Rate

BUNGA

Horror & Thriller Series 353

(Di sebuah rumah banglo)

Tubuh yang kehilangan nyawa diseret perlahan-lahan dari muka pintu hingga ke ruang tamu. Darah yang mengalir dari luka tetakan dibiarkan menjadi corak di keseluruhan lantai. Kedua-dua kaki mangsa diangkat tinggi dan ditarik. Satu walkie tertinggal di belakang di saat mereka melepasi tangga.

"Nombor satu dah tidur. Nombor dua dah tidur. Nombor tiga pura-pura tidur. Ha! Ha! Ha!"

Suara garau seorang lelaki dengan bunyi seretan besi di dalam rumah banglo lama itu menyeramkan sesiapa yang mendengar.

(Di sebuah kolej)

Kaki melangkah laju sambil tangan kemas memegang buku. Dilihat jam di pergelangan. Tepat jam 1 pagi. Hatinya berdebar-debar apabila memikirkan cerita yang dihebohkan oleh kebanyakan pelajar senior di situ. Mengenai hantu perempuan yang berkeliaran di sekitar kolej pada waktu malam.

Kunci dimasukkan ke dalam mulut tombol besi dan cuba dipulas beberapa kali tetapi masih tidak berjaya dibuka.

"Apahal pintu ni? Takkan dah rosak kot. Baru tukar je."

Remaja lelaki itu mula mengelabah. Peluh dingin dilap cepat menggunakan lengan baju.

Bunyi derapan kaki seseorang kedengaran dari jauh. Suara seorang wanita yang sedang menangis sayup-sayup kedengaran.

"Masa ni pula dia nak keluar. Tunggulah aku masuk dalam dulu. Joey! Buka pintu! Joey! Ini Harislah!"

Panggil Haris sambil mengetuk pintu yang agak jauh kerana disekat oleh pagar besi. Cuba ditelefon kawan baiknya itu namun gagal.

Suara menangis semakin dekat dan sayu. Angin pagi menghembus kuat di saat keadaan menjadi sunyi secara tiba-tiba.

"Mana Joey ni? Cepatlah angkat fon!"

Tangan kiri Haris menekan-nekan skrin telefon. Tangan kanan pula memulas kunci di pagar besi. Peluh menitik di pipi. Terbayang wajah hantu yang pernah ditontonnya di dalam filem.

Satu hembusan nafas di telinga membuatkan Haris terdiam. Ditelan air liur. Badan mula menggigil. Hembusan demi hembusan dihela kearah belakang kepala dan telinga Haris beberapa kali.

"Jangan kacau aku. Aku tak kacau kau kan! Kau tolonglah jangan kacau aku! Pintu s**l ni pun! Bukalah!" Haris mengoncang pagar besi sekuat hati.

"Hoi! Kau buat apa ni?"

"Argh!!! Jangan kacau aku! Jangan kacau aku!"

Haris menutup wajah selepas berpaling ke hadapan. Kedua-dua tangan menutup wajahnya.

"Hoi penakut! Ini akulah Joey! Yang kau tak masuk rumah kenapa? Dahlah tinggalkan aku seorang diri selama sebulan. Sekarang dah taknak masuk rumah sendiri. Kalau dah rindu sangat kat kampung tu, baik tak payah balik!" Marah Joey selepas membuka pagar besi dan pintu masuk.

"Joey... Aku ingat siapa tadi."

Haris menarik nafas lega. Dia mengikut Joey dari belakang dan terus menutup pintu pagar.

"Kenapa kau balik lewat malam Haris? Nak kata kau naik bas, kau naik kereta. Takkan jem kot. Bukan hari perayaan." Joey membuka sweater birunya dan meletakkannya di sofa.

"Aku ada hal tadi. Jadi, aku selesaikan hal aku sebelum bertolak ke sini. Mak aku suruh aku hadiri majlis tahlil sepupu aku kat Pendang petang tadi. Alang-alang aku nak datang KL, aku singgah sana dulu. Borak punya borak, tak sedar dah malam. Aku redah je datang sini sebab esok kan ada kelas pagi." Cerita Haris serba sedikit.

"Yelah. Suka hati kaulah Haris oi!" Joey masuk ke dalam biliknya.

Haris masuk ke bilik bujangnya dan menghempaskan badan ke atas katil empuk miliknya.

"Sedapnya dapat tidur dengan lena malam ni. Sakit habis badan bawa kereta. Tapi.. Kena mandi dulu.. Kena mandi... Dulu.." Haris terlena dengan badan tertiarap. Rohnya sudah terbang jauh.

******************

Udara disedut perlahan dengan nafas yang tersekat-sekat. Habuk berterbangan tatkala hembusan dilepaskan. Mata dibuka. Tangan digerakkan. Haris yang tertiarap cuba melihat keadaan sekeliling yang agak gelap.

Dia menegakkan kedua-dua tangan dan cuba bangun. Badan yang di lumuri darah dari luka tetakan di bahu menyukarkan tangan kanannya untuk menjadi penguat.

Mata melilau di sekitar ruang tamu banglo tinggal itu. Ingatan cuba dicari apabila memori hilang entah kemana. Luka dikepala dan pipi dibiarkan terbuka. Kesakitan yang dirasai di seluruh badan membantutkan pergerakan Haris.

"Dimana aku ni?" minda menerawang jauh. Apabila memori kembali sedikit demi sedikit, mata Haris membulat.

"Joey! Joey! Mana kau Joey?" Haris memanggil nama kawan baiknya. Keadaan ruang tamu di banglo lama itu bergema dengan teriakan Haris. Bunyi cengkerik di luar menyahut teriakannya.

"Satu dah tidur. Dua dah tidur. Tiga pura-pura tidur!"

Hilaian ketawa garau memekakkan telinga namun bayang empunya suara tidak kelihatan. Haris berundur dan mula berlari. Melihat sekeliling jika ada jalan keluar. Haris terlihat satu pintu kecil di hujung ruang tamu. Meluru dia ke sana dan berharap mimpi ngeri ini berlalu di saat pintu terbuka. Dengan sekali tendang, pintu terbuka luas.

"Alhamdulillah!"

Haris mula berlari tetapi terhenti di saat rambutnya yang agak panjang ditarik kasar dari belakang. Terhentak dia ke lantai.

"Mana kau nak pergi? Kau kan kawan aku. Kau kena main-main dengan aku. Kau dah janji tak akan tinggalkan aku sendiri macam dulu kan. Kau kawan sejati aku Haris. Kau dah janji..."

Haris diheret masuk semula ke dalam ruang tamu. Haris cuba meronta untuk melepaskan diri.

"Lepaskan akulah s**l! Sakitlah! Lepaskan aku!"

Haris dapat merasakan sehelai demi sehelai rambutnya terputus. Selepas seketika, dia dibiarkan terbaring di tengah-tengah ruang tamu di banglo mewah itu.

"Kau kena tinggal kat sini dengan aku. Jadi kawan aku! Kalau kau cuba lari lagi, aku bunuh kawan kau. Lepas tu, aku bunuh kau!"

Kapak diletakkan di leher Haris. Haris mendiamkan diri. Dengan minda yang kacau, Haris cuba mengingati apa yang telah berlaku sebelum ini.

(Dua hari sebelumnya)

"Haris, Wong! Aku ada aktiviti baru ni. Korang nak ikut tak?" Ajak Joey teruja. Haris dan Wong, kawan mix mereka memandang ke arah Joey.

"Aktiviti apa? Kau jangan nak buat kerja mengarutlah Joey. Kau kalau buat sesuatu tu, tak pernah fikir baik buruknya. Asal seronok je kau terus setuju! Malaslah aku nak layan kau!" Wong memarahi Joey.

"Ala kau ni! Aku ajak je. Tak payahlah nak membebel. Kalau kau taknak ikut, suka hati kaulah! Haris mesti ikut aku punya! Kan Haris! Jomlah! Kawan-kawan kelab aku ajak pergi siasat rumah lama kat bukit antarabangsa tu. Jomlah." Haris mengeluh berat.

Wong dan Haris sangat mengenali Joey yang terlalu percayakan perkara tahyul dan mistik. Dan dia seringkali membuat sesuatu perkara tanpa kajian terlebih dahulu. Kadang-kadang membahayakan nyawa.

"Aku bukan taknak ikut Joey. Tapi, kau tahu kan. Kita dah dekat exam ni. Ujian semester pertengahan dah nak mula. Kau dah cerdik tak apalah tak belajar. Aku ni! Otak tak betul lagi. Aku kena juga ulangkaji. Kau faham kan?" Bantah Haris perlahan.

"Kau dengar tu! Sudahlah tu Joey. Baik kita belajar lagi bagus. Lagipun lusa kita dah cuti semester. Lepas cuti, periksa. Ada masa nak ulangkaji ramai-ramai. Jomlah." Ajak Wong pula. Joey menjeling.

"Dahlah! Korang memang tak suka dengan aku! Korang tak pernah nak cuba sokong dalam minat aku ni! Aku dah jemu dengan perangai korang! Blahlah!"

Joey merentap beg galasnya dan berlalu dari situ. Wong dan Haris hanya menggelengkan kepala.

(Di rumah sewa)

Haris melihat Joey termenung seorang diri ditepi tingkap. Rumah sewa yang ditaja oleh kolej mereka sangat indah kalau dilihat dari tingkat 5 itu.

"Janganlah macam ni Joey. Aku minta maaflah. Oklah! Aku ikut kau pergi buat kerja paranormal kau tu. Tapi aku taknak benda yang berbahaya! Aku nak hidup panjang lagi. Belum kahwin kot."

Wajah Joey mulai ceria. Dia mengambil telefon dan menelefon seseorang. Dengan bahasa cinanya, Joey berborak panjang.

"Geng paranormal kau semuanya chiness ke?" Tanya Haris pelik. Kerana sebelum ini, Joey tidak suka bertutur dalam bahasa ibundanya. Dia lebih kepada bahasa Melayu kerana ibunya berketurunan Melayu.

"Tak adalah. Ketua kelab je cina. Kebanyakan budak kelab orang Melayu. Kau kan tahu Melayu kita ni suka sangat dengan benda mistik. Kadang-kadang terlalu percaya sampai ada yang mengaku boleh nampak hantu. Itu yang kami buat aktiviti ni. Nak buktikan pada semua bahawa hantu adalah tahyul je. Kalau ada pun, jin yang menyerupai hantu untuk takutkan orang. Takpun manusia sendiri yang menjadi hantu."

Panjang lebar keterangan dari Joey. Di wajahnya tergambar keterujaannya dalam alam mistik atau alam ghaib ini.

"Betul kau setuju nak ikut kami pergi ke banglo lama tu? Kau kena siapkan barang-barang untuk kesana tau. Lampu suluh, lighter, lilin, dan adalah dua tiga barang. Nanti aku bagitahu apa yang patut dibawa. Tugas kau bawa makanan dan minuman. Kiranya kau jadi orang belakang tabirlah. Faham?" Joey memberi arahan sambil melihat jadual di dalam telefon pintarnya.

"Faham! Aku tak kisah asalkan aku tak ikut rakam hantu sekali dengan kau." Haris redha dengan rancangan Joey yang dikenali lebih 2 tahun itu.

Selepas dua hari, mereka memulakan cuti semester mereka. Mereka pergi menaiki kereta Haris untuk ke bukit antarabangsa. Haris dan Joey berbual sakan dan gembira dengan aktiviti ini. Haris beberapa kali menelefon Wong untuk menyertai tetapi Wong menolak. Katanya terpaksa balik ke kampung awal. Sempat Haris memberi pesanan supaya tengokkan ibunya kerana mereka satu kampung.

"Tempat yang kau nak pergi tu bahayalah Haris! Banyak kisah ngeri aku dengar dari orang kat sana. Bukan aku nak takutkan kau, tapi aku risaukan keselamatan kau. Baliklah Haris. Tak payah kau ikut cakap si Joey gila tu! Haris, kau tahu tak, ada orang kena bunuh dalam banglo tu bulan lepas. Tapi pembunuh masih tak ditahan. Mayat mangsa bunuh pun hilang. Hanya darah yang ada sahaja menjadi bukti polis. Jangan buat kerja gila Haris. Kau kawan baik aku!" Wong semakin mendesak. Haris serba-salah.

"Aku dah janji Wong. Mana boleh aku mungkir janji. Malam ni je Wong. Lepas ni aku tak akan ikut Joey lagi. Malam ni je! Please..." Rayu Haris. Terdengar keluhan berat

"Okay fine! Kalau ada apa-apa, call aku. Takpun mesej. Bye!" Wong mematikan perbualan.

Haris menggaru kepalanya yang tidak gatal. Direnung ke luar tingkap. Bulan mengambang menyinar terang.

(Di banglo lama)

"Okay guys! The clock already 12 midnight. I want to say welcome to the new staff here in our paranormal club. And i hope you guys will listen what i'm going to say after we start our activity and until we finish. The main team and the support team will enter this haunted house and the remaining team will stay here in case something bad happen to us. Please be more alert okay. We're not alone here. We start our searching now! Go!"

Ketua kelab masuk ke dalam banglo lama sambil ditemani oleh 5 orang ahli kumpulan termasuk Joey.

"Ini walkie kau. Kalau ada apa-apa masalah, aku panggil kau tau. Kau dengan budak dua orang ni tunggu sini sampai kami siap teroka banglo ni. Faham? Aku masuk dulu." Joey memberi alat komunikasi kepada Haris. Haris hanya mengangguk.

Debaran di hati semakin kuat apabila bulan diselubungi awan. Keadaan menjadi gelap serta-merta. Haris masih menunggu di dalam kereta bersama dua lagi rakan kelabnya. Van kelab paranormal kelihatan di depan kereta Haris. Jam menunjukkan pukul 2 pagi.

Tiba-tiba, van di hadapan Haris bergerak-gerak. Seolah-olah ada seseorang sedang menggoncangnya dari dalam.

"Apa tu? Siapa ada dalam van? Bukan ke kita tiga orang je kat sini?" Salah seorang dari mereka bersuara.

"Diam! Jangan tegur!" Marah Haris. Mereka mendiamkan diri.

Dari jauh Haris menyedari seseorang atau sesuatu sedang merenung mereka dari atas banglo lama. Haris mengelak dari melihat. Dia beristighfar di dalam hati.

Pintu kereta dikunci dari dalam. Haris yang ada di sebelah pemandu hanya menundukkan kepala. Masing-masing menggeletar. Bunyi suara anjing bersahut-sahutan di sekeliling mereka. Bulu roma menegak. Aircond di dalam kereta semakin sejuk. Haris dapat merasakan sesuatu sedang menuju kearah mereka. Mereka masih diam.

"Masuk charlie! Masuk charlie!"

"Argh!!!" Mereka menjerit serentak di saat walkie talkie di tangan Haris berbunyi. Haris melempar walkie itu ke arah tingkap kereta.

"Aduh! Terperanjat aku! Yang dikuatkan volume tu kenapa? Dahlah tengah seram. Hampir terkucil aku tau tak?" Remaja di sebelah Haris bersuara tegang.

"Sorrylah. Aku tak perasan bunyi dia kuat." Minta Haris sambil mengambil semula walkie di kakinya.

Di saat dia bangun, satu tubuh berselubung hitam muncul disebelah pemandu. Bulan menyinar semula. Dapat dilihat kapak dihayun tinggi ke atas dan terus ke cermin kereta. Terpacak di leher remaja sebelah Haris. Darah memancut hingga ke wajah Haris.

"Argh!!!" Haris dan seorang lagi remaja berlari keluar dari kereta menuju kearah banglo.

"Haris... Haris.. Tolong aku.."

Haris yang masih memegang walkie di tangan mendengar suara Joey yang sayup-sayup. Haris berpaling ke belakang. Pandangan ngeri dapat dilihat di mana remaja yang mengikuti Haris ditetak di belakang kepala. Haris menaiki tangga hingga ke hadapan rumah banglo.

"Tolong aku Ya Allah! Tolong aku!"

Ketika Haris ingin membuka pintu rumah agam itu, satu hentakan keras hinggap di kepala. Haris tersungkur ke lantai. Sinaran dari kapak yang diangkat tinggi dapat dilihat oleh Haris sebelum dia cuba mengelak tetakan yang hampir mengenai kepalanya. Sisi kepala dan pipinya luka terkena kapak.

Haris menendang penyerangnya dan sepakannya mengena. Penyerangnya terjatuh ke tanah selepas tergolek menuruni tangga batu. Haris bangun secepatnya tanpa melihat kebelakang. Pandangan semakin samar. Satu tetakan di bahu membuatkan Haris terjelepuk ke lantai rumah. Badannya ditindih oleh seseorang.

"Kau takkan dapat lari!"

Satu hentakan sekali lagi menyinggah di belakang kepala Haris. Pandangannya terus gelap.

(Bersambung)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience