BAB 10

Romance Completed 6095

Affiz menoleh bila pintu rumah dibuka dari luar. Dia menoleh pun sekejap saja sebab dia tahu siapa yang baru balik dari kerja itu. Siapa lagi kalau bukan Adib? Di dalam rumah ini, dia tinggal berdua saja dengan Adib. Nanti bila Adib dah berkahwin, terpaksalah dia balik ke rumah mama semula. Bosan kalau duduk seorang-seorang di rumah ini. Tak ada kawan nak dibuat berborak dan menonton perlawanan bola sepak.

“Lambat balik?” tanya Affiz bila Adib merebahkan tubuh di sofa sebelahnya. Muka sepupunya itu nampak penat.
“Dari site. Lepas tu, singgah office sekejap.” Adib menjawab sambil memejamkan mata. Dia nak tidur sekejap sebelum masuk ke dalam bilik.

“Kau free tak Ahad minggu depan?” tanya Affiz. Dia tahu Adib tengah penat sekarang ni, tapi dia tetap nak mengacau Adib. Lagi-lagi bila melibatkan hal Sufi. Kan dulu sepupunya ini pernah terjatuh hati sekejap pada Sufi? Dia teringin betul nak tengok reaksi Adib nanti kalau sepupunya itu dapat tahu yang Sufi dah nak berkahwin.

“Free je kot. Kenapa?” Adib menjawab dengan mata yang masih tertutup.

“Awek kau nak kahwin. Dia suruh aku jemput kau sekali.”

“Hah???” Serentak itu, Adib terus bangun dari baringnya. Matanya yang sepet itu terbuka luas memandang Affiz. Dia tak pedulikan langsung handphone yang dah terjatuh ke lantai. Tadi dia meletakkan handphone itu di atas perutnya. Tapi, bila dia tiba-tiba bangun dari baringnya, terus handphone itu jatuh ke lantai.

“Err… kenapa kau terkejut sangat-sangat?” Affiz mengangkat kening. Dia sendiri terkejut dengan reaksi Adib itu. Dia tak sangka pula Adib terkejut sampai macam ini sekali. Okey, ini membuatkan dia musykil. Adib masih ada hati pada Sufi ke?

“Bro, dia baru pulangkan cincin dia kat aku minggu lepas. Ming-gu le-pas. Dan sekarang ni dia dah nak kahwin? Aku tak bincang apa-apa pun lagi dengan dia pasal hal putus tunang tu. Dia ingat bila dia pulangkan cincin tu kat aku, pertunangan kitorang ni terus dah putus la? Gila la dia tu.” Adib meluahkan rasa tak puas hatinya. Dia menguak rambutnya ke belakang dan bersandar semula ke sofa. Dadanya turun naik menahan geram.

Affiz pula simpan senyum dalam hati. Dia cuba mengekalkan riak wajah seriusnya. Patutlah Adib terkejut sangat, rupanya dia ingatkan ‘awek’ yang Affiz cakapkan itu ialah Maya. Mengaku pulak yang Maya itu awek dia. Sebelum ini bukan main buat drama nak putuskan pertunanganlah, itulah, inilah. Ceh punya sepupu.

“Parents dia cakap apa?” tanya Adib. Kalau sampai dah nak kahwin minggu depan, maknanya mestilah orang tua Maya dah tahu yang mereka berdua ini dah putus tunang. Tapi, setakat ini, mama tak ada beritahu dia apa-apa pun. Takkan orang tua Maya tak beritahu mama yang dia dengan Maya dah putuskan pertunangan ini?
“Yang tu… tak tahu pulak aku,” jawab Adib.

“Maya ni…” Adib mengeluh. Dia meraup mukanya dengan tapak tangan. Apa yang perlu dia lakukan sekarang ini?
“Bro.”

“Hmm.”

“Betulkan la balik relationship kau dengan Maya ni. She used to be your bestfriend, bro. And now she’s your fiance. Kau tak rasa ke semua ni memang dah takdir? Kau tak rasa ke yang korang berjumpa balik selepas lima tahun ni untuk…”
“It’s four.” Adib memotong kata-kata Affiz.

“Apa?” tanya Affiz.

“It’s four. Four years, not five.”

“Eh eh, kau ingat?” Affiz bersuara dengan nada teruja. Konon nak memprovok si Adib itu.
Adib pula pandang tajam pada Affiz.

“Okey, sambung yang tadi. Korang berjumpa balik selepas empat tahun ni, kau tak rasa ke ini peluang kau dengan Maya untuk selesaikan semua masalah korang selama ini? Yes, dia pernah tipu kau, dia pernah buat salah dengan kau, dia yang sebabkan Aira meninggal…”

“Weh, aku tak cakap pun dia penyebab Aira meninggal. Kau ingat aku ni tak ada iman ke? Kau ingat aku tak tahu yang ajal maut semua kat tangan Allah?” Adib sekali lagi memotong kata-kata Affiz.

“Ha, tahu pun. Habis tu yang selama ni kau dok marah-marah dia, bengang kat dia semua tu, kenapa? Kau tahu tak sampai sekarang Maya rasa bersalah sebab hal tu? Lagi-lagi sejak korang berdua bertunang. Dia dah tak ketawa dah kat office, bro. Aku ni rindu nak dengar ketawa dia tu.”

Adib pandang tajam pada Affiz sekali lagi.

Affiz berdecit. “Aku tahu la dia tunang kau, tapi… hey, dia officemate aku kot. Aku yang kena menghadap dia lapan jam sehari. Kau ingat aku tak stress ke bila dia dah tak ketawa dan buat lawak bodoh macam dulu?”

Adib mengeluh. “Habis tu, kau nak aku buat apa?”

“Selamatkan pertunangan korang ni.” Nasihat Affiz.

“But, how? Dia dah nak kahwin.”

Affiz pula yang mengeluh. “Adib, yang nak kahwin tu bukan Maya, tapi Sufi.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience