Bab 4

Romance Series 69

"Kau kata... kau sanggup buat apa saja untuk selamatkan perempuan tua tu, kan?"

​Suara Lucca bergema perlahan di dalam ruang kerja yang dingin. Sepasang matanya merenung tajam ke dasar mata Serena.

​Serena tidak memalingkan wajah. Dia mengaitkan jarinya, menahan gejolak rasa terdesak yang masih tersisa di dalam dada.

​"Aku pegang kata-kata aku." balas Serena, suaranya dikawal seketat mungkin. "Kau nak aku buat apa?"

​Lucca menyengetkan kepalanya sedikit. Dia berjalan menghampiri dinding kaca tinggi yang memaparkan lampu-lampu kota yang memancar malap dari kejauhan. Sebelah tngannya dimasukkan ke dalam poket seluar slack hitamnya.

​"Seseorang dah bawa Stella tanpa jejak, tanpa menuntut wang tebusan." Lucca bersuara mendatar, matanya memandang kosong ke luar dinding kaca. "Aku tahu Stella bukan lari. Semua ni ada kaitan dengan musuh yang nak sabotaj empayar Matthias dan Hayes serentak."

​Serena mengerutkan keningnya. "Musuh kau?"

​"Victor Vael " nama itu meluncur dingin dari bibir Lucca. "Dia pemilik syarikat keselamatan berprofil tinggi dan Kasino Black Velvet di tengah kota. Tiga minggu lepas, aku potong tawaran pelaburan terbesar dia di Eropah. Dia ada sebab kukuh untuk buat aku menanggung malu."

​Serena mencerna setiap patah perkataan itu. Kasino elit Black Velvet, tempat berkumpulnya taikun-taikun berpengaruh, ahli politik korup, dan penjenayah kolar putih. Tempat yang tersangat ketat dengan sistem kawalan keselamatan.

​"Kau nak aku buat apa dekat tempat tu?" Serena bertanya terus ke poin utama.

​Lucca memusingkan tubuhnya semula, merenung Serena. Perempuan ini cepat menangkap maksudnya.

​"Media dan ratusan tetamu yang datang hari lepas tak ada seorang pun tahu perempuan aku nikahi bukan Stella. Lagipun kau, tak ada siapa pernah tengok wajah kau di sebalik liputan rasmi keluarga Hayes." Lucca mengambil satu langkah mendekat. "Di mata dunia, kau cuma bayangan. Kalau kau masuk ke Kasino Black Velvet sebagai pengiring VIP baru di bawah susunan Mateo... orang takkan pernah tahu kau isteri aku."

​Serena terdiam sejenak. Memikirkan segala macam risiko. Kasino itu seperti sarang ular beracun. Jika dia lakukan satu kesilapan kecil, nyawanya terus lenyap tanpa siapa pun sedar.

​Serena menentang pandangan Lucca dengan berani. "Aku takkan pertaruhkan nyawa aku secara percuma, Lucca. Apa jaminan kau?"

​"Nyawa perempuan tua tu." Lucca menjawab tanpa ragu. "Pusat rawatan dialisis Mak Su kau akan beroperasi macam biasa. Aku akan jamin keselamatan dia, dan semua kos rawatan dialisis akan ditanggung penuh bawah akaun peribadi empayar Matthias. Aku nak imbalan sama rata. Kau kena bawa maklumat dari dalam Kasino Black Velvet untuk aku."

​Serena mengepal erat penumbuknya di sisi badan. Wajah Stella bermain di matanya. Apa sebenarnya yang terjadi? Di mana Stella? Soalan demi persoalan mengacau isi kepalanya. Jauh di sudut hati, timbul rasa bimbang. Bagaimana kalau Stella...

Serena memejamkan kelopak mata kejap. Mengusir kemungkinan yang baru ingin menapak.
​
​"Aku setuju," Serena beri jawapan muktamad. "Dengan syarat, kau jangan cuba ubah fikiran dan libatkan Mak Su aku atas urusan kau dengan papa mama aku... Kalau kau tak tepati kata-kata kau sendiri, aku akan hancurkan rancangan kau."

​Lucca tidak membalas. Hanya hujung bibirnya yang terangkat sinis.

•••

Di satu sudut kota yang jauh dari hiruk pikuk kebisingan. Ruangan suite mewah berdinding kedap bunyi berdiri megah. Hiasan dalamannya berasaskan kayu mahogani gelap, berlantaikan permaidani tebal. Lampu dinding memancarkan cahaya malap berona keemasan. Sebuah ​Ruangan penthouse yang mana pintu utamanya diperbuat daripada keluli berkunci khas dari luar.

​Di atas sofa baldu berwarna merah tua, bayangan tubuh seorang gadis duduk memeluk kedua lututnya.
Wajah anggun yang sentiasa di solek sempurna itu kini nampak pucat. Matanya yang bengkak akibat menangis ketakutan tanpa henti dua hari lalu dari tadi hanya menikam lama permaidani yang menghampar lantai.

​Tangannya bergetar hebat memeluk erat lututnya sendiri. Setiap kali telinganya mendengar desiran pendingin udara di ruangan itu, dadanya berombak kencang menahan ketakutan yang amat sangat.

​Dia tidak tahu dia berada di mana. Dia tidak tahu kenapa dia diculik dari bilik hotel beberapa jam sebelum majlis perkahwinannya dengan Lucca Matthias.

Keheningan ruang itu terasa seperti membunuh jiwanya perlahan-lahan. Terasa lebih menyiksa walaupun fizikalnya tidak di sakiti.

​Klik.

​Bunyi mekanisme kunci pintu utama terbuka memecahkan keheningan suite tersebut.

​Tubuh Stella tersentak hebat. Dia merapatkan badan ke bucu sofa, matanya terbuntang besar menatap ke arah pintu yang mula terdorong ke dalam.

​Sepasang kasut kulit menapak masuk. ​Sosok tubuh tegap yang dibungkus kemeja hitam melekap kemas pada dada bidangnya melangkah melepasi bayang-bayang lampu malap. Tangan kanannya memegang segelas wiski.

​Dia berdiri beberapa tapak di hadapan Stella. Tanpa mengeluarkan sepatah kata. Asap rokok nipis berkepul perlahan dari celah jemarinya Sepasang mata gelap itu merenung kaku ke arah Stella yang sedang menggigil ketakutan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience