BAB 4

Romance Completed 4756

Sufi menatap skrin handphone Sony itu. Lama. Kemudian dia mencari ikon mesej dan jarinya mula bergerak di atas keypad itu. Ramai yang cadangkan pada dia supaya membeli handphone baru. Zaman sekarang ramai yang pakai handphone jenis touch skrin. Tapi dia memang tak kisah pun. Lain orang, lain citarasa kan? Lagipun handphone dia ni masih elok lagi. Buat apa nak buang-buang duit beli benda-benda yang tak perlu kan? Lebih baik dia simpan duit untuk kahwin.

Kahwin?

Sufi mengeluh. Mesej yang dia taip tadi dibaca sekali lalu.

Assalamualaikum. Awak busy ke?

Dia tarik nafas dalam-dalam. Dengan lafaz bismillah, dia tekan butang ‘Send’. Harap-harap Zaim balas. Sufi dah buat keputusan. Kalau Zaim tak balas jugak dalam masa satu jam, dia akan hantar lagi satu mesej pada Zaim. Dan kalau Zaim tak balas jugak, dia akan call Zaim. Muktamad. Sufi sebenarnya memang jarang call Zaim pun. Dia risau kalau-kalau panggilannya akan mengganggu kerja tunangnya itu. Manalah tahu kalau-kalau Zaim sibuk ke masa itu. Sebab itu dia selalunya akan mesej saja.

Tapi sebenarnya, ini la kali pertama dia mesej Zaim sejak sebulan yang lalu.

Ya. Sebulan.

Tak ada sesiapa pun yang tahu yang dia dengan Zaim dah lama tak berhubung. Dia dan Zaim sebenarnya bergaduh. Dan masing-masing terus mendiamkan diri sampai la ke hari ini. Sebab itu Sufi ambil inisiatif untuk memulakan dulu langkah untuk berdamai ini. Lagipun dia bergaduh dengan Zaim dulu pun atas punca dia juga. Mulut dia cabul sangat masa tu.

Kalau macam tu baik kita putus je.

Dan satu ayat itu cukup untuk buat Zaim rasa bengang. Itu la kali pertama Sufi nampak Zaim marah yang teramat sangat. Selepas itu Zaim terus pergi macam itu saja. Dah tak ada sebarang mesej atau panggilan telefon daripada Zaim selepas itu. Sampai la hari ni. Sebab itu dia beranikan diri dia untuk memujuk Zaim.

Tak pernah-pernah dia pujuk lelaki seumur hidup dia. Haih.

Sufi tahu Zaim terasa hati dengan dia. Selama sepuluh bulan mereka bertunang, Zaim yang selalu mengambil inisiatif untuk mengeratkan hubungan mereka berdua. Dia pula langsung tak buat apa-apa. Sekadar ikut saja rentak Zaim. Dan dia dapat agak yang Zaim tahu dia sebenarnya tak dapat menyesuaikan diri dengan hubungan pertunangan ini.

Ya. Sufi bertunang dengan Zaim pun atas cadangan abang. Zaim sebenarnya junior abang masa di UTM dulu. Dan semasa hari raya tahun lepas, abang ada menjemput Zaim untuk beraya di rumah. Selang dua minggu lepas itu, abang ada sampaikan hajat Zaim pada Sufi. Hajat ingin berkenalan dengan lebih rapat. Dan hajat itu terus direalisasikan dengan nama sebuah pertunangan.

Padahal pada masa itu Sufi masih belum pasti dengan isi hatinya sendiri. Teruk kan dia ni? Pentingkan diri sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience