"Bila kau nak ada anak ni. Dah lima tahun kawin. Satu pun tak lekat! Ke kau ni mandul?!"
Suara itu terlalu bingit dan bergema satu ruang tamu. Ketika itu Puan Khalthom hanya berdua di ruang tamu rumah mertuanya. Penghuni rumah yang lain tiada. Puan Khalthom datang ke rumah mertuanya kerana ingin ziarah kedua orang tua itu. Jarak rumahnya dengan rumah mertuanya tidak berapa jauh. Hanya jarak beberapa taman sahaja.
Kalau tidak mengenang status diri, pasti orang tua itu sudah makan pelempangnya.
"Belum ada rezeki ma. Bukan kami tak cuba,"
Puan Khalthom membalas dengan penuh berhemah. Ingin menjaga hati orang tua itu.
"Belum ada rezeki. Belum ada rezeki. Orang lain setahun je kawin dah mengandung. Kau ni, bukan kata setahun...lima tahun. Keturunan aku tak ada yang lambat dapat anak macam kau ni. Memalukan keturunan aku je lah,"
Kata-kata ibu mertua Puan Khalthom benar-benar merobek setiap inci hatinya. Siapa dia untuk merubah takdir. Mungkin ada hikmah.
Siapa tak kenal dengan Mak Esah. Satu taman kenal dengan mulut celuparnya. Ada sahaja kata-kata makian atau sindiran keluar dari mulutnya jika ada sesuatu perkara yang dia tidak suka. Beberapa kali juga Mak Esah bergaduh dengan jiran-jiran kerana hal-hal kecil.
Kalau tidak kenang di mana dirinya berada, lama sudah air matanya gugur. Dia sekuat hati bertahan menahan segala apa juga yang bakal keluar dari mulut orang tua itu. Huh! Hati, tabahlah. Sabarlah.
Pada awal perkahwinan dulu, dia tidak di layan seperti ini. Malah sewaktu dia sedang hangat bercinta dengan suaminya dulu, iaitu anak teruna Mak Esah, orang tua itu elok sahaja melayan dirinya. Malah dirinya juga diterima baik akan dirinya.
Flash back!
6 tahun sebelum
"Ma...papa.. Esok Kassim nak kenalkan mama dengan seseorang,"
Encik Kassim waktu itu sudah pun berumur 26 tahun. Dalam usianya begitu, dia sudah pun memiliki rumah dan kereta. Walaupun masih bukan miliknya sepenuhnya kerana masih berhutang dengan bank namun dalam umur yang begini, sudah pasti satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja dirinya malah keluarganya juga.
"Siapa? Perempuan ke lelaki?"
Mak Esah bersuara. Dia bukan tidak tahu anak teruna itu sedang hangat bercinta, namun sengaja ingin melihat reaksi Encik Kassim. Masakan dia tidak tahu, hampir setiap malam anaknya itu bergayut di telefon. Malah kadang-kala waktu anaknya cuti, jarang dia melihat anak terunanya lekat di rumah. Walaupun tidak kerap namun perkara itu tetap diperhatikan.
"Perempuan...,"
Encik Kassim menjawab sepatah. Dia memandang tepat kearah kedua orang tuanya Mak Esah dan Pak Mahmood.
Seperti yang dijanjikan, keesokkannya dia datang bersama Puan Khalthom. Ketika itu Puan Khalthom baru sahaja berumur 20 tahun. Jarak umur tujuh tahun tidak menghalang perasaannya untuk mencintai lelaki itu.
"Assalamualaikum... Pak Cik... Mak Cik,"
Puan Khalthom berkata perlahan sambil menyalami tangan Mak Esah. Dengan Pak Mahmood dia hanya menundukkan sedikit kepala sahaja tanda hormat. Dia tahu batas.
"Waalaikumsalam... Jemput masuk,"
Mak Esah menjawab ramah. Pak Mahmood pula sekadar tersenyum di sisi isterinya. Melihat sahaja penampilan Puan Khalthom, sedikit sebanyak Mak Esah jadi tertarik terhadap anak gadis yang ada di hadapannya.
Jika sebelum ini, ramai juga perempuan yang di bawa balik Encik Kassim untuk diperkenalkan kepada Mak Esah dan Pak Mahmood, namun semua ditolak mentah. Banyak alasan diberikan kepada anaknya itu. Ada yang terlalu gemuk. Dikatanya nanti sukar mendapat zuriat. Ada pula yang tubuh terlalu kecil, tidak kena dengan usia. Takut keturunan tidak elok. Dan bermacam-macam lagi alasan supaya Encik Kassim memutuskan hubungan.
Sebagai anak yang taat akan perintah ibu dan ayah, Encik Kassim hanya menurut tanpa banyak bantahan. Tetapi untuk kali ini, banyak kali dia merayu kepada kedua ibu dan bapanya supaya bersetuju dengan pilihannya.
Ya! Pilihan anaknya kali ini benar-benar mencuri tumpuan Mak Esah dah Pak Kassim. Seorang gadis cantik, tinggi lampai, kulit bersih dan boleh dikatakan anak gadis itu sangat cantik rupawan. Badannya juga tidak terlalu kurus dan tidak juga gemuk. Sesedap mata memandang.
"Umur berapa,"
Mak Esah sekadar berbasi-basi. Waktu itu mereka sudah berada di ruang tamu.
"Umur saya dua puluh tahun mak cik. Pak cik,"
Puan Khalthom menjawab ramah dan lemah lembut. Senyuman yang terukir di bibir Mak Esah dan Pak Mahmood dibalas.
"Memang asal orang sini ke?"
"Ya! Mak dan ayah saya asal Melaka, cuma berlainan daerah sahaja,"
"Kerja?"
Mak Esah bertanya lagi. Anak matanya tidak lari dari menatap gadis dihadapannya. Tidak puas rasanya. Patutlah Encik Kassim beria-beria mempertahankan gadis itu supaya dia tidak menolak pilihannya kali ini.
"Tak. Tapi saya menolong ibu dan ayah di kedai. Ayah dan ibu ada kedai runcit dan kedai makan. Jadi jika ada waktu lapang saya datang menolong mereka,"
"Wah! Bagusnya. Berdarah usahawan...,"
Kata-kata Pak Mahmood pula dibalas dengan senyuman sahaja. Sebenarnya hatinya ketika ini penuh dengan debaran. Bukan dia tidak tahu. Encik Kassim pernah memberitahu bagaimana pilihannya semua ditolak mentah oleh keluarga. Jadi dia juga takut dan menanti dengan penuh debaran.
"Makan tengah hari di sini sahaja ye. Nanti kita masak sama-sama,"
Mak Esah memperlawa. Sebenarnya dia ingin menguji tahap kecekapan gadis di hadapannya ini, sama ada pandai tidak ke dapur atau hanya mengharapkan tubuh badan yang menawan sahaja. Tetapi masak nasi pun hangus. Dia tak nak anak lelakinya nanti mati kebuluran pula dek mendapat isteri yang tidak pandai ke dapur.
Dia akui anak teruna tidak cerewet dari segi makanan namun sebagai ibu dan isteri, dia sentiasa menjaga segala apa yang dimakan oleh seisi keluarganya mengikut carta piramid makanan. Dia bukan cerewet cuma ingin memastikan setiap isi rumahnya mendapat nutrisi yang mencukupi dari pemakanan. Tengok sahajalah Pak Mahmood, dalam usia yang awal 40-an masih segak bergaya. Perut juga tidak maju kehadapan seperti sesetengah lelaki yang kebanyakkan sudah memiliki sifat 'roy' setelah berkahwin.
Puan Khalthom akhirnya bersetuju sahaja dengan rancangan orang tua Encik Kassim yang mempelawanya makan di rumah mereka. Dia tahu, sebagai calon yang bakal menjejak kaki menjadi ahli rumah tersebut, dia bakal di beri ujian. Dan sebagai langkah 'menduduki ujian' Puan Khalthom sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental. Segala tunjuk ajar ibu ayahnya dipraktikkan sebaiknya.
Akhirnya tepat pukul lima petang setelah selesai sesi minum petang di rumah keluarga Encik Kassim, Puan Khalthom meminta izin untuk pulang. Seronok pula bila kehadiran dirinya diterima baik oleh keluarga Encik Kassim.
Mengikut perancangan dari keluarga Encik Kassim, lagi dua minggu rombongan dari pihak lelaki akan datang untuk merisik. Puan Khalthom ketika itu, bukan kepalang perasaannya. Gembira, sedih, suka dan pelbagai rasa menyatu. Dia benar-benar tidak sangka yang dirinya akan diterima baik sebegitu rupa.
Flash back End!
"Oiiii! Aku cakap dari tadi kau tak dengar ye? Menung je lah keje kau,"
Sekali lagi terdengar suara nyaring orang tua itu. Jika sebelum ini, lima tahun lepas... kehadiran Puan Khalthom dicanang-canang seluruh kampung kerana bakal menantunya sangat cantik dan rupawan, namun setelah hampir lima tahun perkahwinan anak terunanya dengan wanita tersebut tidak memberinya cucu, dirinya pula sentiasa disindir oleh jiran-jiran dan teman rapatnya. Ini membuatkan perasaan sakit hati terhadap menantunya yanth seorang itu bercambah dari masa ke semasa.
Mungkin jika awal perkahwinan anaknya dahulu, dia masih mampu bertahan. Tetapi sekarang sudah menginjak ke lima tahun usia perkahwinan mereka, takkan dia hanya duduk diam sahaja.
Walaupun ini adalah kifarah seperti yang dikatakan teman-teman baiknya kerana mereka kenal dengan mulut Mak Esah yang tidak sudah-sudah menceritakan hal buruk orang-orang sekeliling, namun Mak Esah tetap menafikan.
"Keturunan aku semua sempurna. Tak ada yang ada masalah. Ni mesti keturunan dia yang ada masalah,"
Begitulah dia setiap kali teman-teman menasihatinya. Pak Mahmood juga tidak tahu mahu berkata apa lagi dengan sikap isterinya yang tidak habis-habis mahu mencari salah menantunya yang sorang itu. Mereka bukan ada anak lelaki yang lain. Hasil perkahwinan, mereka hanya dikurniakan dua cahaya mata sahaja. Encik Kassim dan anak perempuannya, Kamariah.
"Mama nak minum? Saya buatkan air,"
"Ermmm. Bagus juga tu. Aku pun dah haus ni. Kering tekak aku asyik bercakap dengan kau dari tadi,"
Mak Esah menjeling tajam menantunya. Puan Khalthom bangkit dan terus sahaja ke dapur rumah mertuanya. Dia sudah biasa. Lima tahun menjadi menantu di dalam rumah itu, dia sudah mahir dengan susun atur dapur itu. Kuih koci dan karipap yang di bawa bersama tadi turut di hidangkan. Dia tahu mertuanya suka kedua-dua kuih tersebut dan dengan senang hati dia membuat kuih-muih tersebut sendiri. Mungkin dengan air tangannya, sejuk sedikit hati orang tua itu. Setelah selesai membuat kopi panas, dia mengangkat dulang yang sudah lengkap dengan hidangan itu keluar menuju ke ruang tamu.
"Eh! Papa... Bila balik,"
Dia menegur ramah bapa mertuanya. Tadi tidak pula nampak kehadiran orang tua itu. Keretanya juga tiada di parking.
"Baru je. Kamu dah lama sampai?"
Pak Mahmood sekadar berbasi-basi dengan menantunya. Sesekali dia menjeling wajah isterinya di sebelah. Melihat cemberut di wajah isterinya, dia tahu pasti wanita itu baru sahaja melepaskan geram pada menantunya yang sorang itu.
"Wah! Ada kuih koci dan karipap. Kegemaran mama kamu ni,"
Dia sengaja mahu menceriakan suasana atau lebih tepat ingin mengambil hati menantunya. Pasti menantunya itu sedang kesedihan kerana melihat raut wajah itu dia tahu, menantunya pasti sedang menahan rasa.
"Aah... Pa..ma.. saya buat tadi. Rasalah,"
Puan Khalthom menuang air untuk ibu dan bapa mertuanya. Walaupun hatinya sedih pilu dan menahan pelbagai rasa, namun apabila melihat ibu dan bapa mertuanya menjamah makanan yang dihidang, sedikit sebanyak terubat juga luka di hatinya.
"Ermmmm... Air tangan kamu ni, dari dulu memang sama. Tak berubah. Jangan kamu tak tahu, papa... Sejak rasa air tangan kamu mula-mula dahulu, kuih koci dan karipap ni dah jadi makanan kegemaran papa juga tau,"
Sambil tersengeh-sengeh dia berkata-kata. Mulut yang sedikit penuh dengan karipap tidak dipedulikan. Mak Esah hanya diam di sisi suaminya. Dia memang akui kehebatan Puan Khaltom dalam menyediakan kuih-kuih tradisional. Dia pun tak sehebat itu. Memasak juga bukan kepakarannya satu ketika dahulu. Namun demi menjaga perut seisi keluarganya, perlahan-lahan dia belajar. Namun entah kenapa sejak dahulu, kuih-muih tradisional dari dulu memang dia sentiasa gagal membuatnya.
"Kassim tak balyok lagi?"
Dia melihat jam di dinding. Sudah hampir pukul lima petang.
"Belum pa. Biasa pukul 6.30 petang baru dia sampai rumah. Tapi tadi saya dah beritahu dia nak ke mari. Mungkin sekejap lagi dia terus ke sini,"
Dia menjeling juga ibu mertuanya. Dia perasan. Sejak dahulu, jika ada bapa mertuanya, ibu mertuanya jarang berbual. Hanya sesekali sahaja terdengar suara wanita itu. Mungkin dia menghormati suaminya. Entah! Puan Khalthom pun kurang pasti.
Tepat pukul 6.30 petang tersengar bunyi enjin kereta di hadapan rumah mertuanya. Puan Khalthom sudah menguntum senyuman. Pasti itu suaminya yang baru pulang dari tempat kerja.
"Assalamualaikum....,"
Suara garau yang cukup di kenali tiba di hadapan pintu utama. Pantas sahaja kaki Puan Khalthom melangkah mendapatkan suaminya.
"Waalaikumsalam,"
Dia menjawab lembut salam suaminya. Kemudian dicium tangan suaminya. Dia menghadiahkan senyuman buat suami tersayang. Seperti biasa, pipi dan dahi isterinya di cium lembut oleh Encik Kassim.
"Sayang okey tak?"
Dia berbisik lembut. Melihat wajah suram isterinya, dia sudah tahu apa yang berlaku. Mesti ada lagi kata-kata kesat yang keluar dari mulut mamanya.
"Okey. Jom masuk. Mama dengan papa dah lama tunggu abang,"
Puan Khalthom menarik lembut tangan suaminya. Encik Kassim hanya mengikut sahaja rentak isterinya.
"Ma...pa...,"
Encik Kassim mendapatkan kedua orang tuanya yang masih duduk di sofa. Kedua tangan mereka di salam dan di kucup lembut. Kemudian dia mengambil tempat duduk di sisi isterinya. Pinggang isterinya di peluk lembut.
Dia tahu segala tindakannya diperhatikan Mamanya, Mak Esah dari hujung anak mata. Namun dia hanya membiarkan sahaja.
"Sayang ke yang buat kuih-kuih ni?"
Puan Khalthom hanya mengangguk. Secawan air dan sepiring kuih di hulur ke arah suaminya. Encik Kassim mengambil tanpa banyak bantahan.
"Ermmm... Sedap. Sama macam biasa,"
"Itulah. Papa pun cakap benda yang sama. Air tangan isteri kamu ni tak tekalahkan lagi,"
Pak Mahmood mula memujinya sekali lagi. Semakin erat pula terasa pinggangnya dipeluk suami. Mungkin merasa bangga isterinya dipuji begitu.
"Ermm... Memang pandai masak... Tapi anak? Sampai sekarang macam tak ada tanda-tanda lagi,"
Mak Esah sudah panas punggung. Sedari tadi, menantunya asyik sahaja menerima pujian.
"Sudah-sudahlah kamu ni. Jangan persoalkan kerja Tuhan,"
Pak Mahmood akhirnya bersuara. Dia sudah lali dengan perangai isterinya itu.
"Dah lima tahun abang. Budak berdua ni, masih macam ni lagi. Kawan-kawan saya, ramai dah ada cucu dalam dua tiga orang. Anak kita? Nak dapat sorang pun payah,"
Puan Khalthom memegang kejap peha pejal suaminya. Sebetulnya dia tidak sanggup mendengar kata-kata keji mertuanya lagi. Cukuplah. Biarlah hanya dia sahaja menelan semua.
"Biarlah sepuluh tahun sekalipun. Awak siapa nak persoalkan kerja Tuhan Esah! Dah berapa kali abang nasihat kamu ni. Urusan anak menantu kamu jangan masuk campur. Ni kamu masih lagi degil! Pedulikan kawan-kawan kamu tu. Itu dah rezeki mereka dapat cucu awal,"
"Abang ni. Apa saya cakap semua tak betulkan. Ada je nak pertikaikan. Huh!"
Mak Esah menjeling ke arah Puan Khalthom. Apa entah yang di pakai perempuan ni, sampai semua orang back-up dirinya.
"Benda salah. Abang tegurlah. Lagi pun cuba kamu tengok Kassim ni. Elok je dengan Khalthom ni. Sayang-sayang. Bahagia. Memanglah anak tu pembawa rezeki. Tapi isteri pun rezeki juga. Kalau mereka sabar, ada nanti tu Allah beri. Awak jangan tanya-tanya lagi. Saya tak suka. Jangan sebab mulut kamu, rumah tangga anak jadi kukar-kacir. Awak kena ingat juga. Kita dulu nak dapatkan Kassim pun makan tahun juga. Mak dan ayah kamu tak ada pun bising-bisingkan?"
Berdas-das semburan di lemparkan ke arah Mak Esah. Sesekali Mak Esah perlu juga ditegur kerana makin lama makin menjadi-jadi perangai isterinya itu.
"Ishhh! Malaslah cakap dengan abang ni,"
Mak Esah akhirnya bangkit. Meninggalkan semua yang ada di ruang tamu.
"Merajuklah tu,"
Dihujung kata-katanya ada tawa yang sengaja di simpan.
"Khalthom dan Kassim jangan terasa hati dengan kata-kata mama tu ye. Biasalah bila dah berkawan dengan orang-orang radio karat, sikit sebanyak terpalit juga karat tu kat diri sendiri,"
Dia berjeda. Mengambil nafas.
"Pasal mama kamu tu, kamu jangan risau. Nanti eloklah tu,"
Pak Mahmood memang jarang bersuara. Tetapi bila dia mula memulakan madahnya, tidak seorang pun berani menentang. Puan Khalthom menarik nafas lega. Terasa dunia yang sempit tadi kini kembali ceria. Dia menggenggam jari-jemari suaminya. Jauh di sudut hati, dia memang ingin menghadiahkan zuriat buat suaminya. Namun sehingga sekarang masih tiada tanda-tanda dia hamil.
enjoy tak??? apa macam .. ada yg hati tisu tak??
Share this novel