Pertemuan terakhir dengan abangnya berakhir dengan pergaduhan mulut dan abangnya pergi meninggalkan rumah dalam keadaan marah.
Air mata mengalir tanpa dapat ditahan. Kerana lancangnya mulut tatkala bersuara, hingga kini Hawaz terpaksa menanggung rasa terkilan yang tidak berpenghujung.
‘Hawaz tak kira! Hawaz nak jugak kerja dekat tempat Ilham kerja! Abang jangan halang Hawaz ! Hawaz dah besar!’
Rayqal merenung tajam wajah Hawaz. Hanya kerana Ilham, Hawaz kini sudah berani meninggikan suara kepadanya.
Rayqal menahan sabar. Adik perempuannya yang seorang itu masih mentah. Dipujuk hati supaya bersabar.
Seingatnya, kali ini sudah tiga kali dia dan Hawaz bertikam lidah dengan keinginan Hawaz mahu bekerja sambilan di kedai serbaneka berhampiran bengkel tempatnya bekerja.
‘Abang tak nak Hawaz kerja dekat tempat tu sebab kat situ banyak mat motor, penagih dadah! Abang tak izinkan!
Hawaz boleh marah abang, tapi abang tetap takkan benarkan Hawaz kerja kat situ. Tak kiralah part-time ke apa.’
Tegas suara Rayqal membuat keputusan. Dia tidak peduli jika Hawaz mahu merajuk atau marah dengannya.
Yang penting dia tahu, keselamatan adik perempuannya lebih terjamin jika gadis itu tidak berkongsi tempat kerja dengan Ilham.
‘Abang memang kejam! Kenapa abang tak nak faham yang Hawaz cuma nak tolong abang cari duit?’
Rayqal mengeluh. Lagi-lagi alasan itu yang dikemukakan oleh Hawaz.
Share this novel