BAB 4

Romance Completed 3755

Perubahan sikap Raiyan mulai disedarinya sejak kebelakangan ini. Apakah lelaki itu merajuk kerana dia telah menolak cinta Raiyan dahulu? Apa yang pasti dia dapat melihat Raiyan mulai agak rapat dengan Jasmin. Walaupun dia tidak kisah malah tidak pernah ambil kisah pun Raiyan hendak berkawan dengan sesiapa pun,tetapi mengapa dirinya diketepikan? Itulah yang dia tidak faham.

Peperiksaan SPM telah pun bermula. Segala masalah antaranya dengan Raiyan diketepikan dahulu demi peperiksaan yang begitu penting sekali baginya. Yang pasti selepas tamat sahaja SPM dia akan berjumpa dengan Raiyan. Dia ingin bertanya mengapa Raiyan kini seolah-olah semakin menjauhkan diri darinya. Adakah dia tersalah cakap sehingga telah membuat lelaki itu tersinggung dengannya?

Sewaktu dia hendak berjalan menuju ke kantin,tiba-tiba sahaja Jasmin menahannya. Gadis itu berdiri betul-betul di tengah laluan koridor itu sehingga menyukarkan perjalanannya. Dia ingin berlalu tetapi tiba-tiba sahaja Jasmin menolaknya. Nyaris dia hendak terjatuh. Dahinya berkerut seribu. Entah kenapa dengan Jasmin yang seolah-olah hendak mencari pasal sahaja dengannya. Geram juga dengan kelakuan gadis itu.

“Hoi perempuan! Kau tak sedar ke yang kau tu miskin hah?!”

“Awak ni kenapa Jasmin tiba-tiba aje nak marah saya tak tentu pasal ni?”

“Sebab kau tu dah rampas Raiyan dari aku. Kau tau tak?!”

“Hei,sejak bila pulak saya rampas Raiyan ni? jangan memandai nak tuduh yang bukan-bukan ye.”

“Eleh,aku memang dah lama tau yang kau sebenarnya ada niat lain kawan dengan Raiyan kan. Kau mintak dia belikan kau macam-macam sebab kau tu kan miskin. Anak nelayan. Takkanlah nak beli VCD sekeping pun tak mampu kot? Agak-agak lah sikit…”

Jantungnya berdegup kencang. Terbeliak matanya tatkala terpandangkan VCD Winter Sonata yang kini berada di tangan Jasmin. Bagaimana pula VCD itu boleh berada di tangan Jasmin? Baru dia teringat yang dia ada menyimpan VCD Winter Sonata itu di dalam beg sekolah sebaik Raiyan memberinya seminggu yang lepas. Dia menyimpan di dalam beg pun kerana tidak mahu adik-adiknya nampak nanti. Bimbang jika dibuat main akan rosak pula.

“Mana…awak dapat VCD tu?”

“Aku selongkar dalam beg kau. Aku jumpa dalam poket beg. Aku tau pun sebab Raiyan yang cerita kat aku. Alang-alang dah dapat ni aku ambil ajelah. Daripada kau simpan baik kasi aje kat aku,huh!”

“Janganlah buat macam tu Jasmin. Raiyan kasi kat saya VCD tu…bagilah balik!”

“Ah,aku peduli apa. Aku takkan kasi kat kau budak miskin!”ejek Jasmin.

Mereka berebut ingin mendapatkan VCD Winter Sonata itu. Sebenarnya Jasmin bukan hendak sangat pun. Anak orang kaya sepertinya sudah tentulah dia mampu membelinya. Hendak beli sepuluh keping VCD pun lebih dari mampu. Tetapi sengaja dia buat begitu. Dia berasa iri hati kerana VCD itu dihadiahkan Raiyan kepada Murshida.

Akhirnya dia berjaya merampas VCD Winter Sonata itu dari tangan Jasmin. Tetapi dengan pantas dan tanpa disedarinya tangan Jasmin menepis kuat tangannya sehingga terpelanting VCD tersebut lalu jatuh ke lantai. Betul-betul di hadapan Raiyan yang kelihatan terkejut sekali menyaksikannya. Dia menjadi serba salah.

“Raiyan…”

Reaksi muka Raiyan sudah berubah. Merah padam muka lelaki itu.

“Kalau betul kau nak buang pun hadiah yang aku kasi,takkanlah kau tergamak campak depan aku Shida? Sampainya hati kau…”sayu Raiyan bersuara.

“Raiyan,nanti dulu. Aku tak maksud pun…”

Tetapi Raiyan terus berlalu dari situ. Tidak langsung memberi peluang untuknya berterus-terang. Lelaki itu telah salah faham. Bukan niatnya hendak membuang hadiah itu. Dia berasa sedih dan kecewa. Hatinya terasa seperti disiat-siat. Jasmin tersenyum sinis dan akhirnya berlalu dari situ meninggalkannya yang kecewa. Kecewa yang teramat sangat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience