PINTU kaca kedai ditolak menggunakan punggungnya. Wajahnya mencuka. Barang berada di tangan dihempas di atas meja sengaja. Danies merengus. Rahangnya mengetat.
“Eh, Along! Cuba perlahan sikit letak barang. Pecah meja nanti.”
Danies mengeluh tanpa bicara.
“Kenapa cantik sangat baju akak? Saya rasa hujan dah berhenti lama. Tudung akak pun elok. On point. Tak basah. Ribut separuh badan ya?”
Pedih gegendang telinganya mendengar suara pekerja ibu menyindirnya. Wajah Anie dijeling tajam sedetik.
“Jangan jeling saya kak. Takut.” Ada tawa nakal di hujung bicara Anie.
“Diam Anie. Akak tengah terbakar kau boleh buat lawak,” balas Danies kasar.
Anie memandang peluh yang menitik dicelahan tudung Danies mengalir deras seperti air terjun mencurah-curah. Nak ditegur kena marah lagi dengan akak comel nanti. Hanya rahangnya bergerak disertai dengan dahi berkerut keliru.
“Kau pandang aku apahal? Tak puas hati dengan aku ke apa?”
Anie menggeleng.
“Kak, akak datang sini jalan kaki?”
“Anie,” tegur Puan Shikin.
“Maaf Puan. Saya pelik sebenarnya. Berpeluh sakan, baju tu dah putih nampak sangat comotnya. Dah serupa budak degil main lecak. Akak dari mana?” jelas Anie ke bosnya.
Tangannya menghulurkan kotak tisu ke Danies.
Danies menepuk topi Anie apabila gadis genit ini mengutuknya. Tekaannya tepat sekali. Lelahnya berjalan sejauh 1.5km hilang selepas meneguk air separuh jag di atas meja sebentar tadi.
“Dani dari mana nak?”
“Ibu, kereta rosak on the way ke kedai. Along jalan kaki dari simpang tiga tu ke sini. Tengah penat jalan ada motor besar laju langgar lopak air tepi jalan. Apa lagi splash kedebush... tempias. Taik betul mangkuk tu,” balas Danies dengan penuh gaya dan emosi.
Terlopong mulut Anie mendengar cerita Danies.
“Habis akak tak sound ke orang tu? Berani sungguh dia mandikan akak dengan lopak air. Itu dapat kat saya berguni maki.”
“Amboi kau memang hidup! Mengapi, jadi setan menghacut nombor satu.” Sempat tangannya mencubit pinggang Anie.
“Eh, rileks kak! Saya cuma nak ambil feel akak jea. Janganlah cubit.”
Danies ketawa kecil. Pipi Anie ditolak kasar dengan sengaja.
“Ikut hati memang nak jerit tapi tak sempat. Dia laju sangat berdesup hilang. Ada pun tinggal bunyi. Bunyi enjin motor tu sama macam motor Dani, tu salah satu sebab berbakul juga kena carut dengan Dani. Otak tak ada sivik,” balas Danies ke Anie.
Terukir secalit senyuman daripada Puan Shikin ke anak perempuannya sedang merungut. Masak benar dia dengan perangai anaknya bila marah.
“Kereta? Dani tinggal tepi jalan?”
“Tak ibu. Akak minta Azlan tarik ke workshop dia. Ibu, tolong pesan ke Qal jangan tahu lanyak kereta. Kereta dia ni tak pernah kena service ke?” rungut Danies ke ibunya.
“Dani macam tak kenal perangai Qal. Selama ni ayah yang selalu hantar service kereta dia. Ayah dah lama tak datang rumah,” balas Puan Shikin.
“Ibu manjakan sangat Qal tu,” rungut Danies.
Danies benar-benar tidak berpuas hati apabila kereta itu rosak di tangannya. Apa yang pasti duitnya hangus kena bayar kos baiki kereta adiknya. Lebih pasti lagi adiknya tidak akan membayar semula duitnya.
*
Jam menunjukkan 1230 pagi. Puan Shikin tersenyum nipis melihat anaknya terlelap di sofa. Hanya disebabkan anaknya tiada kenderaan pulang ke rumah anak perempuannya terpaksa menemaninya hingga lewat malam.
“Danies, bangun. Ibu dah siap nak balik. Nak tidur sini ke? Along, bangun nak.”
Sedetik tiada pergerakan. Detik seterusnya pipi Danies ditampar sedikit kuat berulang kali.
“Danies... Dani... hei, Along! Bangun la. Dah lewat.”
“Ibu... kenapa Dani tidur sini?”
Puan Shikin mengeluh apabila soalan itu keluar dari mulut anaknya. Kepala anaknya diusap lembut.
“Along penat. Tadi petang awak datang kedai jalan kaki. Lupa?”
Danies menggosok matanya dalam keadaan separuh sedar. Dia mengangguk. Pipinya ditampar sedikit kuat sambil berjalan menuju ke pintu. Kunci di tangan ibu diambil.
“Along kuncikan. Ibu pergi masuk kereta dulu.”
“Kunci elok-elok.”
Selesai tugasnya, Danies berlari kecil menuju ke kereta. Begnya dibaling ke belakang. Tali pinggang ditarik. Senyuman nipis dihadiahkan ke ibu sebelum memulakan perjalanan.
“Kita ada tetamu, nanti Along tolong ibu masak.”
Danies terkedu. Dia menggaru belakang telinganya mendengar bicara ibu.
“Ibu, selama ni siapa yang selalu tolong ibu masak bila ada tamu... siapa yang nak datang rumah?”
“Alahai, mak budak yang ibu jaga dulu. Ingat tak akak Mimie?”
Danies terkebil-kebil seketika.
“Mimie... Mimie? Kenapa nama dia macam bos aku? Orang sama atau... tak mungkin... nama sama rasanya,” bisik batinnya.
“Berangan.”
“Eh, mana ada! Dani tengah bayangkan muka Kak Mimie...ala... ingat-ingat lupa. Tak ingat rasanya. Ibu tahu keadaan Along sekarang. Bukan semua ingat.”
“Maaflah. Ibu lupa yang Dani banyak benda tak ingat.”
Danies mengetap bibir apabila bicara ibu perlahan dan mendatar. “Alahai... kenapa sedih ni? Hal macam ni Dani dah lali. Lama-lama nanti ingat la... kot.”
“Dah, tak payah ingat. Ibu tak nak Along sakit lagi. Jumpa jea Kak Mimie tu esok. Mana tahu Dani ingat bila berbual dengan dia.”
“Dani bayangkan tadi ada orang nak datang meminang. Ibu jangan risaulah. Apa yang penting ibu jangan tipu... jangan ada orang meminang sudah. Baik akak lari vroom, vroom... adoi... adoi... ibu!” Bebel Danies terhenti apabila tangan ibunya mencubit pinggangnya.
“Sudah-sudah race tu. Bila nak kahwin?” tanya Puan Shikin spontan.
“Entah, hujung bulan lima agaknya,” balas Danies laju.
“Ini dah bulan lima?”
Danies ketawa mengekek sebaik ibu menjawab. “Bu, hujung bulan tapi tahun tak tahu bila. Tengoklah nanti. Semua kat luar tu bukan taste akak.”
“Isyh, budak bertuah!”
Tersenget-senget badan Danies menahan cubitan ibunya. Nak atau tidak dia kena reda serangan ketam ibunya.
“Dani tunggu dia? Lama ibu tak dengarDani cerita hal dia.”
Danies tergumam sesaat. Fikirannya melayang sekejap.
Jauh sudut hatinya berbisik “Dia? Mana dia? Kenapa bila ibu sebut hal dia dada aku rasa berdebar walaupun aku tak ingat siapa dia tu. Rasa seperti dia dekat dengan aku dulu.”
“Dani? Dani tak ingat dia juga ya?” Puan Shikin menyoal anaknya apabila melihat Danies terdiam semula.
“Hah, entah. Dani dah lama tak ke rumah ayah bu. Tak follow pun. Mesti budak tu dah menyerah kalah.”
“Along... betul ke Along tak pernah jumpa langsung ke budak tu? Ibu rasa... mesti dia dah besar panjang, handsome.”
“Ya kot. Biarlah dia bu.”
Puan Shikin hanya tersenyum melihat anak sulungnya. Surat-surat daripada lelaki itu yang diberikan saat Dani lupa semuanya. Itu pun sebab suaminya yang desak demi pulihkan ingatan Danies.
Apa yang pasti surat itu telah banyak membantu Danies berbicara dan kembali seperti sediakala. Pandai betul anak muda itu memainkan perasaan hayi anaknya.
“Ibu carikan untuk Dani... nak?”
“Anak ibu bukan muda lagi. Lagi setahun nak masuk 40tahun. Elok apa tak kahwin boleh teman ibu.”
“Isteri Qal ada. Selalu temankan ibu bila Qal kerja. Along pun sibuk kerja masa bila akak temankan ibu?”
“Lupa pula orang ada menantu. Dah tak kisah anak sendiri... auch... okey... okey.. gurau... ibu.”
Pantas Danies memaut stering kerana bimbang pemanduannya terganggu gara-gara cubitan ibu.
Suasana berbeza di rumah banglow tiga tingkat milik Puan Mimie. Daniel duduk termenung di luar rumah sendirian. Bintang di langit ditenung lama menikmati keindahan malam. Dia langsung tidak sedar Nash mengintainya.
Nash menggeleng. Pantas Nash keluar apabila melihat pintu rumah terbuka.
“Dany oi! Buat apa kat luar?” tegur Nash.
“Panas bang,” dalih Daniel.
“Naik motor pun panas? Agak-agaklah... kau biar betul. Banyak dosa sungguh kau,” usik Nash.
Nash sedar dan dia kenal sikap dan perangai Daniel bila dalam masalah.
“Ceh, busuk mulut kau bang! Panas hati bang. Abang tak tidur lagi?”
“Belum Dany. Abang dari dapur ambil air. Apa lagi yang kau fikirkan. Masalah tadi?”
Daniel membetulkan posisi duduknya sebaik melihat abangnya menarik kerusi duduk di sebelahnya. Daniel mengeluh.
“Saya rasa menyesal sangat abang.”
“Kau menyesal putus dengan Melly? Kau memang degil. Lupa ke lepas apa dia buat pada kau... kau menyesal? Kau biar betul dik?”
“Weii, kau bang! Bukan menyesal tu... agak sikit. Saya menyesal tak dengar kata ummi dengan abah dulu. Saya sangka boleh bentuk Si Melly tapi lain pula jadinya. Joe pula yang bentuk dia.”
Kedua keningnya bercantum merenung Nash senyap. Dia sedar Nash menahan diri dari tersenyum dan ketawa.
“Kau nak gelakkan aku?”
Nash menggeleng.
“Sudah. Dah tak payah fikir lagi. Nanti abah dengan ummi pandailah bagi alasan pada keluarga Melly. Abah dengan ummi bukan jenis suka malukan orang.”
Daniel memandang wajah Nash seketika.
Nak apa pandang abang? Cakap cepat,” sergah Nash. Riak wajah adiknya jelas sekali inginkan sesuatu.
“Saya tak ikut pergi rumah ibu nanti. Abang tolong cover depan ummi abah. Boleh ya... please.”
“Aku dah agak dah. Kau memang suka buat perangai. Kerja aku dengan isteri aku asyik nak cover kau,” bebel Nash.
Spontan meja di depannya ditepuk menyebabkan Daniel melatah teruk. Berderai tawa Nash melihat adik iparnya melatah.
“Kau nak ke mana? Bagitahu dulu, baru abang tolong.”
“Saya dah janji lepak dengan geng motor.”
“Kau ada race?!”
“Eh, tak! Lepak-lepak. Cuci mata, tukar idea hal motor,” jawab Daniel gagap. Daniel cukup bimbang bila disergah abang iparnya.
“Hmm, tapi ingat jangan kau mengada nak buat come back balik dengan Melly tu. Nanti abang sendiri yang siang-siang kau macam ikan bila abang dengar hal ni.”
“Hisyh, mimpi apa nak come back ke Melly. Saya dah malas nak fikir hal cinta bang. Lagipun saya perlukan masa. Past is past... Dany dah hilang kepercayaan pada semua perempuan di luar sana nak dijadikan isteri.”
Nash ketawa kecil dengan gelagat dan gaya tangannya seperti cuba membuang kisah dukanya.
“Dany oii.. bunga bukan sekuntum.”
“Disebabkan bukan sekuntum kita kena cari yang terbaik. Dalam satu pasu bunga pasti ada yang akan datang perlahan-lahan menyinari hati Dany yang kecewa dan terluka dengan semua perempuan.”
“Bukk.”
Bunyi tumbukan di belakang badannya menyebabkan Daniel terhenti bermadah. Daniel menoleh ke arah susuk tubuh kecil di belakangnya.
“Banyak kau punya luka. Bukan semua perempuan sama dengan Melly. Lain kali cari yang cantik luar dalam bukan cantik di luar saja. Kau suka sangat cari orang yang tak semenggah itu dapatnya. Mujur belum jadi isteri,” sampuk Asya.
Nash bangun dari duduknya meleraikan dua beradik dari bertekak di awal pagi. Bimbang sungguh Nash dengan suara lantang isterinya. Suaranya boleh bangunkan harimau yang sedang tidur.
“Dany, abang naik dulu. Nanti abang sekali kena penumbuk dia. Sayang, meh sini meh. Kita main tumbuk-tumbuk dalam bilik. Abang risau Dany meroyan pula tengok kita sweet depan dia.”
“Amboi, kutuk depan nampak?!”
Share this novel