Bunyi pancuran air menyedarkan lenanya. Perlahan – lahan Eleisya membuka mata mengamati sekeliling. Semua adegan semalam berlayar di mindanya. Adegan yang menyebabkan badannya lemah lesu pagi ini. Comforter ditarik menutupi tubuhnya yang kedinginan. Dia ingin menyambung lenanya apabila pintu bilik air dikuak memboloskan seorang jejaka tegap dan tampan.
Jejaka itu adalah Haydar, anak tunggal kepada Tan Sri Huzman, usahawan terkenal. Wajahnya yang tampan dan tubuhnya yang tegap itu menjadi kegilaan ramai gadis termasuk dirinya. Haydar sedang dalam proses mengambil alih tampuk pimpinan syarikat atas arahan Tan Sri. Kesibukannya adalah antara sebab dia jarang -jarang bertemu dan bersama dengan Eleisya.
Eleisya bingkas bangun dari pembaringannya. Dia memerhati Haydar yang menapak ke bilik persalinan.
Seketika kemudian, Haydar keluar lagi, sudah lengkap berpakaian. Tidak sedikitpun jejaka itu menyapanya, bahkan memandangnya juga tidak.
Seperti biasa, dia seakan udara apabila berada bersama dengan Haydar. Dan dia tahu akan kenyataan itu. Dan perjanjian antara mereka. Haydar hanya akan menyedari kehadirannya ketika mereka bersama di katil sahaja. Setelah puas diguna, dia akan dibuang tanpa kata.
Tetapi hari ini dia tidak mahu mengendahkan itu semua. Dilihatnya Haydar sudah berjalan menuju ke pintu.
“ Awak dah tandatangan surat?” tanyanya laju.
Terhenti tangan Haydar disitu. Dia berpusing dan berjalan ke arah meja. Surat yang dimaksudkan Eleisya itu diangkatnya, ditatap dan dibaca dalam hati. Dia kemudiannya meletakkan surat itu kembali di meja dan menandatanganinya.
Usai berbuat demikian, Haydar menoleh pandang ke arahnya. Namun, hanya seketika sebelum lelaki itu kemudiannya melangkah pergi.
Eleisya turun dari katil menuju ke meja. Botol pil perancang dibukanya, isi botol itu diambil dan dimasukkan ke mulutnya. Setelah itu dia menuang air putih di dalam jag dan meminumnya.
Dia menghela nafas perlahan sebelum menarik surat cerai yang telah ditandatangani oleh Haydar sebentar tadi.
Ya, Haydar adalah suaminya. Tetapi hubungan mereka seperti sugar daddy dan mistress, tidak seperti suami isteri yang lain. Mereka tidak pernah tinggal sebumbung.
Pernikahan mereka hanya keluarga Eleisya, Haydar serta pembantu peribadinya sahaja yang tahu. Malahan, Tan Sri Herman juga tidak diberitahu. Kerana hubungan ini hanyalah dari kedegilan seorang Eleisya.
Senyuman terukir di bibir bersama air mata yang mengalir laju di pipi. Nafas ditarik dalam. Jangan pernah menangis lagi. Biarpun selaut air mata yang mengalir, jangan pernah menangis wahai diri.
Surat cerai dimasukkan ke dalam sampul. Sekeping cek kelihatan terselit di bawah sampul surat. Melihat akan nilai cek itu Eleisya tersenyum lagi. Cek itu miliknya.
“ Terima kasih, Haydar. Selamat tinggal.”
******
Puas dia menunggu untuk berjumpa dengan Engku Ezman. Sudah sejam masa berlalu sejak dia tiba di pejabat Engku Ezman tetapi masih juga belum dibenarkan berjumpa.
‘Nak jumpa ayah sendiri pun perlu appoinment bagai. Penat sungguh hidup sebagai orang kaya ni.’ Desis hati kecilnya.
Episodnya bersama Haydar telah tamat. Selepas dia selesaikan halnya dengan Engku Ezman, dia perlu reset dirinya kembali menjadi manusia lain. Bertabahlah wahai hati!
“ Siapa benarkan kau masuk?!” sergahan itu menghentikan lamunan Eleisya. Dia memalingkan muka hanya untuk menatap wajah tegang Engku Erhan. Eleisya mengukir senyum plastik semanis karamel di bibirnya.
“ Hai, abang! Miss me?” tangan yang diangkat untuk menyapa Engku Erhan direntap kasar. Badannya dibawa mendekati Engku Erhan.
“Kau tak payah nak ber 'abang-abang' sangat dengan aku. Ingat mana tempat kau! Sedar diri yang kau tu bukan adik aku!” sangat kasar kedengarannya walaupun kata - kata itu di hambur separuh berbisik.
Namun senyuman plastik Eleisya masih belum lekang dari bibir. Kata-kata cemuhan sebegitu selalu sangat dia dengar. Sudah lali rasanya dengan semua itu.
“ Jangan marah-marah Engku, kita taknak satu pejabat tahu tentang hubungan tak baik Engku dan Engku Eleisya. Engku tentu taknak adik kesayangan Engku diburukkan oleh pekerja - pekerja lain. Kalau Engku berkelakuan baik, mungkin harini hari terakhir saya jadi adik Engku.” Eleisya turut membalas dengan separuh bisikan di telinga Engku Erhan.
Berubah air muka Engku Erhan dengan kata-kata Eleisya, tetapi cuba dikawalnya dengan sebaik mungkin. Dia takkan terpedaya dengan perempuan ini. Walaupun memegang nama Engku Eleisya, perempuan ini tetap orang luar baginya.
Engku Erhan tidak pasti kenapa ayahnya beria-ia melantik perempuan ini sebagai adiknya, Engku Eleisya. Dan ayahnya jugalah yang memberikan sepenuh jagaan dan memanjakan perempuan yang tidak tahu dari mana asal usulnya.
Setiap permintaan perempuan itu dituruti Engku Ezman. Bahkan ketika perempuan itu meminta untuk menikah dengan Haydar dari West Corp pun ayahnya membenarkan.
“kau..!”
Belum sempat Engku Erhan menghabiskan kata katanya, pintu bilik menunggu terkuak.
Suzy berdiri di pintu sambil menguntum senyum l pada mereka berdua.
“ Engku Eleisya, Engku Ezman panggil.”
Tanpa berlengah, Eleisya segera melangkah membontoti Suzy. Sempat dijelingnya Engku Erhan yang bercekak pinggang seakan menahan marah. Tak mengapa, biarkan je dia.
*******
Eleisya diam di kerusi memerhati gerak geri Engku Ezman.
Engku Ezman membelek satu persatu dokumen yang diberikan oleh Eleisya sebentar tadi.
“Ini sajakah?” tanyanya memecah kesunyian ruangan itu. Matanya tertancap pada seraup wajah mirip puteri kesayangannya. Seandainya yang sedang duduk di depannya ketika itu adalah Engku Eleisya yang sebenar, alangkah gembiranya dia. Tapi nasib belum menyebelahinya.
“Itu cuma sebahagian darinya. Bakinya ada dalam ni.” Eleisya menolak thumbdrive ke arah Engku Ezman. Senyuman korporat dia tampal di wajahnya. Seperti hubungannya dengan Haydar, di antara mereka berdua juga bakal berakhir hari ini.
“Well done! Dan ini pula untuk kamu.” Puas hati, Engku Ezman menghulurkan tangan untuk berjabat salam dengan Eleisya.
“Thank you, Engku.” Eleisya mengangkat punggung dan berlalu pergi. Habis sudah peranannya dia sini.
‘Selamat tinggal semua. Semoga kita tidak bertemu lagi selepas ini.’
hai, terima kasih kerana membaca karya cik rain. semoga kena dengan selera sahabat semua ya. love ya all!
Share this novel