Liku-Liku Kehidupan II

Short Story Completed 461

Pagi-pagi lagi mereka berdua sudah terpacak di depan pintu pejabat untuk ditemuduga. Apa tidaknya, hati yang disemat perasaan teruja ditambah pula dengan desakan untuk meneruskan hidup, mereka hanya dapat mengerahkan tangan empat kerat yang ada bagi mencari nafkah hidup di kota yang sungguh mencabar ini.

“Kamu berdua yang call saya semalam, kah?” tanya lelaki Cina berbadan gempal serta bercermin mata.

“Ya, saya,” balas Zan.

“Masuk!” arahnya keras. “Nah, ambil, isikan borang ini dulu. Dah siap nanti baru kasi saya!”

Hamizan mencapai borang yang diserahkan kepadanya. Setelah mereka berdua mengisi borang, dia pun menyerahkan kembali kepada bos Cina itu.

“Bila awak berdua nak mula kerja?” tanyanya lagi.

“Kalau boleh secepat mungkin. Tapi sebelum tu boleh kami tahu kerja apa ya?” soal Hamizan, terpinga-pinga.

“Alah, kamu jangan risaulah. Kerja bagus di Singapura. Semua diuruskan. Pasport, makan dan minum serta tempat tinggal kami akan uruskan. Kamu berdua jangan risau. Tapi untuk tiga bulan kami akan potong separuh gaji kamu untuk bayar kos ejen serta permit kerja kepada syarikat kami,” terang bos Cina itu.

Mereka mengangguk, terus sahaja bersetuju dengan tawaran itu.

*****

Setelah urusan permit kerja serta pasport telah diuruskan, mereka disuruh menunggu di hadapan Merlin Tower bagi menunggu seseorang untuk membawa mereka serta kumpulan lain masuk ke Republik itu. Pada mulanya Hamizan dan Esah agak takut dan bimbang kerana inilah kali pertama mereka bekerja di Singapura. Namun, membayangkan habuan yang mereka akan terima, mereka tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran lelaki Cina itu.

Bersama-sama beberapa orang lain di situ, Hamizan memberanikan dirinya untuk berbual-bual dengan salah seorang lelaki yang turut sama menunggu bersama mereka.

“Maaf ya, tumpang tanya. Encik pun kerja di Singapura juga ke?” tanya Hamizan tanpa berbasa-basi.

“Ya. Encik pula dari mana? Dari sebuah syarikat ejen yang sama ke?” soalnya kembali, memanjangkan perbualan.

“Saya dan isteri saya dari Kluang. Hah, ejen? Maksud encik?” Dahi Hamizan berkerut-kerut, tanda musykil.

“Syarikat tauke Cina tu. Dia ejen, pencari pekerja yang mahu bekerja di Singapura. Encik tak tahukah?” tanya lelaki itu lagi.

“Oh, tak tahu pula saya,” ujar Hamizan.

Tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan hon melengking berkali-kali. Sebuah van putih sampai di hadapan mereka.

“Cepatlah naik!” suruh seorang pemandu lelaki Cina yang menghuni di tempat pemandu. Semua yang ada di situ, tanpa membuang masa, masuk ke dalam perut van.

*****

Setiba di Singapura, mereka telah dibawa ke sebuah gudang. Di dalam gudang itu, terdapat ramai lagi orang yang senasib dengan mereka berdua. Fikir Hamizan, mungkin mereka sama sepertinya yang mahu mencari pekerjaan. Memang benar pun. Tengok sahaja dari segi penampilan pun sudah tahu. Ada yang datang dari jauh dan ada yang sehelai sepinggang sahaja. Mereka dimaklumkan akan ada taklimat ringkas sebelum memulakan kerja. Tapi sebelum itu, mereka hanya diberi makan nasi berlaukkan sardin serta air kosong sahaja.

Kemudian, mereka dibahagi-bahagikan kepada beberapa kumpulan. Yang lelaki dikumpulkan satu kumpulan. Begitu juga dengan perempuan dibahagikan dalam satu kumpulan. Setelah itu, mereka dipecahkan pula kepada kumpulan mengikut usia. Yang lelaki muda dan tua dalam satu kumpulan, manakala perempuan muda dan tua juga dalam satu kumpulan.

“Baik! Kamu, kamu dan kamu. Masuk dalam kumpulan tu. Dan kamu yang baju biru, kamu dan kamu di sana masuk dalam kumpulan sini!” arah bos Cina sambil meneliti nama-nama mereka di dalam senarainya.

Hamizan dan Esah mula kehairanan dengan tindakan majikannya berbuat begitu. Namun, kerana keletihan dan kelaparan, mereka tidak banyak bersuara. Apa yang mereka mahu adalah memulakan pekerjaan baru itu dengan segera.

Selepas itu, barulah majikan mereka menerangkan bahawa pekerja lelaki muda akan bekerja sebagai pembersih di sebuah kandang haiwan, pekerja lelaki tua pula akan bekerja sebagai pencuci di sebuah restoran. Manakala perempuan muda disuruh melakukan kerja-kerja pencuci di sebuah hospital dan yang tuanya akan ditempatkan di sebuah kilang.

Sekali lagi Hamizan terkejut kerana dia terpaksa berpisah dengan Esah. Semua yang lain juga begitu. Terpaksa berpisah dengan isteri masing-masing. Manakala yang bujang pula akan berseorangan. Walaupun cukup berat, namun dia terpaksa akur.

*****

Kini sudah sebulan Hamizan bekerja. Dia yang dikerah bekerja di kandang haiwan terpaksa bergelumang dengan rutin harian yang kotor dan busuk. Tidur pun dia terpaksa berkongsi bilik kecil dengan pekerja-pekerja lelaki lain. Ibarat pekerja asing yang tinggal di rumah kongsi. Serba-serbi kekurangan.

Walaupun baru sebulan bekerja di sini, seperti setahun lamanya Hamizan rasakan. Dia pun tidak tahu apakah yang terjadi dan di manakah Esah berada kini. Kadangkala ada juga dia bertanya dengan majikannya tentang isterinya itu, namun ditengkingnya pula.

Kadangkala ada juga dia terfikir hendak lari daripada majikannya. Akan tetapi dia mempunyai satu masalah. Pasportnya telah ditahan oleh bos Cina lelaki itu. Katanya, jika sudah cukup kontrak setahun baru dia akan serahkan pasport itu kepadanya. Tapi menurut pekerja-pekerja yang senasib dengannya, tidak mungkin bos Cina itu akan menepati janjinya. Ini kerana mereka juga dijanjikan benda sama tapi setelah masuk dua tahun lebih pun majikannya itu masih tidak menyerahkan kembali pasport kepada mereka. Mereka percaya bahawa majikannya itu adalah ejen pencari pekerja asing haram. Sebelum ini pun sudah ramai pekerja yang lari kerana tidak sanggup lagi bekerja di tempat yang mereka anggap seperti neraka itu.

“Lan, betul ke sebelum ni ramai yang dah lari daripada bekerja di sini?” tanya Hamizan dalam nada suara yang agak perlahan.

“Ya, betul. Kami tak tipu. Kami pun tunggu masa je nak lari daripada sini. Kau nak sertai kami kah?” pelawa Azlan sambil mengibas-ngibas mukanya dengan surat khabar.

“Boleh ke? Bila?” tanya Hamizan, separuh teruja.

“Malam ni. Rizal dan Hakimi juga akan sertai kita juga,” ujarnya sambil menoleh kepada kedua-dua rakannya yang sedang berbaring di tilamnya. Hamizan hanya mengangguk tanda setuju.

*****

Malam itu, tepat pada jam dua belas tengah malam, mereka bersiap-siap.

Sebaik mengawasi lampu bilik warden mereka sudah terpadam, mereka pun senyap-senyap menyusup keluar dari bilik. Tiba di pos pengawal, nasib menyebelahi mereka. Apabila melihat guard sudah pun tertidur, mereka lekas-lekas memanjat pagar keluar secara berhati-hati.

Mereka berlari sehinggalah tiba di sebatang jalan gelap. Di hadapan mereka, terdapat sebuah parit besar. Ada sebuah jambatan yang menghubungkan di antara parit besar tersebut. Kedengaran sebuah gerabak tren MRT melintas di depan mereka. Mereka tidak tahu pula bahawa terdapat stesen MRT tidak jauh dari tempat mereka berdiri sekarang ini.

“Sekarang ni macam mana? Ke mana kita pergi?” soal Lan, tercungap-cungap.

“Kita bermalam sahajalah di bawah jambatan itu. Esok kita akan fikir apakah rancangan kita yang seterusnya,” cadang Hakimi sambil mengunjukkan jarinya ke arah bawah jambatan sana.

Tiba di bawah jambatan, mereka terus berehat. Hamizan hanya sekadar selesa bersandar, memikirkan nasib mereka berempat. Banyak perkara bermain-main di kepalanya. Macam mana dia hendak pulang ke Malaysia jika tidak memiliki pasport? Dan di manakah pula dia hendak mencari Esah jika dia sendiri tidak tahu isterinya itu kini berada?

Akan tetapi, tindakannya berjaya lari daripada majikannya adalah merupakan satu jalan keluar baginya. Jelas satu kelegaan yang buat dirinya. Apa yang dia perlu tempuhi sekarang ialah mencari jalan bagaimana hendak masuk ke Malaysia dan mencari isterinya.

Di dalam hati, Hamizan berdoa agar Tuhan permudahkan urusan dan memakbulkan permintaannya. Harap Tuhan akan tunjukkan jalan keluar baginya.

Leka mengelamun, tiba-tiba dirinya dikejutkan oleh seseorang. Pandangan matanya silau kerana diterangi lampu suluh.

“Hey! Hey, sir! What are you doing in here? Why you all sleeping here?” kejut salah seorang polis sambil menghalakan lampu suluhnya tepat ke mata Hamizan.

“Encik, tolong kami!” Dalam keadaan teraba-raba dan silau itu, Hamizan bingkas bangun. Sempat lagi dia tersenyum sebaik melihat wajah-wajah anggota polis itu.

Dia tersenyum kerana gembira. Gembira kerana Tuhan telah makbulkan doanya. Gembira kerana permintaannya ditunaikan. Dan dia tahu jalan hidupnya yang penuh liku itu bakal berakhir selepas ini…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience