BAB 4

Romance Series 265270

NORLI menolak kasar pintu lab lalu melangkah masuk. Bercekak pinggang, dia melilau sekeliling. Tajam matanya persis tatapan helang.

“Ada apa Cik Norli?” tanya Aniza walaupun dia boleh mengagak tujuan Norli ke sini.

“Raana belum masuk?” tanyanya.

“Dah. Tadi dia pergi toilet. Sakit perut,” bohongnya. Dia juga risau kerana Raana belum masuk walaupun jam sudah menunjukkan pukul tiga petang. Panggilan dan mesej juga tidak dijawab.

“Ya ke?” Norli picing mata.

Aniza mengangguk yakin. Sedikit tidak berkelip matanya walaupun berbohong.

“Kalau macam tu saya tunggu kat sini.”

“Eh tak payahlah. Dia tu ada buasir. Kalau sakit perut memang lama dia kat tandas.” Ah, pandai-pandai saja dia mereka cerita.

“Awak jangan cuba-cuba nak back up dia, Niza.”

“Tak adalah. Apa faedah saya dapat kalau back up benda tak elok ni kan.”

Tiada jawapan daripada Norli. Namun riak wajahnya menampakkan dia tidak percaya.

“Nanti bila dia dah keluar, saya suruh dia jumpa Cik Norli. Ada apa-apa pesan tak untuk dia?” tanya Aniza.

“Tak ada. Saya tetap akan tunggu dia kat sini.” Norli tarik kerusi lalu melabuhkan punggung.

Aniza memutar bola matanya sambil menyengir sebal. Dia turut duduk sambil pura-pura menaip di komputer. Padahal tidak ada apa-apa yang ditaip. Otaknya ligat berfikir bagaimana mahu menghalau Norli dari situ.

Mungkin kerana dilahirkan dengan otak penipu, sekejap sahaja idea melintas di kepalanya. Telefon di atas meja dicapai sebelum dilekapkan ke telinga.

“Helo Raana!”

Norli yang mendengar nama Raana disebut segera menghalakan pandangannya ke arah Aniza.

“Hah? Berdarah? Habis tu macam mana? Kau dekat tandas lagi ke tu?”

“Bawak pad? Oh okey…okey.”

“Bawak ubat jugak? Ubat mana? Ubat makan ke ubat yang sumbat ikut punggung tu?”

“Ubat punggung? Okey…okey. Cik Norli pun ada ni. Nanti aku mintak dia ikut sekali papah kau keluar.” Aniza menyentuh skrin telefon dengan telunjuknya, konon baru selesai menamatkan panggilan.

“Raana kata banyak darah keluar. Dia suruh saya bawak pad dengan ubat buasir yang sumbat ikut bontot tu.” Aniza menghampiri meja Raana lalu berpura-pura mencari ubat di dalamnya. Tidak menemui apa-apa, tetapi dia berpura-pura mengambilnya lalu terus tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.

“Jomlah Cik Norli.”

“Siapa yang nak masukkan ubat tu dalam…” Norli papar muka jijik.

“Selalunya dia masukkan sendiri. Tapi tadi suara dia macam lemah sangat, sayalah yang kena masukkan tu. Cik Norli boleh tolong pegangkan dia.”

Norli mengernyit geli. “Awak tak geli ke?”

“Geli tak geli pun nak buat macam mana. Dia kawan saya. Kang kalau tak tolong, sampai ke Subuh esok dia kat tandas tu. Cepatlah, Cik Norli.” Beria-ia Aniza mengajak, namun dalam hati berdoa supaya Norli menolak.

“Awak pergilah. Nanti kalau dia dah okey, suruh dia jumpa saya.”

“Okey.”

Norli keluar, Aniza menghembus nafas lega. Tergesa-gesa dia berlari ke tandas sambil telefon dilekapkan ke telinga. Cuba menghubungi Raana buat kesekian kalinya namun tetap tidak mendapat jawapan.

“Aduh…mana kau pergi ni Raana.” Aniza menolak pintu tandas. Dia tahu tidak ada Raana di sana. Hanya mahu mengelabui mata Norli supaya wanita itu menyangka yang Raana benar-benar berada di tandas.

Masuk ke salah satu bilik tandas, Aniza menghubungi Raana sekali lagi. Nasibnya baik apabila panggilannya berjawab.

“Helo Raana. Wei, kau kat mana? Kenapa tak masuk lagi?”

Tiada jawapan, sebaliknya dia mendengar tangisan dan raungan Raana.

“Raana…Raana…kenapa ni? Kau kat mana ni?” Cemas Aniza mendengar tangisan Raana seolah-olah sedang kesakitan.

“Aku…sedih…Iza…” Terbata-bata suara Raana di hujung sana di sela-sela esakannya.

“Wei…Raana jangan buat aku takut. Kau bagitahu aku, kau kat mana sekarang? Nanti aku pergi jemput, okay?”

“Aku rasa macam nak mati…”

“Ya Allah hei…bawak mengucap. Apa cakap macam tu? Aku pergi tempat kau sekarang ya? Kau kat mana?” Lagi-lagi Aniza bertanya keberadaan sahabatnya itu. Risau jika Raana melakukan sesuatu di luar kewarasan. Tertanya-tanya apa yang berlaku sehingga Raana menangis begitu sekali. Apa sesuatu berlaku kepada Husna? Ataupun baju nikahnya senteng? Atau…Rizman tiba-tiba membatalkan pernikahan? Ah, semoga saja semua andaian itu meleset.

“Raana…walau apa pun yang kau rasa sekarang, jangan buat benda bukan-bukan. Kau masih ada aku, kau masih ada Rizman.”

Semakin kuat tangisan Raana mendengar penuturannya.

“Aku tak nak hidup lagi.” Raana mengongoi.

“Heh...jangan cakap macam tu...tak…” Tidak sempat Aniza melanjutkan pertanyaan apabila panggilan tiba-tiba terputus. Dia mendail sekali lagi, namun masuk ke peti mel suara.

“Aduh…kenapa pulak ni.” Dicuba sekali lagi. Sama juga hasilnya. Menganggap telefon Raana kehabisan bateri, dia berdoa supaya sahabatnya itu baik-baik saja.

Buka pintu tandas, dia berhajat mahu kembali ke makmal. Namun langkahnya terundur setapak melihat sosok yang sedang berdiri di depan pintu, memandangnya persis harimau yang sigap mahu menerkam mangsa.

“C-Cik Norli.”

“Mana Raana?”

“Erk…Erm…Itu…dia…dia…”

“Aniza…” Norli maju selangkah, membuat Aniza meneguk liur berkali-kali. “saya tak pernah ada masalah dengan awak. Jadi…jangan bersubahat untuk menutup kesalahan kawan awak.”

“Tapi…”

Norli angkat satu tangan, tidak mahu mendengar apa-apa dari mulut Aniza. Sama ada itu penjelasan atau alasan.

“Kalau awak nak terus kerja kat sini, go back to your place and finish your work. Tak perlu ambik tahu masalah orang lain.”

Aniza serba-salah, namun dia tidak punya pilihan. Menunduk sedikit, dia akhirnya keluar dari tempat itu. Sesampai di tempatnya, dia menghantar mesej kepada Raana supaya segera masuk ke pejabat dan bertemu Norli.

HAMPIR pukul empat petang, barulah Raana sampai semula ke tempat kerjanya. Melangkah masuk ke makmal, dia segera diterpa oleh Aniza.

“Raana, kau kenapa? Ada apa-apa berlaku pada Husna?” tanya Aniza. Wajah sembap Raana ditangkup dengan sepasang tangannya.

Raana sekadar menggeleng. Mengalihkan tangan Aniza dari wajahnya, dia melabuhkan punggung di kerusi. Surat tunjuk sebab yang sudah siap ditaip sebelum rehat tadi dicetak.

“Cik Norli cari kau tadi,” beritahu Aniza. Tertanya-tanya apa yang berlaku kepada Raana. Namun dia tidak mahu memaksa memandangkan Raana juga nampak seperti tidak ingin bercerita. Tidak ada apa-apa berlaku pada Husna, dia yakin seburuk apa pun keadaan itu, Raana mampu melaluinya.

“Kejap lagi aku jumpa dia,” jawab Raana tanpa memandang Aniza. Surat yang sudah siap dicetak, dibaca sekilas. Memastikan tidak ada sebarang kesilapan ejaan.

“Kau okey tak ni?”

Raana mengangguk. Surat tadi dilipat sebelum dimasukkan ke dalam sampul.

“Aku nak jumpa Cik Norli,” ujarnya dan terus berlalu.

Aniza hanya memandang belakang badan sahabatnya itu sebelum tatapannya beralih kepada dua pasang baju berbalut plastik yang diletakkan Raana pada belakang kerusi. Pelik kenapa Raana yang membawa baju itu. Kenapa tidak ditinggalkan saja di dalam kereta Rizman? Malas berfikir banyak, dia mengambil baju itu lalu menggantungnya di dalam almari lab coat mereka.

RAANA meletakkan sampul berisi surat tunjuk sebab ke atas meja Norli. Wanita itu tidak berkata apa-apa. Menatap surat itu sekilas sebelum beralih memandangnya dengan tatapan sinis.

“Apa ni?” tanyanya meskipun dia boleh mengagak isi sampul itu.

“Surat tunjuk sebab.”

Norli menegakkan tubuhnya. Surat itu dicapai, meniliknya sejenak sebelum mengoyaknya.

“Cik Norli!”

“Bila dah disuruh buat surat tunjuk sebab, awak sepatutnya jaga kelakuan awak. Tapi perangai awak makin menjadi-jadi. Masa rehat tamat pukul dua petang. Sekarang dah pukul berapa?!” Surat yang sudah dikoyak menjadi cebisan kecil dicampak ke muka Raana.

Terpejam mata Raana sambil wajah tertoleh ke samping, mengelak cebisan kertas itu daripada terkena muka. Sungguh, tidak pernah terbayang akan menerima penghinaan sehebat ini sepanjang hayatnya.

“Saya minta maaf. Tadi saya ada masalah.” Masih cuba berlembut dengan harapan mendapat sedikit pertimbangan daripada bosnya itu.

“Masalah awak bukan masalah saya.”

Raana ketap bibir. Dia sudah cukup tertekan dengan tindakan Rizman membatalkan pernikahan mereka, sekarang Norli menambah lagi tekanannya. Namun dia benar-benar tidak ada tenaga untuk berdebat atau bergaduh. Dia letih. Akhirnya dia memusingkan tubuhnya dan berlalu keluar tanpa berkata apa-apa. Tidak dia peduli dengan nasibnya selepas ini. Jika dia dikenakan tata tertib, dilucutkan hak emolumen atau dibuang kerja, dia pasrah. Dia sudah berusaha untuk mempertahankan pekerjaannya tetapi musibah yang melanda bagai bertimpa-timpa. Satu demi satu dugaan datang tanpa sempat dia menyelesaikannya satu persatu.

“Raana!”

Jeritan Norli yang memanggilnya tidak dia hiraukan. Malah sengaja dia menulikan telinga daripada mendengar sumpah seranah dan maki hamun yang dihamburkan wanita itu. Namun tidak bermakna dia mengalah begitu sahaja. Tanpa menoleh dan sambil terus melangkah, dia mengangkat jari tengah ke arah Norli yang dia yakin masih memandangnya.

“Biadap you Raana!”

Raana sungging senyum sinis. Alang-alang Norli mahu mengenakan tindakan terhadapnya, biar sekaligus dia dihukum atas kesalahan yang benar-benar dia sengaja dan ingin melakukannya. Baru berbaloi dihukum. Setidaknya dia tidak rasa teraniaya.

“Aku benci kau, Norli. Tunggulah. Ada hari aku balas,” gumamnya.

Masuk ke makmal, dia melilau mencari baju nikahnya yang dia letakkan di kerusi.

“Raana, macam mana tadi kau jumpa Norli?” tanya Aniza.

“Baju nikah aku kat sini tadi mana?” tanyanya tanpa menjawab pertanyaan Aniza.

“Aku letak dalam almari.”

Tidak berkata apa-apa, Raana menuju almari lalu mengambil baju nikahnya dan Rizman. Kemudian dia melengos keluar tanpa mempedulikan Aniza. Dia sedang tidak ada mood untuk berbicara dengan sesiapa, apatah lagi bercerita.

“Raana…kau nak pergi mana?” Tergesa-gesa Aniza mengekori langkah Raana.

“Cari ketenangan. Sini dah macam neraka,” jawab Raana tanpa menghentikan langkahnya.

“Norli tolak surat tunjuk sebab kau ke?”

“Dia koyak surat tu. Sial betul.”

“Eh kurang ajarnya.”

“Dahlah Niza. Aku dah malas nak layan perempuan tu. Kau tak ada masalah dengan dia, kau teruslah kerja kat sini. Aku nak blah.”

“Kau serius ke?”

“Aku dah malas nak mengadap perempuan tu lagi. Lama-lama aku kat sini, kang sedar-sedar hilang si muka rumput tu dari muka bumi kena simen dengan aku.”

“Sebelum kau simenkan dia, korek keluar organ dia jual kat pasar gelap. Aku dengar buah pinggang demand tinggi. Dapat jual sebelah pun dah boleh tampung hidup kau sampai kau bertemu pintu taubat.”

Raana menggoyangkan telunjuknya ke arah Aniza.

“Eh, tapi nanti kau nak kerja kat mana?”

“Nantilah aku fikir. Dah, aku pergi dulu. Chow!” Raana melangkah keluar dari muzium tanpa menoleh lagi.

RAANA menempah Grab untuk pulang ke rumah. Membersihkan diri terlebih dahulu sebelum kembali ke hospital untuk menjaga Raana. Pagi tadi dia meminta bantuan seorang jururawat untuk tengokkan Husna kerana dia perlu pergi bekerja. Esok dia sendiri boleh menjaga adiknya itu. Bagus juga terlepas daripada tanggungjawab hakiki. Setidaknya dia punya waktu untuk menjaga Husna sepenuh masa.

Selesai solat Asar, dia bersiap seadanya. Lounge pants kelabu dan baju T berwarna biru muda. Saat dia membuka almari untuk mengambil sweater, matanya menancap pada baju nikah yang baru digantungnya tadi. Matanya memanas tidak semena-mena. Teringat pernikahannya yang kandas sebelum sempat dia menjalaninya. Tidak pernah dia terbayang akan begini kesudahan kisah dia dan Rizman. Fikirnya hubungan mereka akan berakhir di jinjang perkahwinan dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Namun dia silap. Dia merancang, Tuhan juga merancang. Dan di saat dia kecewa dengan keputusan Rizman, dia tetap yakin yang perancangan Tuhan itu tentu lebih baik. Dia percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Dia berusaha reda walaupun hati masih dirundung kecewa. Mungkin kesibukan menguruskan Husna akan membuat dia lupa kekecewaan itu.

Menghela nafas, dia mencapai sweater lalu disarungkan ke tubuhnya. Beg sandang berisi pakaian, telekung dan peralatan mandiannya dicapai sebelum laju langkahnya dibawa menuruni anak tangga.

Menyarungkan topi keledar, dia menghidupkan motosikal sebelum meninggalkan perkarangan rumahnya. Waktu puncak seperti ini lebih mudah menggunakan motosikal.

Ketika melewati kawasan perindustrian yang agak sunyi, sebuah kereta hitam mengekori rapat motorsikalnya.

Menganggap kereta itu mahu memotong, Raana memberi isyarat ke kiri lalu menepi sedikit. Laluan itu memang agak sempit kerana ia jalan alternatif dan jarang dilalui.

Namun kereta itu terus mengikut rapat tanpa menunjukkan tanda-tanda mahu memotong.

"Ish apa hal pulak kereta ni," rungut Raana sambil menjeling cermin sisi.

Berasa tidak sedap hati, dia melajukan motorsikalnya. Kereta itu turut menambah kelajuan sebelum menghimpit motorsikalnya. Raana hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan. Tergolek dia ke tanah dengan kaki kiri tertindih motorsikal.

“Aduh…sial punya kereta. Siang hari buta pun tak nampak orang ke? Bodoh! #$%!@#$” Sambil berusaha bangun, mulut Raana tidak berhenti menyumpah. Habis segala bahasa carut bangsa majoriti di Malaysia keluar dari mulutnya.

Berhasil bangun, dia menanggalkan topi keledarnya lalu terhincut-hincut menghampiri lelaki bersuit hitam yang baru keluar dari kereta mewah itu.

“Pakai kereta besar, tapi otak kecik! Ni…side mirror ni.” Telunjuknya lurus menunjuk ke arah cermin sisi kereta . “...apa faedah pasang benda ni kalau tak guna! Bodoh betul!” Dihentak cermin sisi kereta lelaki itu dengan topi keledar sehingga patah riuk dibuatnya. Puas hati! Lantaklah jika disuruh bayar ganti rugi. Hatinya tengah panas, mana boleh berfikir dengan waras.

“Lain kali bawak kereta tu tengok kiri kanan. Jangan main sedap je tekan minyak macam jalan ni kau sorang bayar cukai! Aku pun bayar cukai walaupun dua ringgit je setahun.”

Lelaki itu hanya diam memandang keberangan Raana. Menunggu gadis itu selesai melampiaskan marah baru dia akan bertindak.

“Apa tengok-tengok? Tak pandai mintak maaf ke?”

“Saya mintak maaf.” Lelaki itu akhirnya bersuara.

“Macam tu je?” Raana tertawa sumbang. “Cilabeng punya orang kaya.”

“Motosikal cik rosak ke?” tanya lelaki itu.

“Rosaklah! Tak nampak tu?” Raana tunjuk motorsikalnya yang masih menyembah tanah.

“Side mirror saya pun rosak juga ni.”

“Saya bayar dengan kerosakan motor saya. Keep the change!” Yakin Raana berkata.

"Harga satu cermin sisi tu pun lebih mahal daripada motorsikal cik."

"Kalau macam tu, bayar kerosakan motorsikal saya dengan kerosakan cermin sisi encik than I will keep your change. Okay?"

Berkerut dahi Rayden dengan penuturan Raana.
"I don't understand."

"Because you're stupid. Stupid rich man in black suit with luxurious car but no brain."

Wah! Terkedu Rayden tanpa kata. Mulut gadis ini benar-benar minta disental dengan pencuci lantai.

"Sekarang saya dah lambat gara-gara encik. Siapa nak ganti masa saya yang terbuang sia-sia ni? Saya penat tahu tak?! Penat mengadap karenah manusia-manusia durjana yang hidup tak mendatangkan manfaat. Lebih baik mati boleh jadi baja tanah."

“Cik nak pergi mana? Biar saya hantar.”

“Pergi jahanam!” Raana kembali ke arah motorsikalnya. Namun buku lalinya yang mungkin terseliuh atau tergeliat membuat langkahnya pincang lalu dia jatuh terjelepok.

“Cik!” Lelaki itu menerpa.

“Don’t touch me!”

Namun larangan Raana itu tidak diendahkan. Tubuh Raana dicepung lalu dibawa ke kereta.

“Edwin!” Lelaki itu menjerit sebelum seorang lelaki keluar dari tempat duduk pemandu lalu membuka pintu belakang.

“Lepas! Turunkan aku!” jerit Raana. Tangan dan kaki meronta-ronta sehingga lelaki itu kewalahan.

"Tolong! Perogol!!!" Satu tangan tangkas mencakar muka lelaki itu namun tetap tidak berhasil membuat dia dilepaskan.

“Tolong!!! Tolong! Ada perogol!!!” Raana terus meronta. Apa saja anggota badan lelaki itu yang mampu dicapai oleh tangannya habis dibantai. Rambut, muka, telinga, hidung kalau hanya dilekat pakai skru, rasanya habis tertanggal.

“Edwin, help me!” tempelak Rayden sambil menjauhkan wajahnya dari Raana.

Edwin bergegas mengambil sehelai sapu tangan dari dashboard kereta lalu ditekap ke hidung Raana. Hanya dalam hitungan saat, gadis itu terkulai.

“Fuh!” Rayden membuang nafas. Boleh tahan tenaga gadis itu. Pedih seluruh muka kesan dicakar dan dipukul. Rambut yang tersisir rapi juga berantakan jadinya.

“Cepat masuk bos sebelum ada orang lalu.”

Rayden akur. Cepat-cepat dia meloloskan dirinya ke tempat duduk belakang dengan Raana di pangkuan.

"Bos pulak yang nampak macam mangsa rogol." Edwin terkekeh membuat dia mendapat jelingan tajam daripada Rayden.

“Ambik barang-barang dia dekat motorsikal tadi,” arah Rayden tanpa menanggapi usikan Edwin

Edwin akur; mengambil beg sandang Raana sebelum kembali ke kereta lalu memandu meninggalkan kawasan itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience