Rate

SIAPA

Horror & Thriller Series 353

(Di ruang tamu)

Kelihatan Haris dengan wajah berkerut cuba mengingati apa yang terjadi padanya. Penyerangnya menghayunkan kapak perlahan-lahan.

"Aku nak kau ada di rumah ni. Sentiasa temankan aku. Kau dah lupa janji kau Haris, yang kau akan berkawan dengan aku sampai bila-bila?"

Lelaki itu bersuara dengan membetulkan topeng di muka. Suaranya yang garau sengaja dibuat-buat supaya orang lain tidak mengenali siapa dirinya.

"Kawan? Kau rasa aku nak jadi kawan kau kalau kau buat aku macam ni! Kau bunuh kawan-kawan aku yang lain! Sekarang kau nak bunuh aku pula! Siapa kau yang sebenarnya? Apa yang dah aku buat pada kau!"

Haris yang terduduk di lantai cuba berkomunikasi dengan penyerangnya. Dia berharap dia boleh lengahkan masa untuk melepaskan diri.

"Kau tak akan ingat aku Haris sebab bagi kau, aku bukan kawan kau lagi sebab kau dah ada kawan baru. Kau lupakan aku. Kau ingat lagi tak masa kita kat kampung? Kau dengan aku kawan baik. Sehinggalah..."

                ****************

Haris berjalan mundar-mandir di sekitar perhentian pudu. Di tangannya ada sekeping kertas kecil yang ditulis alamat rumah seseorang. Haris mencari telefon awam di sekitar perhentian. Akhirnya jumpa.

Ditekan nombor yang tertera di kertas tetapi pemilik nombor tidak dapat dihubungi. Haris mencuba berkali-kali masih gagal. Dicuba lagi buat kali yang terakhir. Masih sama. Haris menunggu di tepi stesen kereta sewa sehinggalah petang semakin lewat.

Haris mencari surau atau masjid untuk solat asar. Dia sampai di sebuah surau lama di hujung bandar Pudu. Ramai manusia di sana. Sama sepertinya. Untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Selepas selesai, Haris masih menunggu di dalam surau. Disebabkan penat ketika perjalanan di dalam bas persiaran dari Perlis hingga ke destinasi, Haris terlelap sekejap.

"Adik.. Adik.. Bangun. Dah maghrib ni. Kita solat dulu ya."

Seorang lelaki tua mengejutkan Haris dengan lembut. Haris tersedar.

"Maaf pakcik. Saya tertidur tadi." Ucap Haris malu.

Pakcik itu hanya tersenyum. Haris mengambil wuduk dan sembahyang berjemaah. Selepas selesai, mereka membaca yassin sempena malam Jumaat. Mereka mendengar tazkirah untuk beberapa minit sebelum menyambung solat Isyak.

(Di tepi tangga surau)

"Terima kasih pakcik sebab sudi bagi saya kain pelikat untuk solat dan pinjamkan saya telefon. Saya baru sangat kat sini. Nak pergi rumah bapa saudara tapi dia tak angkat telefon. Saya tak tahu jalan kat sini. Jadi, terpaksalah saya tunggu." Cerita Haris panjang lebar.

"Jadi, anak ni baru sampai di Kuala Lumpur? Dekat sini, anak kena hati-hati. Di sini tak sama macam kat kampung. Banyak buruk dari baik. Kena banyakkan ilmu di dada. Baru selamat dunia dan akhirat. Anak kena belajar hidup berdikari di dunia asing. Supaya hidup anak nanti tak menjadi beban di kemudian hari. Ingat tu." Nasihat pakcik tua dengan rokok daun di tangan.

"Baik pakcik. Saya akan ingat." Sambut Haris sopan.

"Kalau anak tak keberatan, tidurlah rumah pakcik. Tak payahlah tunggu pakcik kamu kat sini. Takut nanti kamu ada masalah lain. Kat surau ni tak ada keselamatan yang ketat. Banyak peragut di sekitar kawasan ni." Ajak pakcik tua lagi.

"Tak apalah pakcik. Saya tidur kat sini je malam ni. Lagipun saya rasa pakcik saya akan datang sini pukul 9 malam nanti. Terima kasih kerana pelawa saya tadi." Ucap Haris sambil tersenyum. Bersyukur ditemukan dengan orang yang baik.

"Kalau macam tu, pakcik balik dululah. Kalau ada apa-apa, bagitahu pakcik. Rumah pakcik tak jauh. Dekat hujung sana je. Assalamualaikum."

"Wa'alaikumussalam pakcik."

Haris yang keseorangan masih menunggu di surau. Jam sudah pukul 10 malam. Haris mula resah. Keadaan sunyi di kawasan surau Agak menyeramkan Haris. Dilegakan hati dengan membaca ayat suci al-quran. Bermohon supaya dilindungi oleh perkara buruk.

Jam berdetik. Waktu berlalu dengan pantas. Haris termenung di tangga surau. Kaki sudah mulai lenguh dan leher berdenyut-denyut.

"Mana pakcik ni? Kata nak datang pukul 9 malam. Ni dah pukul 10 kot. Cepatlah datang."

"Hehehehe!" Gelak tawa seseorang mengejutkan Haris. Serta-merta dia memandang ke kanan. Lampu jalan tiba-tiba mati. Hanya lampu surau yang malap di luar mencerahkan suasana tangga.

"Siapa?" Haris berjaga-jaga. Melilau matanya melihat keadaan sekeliling.

"Hehehehe!" Sekali lagi suara asing itu kedengaran.

Haris naik ke dalam surau dan membuka lampu. Dia duduk di tengah-tengah tiang seri surau. Berdoa semoga tiada apa-apa yang berlaku.

"Awak... Awak buat apa kat sini? Surau ni berhantu tau."

"Siapa?"

"Awak... Awak nak jadi kawan kita tak? Awak... Awak budak baik. Jadi kawan kita nak?"

Suara itu masih dapat didengar dengan jelas. Ianya seakan-akan berada di tepi telinga. Haris memalingkan muka ke belakang. Seorang kanak-kanak perempuan berusia lebih kurang 12 tahun berdiri dengan senyuman di wajah.

"S.. Si.. Siapa kau..?" Haris tergagap-gagap menanyakan soalan.

"Nama saya Bunga Melati. Saya tinggal dekat sini. Nak kawan dengan saya tak?"

Kanak-kanak itu menghulurkan tangan. Haris teragak-agak untuk menyambut.

"Tapi.. Kalau dia hantu atau syaitan, takkan makhluk ni boleh masuk surau? Aku rasa budak ni manusia." Haris bermonolog sendiri. Tangan kanak-kanak itu disambut.

"Apa yang abang buat kat sini? Bahayalah duduk seorang diri. Mak kita selalu marah kita kalau kita duduk sorang-sorang. Mak kita cakap nanti ada benda lain tumpang kita. Abang tak takut ke?" Kanak-kanak perempuan itu petah berkata-kata. Dan tidak menunjukkan rasa takut pada Haris.

"Sebenarnya abang tunggu pakcik abang kat sini. Dia kata kejap lagi dia datang. Adik buat apa kat sini malam-malam? Rumah kat mana? Abang boleh hantarkan nanti."

Haris merasa senang dengan kehadiran Bunga Melati di sampingnya ketika itu. Dapat membuang rasa bosan ketika menunggu. Pelbagai cerita yang mereka kongsikan. Namun dimana tempat tinggal Bunga Melati tidak pernah ditanya oleh Haris.

Hon kereta berbunyi beberapa kali dari luar surau. Haris menjengukkan kepala untuk melihat.

"Pakcik abang dah sampai. Tak sangka lama kita borak ya dik. Dah nak dekat pukul 12 malam. Adik pergilah balik. Nanti mak adik risau. Kang adik kena culik. Siapa yang susah nanti? Mak dengan ayah adik juga. Pergi balik. Seronok borak dengan adik!"

Haris mengemas beg galas yang agak besar muatannya. Haris duduk di tangga surau untuk memakai kasut. Bunga Melati turun ke bawah. Baju kurung berbunga melati kelihatan comel bila dipakai oleh kanak-kanak seusianya. Rambut yang diikat tocang dibiarkan senget. Kakinya tidak memakai sebarang alas. Dibiarkan berkaki ayam.

"Itu pakcik abang ke? Adik nak jumpa dia boleh?" Tanya Bunga Melati sambil tersenyum manis.

"Boleh! Jom abang kenalkan. Boleh abang hantar adik balik rumah."

Haris memegang tangan kanak-kanak itu dan berjalan menuju kearah kereta.

"Haris! Cepat naik! Dah lambat ni! Yang kau tunggu kat surau ni kenapa! Kan pakcik dah cakap tunggu kat stesen bas je. Menyusahkan betullah budak ni." Marah pakcik Haris dengan muka bengis.

"Pakcik Jamal.. Boleh tak tolong hantarkan budak ni balik rumah? Dia sesat." Minta Haris dengan suara perlahan.

"Budak mana pula! Kau ni kan!" Tambah Jamal.

Haris melihat Bunga Melati merenung kearah Jamal. Tiba-tiba, bunga Melati menjerit sekuat hati. Haris menutup kedua-dua telinganya.

(Di tepi tangga surau)
(Realiti)

"Haris! Bangunlah! Haris!"

Haris tersedar dengan muka yang pucat. Matanya merenung Jamal yang tiba di situ.

"Saya kat mana ni?" Haris melihat keadaan sekitar surau. Jamal menggelengkan kepala.

"Takkan kau tak ingat kau kat mana? Efek kemalangan datang balik ke? Kau ingat tak siapa aku ni?"

Haris mengangguk. Dia mencari kelibat Bunga Melati namun tiada.

"Jom balik. Dah jauh malam ni. Bukan ke pakcik dah cakap tunggu kat stesen bas? Kenapa kau tunggu kat surau lama ni? Surau buruk ni bahayalah. Kena ragut baru padan muka."

Jamal mengambil beg galas Haris. Haris yang masih mamai memakai kasutnya. Keadaan agak gelap dengan cahaya lampu jalan sedikit membantu mereka untuk berjalan. Sebaik sahaja Haris memasuki kereta, dia menoleh ke kiri.

Surau yang dilihat meriah dengan manusia sebentar tadi, menjadi sebuah surau yang telah lama ditinggalkan. Suasana gelap dan atap yang roboh menguatkan pandangan Haris mengenai keadaan sebenar surau.

Kepala Haris mulai pening. Dia mengambil sesuatu di dalam beg. Botol ubat yang khas untuk pesakit anemia.

"Pakcik cari kau dua jam tadi. Nasib baik pakcik jumpa. Kalau tak, pakcik dah report polis. Kau tu ada penyakit lupa. Baru sembuh dari kemalangan jalan raya. Kepala kau yang pecah disebabkan kemalangan tu belum sembuh sepenuhnya lagi. Kena hati-hati." Bebel Jamal sambil memandu kereta.

"Maaf pakcik. Saya tak ingat." Balas Haris perlahan.

"Sudahlah tu Haris. Bukan salah kau Firdaus meninggal. Dah ajal dia. Kita tak boleh nak elak. Lagipun kau cedera parah sampai hilang ingatan. Tak payah nak diingatkan lagi peristiwa tu."

Haris terkedu dan mengeluh. Mereka meninggalkan surau lama itu. Sesekali Jamal melihat ke belakang dengan wajah takut. Entah kenapa Haris merasakan sesuatu yang tidak kena. Hatinya kuat berdetak.

(Selepas seminggu)

"Haris, nanti kalau ada apa-apa, telefon pakcik. Kau tu dah jadi tanggungjawab pakcik. Apa-apa yang berlaku baik atau buruk, pakcik orang pertama yang kena tahu. Dengar cakap dekan dan senior kat sini. Kalau rasa sakit kat mana-mana, terus bagitahu pensyarah. Faham?" Arah Jamal sambil memberi beg pakaian kepada Haris.

Haris mendaftar masuk ke universiti pilihannya buat kali pertama. Dia terpaksa tinggal dengan Jamal, adik kepada ibunya untuk sementara waktu sehingga urusan rumah sewa diluluskan.

Selepas bersalaman dengan Jamal, Haris terus ke dewan untuk sesi suai kenal. Haris berkenalan dengan seorang remaja lelaki seusianya iaitu Joey atau nama sebenar Mohd Johari Lee.

Mereka berkawan dari semester satu sehingga semester 8. Mereka juga tinggal di rumah sewa yang sama. Hanya berdua. Wong Yun Fatt iaitu Wong tinggal di luar.

"Haris, hari tu aku ada ternampak satu gambar lama. Rasanya masa kau sekolah rendah kot. Gambar kau dengan seorang budak lelaki. Siapa tu? Kawan kau ke?" Tanya Joey tiba-tiba.

"Gambar? Oh! Gambar yang ada dalam almari aku tu ke? Kalau ikut cakap mak aku, itu gambar aku dengan kawan baik aku. Tapi dia dah meninggal masa kami kemalangan tiga tahun lepas. Aku cedera parah. Dia pula meninggal kat tempat kejadian. Aku koma sebulan. Lepas aku sedar, aku hilang ingatan. Aku lupa pasal dia. Keseluruhannya. Aku betul-betul tak ingat siapa dia dalam hidup aku. Semua yang aku cerita ni, mak aku yang terangkan pada aku. Aku blank!" Cerita Haris serius.

"Jadi, kau tak kenal siapa dia yang sebenarnya? Kesian dia. Dahlah mati dalam kemalangan. Kawan baik pula lupakan dia. Menangis dia dalam kubur tau." sampuk Joey selamba.

"Kau ni! Tak elok cakap macam tu. Dia dah tak ada. Doa yang baik-baik sudahlah." Marah Haris Agak terasa dengan kata-kata Joey.

"Nama dia apa?"

"Kalau tak silap, Mohd Firdaus bin Naim."

Joey mengangguk. Haris pelik dengan pertanyaan Joey yang selama ini tidak pernah ambil tahu mengenai hidupnya.

"Aku rasalah roh dia ada kat sini. Cari kau!"

Haris terdiam. Dia melihat kearah Joey yang masih menonton TV. Haris mengeluh dan masuk semula ke bilik.

(Keesokan harinya)

"Haris! Balik rumah mak nak! Pakcik kau sakit tenat ni. Ada kat kampung. Balik sekarang! Dia asyik panggil nama Haris. Balik ya!"

Panggilan di pagi hari oleh ibunya menghairankan Haris. Tatkala mendengar perkhabaran pakciknya, Jamal yang sakit tenat membuatkan hatinya semakin tidak sedap.

"Aku balik kampung dulu Joey. Kalau kau takut, kau minta tolong Wong temankan kau. Aku mungkin lama kat sana. Kalau ada apa-apa, aku bagitahu kau cepat." Haris memakai kasut dan bertolak pergi.

"Jangan lupa buah tangan dari kampung. Aku tunggu kau." Joey melambai ke arah kawan baiknya.

               *****************

"Aku tunggu kau lama. Aku tak tahu pula kau balik lepas sebulan. Aku sunyi tanpa kau, Haris. Dan sangkaan aku tepat. Kau lupakan aku. Dan kawan baik kau. Sebab kau dah ada kawan baru. Kau mungkir janji Haris. Orang yang mungkir janji ada hukumannya." Lembaga bertopeng itu gelak besar.

"Joey...? Mungkinkah dia Joey? Hanya Dekan, Joey dan Wong saja yang tahu kemana aku pergi selama sebulan tu. Tapi Joey ada dengan aku dari tadi. Tak mungkin dia ialah Joey." Bisik hati Haris.

Haris cuba melarikan diri walaupun kesakitan dapat dirasai hingga ke tulang hitam.

"Kau gila! Psiko!" Haris menuju ke pintu keluar.

Rambutnya sekali lagi ditarik kasar. Lehernya dicengkam dari belakang dan badannya dihempas ke dinding. Haris cuba membetulkan kedudukan dan memusingkan badan. Kaki diterjah ke perut penyerang. Tetapi tiada kesan.

Dua tumbukan hinggap di wajah Haris. Haris tersungkur ke lantai. Mata kapak menghiris daging bahu kirinya. Kedengaran suara hilaian dari lembaga bertopeng itu. Bergema diseluruh ruang bersama jeritan Haris.

(BERSAMBUNG)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience