Bab 2

Short Story Series 2096

"Sofia, anggap apa yang terjadi ni ada hikmah di sebaliknya." Kata-kata ibu semakin membuat aku bertambah gusar. Dadaku seakan berombak kencang. Bermacam-macam tebakan buruk yang muncul dalam mindaku. Namun, aku cuba tepis semua tanggapan negatif yang berlegar-legar di kotak fikiranku.

"Ibu, kenapa ni? Jangan buat Sofia risau. Lain macam je bunyinya."

Yalah, siapa yang tidak berdebar?

"Sofia, Faris putuskan tunang. Ibu tak nak lah campur urusan kamu dengan dia. Tapi, kamu ada gaduh dengan Faris ke?"

"Huh? Putuskan pertunangan?" Separuh menjerit aku. Soalan ibu dibiarkan tidak berjawab.

Aku tergamam. Bagaikan luruh jantungku. Faris? Putuskan tunang denganku? Tapi kenapa? Seingatku hubunganku dengan dia sangat baik. Tidak mungkin.

"Ya, Sofia. Tadi ibu Faris datang. Dia kata minta maaf."

"Nanti Sofia bincang balik dengan dia. Assalamualaikum."

Aku menghentikan panggilan. Hatiku panas membara. Bahangnya bisa membakar hangus rerumputan di halaman. Sakit hati sungguh. Aku benar-benar tidak mengerti. Aku fikir dialah lelaki yang paling tepat yang telah kupilih untuk dijadikan teman sehidup semati.

Tampaknya aku silap besar. Bukan diajak berbincang. Tiba-tiba saja pertunangan ini diputuskan. Argh! Ini tidak boleh jadi. Jadi selama ini aku hanya ciptakan impian kosong? Terbengkalai kerjaku.

Jari-jemariku menekan kasar pada skrin telefonku. Terus aku membuat panggilan berharap agar Faris menjawab. Aku cuba lagi. Lagi sekali. Berkali-kali aku memanggil namun Faris tetap tidak mengangkat.

"Tak payah ada phone la kalau tak nak angkat!" Jeritku sendirian. Aku tetap tidak puas hati. Bukan semudah itu hubungan aku dan Faris terputus.

Sudah dua tahun kenal kami satu sama lain. Hatiku berbunga-bunga tatkala Faris mengutarakan hasrat untuk berkahwin denganku. Mana harusku letak air mukaku bila orang sekeliling tahu pertunangan terputus? Tiada angin tiada ribut, takkan tiba-tiba saja Faris beralih hati?

**************

Aku mengatur langkah menaiki anak tangga rumah kayuku. Masih kelihatan utuh seperti dahulu walaupun berkeriuk tatkala kupijak.

"Nenek kebayan dah balik!" Suara Rafiq, anak sepupuku menampar gegendang telingaku. Argh! Budak degil ini lagi! Aku menoleh ke belakang.

"Nenek kebayan! Nenek kebayan! Nenek kebayan!" Itu pula suara adik kembarnya, Rafiah tidak berhenti-henti mengejekku. Mahu saja aku cubit-cubit mulutnya.

"Eh anak-anak toyol, masuk rumah korang sekarang! Menyampah aku tengok." Aku memarahi mereka. Tiap kali aku jejak ke rumah ini, budak-budak itu pasti muncul menggelarku nenek kebayan. Aku cantik persis Kendall Jenner, masakan disamakan dengan nenek kerepot?

"Nenek kebayan andartu! Mak cakap perempuan yang dah berumur tapi tak kahwin lagi tu namanya andartu. Hahahaha!" Ini semakin membuat hatiku bertambah hangat.

"Hoi! Balik sekarang!" Aku mengusir mereka.Api kemarahanku meletus.

Kelibat Karmila muncul di belakang mereka menyuruh pulang. Sepupuku, jiranku, sama umur denganku dan juga musuh ketatku.

"Hoi Mila! Kau tak reti ke nak jaga anak-anak kau tu? Degil lain macam. Mesti ikut perangai mak bapak." Aku mengherdik.

"Biasa la budak-budak memang la nakal sikit. Yang kau tu dah tua bangka tak malu ke terpekik-pekik marah anak orang? Padan muka tunang kau lari!" Karmila memulangkan paku buah keras. Aku semakin membara. Pantang sekali sesiapa yang menghina umurku.

"Hei kau tak payah nak cakap pasal tunang aku la! Peduli la. Sekurang-kurangnya aku ada kerjaya tak macam kau jadi suri rumah tiap hari kerja goyang kaki. Dulu kahwin pun lari kat seberang!" Tajam sekali lidahku berkata. Sejak dari dulu aku dan Mila memang tidak boleh sehaluan. Seperti air dengan minyak, tidak mungkin kami akan berbaik.

"Jangan nak ungkit kisah lama eh? Dengan perangai sombong kau macam ni, sampai ke tua la tak ada laki nak hidup dengan kau. Ayah kau pun mati sebab kau."

Aku tidak dapat menahan marah tatkala nama arwah ayah dibabitkan. Aku turun dari tangga rumah. Derapan langkahku laju menghampiri kedudukan Karmila.

Pang! Laju tanganku menampar pipinya. Rambutnya pula aku tarik kasar. Karmila tidak mahu mengalah. Dia juga menarik rambutku. Aku merentap dengan lebih kuat.

"Pasti kau tak dapat lupa kan, macam mana muka ayah kau mati depan kau?" Kata-kata Karmila bagai menuang minyak ke atas api.

Sebolehnya aku tidak mahu mengingat kembali peristiwa itu. Aku tidak mahu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience