BAB 1 - ADANIA

Family Series 47337

Berangkai kereta buatan tempatan menyusuri sisir parit dengan pemandangan di kiri dan kanan sawah bendang elok menguning masak. Kereta paling hadapan membelok ke kanan melintasi jambatan batu diikuti empat buah kenderaan mengekori di belakang masuk di perkarangan halaman rumah.

Pintu kereta telah terbuka, seorang demi seorang keluar memijak bumi. Beberapa orang muda, sibuk mengemaskan baju di tubuh serta merapikan rambut di hadapan cermin kereta dan ada juga yang membetulkan awning tudung menutup aurat. Yang ramainya usia telah memasuki lingkungan warga emas terutama wanita masing-masing mencapai seorang satu dulang hantaran manisan yang terhias cantik dengan bunga-bungaan plastik ada tujuh dulang kesemuanya akan di bawa masuk ke rumah rumah bunga bakal disunting.

“Assalamualaikum ya, tuan rumah..." sapa salah seorang lelaki paling berumur telah diberikan amanah oleh keluarga bakal pengantin lelaki untuk berbicara dan berbincang lanjut.

"Waalaikumsalam... jemput masuk... jemput masuk..." dengan senang hati Encik Kamal yang merupakan tuan rumah, juga bapa kepada bunga yang bakal disunting menerima kedatangan tetamu yang dinanti-nanti.

Tubuh bakal besannya turut dipeluk bagi memulakan hubungan yang menyenangkan. Lagi pun bukan orang jauh, sama-sama kenal orangnya dari kampung sebelah saja. Kiranya, hari ini dua keluarga bukan saja mengeratkan tetapi mengikat lagi silaturahim lebih kuat. Kaum kerabat lelaki yang lain turut menyambut salam serta mempelawa cukup ramah masuk ke dalam rumah.

“Uittt..." mencuit bahu yang sibuk dengan kamera dari tadi. “Kak ngah, suruh beli ais. Katanya tak cukup tu." Aiman yang mengenakan baju melayu sedondon berwarna champagne sama seperti Encik Kamal dan lelaki disebelahnya berbisik sampaikan arahan dari dapur.

“Pergilah beli. Bagi tahu aku buat apa?" Acuh tak acuh Amin malas nak pandang. Tangannya tengah sibuk menekan, mata sibuk fokus pada skrin kamera dan otaknya sedia sibuk memikirkan posisi lebih cantik merakamkan momen indah buat kakaknya, adik bongsu pula mengganggu fokusnya.

“Kak ngah suruh kau belilah?" masih perlahankan suara dan lebih rapat berbisik ke cuping telinga abangnya yang hanya tua dua tahun daripada umurnya. Dalam masa yang sama anak mata mula sibuk menilik seorang demi seorang tetamu yang telah bersila di atas karpet gebu di ruang tamu rumah. Biji matanya mencari gadis-gadis melayu yang cun-cun. Mana tahu ada yang berkenan di hati boleh disunting jadi girlfriend pula.

“Banyaklah kau! Kak ngah suruh kau kan?" Sedikit tegas nadanya sekilas menjeling maut sebelum sambung menekan butang kecil. Terpancar-pancar cahaya flash.

“Ala... panaslah! Nanti berpeluhlah ketiak aku ni. Warna baju ni kalau berpeluh ketiak, nampak bertompok. Hilanglah handsome aku ni. Lagi pun, kawan aku dah nak sampai tu." Tetap tidak mahu mengalah. Dia pula buat-buat sibuk mengemaskan lagi kain samping melilit baju Melayu punya hendak menjaga penampilan sentiasa kemas dan kelihatan kacak.

“Kau pergi sekarang sebelum aku simbah kau dengan air basuh kaki tu! Bukan ketiak kau saja basah, satu badan kau aku basuh depan orang ramai ni." Terhampur juga amaran dalam nada masih lagi perlahan. Buat malu kaum kerabat saja jika ada salah sepasang telinga yang mendengar pertelingkahan adik-beradik semata hendak membeli ais saja pun. Mengelak macam kena bertukang rumah.

Pada Aiman yang terpandang tempayan dipenuhi air sedia ada di hadapan rumah, tertelan juga cecair dalam mulut. “Ishhh... asal nak beli-beli barang tak cukup, mesti aku. Kau buat apa?" naik angin pula dek geram bila kenangkan dia seorang saja memikul tugas tidak bertauliah itu.

“Kau ingat aku tengah berjoget sekarang ni? Kalau bukan aku tangkap gambar majlis pertunangan ni, tak adalah gambar! Kau tak kesian kat kak yang ke? Hari ni hari bahagia kak yang. Tunjuklah support kau tu sikit. Dahlah, pergi cepat, cepat balik." Nada arahan masih tidak berkurang.

“Kawan-kawan aku?" berani menyoal lagi.

“Pandailah dia orang tunggu bawah pokok tu. Macam tak biasa." Tetap tidak kisahkan yang bukan masalah baginya.

Buku lima telah digenggam kuat, ingin dilibasnya dalam diam.

"Aku abang! Hormat sikit!"

Aikkk... tak pandang pun boleh tahu dia telah membuat sesuatu di belakang. Buku lima langsung terlerai. Tidak mungkin dia mampu tumbuk abangnya. Setakat tumbuk-tumbuk angin, tayang jari tengah atau jelir lidah bolehlah. Itu pun buat belakang-belakang macam tadi. Kalau depan-depan, memang sungguh air basuh kaki jadi habuannya.

"Baik, abang chik!!!" Berubah baik riak wajahnya serta nada serentak menjadi lembut.

Kunci motor telah berada dalam pegangannya. Ketika menuju ke arah motor berada nun di bawah pokok, dia melalui di sebelah tingkap bilik, terdengar suara manja sedang berbual. Butir ayat malas nak ambil tahu. Siapa lagi kalau bukan Adania di sisi tingkap.

“Hah!!!" Sergahnya sengaja mengusik kakak ketiga dalam keluarga Encik Kamal. Terperanjat juga Adania di tepi tingkap hampir terhambur gelak lucunya.

“Adik!!! terkejut kak yang." Sedikit mengurut dada dan menarik nafas melegakan sesak.

Tidak mampu cover lagi, pecah juga ketawa Aiman tanpa rasa bersalah. “Kak yang... keluarga lelaki dah masuk ke rumah tu. Tak lama lagi, ehem... ehemlah dengan abang Haris tu. Tahniah kak yang..." kali ini senyuman gembira tertayang.

“Thank you adik. Tu nak ke mana?" Menyoal lagi di celah tingkap apabila gerangan di luar sana telah berlalu pergi.

“Beli ais jap. Nanti keluarga abang Haris minum air tak cukup sejuk pula. Panas elok hari ni." Sebaik menghidupkan enjin, wajah Adania ditatap semula. Tengok kakaknya sambung berbual dengan smartphone, terukir senyuman senang. Cantik kakaknya telah bersiap memakai veil, “untuk kak yang, berpeluh satu badan pun adik sanggup." Bercakap sendiri dan ikhlas dia memulas pemegang motor berlalu keluar membeli ais tidak cukup.

“Baik-baik bawa motor tu." Sempat berpesan tidak kuat mana dan pastinya Aiman tidak mendengar langsung. “Sorry awak, terjerit pula." Sekali lagi sambung berbual.

“Itu bukan jerit. Tu mengerang manja."

“Eiwww... awak!" Meremang roma bila bakal tunang berkata begitu.

Bunyi ketawa dihujung corong, “ala... awak pun bakal isteri saya. Apa nak eiwwwnya."

“Correction... bakal tunang ya..." itu barulah kenyataan yang sebetul-betulnya.

“Iya... and a few minutes lagi awak menjadi tunang saya secara official. Tiga bulan lagi awak akan menjadi isteri Cikgu Haris, sayang..." sengaja suara bertukar mood romantik.

Makin bergulung senyuman Adania. Kerana ayat yang disebut Haris, terbayang pula saat-saat mereka telah sah menjadi suami dan isteri di masa akan datang. Sumpah... itulah hari paling bahagia dalam hidupnya nanti. Bunyi ketawa kuat datang dari luar, menyedarkan dia berpijak di bumi yang nyata.

“Okeylah awak. Saya letak dulu. Dengar kat luar tu macam dah mula cakap-cakap. Nanti mak panggil saya, saya tak dengar, tak pasal cancel."

“Jangan cakap macam tu sayang."

“Opsss.... sorry... sorry..." Alahai... main-main saja pun, dah menggelabah. Ini yang buat dia makin sayang-sayangkan Haris.

“Awak patut cakap, saya sayangkan abang..."

“Abang?" tiba-tiba tukar panggilan, mahunya tidak soal semula.

“Iyalah... sayakan tunang sayang. Cepat... Abang nak dengar sayang cakap, saya sayang abang."

“Boleh... tapi bila dah sarung cincinlah. So awak kena tung...gu..." cepat-cepat Adania ingin mematikan panggilan Haris. Dia masih segan mahu berbicara romantik walaupun dengan kekasih sendiri.

“Abang sayangkan sayang, Adania..." sempat lagi potong panggilan hampir putus.

“Saya..." terdiam seketika, “pun sayangkan awak, Haris..." balas Adania yang telah tersipu-sipu malu hingga terangkat bibir nampak barisan gigi memutih. Penghadang tingkap juga tidak pasal-pasal dipukul-pukul manja kerana terlalu malu dalam masa yang sama suka. Hai Haris... kalau dah kahwin ni, hari-hari dia nak mengaku sayang pada Haris. Itu janjinya.

“Ishhh... menyesal pula saya tak ikut datang. Mak sayalah ni, tak bagi saya ikut sama. Saya boleh aje tunggu bawah pokok luar pagar rumah awak tu. Dapat juga saya tengok awak dari jauh. Abang nak tengok tunang abang yang cantik tu..." menggunung penyesalan yang dirasai ketika itu.

“Sabarlah awak. Sikit saja lagi. Dah la. Saya letak dulu." Kalau dilayan mahu naik pelamin dengan phone sekali.

“Petang ni kita jumpa okey. Biar abang ambil sayang."

“Jangan... nanti mak saya marah. Kita jumpa esok, saja. Saya letak dulu. Bye encik tunang..." Langsung dimatikan panggilan. Bibir tidak kecut-kecut tersenyum lebar, menarik nafas melegakan gementar, teruja dan gembira bercampur baur. Peluh merenit turut ditekap guna tisu dan mengipas muka guna tangannya agar dapat mengawal rasa nervous makin memuncak.

“Kenapa bilik ni rasa panas sangat. Kena pasang aircon sebelum kenduri ni." Dia duduk di kerusi meja solek lantas jari runcing menekan butang nombor satu dan memusingkan muka kipas berkaki bertemu mukanya. Lega...

Ting... mesej masuk dipandangnya

'Hantar gambar sayang satu lagi. Please sayang... abang rindu..."

Tidak reda lagi, senyuman ditarik lebar tidak berasa letih. Dengan murah hati, dia menghantar sekeping gambar yang ditangkap sesudah siap bersolek berat serta mengenakan persalinan persis raja sehari melalui wasap.

“Yang..." sapa Azalia di muka pintu.

Melihat watak utama mengenakan busana warna peach, “cantiknya yang... happy tak? akhirnya dapat juga kau bertunang dengan Cikgu Haris tu." Sebelah adiknya menjadi tempat berlabuh punggung.

Mengangguk lembut Adania mengaku di hadapan kakak kedua dalam keluarganya. Alhamdulillah... hari yang amat dinanti-nantikan dahulunya pernah terfikir mungkin majlis ini tidak akan berlangsung, terjadi juga hari ini. Jadi, nikmatilah momen ini, Adania...

“Tak mudah kau nak sampai hari bahagia kau ni, yang... sampai sanggup ikut syarat mak tu." Pandangan kesian memeluk adiknya.

“Tak apalah. Bukan orang lain. Mak kita juga." Redha dia dengan apa yang telah terjadi sebelum ini. Mungkin ini hikmahnya. Menurut semua permintaan emak, dia bakal bersatu juga dengan cinta pertama terputus separuh jalan dan selepas ini bakal menjadi cinta sejatinya.

Walaupun pada mulanya emaknya tentang habis-habisan hubungannya tetapi tiba-tiba keputusan emak berubah beberapa bulan lepas. “Yang kalau nak bertunang juga, boleh. Besarkan ruang tamu rumah ni dulu! Barulah gah nak hidang orang-orang kampung makan kenduri." Itulah syarat Puan Rozie.

Alhamdulillah... selepas dilunaskannya dan seperti janji emaknya, dia mendapat green light untuk bertunang.

“Rezeki mak dapat anak-anak baik. Dapat pula anak macam kau turutkan semua permintaan dia. Mak patut bersyukur."

“Apa pula kak ngah. Kita yang kena bersyukur masih ada mak dan Allah panjangkan umur mak kita."

“Iyalah tu. Betullah..." sementara menunggu nama Adania diseru keluar untuk menyarungkan cincin, dia membetulkan awning tudung adiknya dan veil lebih kemas. Ketika itu dia perasan sesuatu, “yang... kau gementar sangat ke ni?" Tangan bergetar halus, digenggamnya.

Mengangguk Adania sedikit pucat mukanya bila terkenangkan dia bakal keluar sekejap lagi dan duduk di mini pelamin untuk disarungkan cincin oleh emak Haris. Harap semuanya dipermudahkan. Janganlah tersadung ke, terlalu gopoh ke ataupun terlebih gementar. Please control cun, Adania! Tu semua momen bakal melakar sejarah.

“Yang... kau patut happy hari ni. Jangan gementar sangat." Nasihat Azalia pula.

Ditarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan beberapa kali agar lebih tenangkan diri. Now... I'm ready to be a fiancee...

“Kak long mana?" Menyoal tidak nampak wajah kakak sulungnya sedari tadi. Tapi dia tahu apa sedang disibukkan sangat oleh kak long.

“Mana lagi... kat dapurlah. Ni pun kak long suruh kak ngah teman yang dalam bilik."

Betullah tu. Adila sebagai kakak sulung tidak lepas dikerah oleh emaknya menguruskan hal di dapur. Tidak kiralah ada majlis atau tiada majlis, asal Adila jejak kaki di rumah ini, dapurlah tempatnya. Dia sebagai adik tak mungkin melihat saja. Dengan ringan tulang, Azalia dan dia sendiri turut pecah peluh di dapur termasuk hal-hal lain dalam rumah ini. Cuma hari ini dia tidak dapat membantu.

“Eh... kenapa tu?" Pelik Azalia memandang Adania apabila gegendang telinganya tidak menangkap sebarang suara dari luar. Sunyi sepi tiada bunyi gelak ketawa seperti tadi. Dah selesai ke? Dia meluluk di celah langsir.

Perasan wakil jurucakap yang merupakan adik kepada emaknya memandang emaknya berkali-kali dan terdapat sekeping kertas kecil di tangan paksu.

“Jadinya pihak perempuan meletakkan harga RM50 ribu sebagai wang hantaran dan sebanyak RM5555 mas kahwin."

Melopong Azalia melihat paksunya. Bukan saja dia terperanjat beruk, tetamu yang datang juga jeda beberapa saat sebelum berbisik sesama sendiri. Siapa nak percaya, kalau asal perbincangan belakang, wang hantaran sebanyak RM15 ribu menjadi RM50 ribu manakala mas kahwin RM1000 telah menjadi RM5555. Jauh sangat perbezaan harga telah mencanak berganda-ganda. Cerita apa pula emaknya mahu buat ni? Menggaru kepalanya bertudung bawal.

“Maaf bang... kita pun bakal bersaudara rapat. Mungkin boleh bawa berbincang lagi untuk kurangkan wang hantaran tu." Pinta jurucakap sebelah keluarga lelaki.

Mata Azalia dengan jelas nampak kepala paksu toleh memandang emak sekali lagi dan terang-terangan juga emak menggelengkan kepala tidak setuju.

Aduh!!! Parah ni.

“Maaf... nampaknya keluarga pihak perempuan dah tetapkannya." Lemah juga suara paksu memuktamadkannya.

“Sekejap. Tak apa, biar saya bincang dulu dengan keluarga saya." Celah Encik Kamal sebagai ketua keluarga. Dia baru berdiri ingin ke dapur.

“Tak perlu bincang-bincang lagi. Keluarga kami dah muktamad, wang hantaran RM50 ribu dan mas kahwin RM5555." Sambar suara juga telah berdiri di tengah laluan antara ruang tamu dan dapur.

“Rozie!" Sedikit tinggi suara Encik Kamal tidak boleh melawan suara isterinya yang lebih kuat menyambar tadi. “Sabar... kita bincang dulu. Benda boleh bawa bincang." Sedikit mendatar nasihat Encik Kamal tidak mahu isterinya mengeruhkan lagi keadaan. Malu bukan saja dengan orang kampung dan keluarga pihak lelaki tetapi lebih malu-malu lagi dengan orang surau.

“Tak ada bincang-bincang lagi. Itu keputusan muktamad!" Tetap bertegas dengan keputusan.

“Cik Rozie!!! Awak memang nak malukan anak saya ke? Nak malukan rombongan keluarga saya, hah?" Sampuk ibu bakal pengantin lelaki pula.

“Cik Asnah... saya bukan nak malukan keluarga awak, jauh sekali nak malukan bakal menantu saya. Tapi anak perempuan saya tu bukan kerja biasa-biasa tau. Anak saya tu PTD! Pegawai Takbir Diplomatik, kakitangan kerajaan, ada pencen, bakal pengarah, terpelajar pula tu, cantik lagi, lembut, sopan santun serta seorang anak yang baik." Dengan jari-jari dia tayang mengira setiap kebaikan dan kelebihan anak perempuannya di hadapan mata-mata memandang. "Sebab tulah saya kena letak harga yang setanding dengan orangnya." Tambah lagi cukup tegas.

“Habis anak saya tu tak terpelajar? Anak saya tu pun ada Ijazah sekarang tengah sambung master. Kakitangan kerajaan juga, guru sekolah menengah, ada pencen, ada rupa, anak yg baik juga." Lawan Puan Asnah tidak mahu kalah.

“Asnah! Cukup!" Marah bapa pengantin lelaki telah menarik isterinya agar duduk tetapi ditepis lembut.

“Sebab tu saya terima kedatangan keluarga awak hari ni. Anak awak memang sesuai sesuai dijodohkan dengan anak saya tu." Balas Puan Rozie menyambung lagi.

“Tapi cara awak letak harga macam nak jual anak! Awak nak kikis harta anak saya pula ke?"

“Asnah!" Makin dalam suara suaminya membantah dengan apa yang dihamburkan sebentar tadi.

“Awak jaga sikit mulut awak tu. Kang saya koyak-koyak mulut awak baru tahu!!!" Naik berang Puan Rozie telah mara ke hadapan ingin menyerang tetapi dihalang Encik Kamal.

“Sudah Rozie! Benda boleh bincang. Bukan macam ni. Sabar sikit." Bisik Encik Kamal dalam tangan menghalang badan isterinya.

“Nak bincang apanya kalau dia dah tuduh saya bukan-bukan!!!" Jerkah Puan Rozie di hadapan muka suaminya. Suaranya, halilintar pun kalah.

“Kalau macam nilah punya perangai, baik tak payah buat besan pun tak apa. Tak ada ruginya. Lebih baik saya kahwinkan anak saya dengan anak perempuan jiran sebelah rumah saya tu. Walaupun kerja dia kerani saja, keluarga dia lebih beradap. Lebih hormatkan kami sekeluarga." Tambah Puan Asnah juga telah muktamadkan keputusan sebelah pihak keluarganya.

“Kalau macam tu, kahwinkanlah anak awak dengan kerani tu." Cabar Puan Rozie dengan nada mengejek. Dia ingat kita takut. Dia juga yang rugi tidak bermenantukan anak perempuannya yang elok serba-serbi tu.

“Memang pun, esok juga saya akan tunangkan mereka dan kahwinkan mereka bulan hadapan. Awak tunggulah kad jemputan dari kami."

“Sabar Asnah... malu kita awak buat perangai macam ni." Pujuk ini suami Puan Asnah lebih lembut.

“Apa pula malu bang. Mereka dan keluarga mereka patut malu. Anak mereka tu akan jadi anak dara tua kalau dah perangai mak dia macam ni. Eh , Cik Rozie. Awak ingat saya tak tahu. Dah sepuluh calon suami Adania tu awak tolakkan. Saya ni kenangkan Adania tu budak baik aje saya ni terima. Sekarang sebabkan awak, saya tak akan terima dia sebagai menantu lagi. Anak awak disenarai hitamkan. Anak dara awak jadi anak dara tua, semua tu salah awak tau tak!!!"

“Kurang ajar!!!" Puan Rozie tidak dapat menelan ayat terhambur apakan lagi panas kemarahan makin memuncak paling tinggi. Tidak kiralah suaminya dan Amin telah turut serta cuba menghalang badannya, tangannya lebih pantas memanjang menarik tudung Puan Asnah hingga tertutup muka. Hishhh... rugi! Kalau tertanggal tudung tu akan ditarik-tarik rambut mulut jahat tu hingga botak!

Halamak!!! Azalia dan Adania telah mendengar semua butir ayat, berlari keluar bilik menahan emak mereka menjadi lebih ganas.

“Mak... sudahlah. Malu keluarga kita ni." sampuk Azalia.

Adania telah berdiri disebelah emaknya mengalirkan air mata.

“Nia... makcik minta maaf. Makcik tak dapat terima Nia jadi menantu makcik. Esok makcik akan pinang anak jiran makcik sebagai isteri Haris." luah Puan Asnah sebaik tudungnya telah ditarik nampak muka. Senget-benget tudung masih tidak betul dibiarkan saja dengan langkah lemah berlalu keluar dipapah adik-beradik yang lain.

Suami Cik Asnah bersalaman dengan Encik Kamal dan kaum lelaki yang lain juga berlalu keluar dari rumah.

Hantaran semua turut diangkat semula membawa pulang oleh ahli keluarga pihak lelaki yang lain.

“Abah... dah habis kenduri ke ni? Rombongan dah siap makan ke?" soal Aiman telah pulang dari membeli ais batu. Cukup ke ais di dapur tu? Dia telah membeli ais pack besar kot. Sedang dia parking motor, nampak rombongan sibuk masuk ke kereta dan berlalu meninggalkan perkarangan rumah mereka. Itu dia masuk ikut pintu depan dengan muka terpinga-pinga.

Nampak riak hampa ayahnya tertunduk diam lalu terduduk ke lantai dan bersandar ke dinding, ais ditangan Aiman terlepas ke lantai. Songkok ayahnya juga telah ditanggalkan menongkat tangan di kepala lutut.

“Apa mak cuba buat ni mak? Mak memang rancang nak rosakkan pertunangan yang ke?" Soal Azalia cukup berani.

“Kau ingat aku gila? Aku buat semua ni untuk yang tahu tak!!!"

“Macam ni ke mak cakap mak buat untuk kak yang? Mak tengok kak yang. Dia gelak ketawa gembira ke?" Amin amat tidak setuju dengan cara emaknya, juga berani menyoal. Bukan untuk melawan terutama dikhalayak ramai sanak-saudara dan jiran-jiran tetangga masih memberi perhatian. Tapi dia nak emaknya sedar percaturan dalam diam emaknya sama sekali salah.

“Kau diam! Kau jangan nak mengajar aku pula!" Marah Puan Rozie bila anak-anaknya pula berani bersuara marahkan tindak tanduknya yang hanya untuk kebahagiaan anak perempuannya. Dia tidak mahu anak perempuannya diperlekehkan apabila wang hantaran terlalu sedikit terutama dengan anak jiran sebelahnya.

“Tapi mak..."

“Achik..." cuit Adila yang telah munculkan diri agar Amin tidak bersuara akan mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang.

Masih kaku Adania berdiri berhampiran ahli keluarganya tergamam bagaikan tidak percaya perkara yang terjadi di hadapan matanya tadi. Air mata berambu keluar tanpa esakan, lebih deras kenangkan pertunanganya tidak jadi. Untuk apa dia berdiri di sini lagi! Berlalu dia masuk ke dalam bilik serta menguncikan daun pintu.
.
.
.
.
.
Kereta meluncur laju di atas lebuhraya menghala ke selatan ditekan pedal minyak makin laju. Air mata mengalir tidak berkurangan membasahi pipi sesekali dilap guna hujung lengan baju tetap basah semula. Sedu-sedan menyekat-nyekat nafasnya amat melelahkan dada tetap tidak melegakan kecewanya.

“Kenapa Ya Allah? Kenapa semua ni mesti berlaku pada aku?" Menyoal perit lalu menjerit sekuat hati meraung sendiri. Mata masih pandang ke arah jalan raya terbayangkan rentetan babak-babak pilu yang berlaku di rumah tadi, juga diperkarangan rumah Haris.

"Saya bukan jodoh awak, Adania!" Itulah perkataan terakhir sebelum Haris meninggalkannya keseorangan di luar pagar rumahnya.

“Haris... saya sayangkan awak... saya amat sayangkan awak..." halus nadanya di hujung ayat tenggelam dalam esakan. Tangan memegang stereng mula ke kini dan ke kanan tidak dapat mengawal, langsung kaki menekan-nekan pedal break. Perasan ada kereta memberi lampu high beam di belakang, dia menekan minyak semula.

Sungguh, dia tidak mampu memandu lagi. Lemah seluruh tubuh kini. Signal ke kiri diberikan. Sebaik berhenti di bahu jalan, kepalanya melekat di stereng dan cuba bernafas dengan lancar.

Istighfar panjang di mulut beberapa kali dan menyeru nama Allah mencari kekuatan, 'tolonglah Nia... tolong... semua perit ni, kau kena hadapinya sendiri. Kalau kau terusan meratap, kau tak akan mampu hidup. Sedar Nia! Sedar!!! teruknya kecewa hari ini pasti ada hikmah terbaik untuk kau...' berperang Adania dalam hati perit menasihati diri sendiri.

Cermin kereta sebelahnya ada yang mengetuk. Terangkat mukanya pada gerangan berdiri di luar, sambil dia mengesat basahan di pipi. Pandangannya beralih ke arah kereta berhenti di hadapan pula.

Itu kerata yang high beam di belakangnya tadi! Nampak susuk tubuh berkulit gelap dan roman wajah bukan seperti orang tempatan, satu saja yang terlintas di fikirannya. 'Dia nak serang aku ke?'

Tubuh itu minta dia turunkan tingkap, memang tidaklah dia dengan senang hati nak buat begitu. Sebelum lelaki berkulit hitam itu bertindak lebih agresif, lebih baik dia cabut.

Kaki yang sedia lemah tiba-tiba menjadi kuat. Sebaik gear dimasukkan, berundur kereta ke belakang sedikit sebelum meluncur ke hadapan. Mujur dia sempat menekan break sekali lagi sebelum keretanya mencium tubuh lelaki berkulit hitam itu hampir melompat di hadapan keretanya. Takut juga kena langgar dengannya.

Tidak tunggu-tunggu lagi, dia memecut laju kereta sebaik lelaki yang mungkin berbangsa Afrika atau negera-negera seangkatan dengannya itu mengalihkan kaki ke tepi jalan. Kerana lelaki berkulit hitam itu, lenyap segala rasa sedihnya kerana sepanjang perjalanannya kerap kali dia memerhatikan cermin pandang belakang agar kereta berjenama Range Rover berwarna hitam tadi tidak mengejar mahupun mengekorinya dari belakang. Takutnya hingga tidak singgah mana-mana dan ditahan saja rasa terkucil itu hingga sampai ke rumahnya di Putrajaya.

Hai semua... terima kasih sudi membaca naskah biasa ini... pada yang suka, alhamdulillah... pada yang kureng, kita jumpa next chapter... hehe... xoxo.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience