Completed
461
Pagi mengengsot malas. Bahang matahari semakin terasa. Kereta-kereta bertali arus menyusur di atas jalan raya. Empat pasang kaki melangkah lemah ke hadapan. Sempat pula si lelakinya mendongak ke arah jejantas yang menghubungkan jalan dari stesen Keretapi Tanah Melayu Johor Bahru ke City Square. Mengesat-ngesat pula peluh yang berbintik di dahi.
Seorang lelaki bernama Hamizan dari Kluang dengan T-shirt hitam, berseluar jeans biru lusuh serta mengendong beg High Sierra di bahunya. Manakala si isterinya, Faesah pula berpakaian baju lengan panjang hijau juga mengenakan seluar jeans lusuh yang sama. Di dalam beg itulah tersimpan segala macam barang peribadinya termasuk baju, seluar, ubat gigi, berus gigi, tuala dan lain-lain yang dianggap penting dibawa bersamanya.
Mereka adalah pasangan suami isteri sederhana miskin yang baru tiba di stesen kereta api dari kampung Kluang ke Johor Bahru, semata-mata untuk mencari pekerjaan bagi mencari sesuap nasi. Untuk bermalam, mereka juga akan ke rumah Hamdan, abang sulungnya. Mungkin juga untuk tinggal beberapa hari sebelum mendapat pekerjaan.
Tanpa membuang masa, mereka berdua cepat-cepat bergegas keluar dari stesen kereta api menuju pula ke stesen bas untuk ke Kampung Melayu. Banyak perubahan pesat sudah berlaku di bandar JB ini. Stesen kereta api yang lama dulunya sudah berubah wajah kepada sebuah terminal yang canggih lagi moden. Mereka berdua menjadi kaget seketika.
“Wah, Esah! JB ni dah banyak berubah. Semakin moden. Mana pula stesen basnya? Dulu kat depan tu je kan?” tanya Hamizan dengan agak terpinga-pinga.
Dia nampak sebuah stesen bas di depan sana, namun dia sedikit hairan kerana tiada satu bas pun yang lalu di situ. Yang banyaknya, teksi adalah.
“Cubalah bang tanya orang tu. Mesti dia tahu,” cadang Esah sambil menarik lembut lengan baju suaminya.
“Erm, encik tumpang tanya. Saya nak ke Kampung Melayu. Kat mana ya stesen bas?”
“Oh, stesen bas tu di JB Sentral. Encik jalan terus lepas tu belok kanan masuk ke dalam bangunan tu lepas ambil eskalator naik ke tingkat atas. Lepas tu encik kena seberang jalan masuk ke dalam sebuah bangunan lagi dan ambil eskalator turun ke bawah pula. Stesen bas tu ada kat bawah sana,” terang pemuda lingkungan 30-an dengan panjang lebar. Agak pening kepala juga dia hendak mengingati arah jalan yang diterangkan lelaki itu, tetapi dia terpaksa berlagak faham.
“Erm, baiklah. Terima kasih ya,” ucap Hamizan. Lelaki itu cuma tersenyum lalu beredar pergi.
*****
Setelah berpusing-pusing mencari tempat yang hendak ditujui, mereka akhirnya tiba di stesen bas yang dimaksudkan lelaki tadi. Sebaik ternampak sebuah bas yang menuju ke Masai, mereka berdua cepat-cepat melangkah masuk ke dalam.
“Nak pergi mana?” tanya pemandu bas itu.
“Ke Kampung Melayu,” jawab Hamizan ringkas.
“Berapa orang ya?” tanya pemandu bas itu lagi.
“Dua orang.”
“Dua ringgit enam puluh sen.”
Setelah membayar tambang yang dimaksudkannya, mereka berdua pun pergi mencari tempat untuk duduk. Sementara menunggu bas bergerak, Esah sempat berbual-bual seketika dengan suaminya.
“Bang, betul ke Hamdan tu masih tinggal di Kampung Melayu?” tanya Esah dengan penuh kebimbangan.
“Jangan risau, dia masih tinggal di situ,” tenang Hamizan.
*****
“Sebaik tiba di Kampung Melayu, mereka pun turun dari bas. Sama seperti di bandar juga, banyak perubahan pesat telah berlaku di kampung yang pernah dia jejaki lima tahun dulu. Mereka pun hampir tidak mengecam kawasan di situ. Rumah-rumah yang dulunya hanya kayu, semuanya berubah wajah dengan rumah-rumah batu dan banglo mewah.
Walaupun banyak tempat sudah berubah, Hamizan masih ingat akan jalan ke rumah abang sulungnya. Memorinya masih lagi kuat. Kedai kecil di tepi jalan masih ada lagi di situ. Itu yang membuatkan dia masih ingat akan jalan ke rumah abang sulungnya itu.
Mereka melajukan langkah ke satu lorong kecil. Setelah melintasi jalan lagi beberapa jalan dan pokok-pokok, barulah dia tiba di hadapan rumah Hamdan.
Setelah memberi salam dan mengetuk pintu beberapa kali, seseorang telah membukakan pintu.
“Ya, waalaikumussalam. Cari siapa ya?” tanya seorang lelaki separuh umur.
“Saya cari Hamdan bin Harun. Ini bukan rumah dia ke?” tanya Hamizan lagi sambil matanya meliar-liar melihat isi rumahnya.
“Oh, Hamdan. Dia dan keluarganya dah berpindah bulan lepas,” jelas lelaki itu lagi.
“Pindah? Boleh saya tahu pindah ke mana ya?”
“Oh, maaf encik. Saya tak tahu,” jelasnya.
“Hmm, tak mengapalah. Terima kasih,” jawab Hamizan dengan penuh kecewa. Dia dan Esah pun beredar pergi dari situ.
Dengan penuh kebuntuan, mereka memutuskan mengambil bas dan menuju ke bandar semula.
Semua tempat sempat dijelajahi mereka. Dari iklan-iklan jawatan kosong pada papan kenyataan di premis-premis perniagaan, di stesen-stesen bas hinggalah di kaki-kaki lima. Di mana-mana tempat berhenti, di situlah tempat tidur mereka. Kalau hendak mandi pula mereka akan ke tandas awam.
Semua kesusahan ini terpaksa mereka tempuhi berdua kerana abang sulung suaminya, Hamdan yang tinggal di Kampung Melayu telah berpindah. Bila ditanya jiran sebelah-menyebelah, tidak pula mereka tahu ke mana abang sulungnya itu pergi.
“Ha, Esah! Sini ada kerja lagi! Kerja di Singapura. Orang kata kerja di sana lebih lumayan,” sapa si suaminya, Hamizan, sebaik matanya mengesan iklan jawatan kosong di Singapura yang tertampal di papan stesen bas di situ.
Faesah lantas mengeluarkan telefon bimbit Alcatel terpakai yang dibelinya dengan harga RM100 daripada kawannya untuk merekodkan nombor telefon. Tiba-tiba telefon bimbitnya menjadi tidak aktif kerana tenaga baterinya lemah.
“Alamak bang, bateri dah weaklah. Kat mana kita nak charge ni? Kita catit nombor telefonnya di atas kertas sajalah bang,” khabar isterinya. Hamizan terus mengeluarkan pen dan kertas kecil daripada kocek begnya, kemudian mencatat pantas nombor telefon pejabat yang terpampang pada iklan jawatan kosong tersebut.
“Jom kita pergi ke kedai telefon di sana tu untuk cas bateri ni,” cadang Hamizan.
“Baiklah,” jawab Esah menuruti.
“Jom kita call kat public phone. Ada 20 sen tak?” tanya Hamizan.
“Nah, ni dia!” hulur Esah serentak mereka menghambat diri ke telefon awam. Sebaik mendail punat-punat dengan nombor-nombor tertentu, terdengar satu suara Cina lelaki garau dalam bahasa Inggeris.
“Hello, good morning! May I know who’s speaking?”
“Good morning. Em.. Em.. I.. I see a job in Singapore at bus.. bus stop..” jawabku tersekat-sekat. Inilah akibatnya jika tidak berpelajaran tinggi. Padah yang diterima ialah tidak dapat menguasai bahasa penjajah yang dianggap satu bahasa komunikasi penting dunia.
“Awak Melayu, ya?” Belum sempat Hamizan menghabiskan ayatnya, lelaki Cina itu pantas mencantas kata.
“Ya, ya saya Melayu,” jawab Zan. Faesah di sebelah hanya termangu seketika.
“Kamu mahu kerja ke?” tanya lelaki Cina itu lagi. Tapi kali ini nada suaranya dalam pelat Cina.
“Ya, saya.”
“Berapa orang?”
“Dua orang. Saya dan isteri saya.”
“Baiklah, esok awak berdua boleh datang interview di Merlin Tower tingkat empat. Kamu tunggu di luar pintu pejabat. Nanti kalau saya sampai saya akan bagi tahu. Kamu ada nombor telefon?”
“Ada. Awak boleh ambil nombor telefon ni. .”
“Okey, terima kasih. Jumpa kamu esok,” akhirnya dalam pelat Cina lalu memutuskan talian.
“Terima kasih, ya.” Lantas aku meletak semula gagang telefon.
“Apa dia cakap bang?” tanya Faesah. Riak wajahnya nampak teruja sedikit.
“Esok kita ada interview kat Merlin Tower. Harap-harap kerja yang satu ni dapat,” senyum Zan.
Setelah itu mereka berdua pergi semula ke stesen kereta api tadi. Mengambil duduk di situ. Tidak banyak yang dapat mereka lakukan di situ. Hanya menanti hari esok yang belum tentu menjamin nasib mereka berdua.
Share this novel