Series
795
MAKAN malam hari ini merupakan detik yang cukup bermakna untuk Haira dan Norman. Setelah berbulan-bulan mereka terpisah kerana kerja, akhirnya mereka dapat menghabiskan masa bersama-sama.
Haira duduk berhadapan dengan Norman dan mereka menikmati hidangan yang ada di meja tanpa banyak bicara. Sesekali Norman bersuara dan menyoal rutin Haira selama dia tiada di sini.
"Mana tahu dia senyap-senyap buli adik masa kerja."
"Mana ada. Alhamdulillah, sepanjang saya kerja dengan dia, dia tak pernah buli saya."
"Nizam kenapa tak datang?"
"Dia kena masuk kerja. Kilang blackout pula katanya tadi."
"Orang dah pangkat senior. Sibuklah dia ya."
Haira senyum nipis ketika Norman mengalihkan pinggan berisi udang jauh daripadanya.
"Biarlah situ. Bukan ganggu pun."
"Ganggu. Mana tahu nanti tiba-tiba udang tu melompat masuk pinggan adik. Macam mana?"
Makin meleret senyuman Haira melihat abang tirinya tersenyum. Sungguh dia tidak menyangka abangnya begitu prihatin dengannya.
"Ada-ada aje abang ni."
"Lepas ni nak pergi jalan-jalan ke terus balik rumah?"
Belum sempat Haira bersuara satu suara manja menyapanya. Tubuhnya menegak dan satu keluhan panjang dilepaskan.
"Haira."
Haira memanggung wajah dan menoleh. Zizie tiba-tiba muncul dan berdiri di sebelah meja mereka dengan senyuman yang melebar.
"Wow, memang kau! Tak sangka betul dapat jumpa madu aku dekat sini. Lama rasanya kita tak jumpa."
Sudu di tangan digenggam kuat. Haira hanya memandang wajah Zizie dengan perasaan benci dan meluat. Baginya, setiap kali pertemuan dengan Zizie dadanya pasti terasa sesak, jantung pula berdegup laju. Ada sesuatu yang membuatkan peristiwa hitam tersebut kembali bermain di fikirannya.
"Kau nak apa dengan aku?"
"Masih sama macam dulu, sombong walaupun dah kalah."
Zizie spontan menarik kerusi dan tanpa dipelawa, dia duduk di sebelah Norman dengan postur tubuh yang menggedik.
"Apa lagi ni Zizie? Aku tak kacau pun hidup kau," keluh Haira.
"Aku cuma nak tanya khabar madu aku. Sakit nak mati ke sampai boleh kurus sebanyak ni. Tak boleh ke?" soal Zizie.
Matanya mula melirik ke arah lelaki bertubuh tegap dan berotot bersama Haira. Lelaki itu kini nampak segak dan bergaya daripada suaminya. Sesaat kemudian dia mendekatkan wajah dan mengenyit mata pada Norman.
"Dia siapa dengan kau Haira? Jangan cakap dia dah jadi suami kau?"
Norman yang sejak tadi diam menoleh ke arah Zizie. Haira pula masih lagi mengetap bibir menahan amarahnya.
"Setahu aku, suami aku tak pernah ceraikan kau," sindir Zizie.
"Cukup Zizie!" bentak Haira.
"Kenapa? Aku cuma cakap benda betul," balas Zizie sambil bermain mata dengan Norman.
"Tapi Haira, kalau betullah kau dah ada suami baru kenapa aku tak tahu?" tanya Zizie dengan niat menyindir.
"Suami segera ya? Dah berapa orang selain Norman? Upss, tersebut pula depan Norman."
Norman meletakkan sudu. Tubuhnya menegak, bahunya menegang. Dia perlu melakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
"Cukup!"
Zizie ketawa sinis. Tangannya naik menyentuh lengan Norman yang berotot lembut.
"Awak ni ada kawan Haira sorang aje ke? Bosannya hidup. Awak tahu tak yang dia dah kahwin dan sebabkan awak juga dia dimadukan."
Norman menepis tangannya kasar. "Jaga sikit perangai tu."
Senyuman di wajah Zizie berubah melihat Norman bangun. Dia hanya memandang lelaki itu dengan kening terjongket. Mulutnya terbuka kecil apabila Norman menarik tangan Haira.
"Dah ada suami, buat cara ada suami. Jom Haira, kita pergi tempat lain."
Zizie ketawa riang melihat Haira bangun dan mengikut Norman pergi meninggalkannya. Bibir digigit kecil dan rambutnya diselak lembut sebelum menjerit.
"Hei, jantan!"
Langkah Norman dan Haira terhenti seketika. Zizie bangun dan menghampiri mereka dengan wajah tegang.
"Norman... Norman. Apa specialnya dia sampai kau sanggup reject aku mentah-mentah?"
Norman menjeling Zizie. Dia memilih diam dari berbicara dengan perempuan perosak itu.
"Tangan yang kau pegang tu pun, milik suami aku juga. Jangan lupa ya, dia ni masih isteri suami aku."
Haira meleraikan genggaman Norman dan mendekati Zizie namun usahanya sia-sia. Belum sempat dia membuka mulut, Norman menarik pinggangnya dan memeluk bahunya erat di depan Zizie.
"Kisah pula aku dia ni isteri siapa. Kau nak apa daripada dia? Kau usik dia, kau siap."
Zizie memalingkan wajah seketika apabila tersedar pelanggan lain sedang memerhatikan mereka. Jarinya selamba singgah di pipi Norman dengan senyuman menggoda.
Haira memandang Zizie dengan pandangan kesal. Perempuan itu masih tidak berubah walaupun sudah nikah dengan Aryan.
"Jadi apa salahnya kau layan aku juga," bisik Zizie, perlahan.
"Gila."
Norman menggeleng dan menepis jari Zizie yang merayap di pipinya. Dia terus menarik Haira keluar tanpa menoleh.
***
Malam makin memanjat hari, pintu bilik terbuka kasar dan mengejutkan Aryan yang sedang lena dibuai mimpi. Dia mengeluh kasar, memejamkan mata semula ketika melihat Zizie masuk ke dalam bilik.
"Lewat balik baby."
Tidak sampai sesaat, matanya segar apabila rongga hidungnya menangkap bau alkohol yang sangat kuat. Aryan berpaling dan memandang Zizie merebahkan tubuh di sebelahnya.
"Zizie," tegur Aryan.
Lengan isterinya tiba-tiba melingkar kemas di pinggangnya. Nafasnya berbau sehingga Aryan terpaksa menolak dan bingkas bangun.
"Eeuu... busuknya!"
Aryan yang sedang duduk di atas katil menepuk kaki dan pinggul isterinya kuat. Dia tahu Zizie mabuk dan sebagai suami, dia perlu buat sesuatu.
"Baby mabuk lagi?"
Zizie mengeliat kecil, berpusing dan mendekati suaminya sedang duduk memandangnya. Tangannya cuba memeluk suaminya semula.
"Darling...."
"Jangan baby!"
Aryan menolak tubuh perempuan itu ke tepi dan melompat turun dari katil.
"Baby, apa kena dengan awak ni? Bau busuk satu bilik."
Zizie ketawa mengekek. Matanya separuh tertutup dan tangan melambai-lambai lemah memanggil suaminya.
"Baby minum sikit aje dengan Rara."
Aryan mendekati isterinya. Pergelangan tangan isterinya digenggam kemas, sebelah lagi menarik pinggang Zizie agar turun dari katil.
"Turun baby. Pergi mandi sana."
"Alaaa...."
Tubuh Zizie hilang keseimbangan ketika dia menarik isterinya. Dia berusaha mengangkat tubuh Zizie dan di bawa ke bilik air. Serentak itu tangan isterinya memaut tengkuknya.
"Darling... kita dah lama tak...."
"Zizie!"
Nada suara Aryan berubah tegas namun Zizie masih lagi tersenyum manja. Dia mengelak setiap kali isterinya mendekatkan wajahnya.
"Darling, awak tak rindukan baby, hmm," rengek Zizie.
Aryan menghela nafas kasar ketika Zizie cuba mengodanya. Dia mematung dan membiarkan isterinya memeluk dan mencium pipinya seketika sebelum mengheret Zizie ke bilik air.
"Sudahlah baby. Kita mandi dulu."
"Tadi saya nampak orang...."
Aryan langsung tidak mengendahkan bicara Zizie. Dia masih lagi cuba membantu isterinya berdiri dengan betul.
"Darling dengar tak... saya jumpa Haira."
Aryan terdiam sebaik sahaja berjaya membawa Zizie ke dalam bilik air.
"Darling nak tahu tak... dia dengan siapa?"
"Lantaklah dia. Bukan masalah saya."
Zip baju Zizie dibuka tanpa mengendahkan bicara isterinya. Entah mengapa dia seperti tidak mahu dengar cerita dan nama itu.
"Awak... dia dengan lelaki tu... Norman."
Tangannya yang baru sahaja menanggalkan baju Zizie tiba-tiba membeku di udara. Wajahnya yang tadi tenang mula berubah tegang.
"Apa dia baby? Ulang balik."
"Terkejut ke darling? Saya agak dah darling terkejut. Saya memang nampak mereka makan sama-sama. Mesra sangat."
"Haira dengan Norman?" soal Aryan.
"Haah. Siap peluk macam ni, pegang tangan lagi," jawab Zizie sambil tersengih.
Aryan membuka pili air dan berlagak tenang. "Baby nampak dia dekat mana?"
"Hotel. Gaya mereka nampak macam pasangan suami isteri. Siap masuk bilik sama-sama."
Aryan mengetap rahang. Entah mengapa dadanya terasa pedih. Sudah lama nama itu tidak ada kaitan dengan hidupnya tetapi setiap kali nama perempuan itu muncul dengan nama lelaki itu, amarahnya mula membuak-buak.
"Dia dengan siapa pun, saya tak kisah dah baby. Saya ada baby yang selalu manja dan pandai melayan saya."
Tubuh Zizie yang basah dipeluk erat dan mereka basah bersama-sama dibawah pancutan air. Aryan cuba melupakan nama itu dan menarik Zizie ke bawah pancuran air. Dia membiarkan isterinya itu basah bersamanya.
Sayangnya, susuk tubuh yang berisi, wajah yang sugul dua tahun lepas mula menghantui fikirannya tanpa dipinta.
"Aku cuma ada Zizie bukan dia."
Suasana berbeza di rumah Haira. Dia terjaga dari tidur dengan wajah pucat dan berpeluh teruk. Nafasnya pula laju hingga dia terpaksa duduk sekejap.
"Ya Allah, kenapa aku mimpi dia!"
"Haira, you okey ke tu?"
Haira menoleh ke arah pintu bilik yang tertutup. Dia menarik nafas panjang sebelum menjawab soalan Faizah.
"Saya okey. Saya cuma mimpi."
"You nak I temankan you tidur?"
"Eh, tak apa Faiz! Saya okey aje ni."
Tangannya menggenggam selimut erat. Kepalanya disembamkan ke katil. "Semua sebab kau jumpa Zizie tadi sampaikan kau mimpi dia, Haira Arissa."
Share this novel