BAB 9

Romance Completed 4756

Sufi sembamkan mukanya ke bantal. Dia rasa semangatnya hari ini betul-betul jatuh merudum!

Pertama sebab hal dengan Zaim tadi. Kedua sebab dia kena tengking dengan Ng sebab dia tak sempatkan siapkan skop kerja yang diminta oleh bosnya itu. Ketiga sebab dia terpaksa stay back sampai pukul 10.00 malam semata-mata nak siapkan kerja yang diminta oleh Ng. Keempat sebab dia dah terlanggar divider dalam perjalanan pulang tadi. Dan yang kelima sebab dia dimarahi oleh abang dek kerana cuai memandu kereta sampaikan terlanggar divider.

Dan sekarang ni dia nak tidur. Dia tak nak fikir apa-apa lagi yang boleh buat dia sedih!

*****************

“Uit, Achik!” Nana mencuit lengan abangnya yang tengah bersandar di sofa.

“Jangan kacau Achik la, adik. Pergi main jauh-jauh.” Dengan mata yang masih terpejam, Zaim ‘menghalau’ adik bongsunya itu.

Nana mencebik. “Orang nak bagi hadiah, dia tak nak.”

“Hadiah apa bendanya?” Zaim bersuara malas.

“Bukak la mata tu. Tengok dulu hadiah ni.”

Malas-malas Zaim membuka mata. Terpaksa melayan karenah si adik seorang ini. Kalau tak dilayan, makin bising nanti si Nana ni. Nana ni memang manja sikit dengan dia. Tapi kalau dengan Liya, lagi la si Nana ni manja. Mungkin sebab perbezaan umur mereka yang tak jauh.

“Taaraaa!!!” Nana menghulurkan satu kotak kecil kek di depannya.

“Kek? Adik, adik tahu kan Achik tak ma…”

“Ya. Adik tahu Achik tak makan benda-benda manis. Tapi try la bukak dulu kotak ni.” Nana dah potong kata-kata abangnya.

Zaim mengeluh. Dia mengambil kotak kek itu dari tangan Nana. Dan dibukanya penutup kotak itu. Sebiji kek kecil terletak elok di dalam kotak itu. Mata Zaim membaca tulisan yang terukir kemas di atas kek itu.

Happy 1st Anniversary, My Fiancee J

Nafas Zaim terasa sesak. Dia membaca pula post-it-note berwarna hijau terang yang terlekat di sebelah dalam kotak itu.

Kek ni tak manis pun. Saya dah kurangkan gula. J

– Sufi –

“Comelnya kek ni! Achik, makan la cepat. Adik pun nak rasa kek ni.” Nana dah mula ‘bising’ di sebelahnya.

“Mana adik dapat kek ni?”

“Kak Sufi la hantar tadi.”

“Bila dia hantar?”

“Masa adik baru balik dari sekolah. Nasib baik adik balik awal tadi. Kalau tak kesian la dia kena tunggu kat tengah-tengah panas.”

Zaim diam sekejap. Tengah hari? Maknanya Sufi datang sini masa lunch break?

“Adik borak apa lagi dengan dia?”

Nana meninjau-ninjau lagi kek di dalam kotak itu. “Tak borak apa-apa pun. Kak Sufi tanya okey ke tak orang belajar. Lepas tu cakap-cakap sikit pasal kerja dia. Kak Sufi kerja setengah hari tadi. Nak buat kek ni la tu agaknya. Bertuahnya Achik!”

Bertuah ke aku?

“Ha. Achik rugi tau! Tadi sebenarnya Kak Sufi nak ajak Achik pergi dinner. Tapi, Achik busy eh?”

Zaim berkerut dahi.

“Kak Sufi kata Achik busy je sejak dua menjak ni. Dia takut kalau Achik kelam kabut nanti.”

Zaim mula termenung panjang.

Maknanya… Sufi tak lupa yang hari ini ulang tahun pertama pertunangan mereka? Maknanya… masa dia bergaduh dengan Sufi petang tadi, tunangnya itu dah hantar dah pun kek ini ke sini? Dan maknanya… Sufi betul-betul hargai pertunangan mereka ini sampaikan Sufi ada niat nak ajak dia dinner bersama-sama? Tapi kenapa gadis itu hanya diam saja bila Zaim bertanya tadi? Langsung tak menjawab. Dan siapa sebenarnya lelaki tadi tu? Betul ke itu sepupu Affiz? Tapi… hadiah tu?

Dia sepatutnya tanya betul-betul pada Sufi tadi!

“Adik, tolong Achik kejap.”

“Tolong apa?”

“Ambikkan phone Achik kat kabinet TV tu.”

“Laa… ingatkan nak suruh adik ambik pinggan dengan garfu tadi.”

Zaim tersengih. Nampak sangat Nana betul-betul nak makan kek ini. “Ha. Ambik tu sekali. Tapi ambikkan phone Achik dulu.”

Dia kena tanya betul-betul pada Sufi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience