BAB 1

Romance Completed 3755

Tiupan bayu Laut China Selatan bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa wajahnya yang putih gebu itu nyata memberi kedamaian yang dicarinya. Indah sungguh panorama malah cuaca petang itu baik sekali. Sedari tadi dia duduk termanggu di tepi pesisiran pantai menyaksikan para nelayan membanting tulang berhempas pulas di lautan tak kurang juga yang baru pulang menjejakkan kaki ke darat bersama hasil rezeki yang diraih. Tinggal beberapa hari saja lagi 2002 akan melabuhkan tabirnya dan ini bermakna tidak lama kemudian akan musim tengkujuh akan beraksi adakalanya mengganas di luar jangkaan. Entah bagaimanalah nashi para nelayan ini kelak agaknya?

Beberapa orang kenalan ayah sesekali menyapanya. Ada juga yang bermurah hati dengan meng’hadiahkan’ ikan hasil tangkapan mereka di laut. Dia manyambutnya sambil mengucapkan terima kasih. Tersenyum suka dia. Malam ini dapatlah dia makan lebih sikit. Eh,tidak boleh…sebab dia perlu berjimat. Ikan-ikan ini dia akan simpan untuk sehari dua ini. Kalau tidak dia harus juga memikirkan emak serta tiga orang lagi adik-adiknya di rumah. Mana boleh ikut sedap perutnya sahaja!

Dari kejauhan ayah melambai ke arahnya. Dia membalas lambaian ayah dan terus berlari-lari anak di atas jeti kayu itu. Terjerit-jerit dia melaung memanggil ayah. Segera dia menghampiri ayah yang sedang menambat tali bot pada sebatang kayu. Ayah mengesat keringat peluh yang menitik jatuh dari dahinya. Dihulurkan hasil tangkapan yang tidak seberapa. Tidak sebanyak yang diimpikan olehnya tadi. Dahinya berkerut seribu. Lama sekali dia merenung wajah ayah.

“Kita bersyukur ajelah apa yang Dia nak bagi untuk hari ni. Esok lusa ayah akan usaha lagi. Kalau ayah mampu sampai ke Lautan Pasifik pun boleh.”

Dia tergelak besar mendengar gurauan ayah. Ada-ada sahaja ayah. Hatinya terhibur sedikit. Angin sekali lagi bertiup dengan sedikit kencang. Sebentar lagi air pasang dan mereka perlu segera pulang memandangkan azan Maghrib akan berkumandang.

“Ayah,kalau nak dekat-dekat musim tengkujuh macam sekarang ni memang susah kan?”

“Apa yang susah?”

“Susah nak dapat ikan banyak-banyak.”

“Oh,itu bergantung pada rezeki lah.”

“Shida pernah tengok dalam satu channel tu nelayan di Amerika sanggup tangkap ketam batu yang hasilnya bila dijual fuhh…boleh kaya tau ayah. Yelah,bukan senang nak tangkap ketam batu. Mereka sanggup meredah lautan dengan ombak besar tu…”

“Tapi ayah tak nak anak ayah ikut jejak ayah sebagai nelayan. Biar ayah sorang aje yang rasa susah.”

Murshida serta-merta terdiam.

“Murshida…lekas balik.”

Dia tersenyum sambil mengangguk. Didongak ke langit merenung awan yang berarak seolah-olah melambai ke arahnya. Ingin mengucapkan selamat tinggal kerana ia akan pergi buat seketika dengan malam pula berganti. Dia mengorak langkah mengekori ayah yang sudah jauh meninggalkannya. Kedengaran sayup-sayup laungan syahdu azan Maghrib dari masjid berhampiran. Langkahnya makin pantas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience