Pemburu Kasih I

Short Story Completed 461

Sebuah teksi baru terhegeh-hegeh masuk ke perkarangan kampung Benut, Pontian. Dipandu pula oleh si tua berkedut seribu dengan berkopiah buruk. Siapa sangka usianya yang sudah menjangkau 50-an masih larat membawa teksi.

Seorang dengan wajah yang tenang menunduk ke bawah dan yang seorang lagi masam mencuka. Mencebik bibir lalu memandang ke tempat lain. Destinasi yang dituju hampir tiba. Melewati beberapa pokok-pokok getah, sesekali bergegar kecil bila rodanya melanggar batu-batu di atas jalan.

Sebaik Edah membayar tambang teksi dengan harga empat ringgit, dia telah pun menghambat laju. Akak tirinya, Niza lantas mendaki tangga ke atas. Sedikit pun dia tidak pernah hendak membantu Edah mengangkat barang-barang yang dibeli dari pasar tadi. Dibiarkan Edah keseorangan di situ.

Sungguhpun begitu Edah langsung tidak berani bersuara. Jika dilawan kelak, dia akan dimaki dan dipukul hebat oleh ibu tirinya, Puan Saadon. Riak wajah Niza seribu benci pada adik tirinya. Baginya, adik tirinya itu memang seharusnya layak dibenci. Bukan setakat dibenci tetapi juga dicaci. Edah memang sudah biasa diperlakukan sebegitu. Dia tidak pula termampu untuk melontar derhaka. Hidup hanya berteman air mata.

***

Edah tidak pernah merasa kasih sayang sejak kematian ibu kandungnya ketika dia berusia dua tahun lagi. Ayahnya, Dato’ Harun Junid walaupun seorang ahli perniagaan kaya tetapi dia tidak pernah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah yang baik. Kekayaannya itulah yang telah membuatkan dia alpa dengan anak kandungnya sendiri. Kekayaannya itu jugalah yang telah menjadikan dia tamak sehingga sanggup beristeri empat.

Selama bertahun-tahun, kasih sayang Edah tidak pernah diambil peduli oleh ayahnya. Jauh sekali jika hendak harapkan ibu tirinya. Malah dia dihantar pula ke Kajang, Selangor kepada makciknya, Jamilah yang telah bersuami dengan seorang lelaki Cina mualaf yang baru memeluk Islam untuk menjaga anaknya itu.

Akan tetapi, masalah lain pula timbul bila dia pula terpaksa menanggung beban suami makciknya kerana sudah berhenti kerja. Nasib baik waktu itu dia sudah bekerja secara sambilan di sebuah pasar raya setelah tamat SPM untuk menyara makcik dan pak ciknya pula.

Namun, Edah masih tidak berkira tentang itu semua. Tetapi apa yang dia kesali ialah mereka sedikit pun tidak pernah menghargai apa yang dikorbankannya itu. Dia langsung tidak pernah kenal erti kasih sayang daripada orang-orang yang sepatutnya dia perolehi.

Setahun kemudian, Edah memutuskan untuk lari semula ke kampung semula setelah tidak tahan dengan layanan makciknya di sana. Tetapi perkara tetap juga tidak berubah. Sudah puas dia melarikan diri ke sana ke mari, namun kasih sayang yang diharapkannya tidak pernah ditemuinya. Dia terpaksa reda.

***

“Edah! Edah! Kenapa kau ni lembab sangat ha? Nak angkat barang pun tak larat ke?” jerkah Puan Saadon yang entah bilanya muncul di beranda pintu.

Garangnya seperti seekor singa yang mahu membaham mangsanya. Cuma tinggal lagi dia seorang manusia kerana masih tahu bagaimana hendak mencekak pinggangnya. Edah hanya diam tanpa sepatah kata pun bila lalu di hadapannya; lewat dihujani kata-kata kesat. Tidak cukup dengan itu, dicubit lengannya yang tidak berdosa itu.

“Kau ni memang lembab tau! Kau tahu tak aku nak masak untuk ayah kau yang pemalas tu. Dahlah bodoh. Sekolah tak tinggi. Nasib baik aku masih nak terima kau tau sewaktu kau cabut lari datang ke sini. Kalau tak, tak tahulah apa nasib kau nanti.”

“Aduh! Aduh! Ibu sakit! Sakit!” Edah mengaduh kesakitan bila Puan Saadon masih mencekup kemas cubitannya itu. Bila dilepaskannya, lantas Edah menggosok-gosok bahunya.

“Apa sakit? Sakit? Pergi bawa barang tu ke dapur. Lepas tu sebagai hukuman masak untuk aku dan ayah kau tu. Kau dengan ayah kau tu sama je. Nafsu tinggi sampai kahwin empat. Lepas tu tak tertanggung semuanya.”

Perlahan-lahan air mata Edah mengalir ke pipi serentak ke dapur meletak segala barang-barang pasar di atas meja. Niza yang ada di sebelahnya hanya mentertawakannya. Baginya dia puas menyaksikan adiknya dihina sebegitu rupa.

***

Malam sudah lama larut. Awan-awan kelam membelah bulan mengambang penuh. Sesekali suara burung hantu menjelma. Di dalam bilik, Edah menyapu luka lengannya dengan minyak gamat. Ibu tiri dan akak tirinya sudah lama dibuai lena. Ayahnya pula tidak kunjung pulang kerana bermalam di rumah isterinya yang kedua di Kluang.

“Apalah nasib aku ni. Ke mana lagi aku nak pergi lepas ni? Lebih baik seorang diri daripada hidup terus macam ni,” keluh Edah lalu berbaring di atas katilnya yang empuk.

Tiba-tiba dia bangkit semula. Lantas menuju ke bawah meja soleknya. Bila dijengah ke bawah, dia menarik satu sampul surat yang berisi wang simpanan yang pernah dikumpulnya dahulu sewaktu bekerja di Selangor. Riak wajahnya tampak gembira setelah mengira-ngira wang yang ada di dalamnya. Semua sekali berjumlah RM200. Dan jumlah itu sudah cukup untuk membuatkan dia lari ke Kuala Lumpur esok.

Kali ini dia tidak peduli lagi apa yang bakal ditempuhinya nanti. Yang penting dia sudah nekad dengan keputusannya itu.

Dengan membimbit beg pakaiannya, perlahan-lahan Edah membuka daun pintu, keluar dari rumah itu.

***

Edah tiba termengah-mengah di pondok bas berhampiran di tengah malam. Akibat buntu tidak tahu hendak ke mana, dia mengambil keputusan untuk tidur di bangku di stesen bas itu. Akan tetapi, dia berasa sangat takut berseorangan di situ di tengah malam-malam buta ini. Mana tidaknya, sekali datang orang jahat ataupun peragut ke yang mahu meragutnya, habislah dia. Dia mesti mencari tempat untuk tidur di tempat lain.

Tiba-tiba dia terpandangkan sebuah gerai makan di sebelah pondok bas. Gerai makan itu sudah lama tutup. Fikirnya, boleh juga dia tidur di situ semalaman sementara menunggu untuk menaiki bas ke pekan esok.

Edah menghambat ke sana dengan malas. Dengan menjadikan begnya sebagai bantal, dia pun tertidur di situ.

***

“Dik, dik, dik! Bangun! Kenapa tidur di sini?” kejut seorang lelaki yang tiba di situ. Dia adalah pekerja di gerai makan yang tiba paling awal di situ.

Dalam separuh sedar, Edah membukakan matanya. Dalam keadaan ketakutan, dia nampak sesusuk tubuh seorang lelaki di hadapannya.

“Maaf, ya bang. Sekarang dah pukul berapa?” tanya Edah.

“Pukul tujuh pagi. Kenapa awak tidur di sini? Awak tak ada rumah ke?” tanya pekerja lelaki itu lagi.

“Sebenarnya… semalam saya nak ambil bas pergi ke pekan. Tapi bas dah tak ada. Saya datang dari kampung yang jauh bang, tak ada tempat nak berteduh jadi saya tidurlah kat sini,” bohong Edah sambil mencapai begnya.

“Lebih baik awak pergi dari sini sebelum bos saya datang. Nanti kalau bos saya nampak awak tidur kat sini, habis saya yang kena marah nanti,” ujarnya lagi.

“Erm, baiklah. Maaf ya sekali lagi bang,” jawab Edah sambil menuju kembali ke pondok bas berhampiran.

***

Sesampai sahaja di pondok bas, sebuah bas pun sudah tiba di situ tanpa dia perlu menunggu lama. Sesudah membayar tambang bas, dia pun masuk ke dalam. Mengambil duduk di sebelah makcik tua. Walaupun banyak tempat duduk sudah penuh, namun Edah bernasib baik kerana masih terdapat dua tiga tempat duduk yang kosong.

“Adik nak pergi mana?” tanya makcik tua di sebelahnya.

“Nak pergi KL,” jawab Edah pendek.

“Nak pergi KL buat apa?” tanya makcik itu memanjangkan perbualan.

“Nak cari kerja kat KL. Kata orang kerja kat sana lumayan,” jawab Edah mencari alasan. Dan alasan itu berjaya menyembunyikan rahsia sebenarnya. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu rahsianya terbongkar. Kalau terbongkar nanti, habislah rancangan asalnya itu gagal.

“Oh, nak cari kerja di KL. Tapi adik pun hati-hati juga tau bila sampai kat KL tu. KL tu bandar besar. Lebih-lebih lagi adik pun perempuan sorang-sorang. Kena jaga diri baik-baik tau,” pesan makcik tua itu lagi. Edah tidak mampu berkata-kata apa lagi. Dia hanya mampu menguntum senyum.

Walaupun dia langsung tidak mengenali makcik itu, tapi ramahnya seperti telah mengenali Edah sudah lama. Mungkin dia tidak mahu Edah diapa-apakan. Lebih-lebih lagi dia seorang perempuan. Nalurinya sama sahaja seperti seorang ibu tua terhadap anaknya.

Setelah sejam kemudian, bas sudah pun tiba di pekan kecil. Edah terus ke kaunter tiket untuk membeli tiket ke KL. Nasibnya baik kerana bas paling awal bertolak adalah pukul sembilan pagi. Dia lantas membeli tiket tanpa banyak soal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience