Masih membasah luka
Yang dulu pernah kau cipta
Kau sayat kembali di atas derita lama
Tak pernah menjadi impian dan hitam bukanlah harapan
Mengering air mata, mengenang percintaan yang kini tinggal igauan
Masih segar di ingatan kenangan kita bersama
Cinta yang telah berlalu
ku simpan jadi sejarah
Biarlah ku jalani lara,
biarlah kan ku telan duka
Semoga kau mengerti,
Tak pernah ku restui pemergian dirimu
Sungguh menyayat hati
Benar kata pujangga,
"Selasih ku sangka mayang"
"Mayang ku sangkakan daun selada"
Orang benci ku sangka sayang
Namun diri tak merasa tetapi apakan daya?
Kenang-kenanglah aku, sayang,
Rinduilah aku dalam ingatanmu
Yang telah tinggalkanku selama ini
Jauh mengejar mimpi yang tiada pasti
Biar hujan datang berturun,
Takkan tawar rasa lautan cinta
Ku khayalkan kasihmu memekakkan rasa
Kiranya gerimismu tawarkan lautan
Benar kata pujangga,
"Selasih ku sangka mayang"
"Mayang ku sangkakan daun selada"
Orang benci ku sangka sayang
Namun diri tak merasa tetapi apakan daya?
Kenang-kenanglah aku, sayang,
Rinduilah aku dalam ingatanmu
Yang telah tinggalkanku selama ini
Jauh mengejar mimpi yang tiada pasti
Biar hujan datang berturun,
Takkan tawar rasa lautan cinta
Ku khayalkan kasihmu memekakkan rasa
Kiranya gerimismu tawarkan lautan
[ Benci ku sangka sayang - Arief ]
Haura mengucapkan terima kasih kepada pemilik kedai lalu mengangkat plastik yang berada di atas meja itu selepas pembayaran dibuat.
"Inilah dia! Bila mak kau suruh beli bawang je habis diangkutnya semua ikut! Kalau boleh, dengan kedai-kedai tu sekali nak diangkut balik!" Haura membebel sambil melihat beg plastik merah di tangan kiri dan kanannya.
Setengah jam yang lepas, Mak Sal menyuruh Haura untuk pergi ke kedai membeli bawang. Nak masak lebih untuk tengahari nanti sebab kebetulan semuanya pun cuti hari ini. Jarak kedai dari rumah Haura tidak jauh mana. Haura pun cuma berjalan kaki ke sana. Tapi tidak sangka pula daripada niat nak membeli bawang habis segala jajan diborong tanpa sedar. Nasib baiklah tidak terlalu berat kalau tidak jenuh juga nak mengangkat sampai ke rumah.
"Hauraaa.." satu sapaan lemah menerpa Haura.
Langkah kaki Haura terhenti. Jantung Haura juga bagai terhenti sesaat selepas mendengar suara garau lelaki itu.
'Ammar..??' fikir Haura.
Haura menoleh ke belakang, serta merta plastik yang dipegang Haura tadi terasa begitu berat sekali. Atau genggaman tangan Haura yang lemah barangkali. Pemuda hitam manis di depan Haura itu memberi senyuman.
"Apa Ammar buat kat sini?!" belum apa-apa lagi nada Haura sudah agak tegas memandangkan lelaki di depannya ini adalah lelaki yang dia tidak ingin disua lagi.
Ammar tahu Haura tidak suka berjumpa dirinya lagi. Dia juga tahu hati Haura sakit dan mana mungkin parut itu boleh hilang sekelip mata. Dia tidak punya pilihan.
Rindu.
Yang teramat sangat. Tapi Haura?
"Ab..abang.. Abang cuma.." tersekat-sekat bicara Ammar.
Dan Ammar melepaskan satu keluhan panjang. Berat sekali keluhannya.
"Kalau tak ada apa-apa Haura nak balik!" Haura betul-betul kehilangan mood lepas terserempak dengan Ammar tu. Macam manalah boleh jumpa kat sini pula. Tahulah rumah kita berdua ni sebelah kampung je.
"Kejap! Kejap, Haura.. Please!" rayu Ammar.
"Abang, nak jumpa Haura kejap bolehlah. Kejappp je.." rintih Ammar bagai anak kecil.
Haura memejamkan mata dan menarik nafas dalam. Sesak pula nafas ini sejak tadi. Seusai mata Haura dibuka, Haura berkata.
"Ammar.. Kalau setakat nak cakap benda yang tak penting dan nak ulang perkataan maaf Ammar tu tak payahlah. Buang masa je.."
"Abang sanggup Haura, ucapkan maaf tu pada Haura sampai akhir hayat abang.. Erm, sebelum tu Haura.. Jom, kita teduh bawah pokok sana tu. Meh, abang bawakan barang ni.." Ammar terus mencapai beg plastik di tangan Haura dan berlalu pergi.
Haura tersentak sedikit. Dalam sekelip mata tangannya sudah pun kosong. Haura terpaksa membuntuti Ammar. Bawah pokok je pun bukan pergi mana kan. Tambahan lagi, tadi mereka betul-betul berada di depan pintu kedai. Selain menghalang laluan orang, malu juga bila orang dengar perbualan kita.
"Haura tak boleh lama ni.." nada Haura mulai kendur.
Ammar senyum. Dia tahu Haura yang dia kenal sejak enam tahun lepas itu seorang yang mudah tersentuh. Tapi, entah kenapa keras bagai batu hatinya bila melibatkan dua buah perasaan.
"Abang sekejap je.. Sebenarnya abang cuma nak jumpa Haura. Tengok Haura depan mata abang. Abang rin.. Erm, Hauraaa.." Ammar tak sanggup lepaskan padangan matanya dari Haura. Entah bila lagi dia akan dapat melihat Haura sedekat ini. Tak mungkin masa yang ada ini akan dibazirkan walau sesaat.
"Herm, apa?" jawab Haura acuh tak acuh. Haura pula sebaliknya cuma mengelak dari bertentang mata dengan Ammar. Sebolehnya dia memandang apa sahaja asalkan bukan wajah Ammar itu.
"Boleh tak kita kawan?" Ammar bertanya lemah.
"Abang tak akan paksa Haura dah.." sambung Ammar.
Haura memandang Ammar sekilas. Entah kenapa dia rasa wajah Ammar itu dilihat sayu yang teramat sangat. Seolah harapan yang tinggi menggunung itu telah hancur berderai. Yang tinggal adalah cuma jiwa yang lara dan kosong. Bukan lagi Ammar yang menagih cinta. Bukan lagi Ammar yang memaksa untuk dirinya diterima sekali lagi malah berkali-kali. Dan, bukan lagi Ammar yang obses kepada wanita yang bernama Haura Medina.
"Fine! Kita kawan.. Kawan biasa je.." Haura terpaksa menekankan perkataan biasa itu kerana dia tidak mahu walaupun sudah berkawan nanti Ammar tetap mengharapkan kasih dan cinta. Cukuplah sekadar kawan. Yang jauh dimata juga jauh dihati.
"Thanks, Haura!" Ammar sekadar tersenyum kelat. Tatkala Haura mengiyakan permintaan Ammar tadi hatinya terasa bagai disiat. Perit yang Allah sahaja tahu. Bergenang air mata menunggu luruh.
"Nah! Haura baliklah.." bungkusan plastik yang dipegang Ammar sejak tadi diberikan semula pada Haura. Beratnya barang Haura itu berat lagi kesedihan yang melanda hatinya.
"Hah? Err, okay.." Haura agak kebingungan melihat Ammar sebegitu. Diambilnya plastik dan terus beredar untuk pulang ke rumah tanpa menoleh ke belakang lagi.
Ammar melihat Haura pergi. Sekurangnya dia perlu ada rasa sedikit kegembiraan kerana Haura telah mengizinkan mereka berkawan.
"Dah kenapa Ammar tu? Buang tabiat ke?" Haura menggeleng kepala. Walaupun terasa berat nak perlakukan Ammar begitu tetapi keadaan yang memaksa.
Laptop di atas meja Haura itu ditenung tanpa diusik selama beberapa minit. Kerja Haura agak terganggu selepas pertemuan dia dan Ammar pagi tadi. Entah kenapa otak ni asyik nak memikirkannya. Buat apa pun serba tak kena.
Haura segera menutup laptop dan mengemas barang-barang. Tiada guna teruskan lagi kalau otak pun melayang-layang. Memandangkan malam pun sudah lewat, Haura menutup lampu dan membuka lampu kecil supaya cahaya bilik kelihatan suram dan tenang. Haura menarik selimut dan membaringkan tubuh ke atas tilam. Sambil memeluk bantal dan ditemani malam yang sepi perasaan Haura bercampur-baur.
-flashback-
Pintu almari baju berwarna hitam itu dikuak. Ditolaknya satu demi satu pakaian yang ada. Kesemuanya gagal memenuhi citarasa Haura.
"Aduh! Nak pakai baju apa ni?! Tak ada baju yang cantik sikit ke?" bentak Haura.
Setelah lama diamati Haura memutuskan hendak memakai baju kurung moden sahaja. Itu yang lebih baik daripada semua yang ada. Setelah selesai menyalin pakaian berwarna ungu itu Haura termangu di depan cermin.
"Herm.. Okaylah ni kan.. Tapi, macam tak pernah dibuat orang je nak dating pakai baju kurung. Ke memang ada tapi aku yang tak tahu?" Hahahahah rasa malu, rasa nak gelak pun ada sebenarnya.
Hari ini bagaikan melakar sejarah pula, Haura akan keluar dengan Abang Ammar buat pertama kalinya. Boleh kata percintaan Haura dan Ammar adalah percintaan jarak jauh walaupun rumah mereka dekat sahaja. Gila, bukan?
Selepas tamat SPM, Abang Ammar dapat tawaran ke politeknik di Johor. Terpisahlah mereka buat sementara. Kalau balik ke sini pun Haura tak akan jumpa Ammar. Mostly mengubat rindu melalui mesej dan call sahaja antara satu sama lain.
Haura memakai selendang kosong yang berwarna ungu pastel. Terasa sesuai dengan kulit Haura. Berseri sungguh. Ditambah dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
"Ya Allah, kenapa aku rasa nervous sangat ni.. Malu pula nak jumpa Abang Ammar." Haura dapat merasakan degupan jantungnya bergerak laju seakan mahu terkeluar sahaja dari dada. Tangannya mula berpeluh juga. Dirinya tidak keruan lagi. Ohh, duhai hati..
"Abang Ammar kata dia naik kereta warna hitam. Yang itu ke?" Haura menjuihkan kepala untuk kepastian. Sejak lima minit yang lalu Haura telah menunggu di stesen bas berdekatan rumahnya. Ini kerana dia tidak mahu Mak Sal mengetahui buah hatinya walaupun Ammar selalu meminta untuk berjumpa dengan Mak Sal. Entahlah Haura merasakan selagi hubungannya tidak betul-betul pasti selagi itu dia tidak ingin canang cerita mereka.
Sebuah kereta saga berhenti betul-betul di depan Haura. Tingkap kereta diturunkan dan Haura membalas senyuman lelaki di dalam kereta itu. Ya, lelaki yang dia paling sayang dalam dunia ni.
"Assalamualaikum abang!" Haura memberi salam dan senyuman selepas duduk di dalam kereta.
Haura berkerut.
"Abang!" Haura menegur sekali lagi kerana Ammar diam membatu sahaja.
"Hah? Haa, Waalaikumussalam sayang.." alahai ralit sangat melihat Haura sampai tak sedar apa yang Haura cakap.
"Eii, abang ni.." rajuk Haura.
"Sorry.. Sayanglah ni cantik sangat kenapa?"
"Erm, sayang pakai baju kurung je tak apa kan.."
"Tak apa, abang suka. Cantik sangat. Lama betul tak jumpa sayang abang ni. Abang nak je jumpa selalu tapi sayang tulah yang tak mahu jumpa abang.." Ammar menjuih mulut.
"Bukan tak naklah, alah abang ni sayang cuma tak mahu mak banyak tanya pula nanti.." bela Haura.
Muka Haura sudah kemerahan menahan malu. Dia cuba untuk bertindak biasa tetapi lelaki di hadapannya ini selalu membuat hatinya bergetaran.
"Sayang, ada nak beli apa-apa tak?" Ammar melihat Haura sekadar melihat-lihat sahaja tanpa memasuki sebarang kedai yang ada di mall itu. Ammar tahu kekasihnya ini memang cerewet sedikit bila masuk bab shopping. Padahal kalau wanita lain itu sebut shopping sahaja pun sudah boleh naik hantu.
"Tak ada apa yang nak dibelilah abang. Lagipun, semua kat sini mahal. Bazir je beli.." Haura tidak mahu membebani Ammar yang masih belajar lagi. Dirinya yang baru sahaja habis SPM pun belum mula mencari kerja. Kalau dah ada duit nanti bolehlah belanja diri sendiri.
Ammar menghentikan langkah kaki dan berdiri betul-betul di hadapan Haura. Dua biji matanya memandang ke dalam mata Haura dengan penuh rasa kasih.
"Sayang.. Nak beli apa, beli je abang bayar. Abang kan nak habis belajar tinggal berapa bulan je lagi. Lagipun kat sana abang ada buat kerja part timelah sayang. Jadi, abang ada banyak duit lebih tau. Sayang kan pernah cakap kalau abang nak kahwin dengan sayang abang kena kumpul duit banyak-banyak baru boleh kahwin. Sebab tu abang kerja kuat sikit untuk halalkan hubungan kita ni.." kata Ammar sambil tersenyum.
"Abang..." Haura berkata perlahan. Terasa serius pula bila Ammar berkata begitu. Sungguh Haura tidak bermaksud nak susahkan Ammar sebegitu rupa. Perlu ke Ammar buat semua tu? Sedangkan dia boleh saja nikmati zaman muda dia bersama kawan-kawan seusia. Dan setelah sekian lama, Ammar masih ingat semua kata-kata Haura itu?
"Kenapa? Kenapa abang buat semua tu? Sayang.. Sayang.." Haura seakan hilang kata. Rasa bersalah mula membelengu dirinya.
Ammar mencuit lembut bahu Haura.
"Sayang.. Abang kan buat semua tu sebab abang sayang sangat kat Haura. Kenapa? Abang ada salah cakap ke?" Ammar memujuk Haura yang tertunduk lemah sejak tadi.
"Sayang tak tahu nak cakap macam mana tapi.. Terima kasih abang.. Haura sayangggg sangat kat abang.." perasaan Haura sayu sangat. Patutlah Ammar ada masukkan duit belanja untuk Haura tiap bulan rupanya dia belajar sambil bekerja juga. Tapi Haura tidak pernah sekali pun menggunakan duit itu sebab dia tahu itu bukan haknya dan dirinya belum sah menjadi milik Ammar. Tak manis rasanya nak berjoli sakan tapi ianya dari hasil penat lelah orang lain.
"Herm.. sayang abang banyak mana?" tanya Ammar.
"Sayang abang banyak, banyak, banyak, banyakkklah hehe.." Haura mula tersenyum dan Ammar juga begitu. Tercipta satu rasa yang amat bahagia.
Hari sudah pun lewat petang. Haura kena balik sebelum maghrib sebab tak naklah Mak Sal risaukan dirinya. Puas sudah sehari suntuk bersama Ammar. Macam-macam diboraknya kalau tak disuruh berhenti mahu sampai ke esok pun tak akan habis. Ammar menghantar Haura semula ke stesen bas pagi tadi.
Setelah Ammar memberhentikan kereta, Haura mengemas barang yang penuh di kaki untuk dibawa pulang. Ammar melihat sahaja gerak-geri Haura tanpa bersuara.
Sekarang sudah sampai masa untuk ucap selamat tinggal. Terasa sekejap sangat perjumpaan mereka. Semakin ditatap semakin rindu. Semakin berkasih semakinlah cinta..
"Abang.. Sayang balik dulu ya.." Haura tersenyum memandang Ammar.
"Err, Haura kejap!" Ammar memegang pergelangan tangan kanan Haura.
Haura tersentak sebab terkejut dengan pegangan spontan Ammar itu. Mereka bukanlah jenis bercinta yang berpegangan tangan malah bersentuhan. Sebab, prinsip Haura yang tidak mahu disentuh oleh lelaki walaupun dia mengenali lelaki itu.
"Kenapa ni abang?" Haura cuba melepaskan pegangan itu dengan perlahan tetapi gagal kerana Ammar tidak mahu melepaskannya. Dirasakan pegangan itu semakin kuat pula dicengkam malah pada pergelangan tangan kirinya juga. Haura sudah mula mengelabah apabila berada di dalam situasi itu.
"Sayang.. milik abang seorang je kan?" tanya Ammar.
Tiba-tiba Ammar merapatkan tubuhnya pada Haura. Dengan keadaan kereta yang agak sempit dan tenaga pegangan dari seorang lelaki, Haura merasakan dirinya tidak selamat. Otak Haura terus memikirnya benda yang bukan-bukan. Daaa, sesiapa yang berada dalam situasi macam ni memang tak boleh nak fikir benda yang baik punlah!
"Abang! Apa ni? Sakitlah.."
"Tak naklah! Abang!" rayu Haura sambil melepaskan diri dari Ammar. Entah kenapa tiba-tiba Ammar yang dia kenal itu bagai telah hilang akal dan fikiran.
"Abang nak sayang.. Nak Haura.." Ammar tidak mengendahkan permintaan Haura. Malah tanpa sedar dirinya sudah pun ditenggelami oleh nafsu.
Air mata Haura sudah bergenang di kelopak. Dadanya berdebar dengan sangat laju. Keadaan itu membuatkan Haura berasa sangat takut. Ammar menjadi semakin lupa diri. Dengan berbaki sebelah tangan yang ada Ammar cuba menyentuh Haura dan menjalar ke segenap tubuh Haura.
"Abanggggg!" tanpa sedar air mata Haura telah pun gugur. Haura cuba menepis semua sentuhan Ammar itu. Dengan kudrat yang ada, Haura cuba sekuat yang boleh untuk melepaskan tangan dari cengkaman Ammar.
Pangggg!!
Satu tamparan kuat oleh Haura kedengaran. Ammar terpana seketika. Pipinya terasa bahang betul.
"Sa.. Sayangg.." bagai dikejutkan oleh sesuatu dan Ammar kembali waras. Dia melihat Haura sudah menangis teresak-esak sambil membetulkan pakaiannya.
"Buka! Bukaaaa pintu niiii!" jerit Haura dalam tangisan. Tangannya rakus membuka pintu kereta yang dikunci itu.
Ammar yang masih terpinga-pinga terus membuka lock pintunya. Haura berlari keluar sejurus pintunya boleh dibuka. Tanpa menoleh ke belakang Haura terus berlari anak pulang ke rumah. Ammar terus keluar dari kereta untuk menahan Haura.
"Haura! Hauraaa!" pekik Ammar dari jauh. Namun, Haura tetap berlalu pergi. Ammar merasakan semua yang terjadi itu betul-betul sekelip mata.
"Ya Allah! Apa aku dah buat ni? Maafkan abang sayangg.." tangannya mengurut-urut kepala.
-end flashback-
Entah mengapa boleh pula Haura terfikirkan detik hitam itu lagi. Detik yang membuat Haura menangis berhari-hari sejak kejadian itu. Saat di mana segalanya sudah berakhir buat satu perhubungan. Satu ikatan. Satu perasaan. Bahkan, satu harapan.
"Abanggg, maafkan Haura.." rintih Haura.
Air mata Haura mengalir. Sejak kejadian itu, Haura tidak pernah beri Ammar peluang kedua. Walaupun dia tahu Ammar tiada niat yang tak baik pun padanya. Ammar pun cakap dia tak sengaja. Dia cuma fikir Haura akan menjadi miliknya tidak lama lagi mungkin sebab tu dia boleh berbuat sedemikian. Tapi, kelakuan Ammar masa tu betul-betul Haura tak dapat nak terima.
Berulang kali Ammar buat permohonan maaf malah beratus mungkin sudah cecah beribu kali. Bukanlah Haura tidak memaafkan. Dah lama dirinya memaafkan Ammar. Cuma, dia tersepit antara dua.
Sayang dan juga benci.
Terlalu menyayangi Ammar sehingga tidak dapat terima benda begitu berlaku pada dirinya.
Dan, benci pula disebabkan Ammar buat begitu kerana takut kehilangan Haura.
Malam sudah mulai lewat. Haura menangis tersedu-sedan sambil memeluk bantal.
Tak kan hilangnya rindu andai masih adanya sayang. Masa yang telah berlalu tidak mungkin dapat diundurkan lagi. Hati manusia juga mudah berbolak-balik. Kita sebagai manusia cuma mampu mencari hikmah disebalik tiap yang berlaku..
Share this novel