Bab 1

Short Story Series 2096

Aku melayangkan kertas kerja tepat pada batang hidungnya. Geram dengan hasil sampah seperti itu. Semuanya tidak jelas. Dari helaian pertama hingga ke helaian akhir, aku tidak dapat menghadam.

Terpisat-pisat dia mengutip semula kertas kerja yang telah kucampak.

"Macam ni kau buat kerja? Kadang aku pelik juga kenapa orang macam kau boleh kerja kat sini!" Aku menjegilkan biji mata tanda marah. Benda yang paling aku tidak suka ialah pekerja yang buat kerja sambil lewa seperti ini. Seperti tiada komitmen langsung.

"Maafkan saya Cik Sofia. Nanti saya buat yang lebih baik." Dhia tertunduk penuh maaf.

"Buat la balik! Buat betul-betul! Bukan kerja bergosip je kat tepi meja. Kita ni kerja kena ada komitmen. Bukan makan gaji buta! Buat kerja pun lembab. Lepas tu semua serba tak kena." Aku meradang. Hari ini emosiku lain macam.

"Maaf Cik Sofia. Maaf." Maaf dipinta lagi. Cermin mata tebal yang tersangkut kemas dibetulkan kedudukannya.

Aku semakin meluat mendengarnya.

"Dah lah. Keluar dari bilik saya sekarang." Aku mengarah. Dhia cepat-cepat mengatur langkah keluar dari bilik aku lalu hilang dari pandangan. Sudah tentu dia pun tidak suka. Aku? Aku lagilah tidak mahu menatap mukanya setiap hari. Sejak akhir-akhir ini banyak pula manusia yang menyebalkan aku.

Telefon pintar milikku berdering tiba-tiba. Argh! Siapa pula yang mengacau kerjaku lagi? Aku capai lalu didekatkan ke cuping telinga.

"Assalamualaikum, Sofia. Sofia sihat?" Suara tua ibuku kendengaran serak sedikit di hujung talian.

"Ibu, Sofia sekarang ni tak ada masa nak bertanya khabar baik ke apa dengan ibu. Sofia sangat sibuk ni. Nanti Sofia call balik." Aku memberi alasan.

"Sofia selalu cakap begitu bila ibu telefon. Tapi Sofia tak pernah telefon ibu balik." Bernada sedih pula ibuku hari ini.

"Okey, sekarang, ibu nak apa dari Sofia?" Tanyaku malas. Sejujurnya aku malas menjawab panggilan ibuku.

"Ibu nak Sofia balik minggu ni. Nanti ibu masak sedap-sedap untuk Sofia." Bagai merayu pula ibuku. Aku bukan tak mahu pulang, tetapi kerjaku kali ini lebih penting.

"Tengok la kalau ada masa. Okey, bye." Terdengar suara ibuku menyeru namaku di hujung talian tapi aku terus mematikan panggilan.

Telefonku berdering lagi. Aku pula rasa naik rimas. Aku jawab lagi panggilan ibuku.

"Ibu tak habis cakap lagi kamu dah matikan panggilan. Ada benda lagi penting yang ibu nak cakap. Harap Sofia jangan terkejut."

Bait kata-kata ibuku membuat aku tersentak. Hal penting apakah yang ibu mahu sampaikan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience