk membalas apa. Yang dia tahu Aisyah dan Ryan seperti tiada harapan untuk bersama.
Aisyah pandang Linda. “Aku sayangkan dia. Aku tak boleh hilang dia dalam hidup aku ni. Aku dah terbiasa ada dia dalam hari-hari aku. Kenapa aku diuji sebegini? Aku nak kena buat apa sekarang ni?”
“Aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Sebab mestilah dia pun tak nak convert. Kau sendiri cerita betapa dia patuh pada ajaran agama dia jugak.” Linda juga mengalah bila berbincang hal sebegini.
“Aku nak pergi jumpa dia.”
ANGIN petang membuai layu dan mengelus perlahan wajah Aisyah. Aisyah masih menanti Ryan untuk tiba di taman itu. Taman yang mereka sering habiskan masa bersama.
Dari jauh Ryan memerhati Aisyah dan tersenyum sedih bila mengenangkan apa yang telah mereka lalui bersama. Ryan ingin memerhati lebih lama dia tidak tahu apa yang terjadi pada hubungan mereka. Kenapa mereka diuji sebegini?
“Dah lama tunggu?” Ryan duduk di sebelah Aisyah.
Aisyah hanya tersenyum dan menggeleng. Tanpa membuang masa, Aisyah terus bersuara. “You dah fikir panjang-panjang?”
Ryan tersenyum seperti selalu. “Aisyah. You tahu tak I ada baca kisah tentang Aisyah isteri Nabi Muhammad sebab nama you sama dengan isteri Nabi. Semua kisah Aisyah menyejukkan hati I sebab I harapkan you seperti itu. Dan sepanjang I kenal you ada beberapa sifat Aisyah ada pada you.”
“Saidatina Aisyah tu darjatnya jauh lebih tinggi dari I. Banyak I perlu belajar. Lagipun I tak mencari sesempurna Muhammad di sini. I mencari seseorang yang ingin menjadi umat Muhammad yang sentiasa ingin menjadi lebih baik dan menurut perintah agamanya,” balas Aisyah yang hanya merenung ke hadapan. Kali ini dia yakin dengan dirinya.
“Agama saya agama yang berkasih sayang. Tidak pernah menyekat agama lain untuk bersama dengan ahlinya.” Kata-kata Ryan membuatkan Aisyah tahu jawapan daripada perbincangan ini.
Perlahan Aisyah berdiri dan memandang Ryan. “Saya hormat agama awak, Ryan. Dan, saya di sini bukan untuk berdebat agama siapa lagi hebat. Mungkin ini pengakhirannya. Saya memilih seseorang yang ingin memimpin tangan saya sambil menikmati jalan Allah berikan.”
“Apa yang dah jadi dengan kita?”
“Mungkin, mungkin inilah penamatnya. Cinta tak semestinya bersama, kan?” ucap Aisyah sambil mengalirkan air matanya.
Namun bila saatnya,
Aku harus pergi juga,
Tinggalkan engkau,
Tinggalkan semua,
Hijrah cintaku menguatkan alasanku,
Untuk menjadi manusia lebih baik,
Namun saat sinar-Nya datang menjemputku,
Mana mungkin aku berlari.
Share this novel