BAB 1

Romance Completed 9674

Tingkap yang terkuak luas sengaja dibiarkan. Tempias hujan yang memerrcik di mukanya langsung tidak diendahkan. Entah mengapa bagai ada ketenangan pada rintik-rintik hujan hari ini. Ia langsung tidak mengganggu dirinya. Kalau ibu tahu pasti sudah dimarahi. Habis basah tilam yang terletak berdekatan dengan tingkap biliknya. Tapi sungguh dia suka dengan cuaca hujan yang selalu sahaja turun dua tiga hari ini. Sejuk. Yang paling penting cuaca hujan itu membuatkan sel-sel romantik yang sudah lama tersembunyi mula memunculkan diri.

“Tik,tik,tik.” Kedengaran rintik hujan menimpa atap zink rumahnya. Kuat sehingga mampu didengarnya dengan jelas.

“Hana, dul, set, net, daseot, yeoseot…” Awim mengira setiap rintik hujan tersebut.

Setiap kali dia mengira, setiap kali itulah hatinya menyebut ‘rindu’. Sebanyak mana rintik hujan yang turun itu sebanyak itulah juga rindunya pada si dia. Dia yang entah dimana. Di rumahkah? Di tempat kerja membanting tulang mencari sesuap rezekikah? Dia yang entah sedang melakukan apa saat itu. Dia yang entah sihat atau tidak. Yang paling penting, adakah dia turut merinduinya saat itu. Awim mengiring ke kiri. Ahh tidak kena. Mengiring ke kanan. Masih sama. Sungguh dia merindui ‘dia’ itu.

Beep. Bunyi menandakan mesej masuk. Tangannya mencapai handphone yang berada di tepi bantal. Encik Tunang. Senyum di bibir sudah tergantung hingga ke telinga. Pantas jari menekan open message. Larian jantung usah diceritakan. Laju! Teramat laju.

‘Hujan’ Pendek dan bermakna mesej yang dihantar.

Masih dia ingat yang dia pernah memberitahu Encik Tunang dia suka akan hujan. Bukan hanya kerana hujan itu satu rahmat, tapi hujan turut datang membawa pelbagai rasa dan emosi. Hujan yang galak membasahi bumi itu menandakan amarah dan menandakan rindu yang membuak-buak. Manakala hujan rintik itu seakan sebuah melodi dari piano Sang Hujan. Cukup indah cukup romantis. Lama dia memikirkan apa yang harus dibalas. Nah!

‘Sini juga, Love Rain barangkali’

“Haih.” Awim mengeluh perlahan.

Entah sejak bila dia sudah pandai berpuitis sebegitu. Love Rain? Hahaha bagaimana dia terfikir untuk menaip dua perkataan itu? Sungguh ‘dia’ itu sudah mengubah dirinya yang dulunya hanya tahu Do Re Mi kini sudah tahu mengubah Do, Re dan Mi itu kepada sebuah alunan cinta. Ahh jiwang sungguh! Kata sahabatnya ‘jiwa kacau’. Dia ketawa sendiri. Parah! Jatuh cinta dengan Encik Tunang setiap hari.

‘Love Rain atau Raining Cats and Dogs?’ Pantas ‘dia’ disana membalas.

“Nak balas apa ni? Kang aku bantai jugak jawab Raining Ducks and Chickens.” Awim membelek handphonenya. Diletak ke tepi bantal semula. Aci redah! Tak payah balas.

Ahh ‘dia’ itu memang suka menduga hatinya! Tidak membalas mesej ‘dia’ itu lebih baik. Bukan tak biasa dia tidak membalas mesej ‘dia’ itu. Kalau dulu mudah sahaja dia membalas mesej dari ‘dia’ tapi sejak bertunang entah kenapa dia malu dan risau dengan setiap perkataan yang ingin dibalasnya. Tapi bila difikirkan tidak baik pula membiarkan ‘dia’ ternanti-nanti balasan darinya. Awim senyum nakal. Pantas jari menaip mesej untuk dibalas.

‘Raining Frogs and Ong gedek-gedek! ROTFLOL’

Terus handphone dicampakkan ke tepi. Nakalnya kau Awim! Sekali-sekala mahu bergurau apa salahnya. Sudah hampir sebulan dirinya menjadi tunangan ‘dia’. Masih dia ingat bagaimana pertemuan itu membawa dirinya dan ‘dia’ kepada fasa bertunang dan tidak lama lagi akan bernikah. Sungguh dia bersyukur dengan pertemuan yang satu itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience