Series
795
SELESAI makan tengah hari, Aryan mengikut Faris keluar atas urusan kerja. Sejak rakannya pulang dari Sandakan, sudah lama mereka tidak bekerjasama. Hanya disebabkan tiga projek baru ini, mereka terpaksa meluangkan masa bersama-sama.
"Aryan, kau nak ikut balik pejabat dulu?" tanya Faris sambil berjalan keluar dari restoran.
"Tak. Semua benda dah ada dalam kereta kau. Kenapa?" soal Aryan, spontan.
"Aku nak singgah naik pejabat semula. Ada dokumen yang aku tertinggal untuk meeting kita petang nanti," balas Faris.
Aryan mengangguk malas. Telefon di tangan dimasukkan ke dalam poket seluar sebelum mengekori Faris menuju ke pejabatnya di seberang jalan.
"Macam mana jadi bos boleh cuai," sindir Aryan.
"Bos pun manusia," balas Faris dengan tawa kecil.
Beberapa minit kemudian Aryan mengeluarkan cermin mata hitam dan menyapa Faris sebaik tiba di lobi syarikat.
"Faris, aku tunggu sini. Nak call someone."
"Set. Jangan risau aku naik sekejap aje."
Aryan hanya memandang Faris di tangga sebelum mengeluarkan telefon. Niatnya mahu mendail nombor terhenti ketika mendengar suara seorang perempuan memanggil Faris dengan lembut.
Matanya mengecil memandang perempuan itu sedang memeluk beberapa fail di dada di hadapan Faris. Penampilannya sederhana, rambut yang panjang yang beralun diikat rendah dengan tocang skarf manakala wajahnya tetap nampak tenang walaupun jelas kelihatan penat. Mungkin dia berlari ke bawah cari rakannya.
Tanpa sedar, langkah Aryan perlahan-lahan menghampiri mereka. Dia hanya memerhati mereka berbual dengan tenang.
"Nah, ini semua yang encik minta tadi. Saya minta maaf sebab tak perasan fail tu tertinggal."
Faris senyum nipis dan mengambil fail di tangan pembantunya. "Terima kasih. Tadi saya dah kata biar saya naik. Kenapa awak turun juga?"
Hujung kening digaru sambil tersengih. "Saya risau encik lambat. Kebetulan masa encik mesej kata dah siap makan, saya memang dah ada dekat pejabat."
"Oh, saya sangka awak tengah makan. Terima kasih ya. Saya gerak dulu."
Perempuan itu mengangguk dan beredar selepas Faris tunduk memandang fail di tangan. Aryan pula masih berdiri di sebelah Faris. Matanya mengekori langkah dan lengguk perempuan tersebut sehingga hilang di sebalik pintu kaca.
"Dah. Tadi kau kata naik kereta aku... kereta kau tinggal sini, kan? Aryan?"
Sunyi. Faris menoleh dan memandang wajah Aryan dengan wajah pelik. Dia menoleh ke arah pintu utama dan memandang rakannya semula dengan mata membulat.
"Aryan, kau tengok apa?"
Aryan tersentak. Dia mengalihkan pandangan dan menggeleng menafikan perasaannya.
"Siapa tu tadi, Faris?"
Faris menjongketkan kening sebelum membuat muka keliru. Sungguh dia tidak faham dengan soalan rakannya.
"Maksud aku... perempuan tadi. Borak dengan kau tu."
"Oh, dia tu!"
Faris tersenyum dan beredar menuju ke kereta manakala Aryan membuka cermin matanya dengan wajah bengang. Dia melajukan langkah dan mengekori rakannya dari belakang.
"Kau ni Faris, aku tanya kau ni."
"Dia tu PA baru aku."
Titt!
Bunyi pintu kereta dibuka menggunakan kunci alat kawalan jauh menghentikan lamunan Aryan. Serentak itu Aryan spontan menahan pintu kereta di bahagian pemandu dari dibuka. Dia memandang wajah rakannya dengan dahi berkerut. Mereka saling berbalas riak wajah seketika sebelum Aryan bersuara.
"PA?"
"Personal assistant."
Aryan merengus dan menjulingkan mata. "Aku tahu maksud tu, gila."
Tangan Faris naik menolak pipi Aryan. "Baguslah tahu. Dah, masuk kereta atau kau nak drive?"
Aryan beredar ke bahagian penumpang laju. Dia masuk dan pada masa sama mulutnya masih menyoal Faris.
"Aku tak pernah tahu pun kau ada PA baru."
"Kau dah lama tak datang pejabat aku. Kita pun dah lama tak buat kerja sama-sama. Mana kau nak tahu?"
Aryan tidak menjawab. Dia sempat menoleh sekali lagi ke arah pintu kaca tadi ketika menarik tali pinggang keselamatan dan melintas di pintu utama syarikat.
"Time lepak-lepak boleh aje cerita," bebel Aryan tanpa sedar.
"Kenapa? Kau nak aku buat majlis raikan hari pertama PA aku ke Aryan," usik Faris sambil memandu.
"Mengarutlah kau. Taklah, apa salahnya cerita," keluh Aryan tidak mahu mengalah.
"Kau macam tak kenal aku. Kerja is kerja, luar waktu kerja, aku akan lupakan," balas Faris sambil memandu.
"Cantik."
Faris yang sedang memandu menoleh dan menepuk kepala Aryan selamba supaya roh rakannya kembali ke sedia kala.
"Apa yang cantik?"
Aryan merengus. Rambutnya dirapikan sambil ketawa hambar. Cermin mata dipakai semula demi menutup resah di hati.
"Aku kata... kereta kau cantik."
Faris tersengih. "Kereta aku? Sejak bila kau pandai puji kereta aku? Dulu kau bukan tak suka ke kereta ni?"
Aryan membuang pandangan ke luar tingkap. "Dulu ya, sekarang tak."
***
Malam makin memanjat hari. Aryan melangkah masuk dengan langkah malas. Pandangannya mula meliar ke segenap ruang yang ada. Tiada suara manja Zizie menyambut kepulangannya.
"Zizie?"
Sunyi. Tiada jawapan. Kakinya laju melangkah ke pintu bilik namun susuk tubuh yang dicari masih lagi tiada. Dia mengeluarkan telefon, membuat panggilan video tapi sayang panggilannya tidak dijawab.
"Tak angkat pula. Mana dia pergi?"
Dia mencuba sekali lagi sambil menghempaskan tubuh di atas katil tapi masih lagi sama hasilnya.
"Biarlah dia."
Telefon dilepaskan kasar. Penat seharian bekerja, menguruskan urusan di luar pejabat bersama Faris membuatkan kepalanya terasa sakit dan pening. Dia memejam mata dan lengan mula menyilang di dahi.
Tiba-tiba matanya terbuka luas memandang siling. Nafasnya yang tadi tenang berubah rentak. Mana mungkin wajah seorang perempuan tiba-tiba muncul dalam fikirannya.
"Rambut panjang, sedap mata memandang, suara lembut pula tu bila bercakap dengan Faris," gumam Aryan.
Aryan mengeluh. Dia bangun dan duduk sambil meramas rambutnya sendiri.
"Apa benda aku fikir ni?"
Tangannya mula menarik kemeja keluar dari seluar. Sebaik sahaja butang pertama dibuka, wajah perempuan tadi muncul lagi.
"Kenapa aku ingat perempuan tu?"
Aryan menggeleng seketika sebelum meneruskan membuka butang kemejanya. Sayangnya fikirannya masih melekat dengan perempuan tadi.
"Rambut tu aje menarik sebab dia pandai buat fesyen rambut. Lain tu... tak ada apa-apa pun menarik. Banyak lagi perempuan cantik dekat luar sana."
Aryan bangun dan menanggalkan baju. Niatnya mahu membersihkan diri tapi entah mengapa langkahnya terhenti di hadapan cermin. Dia memandang dirinya di pantulan cermin seketika.
"Aku bukan jenis suka perempuan pejabat tapi kenapa asyik muka dia aje yang muncul?"
Tuala di tepi singki ditarik lambat. Dia membebel sendirian ketika menanggalkan seluar.
"Buang masa betul nak fikir pasal perempuan orang. Faris punya PA pula tu. Sudahlah Aryan. Kau penat sangat ni."
Share this novel