Series
69
Suasana di dalam suite utama hotel mewah itu bertukar panik. Atas permukaan katil bersaiz king, sepasang gaun pengantin putih rekaan Valentino bertatahkan ribuan kristal Swarovski tergeletak kaku.
Dua jam lagi tinggal sebelum majlis perkahwinan penuh gilang gemilang abad ini di mulaikan. Perkahwinan yang akan menyatukan dua empayar besar di kota ini. Keluarga Hayes dan Empayar Matthias.
"Mana Stella, Julian?! Kau cakap dengan aku sekarang, mana anak kesayangan kau tu?!" Daria menjerit perlahan. Nadanya ditahan sekuat hati, takut suaranya melepasi pintu kalis bunyi suite mewah tersebut.
Tangannya gemetar hebat sewaktu mencampak telefon yang sudah puluhan kali membuat panggilan tanpa jawapan.
Julian berdiri kaku di hadapan dinding kaca yang memaparkan lanskap malam kota metropolitan. Wajah lelaki separuh abad itu tegang. Sedikit pun tidak berkutik. Puas dia mencerna kejadian saat ini. Langsung tak temui jawapan.
"Pintu balkoni terbuka..." suara garaunya kedengaran bergetar. "Telefon, beg tangan dia... semua ada atas meja rias. Tapi Stella langsung tak ada."
"Tak ada?! Kau gila ke Julian?!" Daria menekap tangan ke dada, nafasnya termengah-mengah. "Dekat luar tu ada para menteri, rakan kongsi antarabangsa, yang paling penting... keluarga Matthias dah sampai kat bawah! Marcus dan Lucca bukan orang yang kita boleh bagi alasan bodoh! Kalau dorang tahu Stella hilang... kalau Lucca tahu..."Daria tidak sanggup menghabiskan ayatnya.
Mengusik keluarga Matthias umpama menjentik ekor naga yang sedang tidur. Lucca Matthias bukan membina empayarnya dengan sikap murah hati. Jauh lagi memaafkan. Satu kesilapan kecil dalam perjanjian perkahwinan ini, empayar Hayes yang sedang terumbang-ambing kerana hutang boleh lelaki itu hancurkan dalam sekelip mata.
Pintu suite ditolak dari luar secara bersahaja.
Serena melangkah masuk. Jaket kulit hitam yang tersarung di tubuhnya masih melekat dengan bauan antiseptik hospital. Rambut panjangnya diikat rendah ke belakang. Dia baru saja pulang dari pusat rawatan dialisis, seharian tadi menemani Mak Su, satu-satunya insan yang benar-benar peduli padanya dalam keluarga ini.
"Kenapa ni?" Datar saja nadanya bertanya. Sorot mata dinginnya memandang dua wajah yang tampak gelisah itu.
Daria pandang Serena. Untuk pertama kalinya pandangan mata itu tak memandang Serena dengan riak jijik. Yang ada hanya pandangan yang sangat terdesak.
"Serena..." Daria melangkah pantas mendekati anak bongsunya itu. Tangannya naik memaut kedua-dua belah bahu Serena. "Kakak kau... Stella tak ada."
Serena tidak berkedip mendengarnya. "Tak ada? Maksud Mama?"
"Dia hilang! Ada orang dah bawa dia keluar atau dia lari... Mama tak tahu!" Daria merayu, air matanya akhirnya menitis. Bukan risaukan keselamatan Stella, tapi dia dan suaminya lebih risaukan reputasi dan kekayaan yang bakal hancur.
"Majlis lagi dua jam, Serena. Wartawan dan tetamu kehormat dah sampai kat dewan utama. Lucca Matthias dah ada dekat ruang VIP!"
Serena menarik bahunya perlahan-lahan, melepaskan cengkeraman sang mama. Dia faham benar apa sedang bermain di isi kepala dua manusia itu. "Jadi? Mama dan papa cari lah dia. Hubungi pengawal keselamatan hotel. Tengok kamera litar tertutup."
"Tak boleh!" Julian akhirnya berpaling, mencelah tegang. "Kalau kita buka siasatan sekarang, berita perkahwinan ni batal akan tersebar ke pihak media dalam masa lima minit! Lucca Matthias takkan bagi kita peluang untuk jelaskan apa-apa. Kalau dia tahu pengantin dia tak ada... dia akan tarik balik semua dana pelaburan dan lesen empayar kita malam ni juga!"
Serena tergelak kecil. Bukan Stella yang mereka risaukan. "Jadi, batalkan je lah. Bagitau dia hal sebenar."
Suasana bertukar hening.
"Kau..." Daria menunjuk ke arah Serena, nadanya di tekan. "Kau kena ganti tempat Stella." Pernikahan ini tidak akan mereka batalkan.
Serena terpaku. Untuk saat itu, jantungnya seolah-olah berhenti mengepam darah. Langkahnya berundur satu tapak ke belakang, matanya merenung ibunya dengan rasa tidak percaya yang amat sangat.
"Mama gila ke?" Serena bersuara, nadanya mula naik satu oktaf. "Ganti tempat Stella?! Tu Lucca Matthias, Ma! Dia bukan buta tak kenal siapa tunang dia sendiri!"
"Guna veil tebal!" Daria menarik tangan Serena semula, lebih keras. "Gaun pengantin ni ada veil empat lapis rekaan khas. Sepanjang kau berjalan, muka kau takkan nampak jelas. Pasal Stella, kita perlukan masa untuk cari dia balik.
"No. Hell no!" Serena menepis tangan ibunya kasar. Mukanya merah padam menahan rasa terbakar di dalam dada. "Selama ni Mama dengan Papa layan Serena macam sampah! Mana-mana, muka Stella yang Mama tayang! Muka Serena Mama sorok sebab takut bagi malu keluarga! Sekarang, bila Stella hilang... Mama nak petik jari suruh Serena sarung baju dia demi selamatkan maruah Papa dan Mama?!"
"Serena! Jangan nak kurang ajar dalam keadaan macam ni!" Julian meledak, menuding jari tepat ke muka Serena. "Ni pasal maruah dan kelangsungan hidup keluarga kita!"
"Maruah keluarga Papa, bukan maruah Serena!" Serena membalas berani. Matanya menikam tepat ke dalam anak mata Julian tanpa ada rasa takut sedikit pun. "Papa dan mama cari pengantin ganti lain. Serena nak balik." Serena berpaling, mula mengatur langkah ke arah pintu keluar.
"Pusat rawatan dialisis Mak Su Aria kau..."
Langkah Serena terhenti serta-merta. Tangan di sisi tubuh mengepal rapat.
Nada Julian dingin tanpa perasaan.
"Pusat rawatan tu berdiri atas tanah milik empayar Hayes, Serena. Lesen perubatan dan semua fasiliti hospital tu berdaftar atas nama syarikat kita." Julian melangkah mendekati anak bongsunya dari belakang. "Kalau majlis malam ni batal, dan empayar Matthias jatuhkan hukuman... perkara pertama yang Papa akan tutup dan lelong ialah pusat rawatan tu."
Serena berpaling perlahan-lahan. Dadanya turun naik menahan amarah. "Papa jangan libatkan Mak Su..."
"Papa tak ada pilihan, Serena!" jerkah Julian, hilang pertimbangan. "Kau tahu Mak Su kau tu bergantung hidup dengan mesin dialisis kat situ setiap tiga hari! Kalau pusat tu ditutup malam ni, kau ingat hospital lain nak terima pesakit kritikal tanpa bayaran deposit ratusan ribu?! Kau nak tengok Mak Su kau mati melutut sebab keras kepala kau!"
Serena mengancing rapat giginya. Pandangannya kemudian terarah pada sang mama yang sedang memegang gaun pengantin di tangannya, lalu memandang semula Julian yang menatapnya tanpa sepalit rasa bersalah.
Serena menarik nafas panjang, menyedut udara bilik yang terasa menyesakkan dada dalam-dalam sebelum menghembuskan nafas perlahan. Gaun pengantin yang di hulur Daria di rampasnya dengan kasar. Kain gaun itu di cengkeram kuat.
Julian dan Daria berpandangan. Lega bila Serena akhirnya mengalah.
•••
Dewan besar itu bermandikan cahaya kristal yang memantulkan kemewahan tanpa batas. Ratusan tetamu berpakaian rasmi duduk tertib di tempat masing-masing. Barisan media antarabangsa merakam setiap detik dari sudut yang ditetapkan.
Di hujung permaidani merah, berdiri seorang lelaki.
Lucca Matthias.
Wajah kaku tanpa segaris senyuman. Sut hitam potongan Itali membungkus tubuh tegapnya. Sepasang mata kelabu gelapnya memandang lurus ke hadapan. Tiada siapa yang berani berdiri terlalu dekat dengannya tanpa diundang.
Pintu dewan terbuka perlahan.
Sosok tubuh bergaun putih melangkah masuk, diiringi alunan muzik klasik yang lembut. Wajahnya terlindung di sebalik veil empat lapis fabrik tulle tebal yang meleret mewah hingga ke lantai.
Semua tetamu menoleh, mengukir senyuman di bibir masing-masing. Mengagumi pengantin perempuan. Mereka percaya jika wanita yang sedang menyusuri altar itu adalah Stella Hayes, pengantin yang dijanjikan untuk sang taikun.
Ritma jantungnya sudah tak terkawal ketika kakinya melangkah di atas permaidani merah itu. Tapak tangannya sudah basah dengan peluh dingin. Hujung jari menggeletar menahan debar.
Di sebalik veil tebal itu, pandangannya terkunci pada kasut kulit hitam di hadapannya yang semakin menghampiri . Hingga akhirnya berdiri betul-betul di hadapannya.
Dari jarak sedekat itu, bau wangian maskulin bercampur tembakau mewah menerpa indra Serena. Lucca menghulurkan tangan kanannya untuk menyambut jemari Serena.
Tangan Serena menyambut dingin jemari lelaki itu.
Mata tajam itu jatuh merenung jemari di dalam genggaman tangannya. Jemari itu bukan milik wanita yang biasa dia sentuh. Lucca mengerling tajam.
Disebalik veil, matanya tertancap lama mengamati sosok tubuh di hadapannya.
Perempuan ini bukan Stella.
Mata kelabu gelap Lucca menyipit tajam. Kemarahan terpancar jelas dari pandangan matanya. Rahangnya mengetat keras. Merasa terhina.
Namun, saat ini ratusan pasang mata di sekeliling mereka. Lensa kamera sedang berkerumun merakam detik itu.
Lucca menarik tangan Serena sedikit kuat, merapatkan tubuh wanita itu ke sisinya. Kepalanya di miringkan ke sisi telinga Serena.
Tangan Serena mencengkam kuat kain gaun yang membalut sempurna batang tubuhnya. Nafasnya ikut tertahan ketika pandangannya di sebalik veil bertemu dengan sepasang mata yang nampak seperti mahu meratahnya hidup-hidup.
"What kind of game are you and your family trying to play with me... my dear wife."
Share this novel