Completed
461
“Edah! Edah! Tolong jerangkan air!” jerit Puan Saadon dari biliknya. Suaranya sahaja boleh kedengaran berselang dua tiga rumah jirannya. Kuat dan lantang sekali.
“Edah! Edah! Kau dengar tak cakap aku?” pekiknya lagi. Namun dia berang kerana panggilannya langsung tidak bersahut.
Geram kerana panggilannya tidak berjawab, Puan Saadon lantas menuju ke bilik tidur Edah.
“Edah…” Dia terkejut kerana Edah tidak ada di dalam biliknya.
‘Ke mana pula dia pergi,’ bisik hati Saadon. Kemudian dia pergi pula ke bilik Niza. Dilihatnya, dia masih tidur di atas katilnya.
“Hoi, Niza! Bangun! Kau ada nampak tak Edah?” Punggung Niza dipukulnya sehingga Niza pun terjaga dari tidurnya.
“Nak apa ni, mak?”
“Aku tanya kau. Kau nampak tak Edah? Dia tak ada kat bilik dia.”
“Manalah saya tahu, mak. Saya tak jaga dia pun.”
“Ishh, kau ni dah tengah hari buta pun masih nak tidur lagi. Bangun pergi jerang air,” perintahnya sambil mencubit-cubit peha Niza.
“Mak, sakitlah. Mak nak minum, mak masaklah sendiri air,” balasnya sambil menyelimuti dirinya semula dengan selimut.
“Eh, budak ni. Aku suruh kau jerang air, kau suruh aku pulak balik. Bangun, budak tak guna. Kau malas jangan nak makan ya kalau aku masak karang?” marah Puan Saadon dengan bengis.
***
Di dalam perut bas, Edah hampir tidak sedar bahawa dia telah tertidur hampir dua jam lamanya. Bas yang dinaikinya telah berhenti di sebuah hentian rehat di Machap. Beberapa orang turun dari bas, kemudian barulah dia berkeinginan untuk turut turun sama. Ke tandas tempat yang ditujunya. Mana tidaknya, sudah dua jam lebih terperuk di dalam bas, dia mesti melepaskan hajat dulu sebelum bas sambung bertolak ke KL semula.
Sebaik keluar dari tandas, dia menghambat dirinya ke sebuah van yang saratnya menjual pelbagai makanan. Ramai orang membeli di situ termasuk penumpang daripada bas yang sama. Dia tidak peduli semua itu. Yang penting, perutnya yang berkeroncong perlu diisi segera.
Setelah membeli sebungkus burger dan air kotak, dia mengambil duduk di atas bangku berhampiran. Bersebelahan dengannya adalah seorang lelaki sedang leka menjamah keropok yang dibelinya.
“Cik ni satu bas dengan saya ke?” tanya lelaki itu sambil tersenyum.
“Ya. Abang pun nak pergi KL jugak ke?” Edah memberanikan diri berbual-bual dengan lelaki itu. Fikirnya, tidak ada salahnya beramah mesra dan berkenal-kenalan dengan orang. Mana tahu dia dalam kesusahan, boleh minta pertolongan.
“Ya ke KL. Ada apa awak nak ke KL?” tanya lelaki misteri itu lagi.
“Saya... saya nak cari kerja kat sana. Abang kerja di KL ke?” jawab Edah sambil menjamah burgernya.
“Ya, saya kerja di KL. Buat perniagaan sendiri. Abang balik kampung sekejap kat Pontian. Saja balik jenguk mak dan ayah. Dah lama tak tengok mereka,” balasnya tanpa ditanya.
“Oh, abang sangat bertuah sebab masih ada mak dan ayah. Macam saya ni, mak dan ayah pun dah tak ada. Mereka dah lama meninggal,” jawab Edah dengan perasaan sedih terbuku di hati.
“Maafkan abang. Oh, saya Zulkifli. Panggil saya Zul je. Awak nama apa?” hulurnya tangan untuk bersalam.
“Saya Faridah. Panggil saya Edah saja.” Dia menyambut salaman lelaki itu.
“Nah, ini kad saya. Kalau awak masih tak dapat kerja lagi kat KL tu, jangan segan-silu hubungi saya, ya?” ujar Zul sambil menghulurkan kad perniagaannya. “Eh, bas dah nak geraklah. Jom kita naik. Nanti tertinggal bas karang,” ajaknya lagi. Edah cuma mengangguk dan lantas mengikuti Zul dari belakang.
***
Selepas hampir empat jam, bas akhirnya tiba di Hentian TBS. Hati Edah gembira bukan kepalang. Mana tidaknya, sudah hampir lima tahun lebih dia tidak berkunjung ke KL. Dan sekarang dia sangat gembira dapat menjejaki kaki di tempat tumpah darahnya sendiri walaupun dia tahu kedua-dua ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Apa yang dia perlu hadapi di bandar besar ini ialah terpaksa belajar berdikari bagi menghadapi cabaran yang mungkin terpaksa dia tempuhi nanti.
Dia tidak peduli itu semua. Janji segala keperitan hidup bersama emak dan kakak tirinya sudah berlalu. Walaupun mungkin cukup sukar hidup di KL ini, tapi demi mencari ketenangan hidup dan sesuap nasi dia mesti mencari kerja. Jika tidak bekerja, bagaimana dia mahu hidup di kota ini.
Sebaik turun, dia terus ke pondok telefon awam untuk menghubungi seorang kawannya yang sudah lama dia tidak hubungi. Wati namanya. Entah masih tinggal di situ lagi ataupun sudah berpindah, dia sendiri pun tidak tahu. Tapi dia bertawakal sahaja kepada Tuhan. Agar dipermudahkan segala urusannya di bandar besar ini.
Sebaik dia mendail nombor telefon bimbit Wati, sekali lagi dia hampa. Hampa kerana nombor yang didailnya sudah ditamatkan perkhidmatannya. Ini bermakna Wati sudah tidak menggunakan nombor itu lagi.
Dia kembali buntu. Tidak tahu siapa lagi yang mahu dia hubungi kerana hanya kawannya itu sahaja yang dia kenali di KL ini. Dia pun menuju duduk di sebuah bangku di dalam terminal bas di situ. Dia kagum dengan kecanggihan terminal bas ini yang dianggapnya seperti sebuah terminal lapangan terbang. Siap dengan papan kenyataan perlepasan bas lagi. Sungguh moden dan canggih.
Namun dia tidak boleh berlama-lama di situ. Jika tidak, dia mempunyai masalah untuk bermalam nanti. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Teringatkan Zul. Seorang lelaki baik yang menghulurkan kad perniagaan kepadanya sewaktu di hentian Machap tadi. Apalagi dia mengeluarkan kad perniagaannya itu lalu lekas berlari ke telefon awam berdekatan.
Sebaik mendail nombor yang tertera pada kad itu, satu suara lelaki kedengaran. Suara Zul. Edah mula gembira.
“Hello, siapa tu?” tanya Zul di dalam corong telefon.
“Saya ni Faridah. Dah lupa ke? Abang yang beri kad kepada saya masa di hentian Machap tadi. Ingat tak?”
“Oh, ya ingat. Awak kat mana sekarang?”
“Saya masih di TBS. Boleh kita jumpa sekejap tak? Abang di mana ya sekarang?”
“Saya juga di TBS. Sedang minum di Seven Eleven. Datanglah jumpa saya di sini.”
Tanpa berlengah, Edah terus cepat-cepat pergi ke kedai serbaneka yang dimaksudkan Zul.
Sesampai di sana, mata Edah meliar-liar mencari sesusuk tubuh Zul. Dia menghampiri ke sana sebaik terlihat Zul yang sedang minum di satu pojok meja yang agak terlindung di kedai itu.
“Hai, Zul. Maaf ya bang sebab call awak dalam keadaan terkejut.” Seraya Edah mengambil duduk bertentangan dengan lelaki itu.
“Ya, ada apa awak call saya? Awak nak kerja ke?” tanya Zul tanpa berbasa-basi. Sesekali dia menghirup kopinya yang masih berbaki di dalam cawan kertasnya itu.
“Ya, memang saya nak kerja…”
“Kalau awak berminat nak kerja, awak datanglah temu duga hari Isnin nanti. Hari ini pejabat saya tutup,” terangnya lagi.
“Erm, memang saya nak kerja tapi saya ada masalah sikit bang,” jelas Edah sambil menunduk ke bawah.
“Masalah apa?” Zul semakin hairan.
“Masalah tempat tinggal,” terang Edah sependek mungkin.
“Masalah tempat tinggal? Awak tak ada saudara-mara ataupun kawan ke di KL ni?” soal Zul lagi.
“Saudara-mara tak ada tapi kawan adalah. Tapi kawan saya pulak tak dapat dihubungi. Dia dah tak guna lagi nombornya tu. Saya semakin kebingungan sekarang ni,” jelas Edah tanpa terselindung lagi.
Buat beberapa saat, Zul berfikir. Mengetap-ngetap bibirnya.
“Baiklah, macam ni. Di kilang saya nak pakai operator segera. Tapi untuk temu duga tu hanya boleh buat hari Isnin ni. Tak mengapa, awak boleh tinggal sementara di asrama di kilang saya tu dan hari Isnin awak temu duga dengan saya nanti saya akan terus ambil awak bekerja. Awak setuju?” cadang Zul.
“Baik, saya setuju. Maafkan saya kerana banyak menyusahkan awak,” jawab Edah.
“Tak mengapa,” balas Zul. “Sementara tunggu kawan saya, awak nak minum ke? Tak apa saya belanja,” pelawa Zul lagi sambil menyentuh lembut tangan Edah.
“Boleh juga,” angguk Edah, tersipu-sipu malu. Walaupun berasa agak malu dengan tindakan lelaki itu, namun dia merasakan seperti ada tunas kasih sedang berbunga di dalam hatinya.
Di dalam hatinya, dia bersyukur berpanjangan kerana Tuhan telah meringankan beban yang ada di bahunya. Pertemuan yang tidak disangka-sangka itu sebenarnya ada satu hikmah buat dirinya.
Dia kini sedar, kasih sayang yang dicari selama ini bukan diperoleh daripada ibu dan bapa kandungnya. Mahupun emak dan kakak tirinya. Tapi daripada hamba Allah yang tidak pernah dia kenali. Namun buat masa sekarang, itu sudah cukup baik bagi dirinya.
Share this novel