Rate

DIBUNUH ATAU TERBUNUH

Horror & Thriller Series 353

(Di rumah Haris)

"Haris, mak dengar kamu selalu berjumpa dengan Firdaus. Betul ke?"

Mak kepada Haris menatang dulang yang berisi kopi panas dan biskut lalu meletakkannya di meja makan. Haris yang sedang menonton televisyen menoleh kearah maknya.

"Ye mak. Haris kesian tengok keluarga Firdaus tu. Dahlah ayah dia baru meninggal dunia. Sekarang penduduk kampung sisihkan mereka sebab benda syirik. Kenapa manusia macam tu mak?"

Haris menutup siaran dan duduk di samping maknya di meja makan. Kopi di cawan dihembus perlahan.

"Bukan apa Haris. Kalau ikutkan mak memang tak setuju dengan penduduk kampung ni yang menuduh keluarga Firdaus membela saka. Tapi, sejak kebelakangan ni mak rasa lain macam bila mak jumpa si Firdaus tu. Macam semalam. Mak ada jumpa dia kat kedai. Dia terus jalan lintas mak. Mak panggil dia. Tapi dia tak menyahut. Dia hanya pandang mak lepas tu pergi macam tu je. Mak peliklah Haris. Dan mak rasa bimbang." Cerita mak Haris panjang lebar.

"Bimbang apa mak?"

"Mak bimbang apa yang dikatakan oleh orang kampung betul. Dan mak takut terjadi perkara buruk pada anak mak ni kalau dekat dengan keluarga dia."

Penjelasan dari mak membuatkan Haris berhenti minum. Dia meletakkan semula cawan di piring dan mengeluh.

"Mak, Firdaus budak baik. Kalau ada yang tak kena dengan dia, dia pasti akan bagitahu Haris. Dan Haris pasti Firdaus tak akan apa-apakan Haris. Mak janganlah risau sangat."

Haris bangun dari situ dan menyambung semula menonton televisyen. Maknya hanya mampu berdoa supaya anaknya selamat.

(Selang beberapa bulan)

"Assalamualaiikum! Assalamulaiikum! Kak Syimah! Kak Syimah!"

Dua lelaki muncul di hadapan rumah Haris dengan menaiki motorsikal. Diwajah mereka tergambar keresahan yang teramat.

"Waalaikumussalam. Ya saya! Leman, Harun. Kenapa datang kelam kabut ni? Nak jumpa abang Yusuf ke? Dia tak ada."

Mak kepada Haris, Hasyimah muncul di muka pintu.

"Abang Yusuf tak ada? Ke mana dia kak? Ada benda buruk jadi kak. Abang Yusuf kena tahu sebagai ketua kampung." Jawab Leman panik.

"Abang Yusuf pergi ke Melaka. Ikut Jamal pergi berubat kat sana. Petang sikit dia baliklah. Apa yang jadi? Cuba bagitahu. Sebelum tu, tenangkan diri dulu. Pucat muka kamu berdua." Hasyimah cuba menenangkan anak buah suaminya.

"Teruk kak. Tak pernah jadi benda ni dalam kampung kita kak. Akak tahu tak, isteri dan anak-anak arwah Naim, dah meninggal dunia kat tepi sungai. Kami jumpa mayat mereka terdampar kat situ. Kalau mati lemas, boleh disumbat dek akal kak. Ini badan mereka penuh luka kena cakar. Muka pucat gila. Macam dah tak ada darah langsung. Seram kak!" Bersungguh-sungguh Harun bercerita.

"Astaghfirullahalazim! Betul ke Harun, Leman? Mayat si Firdaus ada sekali ke?" Secepatnya Hasyimah bertanya. Kali ini wajahnya pula bertukar pucat.

"Tak ada kak. Firdaus tak ada. Kami dah cari sampai kerumah dia. Tapi kelibat dia tak nampak. Kami rasa dia dihanyut sungai kak sejak semalam. Kami akan cari dia sepanjang sungai sekejap lagi." Hasyimah terdiam.

Hasyimah terduduk di tangga. Mulutnya terkumat-kamit.

"Ya Allah kak. Kenapa ni?"

"Baru je tadi Firdaus telefon Haris nak jumpa. Haris baru je keluar naik kereta jumpa Firdaus. Kalau Firdaus pun dah meninggal, dengan siapa Haris berbual di telefon? Ya Allah! Tolong cari Haris! Tolonglah!"

Kedua-dua mereka semakin seram. Mereka berlalu dari situ selepas menenangkan Hasyimah.

(Di tepi jalan lama)

"Fir, kau betul ke nak jumpa dengan pakcik aku untuk buang saka kau tu? Aku tak kisah. Lagipun ini saja jalan yang terbaik untuk kau jalani hidup normal macam dulu. Aku anggap kau macam adik beradik aku sendiri. Aku anak tunggal Fir. Jadi, lepas berkawan dengan kau dan kenal dengan keluarga kau buatkan aku rasa seronok. Macam ada keluarga yang besar. Kau jangan buat benda syirik ni lagi Firdaus. Kau kena fikirkan masa depan kau nanti. Jaga keluarga kau. Kau faham kan?"

Haris yang berjumpa dengan Firdaus di satu jalan kampung cuba memujuk Firdaus membuang saka miliknya selepas perangai kawan baiknya berubah mendadak. Menjadi garang, bengis dan suka memukul adik-adiknya. 

"Aku memang nak jumpa dengan kau. Nak bincangkan tentang benda ni. Aku dah penat jaga 'dia'. Dia dah banyak kali kuasai diri aku tanpa aku sedar. Aku takut Haris! Tolong aku Haris. Sebelum benda jadi lagi teruk."

Firdaus merayu dengan air mata berlinang. Entah kenapa Haris merasa kelainan di wajah Firdaus. Wajah yang penuh kekesalan.

"Naik dulu. Kita pergi rumah aku. Ayah aku dengan pakcik Jamal balik petang nanti. Bolehlah kau berbincang dengan pakcik Jamal pasal hal ni."

Firdaus mengelap air mata. Dia menaiki kereta Haris di bahagian penumpang hadapan. Haris memasukkan gear dan berlalu dari jalan sunyi itu. 

Di sekeliling mereka tumbuh lalang yang tinggi dan hutan kecik yang agak berbukit. Haris memandu melalui jalan kecil secara berhati-hati. Sampai sahaja di satu selekoh tajam yang menuruni bukit, seorang kanak-kanak perempuan berbaju kurung bunga besar melintasi kereta Haris.

"Jaga-jaga Haris!!" Firdaus merampas stereng kereta secara tiba-tiba.

Haris hilang kawalan dan melencong ke kiri jalan. Keretanya jatuh ke cerun bukit dan bergolek ke bawah. Nasibnya agak baik apabila keretanya tersangkut di salah satu batang pokok dan berhenti bergerak.

Haris yang separuh sedar dengan kepalanya berdarah meliputi wajah, cuba membuka mata. Pandangan samar menyukarkannya untuk melihat apa yang berlaku. Tali pinggang keledar dibuka. Haris cuba merangkak keluar dari kereta menjauhi kawasan kemalangan.

"Firdaus.. Fir.. Kau kat mana?"

Haris cuba mengesan keberadaan kawannya. Dia merangkak menaiki bukit. Apabila dia menoleh ke kanan, dapat dilihat Firdaus berdiri tidak jauh dari kereta. Haris bangun dan berjalan ke arah kawannya terhuyung-hayang. Tangan kiri yang patah diampuh oleh tangan kanannya.

"Fir.. Kau selamat.." Haris bersyukur kawannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Firdaus tersenyum melihat Haris. Haris membiarkan darah dari kepala menitis hingga ke baju.

Tiba-tiba, satu tangan menarik baju Haris dari belakang. Haris memandang sekilas. Seorang kanak-kanak perempuan merenungnya dengan air mata menitis.

"Abang jangan pergi sana. Duduk sini. Jangan dekat dengan dia."

Dapat didengar suara kanak-kanak itu yang lembut. Haris yang masih separuh sedar melihat semula kearah Firdaus. Namun, Firdaus tiada disitu. Hanya dia sahaja berada di bawah bukit. Kanak-kanak perempuan itu juga ghaib.

"Fir.. Fir...?"

Haris menuju ke kereta yang remuk. Jasad Firdaus terikat di kerusi penumpang. Tetapi keadaan mayat agak teruk. Dengan badan kembung, muka kebiruan dan air kuning mengalir dari mulut dan hidung.

Haris terkejut besar dan tidak menyangka jasad kawannya seperti itu. Dia mengundur ke belakang hingga terhenti di satu pokok.

"Tiada siapa dapat halang aku lagi."

Satu suara yang dalam dan garau bergema di belakang Haris. Haris dapat merasakan jari-jari halus dan berkuku tajam memenuhi lehernya. Kuku-kuku itu seolah-olah menembusi kulit. Dia terjatuh ketika kekuatan untuk berdiri hilang sepenuhnya. Pandangan Haris gelap disaat dia terbaring ditanah yang keras.

"Haris! Haris! Haris!!

(Bersambung)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience