Dia sedar kerjanya sebagai mekanik tidak menjanjikan hidup yang mewah, namun sehingga ke saat ini, mereka dua beradik belum pernah lagi kelaparan sejak kematian orang tua mereka hampir lima tahun yang lalu.
‘Abang tak nak dengar! Hawaz adik abang! Abang tahu apa yang terbaik untuk adik abang! Dahlah, abang nak keluar kejap jumpa kawan-kawan.’
Rayqal pantas mencapai helmet. Langkah diatur menuju ke pintu. Sebelum kakinya melangkah keluar rumah, Rayqal menoleh dan menatap wajah Hawaz lama-lama.
Entah kenapa, hatinya terasa sayu memandang wajah manis adik kesayangannya itu.
Seakan-akan ada benda buruk yang bakal terjadi.
Rayqal pantas beristighfar. Bukan layaknya sebagai seorang hamba membuat ramalan yang tidak-tidak.
Tidak seperti kebiasaan apabila Rayqal ingin keluar rumah, Hawaz pasti akan menyalami tangan abangnya dan Rayqal pula akan mengusap-usap kepala gadis itu dengan penuh kasih sayang.
Malam itu, Hawaz menunjukkan protesnya dengan membuat acuh tak acuh saat Rayqal mengatakan dia ingin keluar dan Rayqal pula tidak betah mahu memujuk kedegilan adik kesayangannya itu.
‘Hawaz jaga diri baik-baik. Abang sayangkan Hawaz.’
Share this novel