3

Mature Content Series 1182

HANYA kerana nama itu, Aryan tidak dapat melelapkan mata. Walaupun dia sudah bernikah dengan Zizie, hatinya yang tenang terasa keruh dan mula membandingkan Haira dengan Zizie. Penampilan Zizie jauh berbeza dengan perempuan kampung itu. Isterinya pandai berbicara dengan manja dan cara berpakaiannya di rumah juga sedikit sebanyak menggugat imannya.

"Bodoh."

Aryan mengusap wajahnya kasar. Entah mengapa cerita Zizie tadi masih berlegar-legar dalam fikirannya.

"Haira dengan Norman. Dia masuk bilik berdua, lelaki itu pegang tangan Haira... huh, memang perempuan murahan," gumam Aryan.

Aryan mengetap rahang. Wajah Zizie kelihatan tenang di sebelahnya dan itu cukup memaksa dirinya sedaya upaya mengawal nafsunya ketika membetulkan selimut yang terselak.

"Maaf baby, bukan tak nak... tapi tak suka muka dia muncul time kita bersama."

Tangannya kemudian singgah pada rambut Zizie, membelai perlahan selepas mengucup dahi licin Zizie.

"Tidurlah, baby. Awak pun nampak penat," bisik Aryan ketika Zizie mendesah kecil dan memeluknya.

Aryan tersenyum nipis. Zizie satu-satunya perempuan yang membuatkan dia sanggup melawan kehendak papanya. Perempuan yang membuatkan dia sanggup meninggalkan Haira dua hari selepas pernikahan mereka. Jujur dia tidak pernah menyesal dengan keputusannya.

Pandangan dilemparkan ke arah Zizie yang masih lena. Tidak sampai sesaat dia menggosok dadanya yang pedih.

"Aku dah tak peduli langsung dengan kau, Haira. Kau memang tak layak jadi isteri aku."

Aryan mengalihkan tangan isteri dan baring mengiring menghadap Zizie.

"Kau tak akan mampu bahagia dan puaskan aku sama seperti Zizie."

***

Keesokan harinya gelak tawa serta gurau senda majikannya bersama pekerja lelaki di bilik mesyuarat bergema. Arissa hanya duduk bersandar di sebelah Elly. Tangannya menconteng hujung kertas menghilangkan bosan sementara menunggu mereka keluar.

"Arissa, kau dah siap schedule Faris untuk minggu depan?" tegur Elly.

"Dah. Semua temu janji dengan klien luar aku dah sahkan. Flight tiket dia ke Pulau Pinang hari Khamis ni pun aku dah emelkan," jawab Arissa tanpa mengalihkan pandangan.

Suaranya tenang dan mendatar. Elly hanya tersenyum nipis melihat rakannya. Arissa sekarang bukan Arissa yang dia kenal dulu.

"Oh ya, Faris pesan nak jumpa kau di bilik dia lagi sejam. Katanya ada tetamu penting," tambah Elly lagi sebelum mengemas fail.

Arissa sekadar mengangguk malas. Jemarinya terus lincah menconteng apabila majikan dan pekerja sudah beransur-ansur keluar.

"Aku keluar dulu. Apa pun tahniah sebab kau dah jadi kepercayaan Faris sekarang."

"Eh, nanti! Aku nak ikut kau pergi pantri."

Arissa bergegas bangun dan mengutip fail sebaik tersedar ruang sudah kosong. Dia mengikut langkah Elly dan beberapa orang pekerja perempuan keluar menuju ke pantri.

Sejam kemudian, Arissa menolak pintu kaca bilik majikannya dan melangkah masuk dengan senyuman nipis.

"Ini fail yang Encik Faris minta."

Pandangannya beralih ke arah tetamu Encik Faris yang sedang duduk di kerusi tetamu. Jauh sudut hati berbisik "Aryan. Dia buat apa dekat sini."

"Ada apa-apa ke yang saya tertinggal?" tanya Arissa, lembut.

"Arissa saya nak awak beli lagi satu tiket ke Pulau Pinang Khamis ni," jawab Faris sambil membelek dokumen.

Jantung Arissa berdegup laju hingga dia hilang fokus dengan bicara majikannya. Riak wajahnya dikawal dari menunjukkan sebarang reaksi di depan lelaki itu.

Aryan yang baru sahaja berbual di telefon menoleh ke arah pembantu peribadi Faris. Raut wajah perempuan itu serta penampilannya terlalu anggun dengan kesegaran yang tidak pernah dia rasai sebelum ini.

"Kita pernah kenal ke sebelum ni?" soal Aryan, spontan.

Sunyi. Faris memandang Aryan dan menoleh ke arah Arissa. Dia berdehem dan melambai tangannya di wajah pembantunya.

"Arissa, ada masalah ke? Aryan tanya tu."

Arissa menggeleng. Dia memandang wajah majikannya dengan senyuman nipis.

"Maafkan saya. Encik Faris cakap apa tadi?"

Aryan hanya memandang Faris berbual dengan perempuan itu dan pada masa sama dia memandang pembantu rakannya atas bawah. "Nampak gaya dia jenis tak pentingkan barang jenama. Good, mudah kerja memikat nanti."

"Faris."

Faris menoleh dan tersengih melihat Aryan menjongketkan kening sebelah. Dia tahu niat rakannya itu.

"Arissa kenalkan, ini Encik Aryan. Sahabat baik saya merangkap rakan kongsi untuk projek baharu kita di PutraCyber nanti," ucap Faris sambil tersenyum.

Aryan bangun dan menghulurkan tangan ke arah Arissa dengan senyuman paling manis yang kerap digunakannya untuk memikat.

"Aryan."

Suara lelaki itu garau dan menggoda tapi Arissa langsung tidak tertarik. Dia hanya memandang huluran tangan Aryan. Sesaat, pandangannya beralih semula ke arah majikannya dan mengabaikan tangan Aryan yang tergantung di udara.

"Encik Faris, nanti saya emel tiket tu sekali dengan encik minta tadi. Tak ada apa-apa lagi, saya minta izin keluar dulu untuk bancuh air."

Arissa menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat kepada majikannya. Dia langsung tidak menghadiahkan secalit senyuman atau pandangan kepada Aryan. Dia berpaling dan melangkah keluar dari bilik itu dengan tenang dan bergaya.

Pintu bilik tertutup rapat dan Aryan yang masih berdiri terpaku seketika. Tangan yang dihulurkan tadi perlahan-lahan ditarik semula dan mula mengepal. Wajahnya yang tenang bertukar tegang.

Sepanjang umurnya tidak pernah ada mana-mana perempuan yang berani menepis atau mengabaikan kewujudannya seperti itu.

"Amboi, Aryan... emosi nampak?"

"Wow, sakit sampai sini wei!"

"Jangan haraplah kau nak guna charm kau ke Arissa tu. Dia tu beku sikit dengan lelaki yang dia tak kenal."

Aryan mengetap bibir seketika. Entah mengapa dia benar-benar merasakan kewibawaannya terasa dicabar.

"Arissa... beku? Kau biar betul?"

"Betul. Selama dia kerja sini, tak ada seorang pun lulus dengan cara kau tadi. Aku bos dia, aku tahu la."

"Habis tu ada business partner lain datang? Dia macam tu juga?"

"Tak pun. Elok aje. Mungkin muka kau nampak tersangat miang di mata dia agaknya."

Aryan mengangguk lambat ketika Faris mengutuknya. "Faris tapi... aura perempuan tu buatkan hati aku rasa tak tenteram."

Faris senyum nipis. "Ada-ada aje kau ni. Zizie nak buang mana?"

"Zizie lain. Dia lain. Dia ni jadikan sini aku ada degup-degup."

Dadanya ditumbuk perlahan. Entah mengapa ego Aryan yang setinggi gunung mula tercabar dengan sikap Arissa.

Faris hanya mampu menggeleng melihat sikap Aryan. Dia mendesah panjang dan menegakkan tubuh. Tangannya menepuk fail yang baru dibuka.

"Dah lupakan dia. Hoi, pandang aku! Ini apa cerita?"

***

Dua minggu kemudian, Aryan makin rajin muncul di pejabat Faris. Sejak mengenali pembantu peribadi Faris, dia sengaja menyibukkan diri dengan rakannya itu walaupun tiada hal penting.

Hari ini pun sama dia sengaja melangkah masuk ke ruang pejabat Faris. Pandangan dan langkahnya terhenti seketika pada susuk tubuh perempuan itu.

"Duduk buat kerja menaip pun cantik aje."

Aryan menghampirinya dan berdehem. Dia meneguk liur apabila perempuan itu mendongak memandangnya. Jantungnya bagaikan mahu gugur melihat wajah perempuan itu dengan lebih dekat.

"Pagi, Encik Aryan. Ada meeting dengan Encik Faris ke hari ni? Setahu saya Encik Aryan tak ada dalam jadual dia hari ni."

Aryan terbungkam seketika. Soalan perempuan itu langsung tidak dijawab kerana leka melihat kecantikan yang ada di depan mata.

"Awak ni memang macam ni ke dengan semua orang?"

Arissa hanya memandang wajah lelaki itu dengan wajah kosong. "Macam mana apa ya? Saya tak faham?"

Wajahnya diraup kasar. "Tak mesra."

Sunyi. Aryan membetulkan tali lehernya apabila Arissa tidak mengendahkan bicaranya. Saat perempuan itu memusingkan kerusi lalu bersandar di hadapannya, degupan jantung Aryan tiba-tiba menjadi tidak sekata.

Matanya terpaku pada Arissa. Entah mengapa, semakin lama dia memandang, semakin sukar untuk dia mengalihkan pandangan. Ada sesuatu pada perempuan itu yang membuatkan perhatian Aryan seolah-olah dirampas tanpa izin.

Buat pertama kali, dia mengakui dalam hati bahawa dia sudah mula terpesona dengan pembantu peribadi rakannya.

"Encik Aryan datang nak berbual dengan saya atau nak jumpa Encik Faris?"

"Dua-dua."

"Hah, apa dia?"

Aryan menggeleng dan memalingkan wajah sebaik tersedar. Ada rentak dihujung nafasnya. Jari telunjuknya naik ke wajah perempuan itu seketika sebelum beralih ke pintu pejabat Faris.

"Faris. Ya, saya nak jumpa Faris tapi saya kena jumpa awak dulu. Siapa nama awak?" soal Aryan, gagap.

"Arissa."

"Yes, Arissa. Saya kena jumpa awak dulu sebab saya memang tak ada temujanji dengan dia. Boleh tak awak beritahu dia saya datang."

Nafasnya dihela panjang ketika melihat Arissa mengangguk dan mengangkat ganggang telefon. Belum sempat dia menenangkan diri, pintu kaca pejabat Faris terbuka. Pandangannya beralih ke arah Faris dengan seorang lelaki tua di muka pintu.

"Encik Ezwan, apa khabar?" soal Aryan, ceria.

Spontan Aryan menghulurkan tangan dan bersamalan dengan lelaki tua itu.

"Khabar baik. Aryan sihat? Datang nak jumpa Faris ke?" tanya Ezwan disulami senyuman nipis.

"Haah, ada hal sikit," jawab Aryan, yakin.

Pada masa sama matanya melirik ke arah Faris sedang mendekati pembantunya dan berbisik sesuatu. "Elok pula dia dengan Faris."

"Faris, kau nak keluar dengan bapak kau?"

"Tak pun. Bapak, saya rasa barang tu boleh bagi Arissa bawa naik atas. Arissa awak temankan bapa mentua saya sampai lobi," tegur Faris lembut ketika melihat mentuanya selesai berbual dengan Aryan dan mengalihkan pandangan ke wajah Arissa.

"Baik, Encik Faris," sahut Arissa.

"Boleh. Tak ada masalah. Bapak faham awak sibuk," balas Ezwan.

Aryan dan Faris berdiri tegak sambil menyeluk poket melihat lelaki tua itu pergi bersama Arissa. Sesaat kemudian Faris menepuk bahu rakannya kuat.

"Kau nak apa datang sini? Masuk."

Aryan masuk dan terus duduk di hadapan rakannya tanpa banyak bicara. Cara Arissa bekerja, bercakap dengan Faris, meminta maaf dan menjaga kerja Faris cukup mengusik hatinya.

"Kau sibuk ke hari ni Faris?"

"Tak. Kenapa?"

"Aku nak bincang pasal projek hari tu."

Faris memandang rakannya dengan wajah pelik dan itu cukup membuatkan Aryan ketawa sinis. Dia tunduk dan menggaru dahi sekejap sebelum membanting dengan sarat keluhan.

"Kau cakap betul-betul Aryan. Kau nak apa?"

"Sebenarnya... ada sikit benda yang aku nak tahu daripada kau."

"Hmm, walaupun alasan kau macam... tak strong tapi tak apa. Aku layankan sebab aku tak buat apa hari ni. Ada apa yang kau nak tanya. Tanya sekarang sebelum aku keluar lunch dengan Arissa."

Aryan membetulkan duduk dan terbit batuk kesat seketika.

"Kau nak keluar lunch dengan Arissa? Boleh sangat aku ikut. Kita boleh sembang sambil makan-makan dengan dia."

"Kau ikut?" soal Faris, terkejut.

"Kenapa? Tak boleh?" tanya Aryan, kasar.

"Boleh. Aku cuma was-was dengan kau," balad Faris sambil menggeleng.

"Apa yang was-was?" soal Aryan dengan nada tidak puas hati.

Tangannya ligat mengemas dokumen di atas meja. Senyuman pula dikunyah sehabis boleh melihat sikap rakannya seperti sudah berubah.

"Sejak bila kau suka ikut aku makan dengan staff?"

"Banyak sangat soal kau ni. Aku nak makan pun salah ke?"

Berderai tawa Faris mendengar bicara rakannya. Dia bersandar di kerusi dan menekup wajah. Bahunya juga bergegar tanpa henti dengan bicara Aryan.

"Salah tu tidak. Kau ni Aryan bukan Roy atau Khairy. Sebelum ni kau mana nak bila aku dengan yang lain lepak makan dengan PA."

Aryan merengus. "Kau juga kata manusia boleh berubah."

Faris mengangkat tangan dan menidakkan bicara Aryan. Tawanya masih lagi bergema di ruangannya sendiri melihat Aryan cuba berubah dan dia tahu sebabnya.

"Orang lain aku percaya tapi kau... datang pejabat aku tanpa urusan. Sekarang nak ikut aku lunch pula."

Aryan terdiam seketika. "Tadi bukan ke aku dah kata nak bincang pasal projek."

Faris mengangkat kening bertubi-tubi. "Projek apa?"

"Projek hari tu."

"Projek yang kita meeting tu bukan ke kita dah serahkan...."

"Aahh, tak kira! Kau jangan nak kedekut sangat PA kau. Ya aku jujur. Aku datang sini sebab dia. Puas hati kau," sampuk Aryan sebelum rakannya habis berbicara.

"Gilalah kau!" maki Faris.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience