BAB 3

Romance Series 264677

DENGAN penuh tekad dan keyakinan yang dikumpulkan sejak semalam, Raana melangkah masuk ke bangunan Muzium Pisonia. Pejabat Norli dia tuju. Apa nak jadi pun jadilah. Dia masih memerlukan pekerjaan ini dan apa pun sumpah seranah yang bakal keluar dari mulut Norli, dia akan terima dengan hati terbuka.

Berdiri di depan pintu bilik Norli, dia menggenggam tali begnya sambil menarik nafas panjang. Tahan sejenak, mata dia pejamkan. Cuba menyerap sebanyak mungkin aura positif dari sekelilingnya sebelum nafas dia hela perlahan. Ah, tidak berkesan. Tetap dia runsing dan rusuh memikirkan reaksi Norli. Ingin dia berbalik tetapi tekad hatinya yang kuat mahu mempertahankan pekerjaan ini membuat dia mengurungkan niatnya.

Dengan lafaz Bismillah, dia mengetuk pintu bilik Norli.

“Masuk!”

Tangan Raana memegang tombol. Degup jantung usah ditanya. Ibarat paluan kompang menyambut YB untuk perasmian balai raya.

“Bismillahi tawakkaltu alallah.” Tanpa berfikir panjang, dia memulas tombol lalu melangkah masuk.

“Cik Norli.”

Norli yang sedang menulis sesuatu pada buku catatan di depannya, mengangkat muka. Roman wajah yang tenang sontak berubah tegang apabila melihat Raana.

“Hmm…ada apa?” tanyanya ketus. “Bukan awak dah resign?”

“Belum secara rasmi lagi. Lafaz di mulut tak disertai dengan niat dan tak ada hitam putih. Jadi, saya masih staf Muzium Pisonia.” Yakin Raana berkata sebelum bibir meleret senyum.

“I see…” Norli memanggut-manggut sebelum menegakkan tubuhnya. Satu sudut bibirnya terangkat sambil Raana ditatap sinis.

“Saya minta maaf dengan kebiadapan saya dua hari lepas. Saya dalam keadaan celaru sebab hospital tiba-tiba call dan bagitahu adik saya kena warded, plus saya penat sebab baru selesai kerja membaik pulih arca bernilai 100 ribu ringgit dan berang bila Cik Norli seolah-olah memandang ringan masalah dan kepayahan yang saya hadapi.” Raana mengernyit apabila menyedari ayat terakhir itu seperti menyalahkan Norli. Ya, dia tidak mahu Norli merasa dipersalahkan sehingga membuat wanita itu marah dan menghalaunya. Mujurlah otaknya sentiasa bekerjasama di saat memerlukan. Cepat saja ayat cover line terlintas di benak lalu terluah di bibir.

“M-Maksud saya…Cik Norli sebagai bos…semestinya Cik Norli perlu…apa orang kata…menyelidik…kesahihan setiap alasan yang dikemukakan oleh pekerja bawahan sebelum membenarkan permohonan cuti. Dan tindakan Cik Norli ketika itu memang wajar…” Ayat itu ternoktah di situ. Namun toleh sedikit ke samping, dia menyambung, “...dimaki.” Perlahan sahaja dan cukup didengar telinganya. Sekuat mungkin dia memujuk dirinya supaya bersabar. Dia masih ingat pesan Aniza supaya merendahkan ego dan meminta maaf. Ya, dia sudah melakukannya dan selepas ini dia akan diam dan akur sahaja.

“Saya sebenarnya tak expect awak akan datang dan minta maaf.”

Raana pasang senyum. Mukadimah yang baik dari bos yang cerewet. Nampak seperti kagum dengan keberanian dan kerendahan hatinya. Mahu bersorak, namun rasanya terlalu awal.

“Saya akan bagi awak peluang.”

Semakin lebar senyum Raana. Dunia yang semalam sempat malap terasa kembali bercahaya.

“Tapi dengan syarat…”

Perlahan senyum Raana memudar, namun dia masih diam. Menunggu kata-kata selanjutnya daripada Norli.

“Beri surat tunjuk sebab ketidak hadiran awak sebelum pukul lima petang ni. Kalau saya berpuas hati dengan alasan awak, kesalahan awak cuma akan direkodkan dalam sistem dan takkan jejaskan emolumen. Tapi…kalau saya tak berpuas hati, saya akan keluarkan surat amaran dan awak akan dirujuk ke Seksyen Psikologi dan Rundingcara. Boleh?”

“Tak…” Lantang suara Raana mahu menjawab tak boleh namun saat itu juga pesanan Aniza terngiang di telinganya. Diam dan akur. Pantas dia membuat pusingan U tanpa berfikir dua kali.
“Tak salah tindakan Cik Norli. Memang itulah yang sepatutnya dilakukan oleh bos yang komited dan berdedikasi. Saya setuju!”

“Good. Sebelum pukul lima, surat tunjuk sebab mesti sampai ke meja saya.”

“Baik!” Raana mengangguk mantap. “Saya keluar dulu.”

Memusingkan tubuhnya, Raana memutar bola matanya. Menyampah!

MELANGKAH masuk ke makmal, Raana mencampak begnya ke atas meja sebelum menghempaskan tubuhnya ke kerusi. Urusan dengan Norli sudah selesai. Sekarang dia perlu memikirkan surat tunjuk sebab pula. Menulis surat itu tidak ada masalah. Yang merunsingkan fikirannya ialah kemungkinan alasannya ditolak dan dia akan diberikan surat amaran. Gawat. Apatah lagi dia yakin Norli tidak akan menjadikannya mudah.

“Oi, macam mana?” Aniza yang entah dari mana muncul tiba-tiba sudah tercatuk di depannya.

“Nak kata baik, tak baik sangat. Nak kata sial pun, tak berapa sial sangat.” Raana menjawab dengan nada malas.

“Tak kiralah macam mana pun. Yang aku nak tahu, kau masih boleh kerja tak?”

“Entahlah.”

“Kenapa wei? Ceritalah. Norli maki kau ke?”

“Tak. Tapi…” Raana jeda sejenak. “...dia suruh buat surat tunjuk sebab.”

“Okaylah tu. Buat je. Lampirkan sekali surat-surat yang berkait dengan adik kau tu. Insya-Allah lepas.”

“Tapi aku rasa dia saja nak kenakan aku. Padahal kalau akulah kan berada di tempat dia, aku akan bertimbang rasa dengan orang bawahan aku. Consider rekod baik aku sebelum ni dan aku bercuti pun bukan sebab aku pergi joli, dia tak patut buat aku macam ni kan?”

Aniza tercenung. Dia bersetuju dengan Raana, tetapi siapalah mereka untuk membantah.

“Aku kerja ikhlas selama ni. Tak berkira waktu. Kadang-kadang sampai pukul 10, 11 malam bertapa kat sini. Weekend pun kadang-kadang datang. Tapi…bila jadi macam ni, aku rasa macam…sia-sia je apa yang aku buat selama ni.”

“Itulah. Dunia memang tak adil untuk marhaen macam kita ni. Tapi takpe, Tuhan ada. Dia maha adil. Adalah tu sesuatu yang Dia nak bagi pada kau. Something yang lebih baik, asbab kau jaga adik kau.”

Tersenyum Raana dengan kata-kata Aniza. Tenang sedikit suasana hatinya yang berantakan. Geram, terkilan, sedih semuanya berbaur, membuat dia ingin mengambil keputusan nekad dengan meletak jawatan. Tetapi apabila difikir semula, bagaimana dia mahu meneruskan hidup jika menganggur? Mujurlah sebelum meninggal, arwah ibunya telah memindahkan sebahagian wang ganjaran yang diterima selepas tamat perkhidmatan sebagai penjawat awam ke akaunnya. Setidaknya jika surat tunjuk sebabnya ditolak dan hak emolumennya dilucutkan, dia masih ada sandaran untuk menyara hidup dia dan adiknya.

“Dahlah tak payah risau sangat. Doa banyak-banyak. Doa orang teraniaya ni makbul.”

Raana mengangguk dengan senyum nipis. Ya, dia sentiasa ada Tuhan sebagai tempat mengadu. Sekalipun hak emolumennya dilucutkan kelak, ia hanya dikira tempoh dia tidak hadir bertugas. Cuma dua hari. Tentu jumlahnya juga tidak banyak.

“Chill. Masalah akan jadi berat kalau kita duk fikir-fikir. Nak bagi ringan, just let it go. Buat surat tunjuk sebab and hantar pada muka rumput tu. Dia nak terima atau tak nak terima, itu urusan dia. Tapi kalau dia menyusahkan urusan orang, adalah tu bahagian dia nanti,” ujar Aniza.

“You’re right. Chill!” Raana kembali bersemangat. “Lagipun kalau gaji aku kena potong, akan masuk hasil kerajaan kan? Sekurang-kurangnya aku dah menyumbang ke arah peningkatan hasil kerajaan dalam menampung perbelanjaan mengurus.”

“That’s it! Pemikiran macam nilah yang kita nak. Tapi jangan selalu sangat fikir macam tu. Tak baik untuk kesihatan akaun bank kau.”

Serentak mereka tertawa. Hilang serta-merta rusuh di hati Raana.

REHAT tengah hari, Raana berkejar ke butik tempat dia menempah baju nikahnya. Beberapa jam tadi pemiliknya menghubungi dan memberitahu bajunya sudah siap. Perlu dicuba dahulu untuk melihat jika ada mana-mana bahagian yang perlu dibaiki.

Sesampai di butik, dia menghubungi Rizman sekali lagi. Sebelum keluar tadi dia sudah menghantar mesej kepada tunangnya itu supaya mereka bertemu di butik sahaja. Tidak perlu Rizman menjemputnya kerana akan membuang waktu memandangkan tempat kerja mereka tidak searah.

“Hai Cik Raana…” Bella, pemilik butik menyapa ramah sebaik sahaja melihatnya.

“Hai.”

“Jom, kita tengok baju Cik Raana.”

“Erm…saya nak tunggu tunang saya dulu, boleh?”

“Oh, boleh. Cik duduk dululah kalau macam tu.”

Raana mengangguk lalu melabuhkan punggung di sofa. Nombor Rizman ditekan lagi sebelum dia melekapkan telefon ke telinga. Lama dia menunggu namun tiada jawapan daripada Rizman. Menganggap tunangnya itu sedang memandu, Raana akhirnya memilih untuk menunggu sahaja. Mungkin sebentar lagi Rizman sampai.

20 minit menunggu, Rizman masih tidak menampakkan batang hidung. Berkali-kali Raana melirik jam tangannya. Gelisah memikirkan masa rehat hanya berbaki beberapa minit saja lagi. Mahu datang petang nanti, dia bimbang terlewat menjenguk Husna.

“Apa kata Cik Raana cuba dulu sementara tunggu tunang sampai.” Bella yang mungkin melihat kegelisahannya memberi cadangan.

“Erm…boleh jugak.” Raana bangun lalu mengekori wanita itu ke bilik persalinan.

SEPASANG kurung moden berwarna putih tersarung sempurna di tubuh Raana. Elok terletak walaupun agak longgar. Mungkin tubuhnya sudah susut sedikit kerana sibuk menjaga Husna dua minggu kebelakangan ini.

“Nampak macam longgar sikit ni. Nak alter tak?” tanya Bella.

“Tak payah kut. Macam okey je ni.” Raana memusingkan tubuhnya di depan cermin. Memastikan semuanya nampak sempurna. Setelah berpuas hati, dia capai telefonnya di atas meja tidak jauh dari cermin. Nombor Rizman ditekan sekali lagi apabila tunangnya itu masih tidak menampakkan muka. Kali ini panggilannya berjawab dengan hanya sekali deringan.

“Helo Riz…Awak kat mana? Belum sampai ke?”

“Raana…” Suara Rizman kedengaran berat. Lama dia terdiam membuat Raana tertunggu-tunggu.

“Kenapa Riz? Awak ada hal ke?” tanya Raana.

“Bukan.”

“Habis tu, jalan jem? Kalau tak sempat, saya boleh je ambikkan dulu. Awak try kat rumah nanti. Kalau kena alter…”

“Raana…Raana…” Rizman menyela percakapan Raana.

“Ya?”

“Saya tak nak cuba baju tu.”

“Oh…kalau macam tu saya ambik jelah ya? Nanti saya bagi awak.”

“Tak payah kut.”

“Tak payah?”

“Saya…nak batalkan majlis kita.”

“What?”

“Saya nak batalkan pernikahan kita.”

“Riz…awak cakap apa ni? Kenapa tiba-tiba…” Raana hilang kata. Sungguh dia terkejut sehingga otak dan lidahnya hampir mengalami kegagalan fungsi.

Rizman yang hanya diam di hujung sana membuat dada Raana semakin sempit dan sesak dengan bermacam rasa.

“Awak janganlah main-main, Riz. Majlis kita tinggal sebulan je lagi.” Bergetar suara Raana dengan tubuh yang mula menggigil.

“Saya tak main-main sayang. Saya tak nak teruskan perkahwinan ni.”

Raana gigit bibir bawahnya. Mahu membatalkan perkahwinan tetapi Rizman masih memanggilnya sayang. Apa semurah itu kata sayang yang sering terlontar dari bibir Rizman?

“Kenapa awak buat macam ni?” Kolam mata yang bergenang akhirnya melimpah juga.

“Saya minta maaf. Saya tak boleh hidup dengan orang yang…jarang ada masa untuk saya.”

“Saya tak faham, Riz. Tolonglah jangan macam ni. Awak dah janji dengan arwah mama.”

Tiada jawapan daripada Rizman. Hanya desah nafasnya yang kedengaran menunjukkan talian masih tersambung.

“Riz…” Raana bertinggung. Wajah disembamkan pada lutut dengan telefon masih di telinga.

“Saya tak nak lepas kahwin nanti perhatian awak lebih banyak untuk Husna. Saya nak isteri yang selalu ada untuk saya. Saya nak isteri yang perhatiannya cuma untuk saya.”

“Kenapa tiba-tiba awak jadi macam ni? Sebelum ni awak faham keadaan saya. Husna dah tak ada sesiapa. Dia cuma ada saya. Awak pun sayangkan Husna kan?” Ya, itu yang membuat Raana terpaut kepada Rizman. Tunangnya itu ikhlas menerima dan menyayangi Husna. Malah Rizman sudah berjanji kepada arwah mamanya untuk menjaga dia dan Husna.

“Itu dulu. Tapi lama-lama saya jadi jemu. Bila jumpa, awak cuma bercerita pasal Husna. Mesej pun tentang Husna. Telefon pun cerita tentang Husna. Dunia awak cuma dengan Husna. Saya rasa terabai. Jadi sebelum kita terlanjur kahwin, lebih baik kita putuskan sekarang.”

Raana mengongoi. Di saat hatinya yang rusuh dengan masalah pekerjaan sedikit terubat saat dihubungi untuk mencuba pakaian nikah, dia dikejutkan dengan perkara ini pula.

“Sampai hati awak buat saya macam ni…” Raana merintih dengan tangis yang menderu. Tidak dia peduli andai Bella yang baru keluar beberapa minit lalu mendengar tangisannya.

“Saya minta maaf.”

“Tolonglah Riz. Jangan buat macam ni. Saya janji lepas Husna dah keluar dari hospital, saya akan spend masa dengan awak. Saya akan selalu ada untuk awak. Kita settlekan majlis kita ni sama-sama.” Raana masih cuba memujuk, berharap masih ada secercah harapan untuk Rizman mengubah fikiran.

“Saya minta maaf, sayang. I’ve got to go. Bye.”

Talian diputuskan Rizman membuat tangisan Raana semakin menjadi-jadi. Bella berlari masuk lalu memeluknya.

“What happened?” tanyanya.

Raana tidak menjawab. Melampiaskan rasa yang mendekam dengan menangis sepuas-puasnya.

“BAJU melayu ni Cik nak…macam mana?” tanya Bella serba-salah. Baju itu ditempah mengikut saiz tubuh Rizman. Jika tidak diambil atau dibayar, butiknya yang akan rugi. Kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke butiknya tidak mahu baju yang ready made kerana tidak selesa dan tidak mengikut saiz tubuh mereka.

“Tak apa, saya bayar sekali dengan…” Raana tunjuk bajunya yang sudah dimasukkan ke dalam clothes cover.

“Oh okey…” Kekok Bella memasukkan baju melayu Rizman yang sudah siap digantung ke dalam clothes cover. Kasihan dengan Raana, tetapi pada masa yang sama perlu juga menjaga untung rugi butiknya. Apatah lagi baju melayu itu menggunakan fabrik mahal yang diimport. Harganya cecah RM700 sepasang. Kalau RM70, tentu dia akan halalkan saja.

“Saya…bersimpati dengan cik…” ujarnya canggung.

“Tak apa.” Raana berusaha tersenyum sambil menghulurkan kadnya kepada Bella.

“Saya bagi diskaun 20% untuk baju melayu tu. Jadi cik cuma perlu bayar RM1360.”

“Terima kasih.”

Bella mengangguk dan tersenyum lalu meleret kad Raana.

MELANGKAH keluar dari butik, Raana tidak segera menempah Grab. Menyusuri jalan di sepanjang deretan kedai itu, dia tidak tahu ke mana harus dia membawa langkahnya. Separuh nyawanya bagai melayang pergi selepas menerima kalimat putus daripada Rizman. Apa yang mahu dia lakukan selepas ini? Kad jemputan sebahagiannya sudah diedar. Catering, pelamin, jurugambar juga sudah ditempah. Bagaimana dia mahu mengadap kawan-kawannya jika majlis tiba-tiba dibatalkan? Tuhan, dia sudah tertekan dengan pembedahan Husna, dan sekarang harus dibebani dengan masalah ini pula.

Raana melabuhkan punggung di tempat duduk yang terletak di depan sebuah kedai. Membuang nafas, dia tengadah.

“Ya Allah, apa hikmah yang Kau mahu tunjukkan padaku?” keluhnya.

Dia sedar, apa yang berlaku sudah tertulis di luh mahfuz. Takdir hidupnya sudah ditetapkan sejak dia di alam rahim lagi. Tetapi sulitnya mahu menerima kenyataan ini, Tuhan. Dia dan Rizman sudah menjalin hubungan cukup lama. Sejak dia di tahun pertama universiti dan Rizman pula di tahun ketiga. Sudah hampir 10 tahun. Tidak mudah untuk dia melupakan Rizman dan meneruskan hidup seperti biasa.

Air mata Raana jatuh lagi. Rizman sosok lelaki yang lembut dan penuh pengertian. Kenapa tiba-tiba dia berubah menjadi kejam begitu? Membatalkan perkahwinan di saat semua persiapan sudah hampir 90% siap. Mengapa tidak dari dulu Rizman menarik diri? Kenapa baru sekarang?

Raana menjatuhkan wajahnya pada tapak tangan. Tidak dia peduli walau waktu rehat sudah tamat sejak 30 minit yang lalu. Surat tunjuk sebab juga belum dihantar kepada Norli. Biarlah andai dia dipecat atau dipotong gaji. Hatinya benar-benar rusuh dan tidak mahu diajak berdamai.

Tanpa Raana sedar, ada tiga pasang mata yang sedang menatapnya dari jauh dengan emosi yang berbeza.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience