“Kenapa kau datang ke sini?”
Tegak berdiri Engku Erhan mengempang pintu rumah agam milik Engku Ezman.
“Salahkah aku melawat keluarga mertua?”
Haydar tetap memboloskan diri masuk walau tanpa pelawaan. Hanya dia berseorangan masuk ke kawasan musuh. Jade dibiar menunggu di dalam kereta.
“Kami tak pernah ada hubungan apa-apa dengan kau!”
Pernyataan itu membuatkan Haydar tertawa.
“Habis tu aku kahwin dengan siapa tiga bulan lepas? Bukan dengan Engku Eliesya?”
Haydar cuba memancing maklumat dari Engku Erhan. Patutlah Engku Erhan seakan anti dengan Eliesya, rupanya ada udang di sebalik batu.
tak mengapa, dia akan baling batu itu dan tangkap si udang hidup-hidup nanti.
“Isteri kau tu,”
“Erhan, apa-apa pun Haydar itu tetamu. Pelawa dia duduk.”
Sikit lagi untuk Engku Erhan membuka rahsia, tapi sempat diselamatkan oleh Engku Ezman.
“Ada apa kamu datang ke sini?”
“Benarkan saya melawat Engku Eliesya.”
Jawab Haydar terus tanpa putar belit.
Lama Engku Ezman memandang Haydar. Mungkin memikirkan akan risiko rahsia mereka.
Haydar pula hanya membalas pandangan tajam itu dengan wajah bersahaja.
********
Engku Erhan membawa Haydar ke sebuah bilik terpaling hujung di rumah agam mereka. Di hadapan pintu bilik itu, dua orang pengawal diletakkan.
Pengawal itu tunduk hormat pada Engku Erhan lalu membuka pintu.
Engku Erhan dan Haydar melangkah masuk ke dalam.
Seperti di suite VVIP hospital swasta, terdapat mesin dan alatan perubatan bersama dua orang doktor yang memantau.
Seorang pembantu perempuan yang agak lanjut usia pula sedang duduk di sebuah sofa di suatu sudut. Telahan Haydar, mungkin itu pengasuh kepada Engku Eliesya yang ditugaskan untuk menjaganya sehari-hari.
Di tengah ruang bilik pula, terletak sebuah katil queen dan sekujur tubuh berpakaian putih yang sedang terbaring lesu. Wayar-wayar dari mesin dan ubat berselirat di seluruh tubuh itu.
Haydar mendekat, mengamati seraut wajah yang umpama puteri sedang beradu. Dari raut Engku Eliesya tiada perbezaan dengan Eliesya, bekas isterinya.
Mendesis Engku Erhan saat Haydar menyentuh dan memegang tangan adiknya. Berani Haydar menyentuh adik kesayangannya. Dirinya memberontak ingin memberitahu tentang penyamar itu.
“Pelik, Eliesya yang aku kenal ada tahi lalat di telapak tangannya.” tutur Haydar.
Engku Erhan buat-buat tidak dengar. Kalau pecah tembelang, maka mukanya juga akan turut pecah dek amarah abahnya.
Tangan Engku Eliesya dilepaskan. Haydar ingin menyentuh kepala dan wajah Engku Eliesya pula, tetapi tangannya ditahan oleh Engku Erhan.
“Cukup.”
Dia tidak suka Haydar menyentuh tubuh adiknya sesuka hati. Apatah lagi dalam keadaan adiknya yang masih belum sedarkan diri.
“Okay. Aku dah dapat apa yang aku nak.”
Haydar berpaling untuk pergi.
Sah, bukan dia! Perasaannya saat menyentuh tangan Engku Eliesya tidak sama ketika dia dan bekas isterinya bersentuhan. Adakah sebab Engku Eliesya sedang koma? Tak mungkin! Rasanya terlalu asing. Hanya wajahnya yang serupa. Ternyata pesakit itu bukan Engku Eliesya!
********
Setelah dia masuk ke kereta, Haydar mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya.
“Check benda ni.”
Diberikan plastik kecil berisi dua helai rambut pada Jade. Rambut itu sempat dia tarik sebelum tangannya ditahan oleh Engku Erhan sebentar tadi.
"Cuba dapatkan sampel dari Engku Erhan."
Jade hanya mengangguk menyambut huluran plastik itu. Bertambah lagilah kerjanya selepas ini. Dia menjeling Haydar yang sudah membuang pandang ke luar kereta.
Haydar cuba memikirkan kembali Eliesya. Dia perlu cari tahu perbezaan atau persamaan antara kedua-duanya. Mungkin yang sakit itu adalah penyamar. Mungkin juga Engku Eliesya tidak sakit tetapi ada bersembunyi di mana-mana. Segalanya mungkin terjadi kerana dalangnya adalah Engku Ezman. Lelaki itu sangat kaya dengan muslihat.
Haydar memejam mata, cuba merehatkan mindanya seketika.
*******
“Dari jauh kelihatan seorang gadis sedang berlari, tanpa jeda, Haydar mengejarnya. Namun, gadis itu hilang dari pandangan. Hanya hilai tawanya yang kedengaran.
“Hahaha... Haydar, you cari I? Kenapa you cari I? Bukankah antara kita sudah putus?”
Haydar memandang kiri kanan mencari arah suara itu. Hanya padang rumput yang menghijau itu yang menyapa matanya.
“Haydar..” suara itu kedengaran lagi. Memanggil namanya dengan manja. Juga berselang-seli dengan tawa.
“Haydar, you takkan dapat cari I. Antara kita sudah tamat. You takkan jumpa I lagi. Ahahaha...”
“Eliesya!!”
Haydar tersedar dari lenanya. Tangan yang tergapai ke atas dijatuhkan ke dada. Dia duduk meraup muka.
Seketika kemudian, dia bangun, menarik fon di meja sisi dan berjalan ke arah tingkap. Fon dibawa ke telinga menunggu panggilan bersambut.
“ Jade, dah dapat jawapannya?”
Seketika dia diam menunggu Jade di balik talian menjawab. Atau lebih tepat, memberi laporan.
Tidak lama kemudian, talian dimatikan.
Dan senyuman mekar di bibir Haydar.
“Engku Ezman, tunggu hadiah dari aku.”
Share this novel