"Ya Allah, apa yang korang buat ni? Mila! Sofia! Tak padan dengan umur gaduh macam budak mentah!" Suara lantang ibuku jelas kedengaran. Namun, aku dengan hati batuku, aku tetap tidak melepaskan rambut Karmila daripada genggaman tanganku.
"Sudah! Sudah! Sofia! Ibu suruh kamu balik bukan untuk cari gaduh." Ibuku cuba meleraikan pergelutan kami. Aku menolak tubuh Karmila sehingga dia jatuh ke tanah.
"Nenek kebayan andartu jahat!" Rafia memekik lalu mendapatkan ibunya.
Karmila, sama seperti dahulu langsung sedikit pun tidak berubah. Aku juga. Perasaan benci terhadapnya sekelumit pun tidak akan terpadam. Dari kecil sampai lah ke sekolah menengah, aku dan Karmila bersekolah di sekolah yang sama.
Mungkin kerana aku selalu mengatasinya dalam segala benda, kami dibandingkan. Mak Ngah selalu membandingkan kami, kata bagai langit dengan bumi. Seorang bijak bestari, seorang lagi tujuan hidup pun masih samar-samar. Semenjak itu, Karmila selalu menabur fitnah tentangku. Mereka-reka cerita dusta. Sejak itu juga, aku bermusuh dan menyimpan dendam terhadapnya.
Aku tidak akan sesekali menjadi sepertinya. Dibuang kolej selepas itu kahwin lari di negara seberang. Sudah berkahwin tidak pula bekerja. Suami dia berpendapatan sederhana.
Bagiku, wanita zaman sekarang perlu ada pendapatan sendiri. Apa yang berlaku di kemudian hari kita tidak tahu. Kalau suami pergi, mahu ke mana?
Aku tanpa memakai sebarang selipar atau kasut memijak tanah menuju ke anjung rumah. Wajah ibu kutatap. Kelihatan amat marah.
**********************
Cafe Mentari. Banting. Selalu saja dikunjungi pelanggan. Tidak kira umur. Kali ini aku duduk di bahagian luar. Mujurlah ada tempat kosong. Dapatlah aku menenangkan fikiran di sini. Cuaca tidak terlalu panas. Deruan similar angin menyapa lembut pipiku.
Aku menyilangkan kedua-dua belah kaki. Skirt kupakai sedikit terangkat menampakkan kepala lutut. Aku menongkat dagu. Memikirkan tentang hubunganku dengan Faris. Sehingga sekarang, dia masih tidak dapat aku hubungi.
Susuk tubuh seorang pelayan wanita mendekatiku sambil memegang nota kecil tanda mahu mengambil pesanan. Kupandang penampilan pelayan yang berleher jinjang itu dari atas ke bawah.
Cantik tapi make up persis opera cina. Berapa kali lapis entah concealer dan foundation yang ditepeknya. Eye shadow pula lagilah. Nak melawa pun berpadalah wahai perempuan.
"Caramel macchiato, blueberry waffle satu." Aku memesan. Sejurus itu, pelayan itu beredar dari tempatku.
Sesekali aku mencuri pandangan ke arah sekumpulan anak-anak muda di sebelah. Bergelak sakan. Berkepul-kepul asap bagai ada bomoh sedang membakar kemenyan. Sedutlah sisha tu sampai mati dik.
Tanpa kusedari, seorang anak kecil dalam lingkungan tujuh tahun mendekatiku. Comot. Kotor. Berbau semacam. Lusuh pakaiannya. Satu beg berisi kerepek dikepit. Langsung dia membuka mulut bertanya sama ada aku membeli kerepek yang dia bawa atau tidak. Aku nak beli? Huh.
Aku menarik kasar cuping telinganya lalu kudekatkan dengan bibirku tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang.
"Dik, sini bukan tempat nak minta sedekah. Cafe ni bukan tempat nak berniaga." Aku mendengus kasar. Aku menjeling tajam ke arah mata-mata yang ralat memerhatikanku sehingga mereka melarikan pandangan. Mungkin kecut dengan tindakan aku, anak kecil itu lari.
Tidak lama itu, seorang pelayan lelaki tiba membawa pesananku. Caramel macchiato dan sepiring waffle blueberry diletaknya hati-hati di atas meja. Aku menggapai pisau dan garfu lalu kuhalakan ke atas waffle. Dipotong perlahan lalu kusuakan ke mulut. Delicious as usual.
Namun, pergerakanku terhenti tatkala melihat seorang lelaki berjalan ke arah Cafe Mentari. Dia tidak berseorangan malah ditemani seorang perempuan cantik.
Faris? Aku terpana.
Share this novel