BAB 1

Romance Series 265286

RAANA berkejar ke tempat kerjanya semula selepas menghantar Husna pulang. Adiknya itu perlu menjalani ujian darah di hospital berdekatan dengan rumah untuk memantau kesihatan dan perkembangannya pasca pembendahan aorta seminggu lalu di IJN. Setakat beberapa jam tadi, keadaan Husna baik walaupun selera makannya menurun sejak pembedahan. Namun kata doktor pakar yang membuat pembedahan ke atas Husna, perkara itu adalah biasa dan perlahan-lahan akan kembali normal.

“Fuh!” Satu desahan kasar lolos dari bibir Raana saat dia menghempaskan tubuhnya ke kerusi. Jam di pergelangan tangan dilirik sebelum dia mengeluh lagi. Lewat 20 minit daripada masa yang diberi bossnya.

“Boss dah cari tadi,” ujar Aniza, teman sejawatannya.

“Dia cakap apa?” tanyanya malas. Si tua cerewet itu memang cukup payah bertimbang rasa. Masih dia ingat bagaimana dia bertegang leher dengan bossnya itu kerana mahu memohon cuti untuk menemani adiknya menjalani pembedahan. Padahal sepanjang empat tahun bekerja, tidak pernah sekali dia mengambil cuti. Demam pun selagi boleh berjalan, dia akan datang. Kerja-kerjanya sentiasa diselesaikan mengikut waktu tanpa terlewat walau sesaat. Tetapi saat dia memohon cuti kerana benar-benar memerlukan, bossnya begitu berkira. Sudahnya dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama dua minggu. Itupun dia dituntut menyelesaikan semua kerjanya sebelum bercuti.

“Dia tak cakap apa-apa. Dia tanya, Raana mana. Aku jawab Raana kat tandas. Sembelit. Lepas tu dia blah dengan muka macam ahli neraka.”

Terkekeh Raana dengan ayat terakhir Aniza. “Tak baiklah kau. Kejam sangat tu.”

“Anak dara tua memang macam tu kut kan? Air dah naik sampai kepala. Tersumbat sebab tak kena piling.” Aniza masih menggerutu.

“Hahaha! Bodohlah kau.” Terpingkal-pingkal bahu Raana dengan gerutuan Aniza.

“Betullah. Di mata dia semua orang salah, semua orang tak kena. Dia je yang betul. Padahal dialah kepala halian.”

“Takdelah. Cik Min tu tak kahwin, elok je perangai dia. Bukan sebab kahwin tak kahwin, tapi lebih pada attitude. Agaknya kalau dia kahwin pun, perangai dia tetap macam tu,” balas Raana.

“Agaknyalah kan. Baguslah dia tak kahwin. Kalau tak, kesian dengan anak lelaki orang.”

Raana hanya tertawa. “Harap-harap kalau kita ditakdirkan tak kahwin sampai bila-bila, janganlah kita jadi macam dia kan?”

“Kau dah ada Rizman. Tak lama lagi nak kahwin kan. Aku ni hah yang masih tak nampak masa depan.”

“Basri kan ada. Tengok kepala dia, terus nampak cerah masa depan kau.”

“Hahaha! Tu bukan cerah, tu silau bongok! Lagilah kelam masa depan aku. Hari-hari pakai spek hitam.”

Mengekek mereka ketawa membayangkan Aniza memakai kaca mata hitam bagi mengelak silau kepala Basri.

“Aku rasa kalau boss kahwin dengan Basri tu sesuai sangat kan. Sorang licin tak ada bulu, sorang lagi suka buat orang berbulu,” ujar Raana setelah tawanya reda.

“Aku rasa, bertemu dua kali Jumaat, terus tumbuh bulu si Basri tu lepas kahwin boss. Hari-hari berbulu je.”

Maka bersambung lagi tawa mereka membuat bilik itu riuh walaupun hanya ada mereka berdua.

"Eh dahlah. Menambah dosa kering je kau ni," ujar Raana setelah tawanya reda.

"Dosa kering tak apa. Senang hapus. Tiup je terus hilang bak debu dibawa angin."

"Pandailah kau." Raana bangun, mengambil kot makmal dari almari lalu disarungkan ke tubuhnya.

"What we've got today?" tanyanya.

"Human sculpture carved in 1900 from marble."

Raana meneliti arca itu dengan wajah berkerut. Arca yang menggambarkan seorang wanita dengan ciri yang sangat aneh.

"Arca tu dihasilkan oleh seorang artis sempena memperingati first radical mastectomy in 1894. Kaedah rawatan kanser payudara yang paling berkesan pada masa tu...is by removing the entire breast, axillary lymph nodes, and the pectoral muscles under the breast. Sebab tu kau tengok arca tu cuma ada satu breast."

"I see..." Raana memanggut-manggut. "1894...dah ada breast cancer ya?"

"Ada...Dah wujud seawal 3500 tahun dahulu."

"Jadi arca ni dibuat 6 tahun selepas tu?"

"Kalau ikut catatannya macam tulah."

Tiada jawapan daripada Raana kerana dia sibuk meneliti kerosakan pada arca itu.

"So the bronze surface was etched and disfigured by long-term contact with packing foam," ujar Raana setelah membaca dokumen yang dihantar bersama arca itu dan menelitinya sendiri.

"Yup. So how are we going to treat it?"

"First we have to remove foam remnants with... solvents. I rasa acetone boleh. Then to remove etched areas and overall tarnish, we will use polish paste. After that we will apply protective coating to slow future corrosion."

Aniza mengangguk sambil mencatatnya. Selepas ini mereka akan memulakan proses baik pulih.

LEBIH dua jam bergelut dengan arca itu, Raana akhirnya menjatuhkan tubuhnya ke kerusi. Baru siap 30% daripada proses menyingkirkan kesan buih pada arca. Masih banyak lagi proses yang perlu dilakukan.

Bunyi telefonnya yang tergeletak di atas meja membuat tubuh yang bersandar lelah segera ditegakkan. Capai benda pipih itu, dia melihat nombor telefon hospital. Cepat-cepat dia menggeser ikon hijau sebelum telefon itu dilekapkan ke telinga.

“Helo.”

“Helo Cik Raana. Saya dari Hospital Besar Takwa. Tadi cik ada bawa Husna Aishah untuk ambik darah, betul?”

“Ya. Tapi Husna dan disuruh balik sebab doktor kata darah dia okey.”

“Macam ni…Kita baru buat pemeriksaan semula and kita nampak yang bacaan kreatinin dia agak tinggi. 300 lebih. Maksudnya ada masalah dengan buah pinggang dia. Jadi cik kena bawak dia ke hospital semula untuk warded supaya kita boleh pantau.”

Raana membuang nafas. Menghantar Husna ke hospital bermaksud dia perlu mengambil cuti lagi. Bukan dia keberatan menjaga Husna. Tetapi dia malas berdepan dengan mulut puaka bossnya.

“Berapa lama dia kena warded?” tanyanya.

“Sampai bacaan kreatinin dia normal.”

“Bacaan normalnya berapa?”

“Untuk kanak-kanak, bacaan normalnya 90. Tapi kalau dapat turun sampai 100 pun dah okey.”

“So, kalau warded, apa yang hospital akan buat?” soalnya lagi. Dia perlu jelas dengan prosedur yang dilakukan supaya tidak bertentangan dengan apa yang diberitahu kepadanya oleh pihak IJN.

“Kita akan masuk airlah.”

Raana terdiam agak lama. Berat, namun keselamatan dan kesihatan Husna yang lebih penting. Tidak akan ada tolak ansur jika melibatkan nyawa adiknya itu.

“Kalau boleh segera ya Cik. Sebab bacaan tu agak tinggi. Kita takut timbul masalah lain.”

“Okey.” Raana akhirnya bersetuju. Apa lagi yang boleh dia katakan. Tidak mungkinlah dia mengabaikan arahan pihak hospital semata-mata takutkan boss. Hilang kerja, dia boleh cari kerja lain. Hilang Husna, tiada galang gantinya. Hanya Husna satu-satunya ahli keluarga yang dia ada setelah ibunya meninggal dunia lebih dua tahun lalu. Ayah pula sudah meninggal sejak dia berusia 15 tahun dan Husna berusia setahun.

Mengemaskan peralatan kerjanya, Raana membawa langkahnya menuju bilik bossnya. Pintu dia ketuk perlahan sebelum memulas tombol setelah mendengar arahan masuk.

“Cik Norli…”

Wanita berparas garang dengan rambut potongan pendek ala lelaki itu mengangkat muka. Melihat Raana, dia meletakkan pen di tangannya. Tubuh disandarkan ke kerusi sebelum tangan naik berlipat di dada.

“Raana…ada apa? Nak mintak cuti lagi?”

Ragu-ragu Raana mengangguk. “Tadi hospital call, mintak saya hantar Husna ke hospital sebab bacaan kreatinin dia tinggi. Katanya kena warded.”

“Hantar saja kan? Tak perlu tunggu?”

“Tak boleh. Husna baru seminggu operate. Dia nak duduk, nak berjalan, nak pergi toilet, kena ada orang bantu.”

“Hospital kan ada nurse.”

“Tapi jaga dan assist pesakit tu bukan tugas nurse. Adik saya, tanggungjawab saya.”

“Awak dah banyak ambik cuti tahun ni.”

“Sebab saya terpaksa. Saya bukan suka-suka ambik cuti Cik Norli. Sebelum ni saya tak pernah ambik cuti pun. Demam pun saya masih datang kerja.”

Norli terdiam sejenak. Wajah kusut Raana ditilik lama sebelum dia menawarkan penyelesaian. “Call ambulans mintak ambik adik awak kat rumah.”

“Cik Norli!”

“Kalau tak mampu ikut arahan saya, berhenti. Ramai lagi orang lain yang nak kerja.”

Raana tengadah. Kenapa ada manusia yang tidak bertimbang rasa seperti ini? Tidak bolehkah sekali Norli mengerti kedudukannya? Dia terdesak dan tidak ada sesiapa yang boleh dia andalkan untuk menjaga Husna kecuali dirinya. Dia dan Husna hanya ada antara satu sama lain.

“Tolonglah Cik Norli…Saya betul-betul terdesak. Lagipun saya tak pernah abaikan kerja saya. Lepas adik saya sembuh, saya janji takkan ambik cuti lagi.” Raana masih cuba merayu, berharap mendapat sedikit simpati daripada Norli.

“Tapi awak kata hujung tahun depan dia kena operate lagi sekali. Jadi sampai bila awak kena ulang-alik hospital dan tinggalkan kerja?”

“Saya tinggalkan kerja yang dah siap. Saya tak bebankan sesiapa untuk take over atau sudahkan kerja saya. Saya cuma mintak sedikit pertimbangan supaya benarkan saya bercuti untuk jaga adik saya. Lagipun baki cuti saya ada 10 hari lagi.”

“Tak ada pertimbangan. Kalau rasa tak mampu ikut peraturan, berhenti! Ramai lagi yang nak bekerja.”

Lagi-lagi Raana tengadah. Kali ini satu desahan kasar lolos dari bibirnya. Kedua-dua tangan bercekak pinggang. Kuota sabarnya sudah habis. Apa saja yang keluar dari mulutnya selepas ini, kalau tidak buat orang bunuh diri, pasti kesal kerana dilahirkan ke dunia.

“Eh, anak dara tua!” Melengking suara Raana membuat bola mata Norli membesar sempurna.

“Aku ni baran tau! Sikit-sikit aku boleh sabar. Tapi kalau dah sampai tahap kau sengaja tunjuk kepala batu kau sebab nak menyusahkan hidup aku, memang aku hangin!”

“Jangan kurang ajar, Raana!” tempelak Norli. Tidak terima diherdik oleh bawahannya.

“Siapa yang kurang ajar?! Eh, kau tahu tak Tuhan cipta kau daripada tanah apa? Tanah hitam! Daripada kepala, mulut, hati, muka, tapak tangan, tapak kaki semua hitam! Kotor! Keji! Berlumut! Sebab tu kau susah nak simpati dengan orang! Kau ingat sakit adik aku tu aku yang mintak ke supaya aku boleh senang-senang cuti?! Kau ingat aku suka tengok adik aku sakit sampai keluar masuk hospital?! Kau ingat aku suka tengok akaun bank aku duit semput-semput sebab kau paksa aku ambik cuti tanpa gaji?! Kau ingat aku suka datang merayu dengan kau, mintak simpati depan kau yang muka macam ahli neraka?! Kau ingat kau bos, kau suka-suka hati boleh gunakan kuasa kau untuk menyusahkan aku?!”

“Raana!” Norli berdiri dengan mata mencerlung marah. “Saya akan heret awak ke lembaga tata tertib.”

“Go ahead! Aku tak takut! Mulai hari ni, aku quit!” Tidak berfikir panjang, Raana melangkah keluar dari bilik itu dengan wajah bengang. Pintu sengaja dihempas kuat tanda protes.

Share this novel

sheerhana
2024-11-15 15:47:36 

raisha follow aq

pbezpq
2024-04-19 17:19:35 

test_account

Marry anna
2024-03-24 15:53:20 

Hello


NovelPlus Premium

The best ads free experience