BAB 3

Romance Completed 9674

Terkocoh-kocoh dia berlari menuju ke arah dewan kuliah. Terbangun lambat hari ni! Hujan pulak pagi ni mana dia tak hanyut dalam keempukan tilam dan kehangatan selimut. Entah macam mana lepas Subuh dia boleh terlelap. Kasut yang dipakainya kotor sedikit. Terkena tanah yang basah akibat hujan. Gasaklah!

“Ehem. Laju jalan.” Suara entah turun dari planet mana menyapanya.

Awim meliarkan matanya ke arah sekelilingnya. Mencari gerangan manusia yang menegurnya. Itu dia! Muslim dengan berbaju melayu hitam lengkap bersampin songket emas. Amboi! Nak pergi nikah ke pergi solat Jumaat ni? Tapi. Tapi. Kacak gila nak mati!

“Lambat. Kelas pukul 9 pagi.” Awim membalas dengan suaranya termengah-mengah kepenatan.

“Oh. Lepak laa baru pukul 8.40 pagi.” Muslim membalas sambil menunjukkan jam ditangannya.

“Lecturer tu kalau datang Angin Timur Laut, belum pukul 9 dia dah sampai.” Awim sudah tak tentu arah. Mana nak layan soalan Muslim, mana nak mengejar masa lagi.

“Oh okay. Sorry. Ehem by the way ni untuk saudari Awim.” Muslim menghulurkan satu sampan kertas kecil berwarna striking pink.

“Untuk?” Awim terpinga-pinga.

Apa kes bagi aku sampan kertas? Nak suruh aku dayung sampan pergi kelas dalam cuaca hujan ni ke? Atauuuu dia suruh aku naik sampan so tak payah susahkan diri tunggu bas? Awim membuat kesimpulan yang entah apa-apa.

“Untuk awak tengok dan baca. Eh kata nak cepat tadi.” Muslim mengingatkan Awim yang sudah terlambat untuk ke kelas.

“Oh okay. Thanks for errr sampan comel ni? See ya!” Awim senyum sebelum berlalu pergi dengan sampan yang masih ditangannya.

Lima minit sebelum pukul 9 Awim sampai di dewan kuliah. Matanya melilau mencari kelibat dua orang rakannya. Di barisan tengah kelihatan dua gadis manis bertudung merah dan hijau. Langkahnya diatur menuju ke arah sahabatnya.

“Awim! Lambatnya kau. Duduk sini.” Ain menepuk kerusi disebelahnya.

“Sorry. Korang pun bukan nak kejutkan aku.” Awim sudah melabuhkan punggungnya.

“Selalu kitorang ketuk pintu bilik kau, kau dah siap. Alih-alih hari ni kau tak bangun lagi.” Ain menjelaskan duduk perkara sebenar.

“Hmm okay.” Awim mengakui yang salahnya juga dia terbangun lambat.

“Awim, sampan apa tu? Mana kau ambik?” Zulaikha yang dari tadi memerhati sampan kecil di tangan Awim bertanya.

“Oh. Ini? Hmmm macam mana nak cakap eh?” Awim mengurut dagunya. Mencari ilham bagaimana ingin dimulakan kisah seorang Muslim itu.

“Haaaaa…ehem ehemkah?” Ain sudah tersenyum lebar.

Awim dapat merasakan aura panas bak lahar gunung berapi dicurahkan ke atas mukanya yang licin tanpa sebarang jerawat. Saat ini jika dilihat wajahnya pasti bukan rona merah jambu atau merah saga sahaja, pasti ada warna ungu, biru, hijau, kuning dan seangkatan dengannya. Lengkap berwarna-warni seakan campuran perasaan malu dan bahagia.

“Oh, Awim! Sudah bertemukah anda dengan Sultan Mansur Syah yang dicari? Tujuh keturunan Puteri Hang Awim mencari. Dari Melaka turun kemari. Hantaran sampan kolek dijadikan pengutus isi hati.” Malek yang entah dari mana membuat sketsa di pagi hari.

Riuh dewan kuliah bila mendengar ‘sketsa’ kanak-kanak riang dari Malek. Sungguhlah Malek ni nak kena cepuk dengan aku. Bikin malu company saja! Mana nak sorok mukanya saat ini?

“Kau kenapa Malek? Ada masalah?” Awim bersuara perlahan. Antara menahan perasaan marah dan malu.

“Puteri Hang Awim, kami lima bersaudara sudah melihat adegan romantik tersebut. Jangan kamu menidakkan apa yang kami lihat.” Malek masih dalam mood entah zaman mana.

“Ahhh shut up!” Awim sudah naik geram.

Macam mana boleh kantoi dengan Malek ni? Dah laa dasar mulut tempayan. Habis satu kelas nak di bagitahunya. Kenapa tak tampal je notis terus. Biar satu kampus tahu.

“Malek cakap pasal apa Awim?” Ain yang dari tadi hanya menjadi pemerhati dan pendengar bertanya.

Wajah Awim sudah berubah masam mencuka. Tangannya menunjuk ke arah sampan kecil. Sampan kecil itu yang menjadi punca Malek membuat ‘sketsa’ sebabak. Dalam banyak-banyak manusia dekat muka bumi ni kenapalah mesti Malek yang nampak? Kenapa bukan Helfi? Helfi? Sudah! Awim menoleh ke arah barisan belakang. Itu dia jejaka yang dicari. Berbaju melayu merah lengkap bersongkok.

“Kau tengok siapa Awim? Helfi? Dia merajuk dengan kau.” Malek masih giat menyakat Awim. Awim menunjukkan penumbuknya yang kecil itu.

Helfi masih membelek buku yang ada di atas mejanya. Tidak ambil pusing kata-kata Malek. Malah pandangan Awim kepadanya juga tidak dihiraukan. Bukan urusannya. Awim hanya mengeluh perlahan. Dia tidak tahu sejauh mana kesahihan kata-kata Malek dan budak lelaki yang lain tentang perasaan Helfi terhadapnya. Helfi. Lelaki yang sudah dianggap sahabat. Mana mungkin mahu pergi lebih jauh dari itu. Sekali pun dia menyukai lelaki lain, dia tetap mahu menjaga perasaan Helfi. Perasaan untuk sahabat kepada sahabat. Perasaan yang kadangkala ada turun naiknya.

“Puan dah datang!” Amirah menjerit kepada seluruh isi dewan. Terus suasana berubah sunyi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience