~IMBAS KEMBALI~
Tiga bulan pertama adalah tempoh di mana Muiz sedang berusaha menyesuaikan diri menjadi pelajar di universiti terbuka ini. Sikapnya yang kurang bercakap dan sering menundukkan pandangan seolah-olah menolak pelajar lain daripada mendekatinya. Mujurlah masih ada Amir, rakan sekelas Muiz di sekolah menengah yang setia menemaninya walau dimana mereka berada.
Sedang Muiz berjalan menuju ke kafeteria, dia ternampak seorang gadis bertudung labuh ingin melintasinya sambil menundukkan wajah. Langkah Muiz berhenti seketika bagi memberi ruang dan menjaga jarak di antara mereka. Pada awalnya, Muiz sekadar mengabaikan gadis itu dan meneruskan jalan seperti biasa.
Tetapi, sekali lagi pandangannya tertancap pada gadis yang sama ketika membeli makanan.
"Kak, air mineral sejuk satu." Suara lembut yang datang dari sebelah menarik perhatian Muiz. Langsung dia terlupa akan prinsip agamanya dan terus menoleh ke arah gadis itu. Walaupun hanya terlihat dari sisi, jantungnya telah berdegup kencang apabila melihat senyuman tipis menghiasi wajahnya. Gadis itu mengangguk kecil sambil mengucapkan terima kasih setelah selesai urusan jual beli.
Tiba-tiba, gadis itu menoleh ke arahnya sambil berkerut.
"Abang ni nak beli apa?! Dari tadi duk tercegat depan ni. Dah bayar ke belum tu?! " Salah seorang penjaga kafeteria menengking membuatkan Muiz tersedar daripada lamunannya. Terus dia mengalihkan pandangan ke depan.
'Mati lah nakk.. Kantoi pula aku usya dia!' melolong Muiz di dalam hati.
"Ah, ni duitnya makcik. Maaf." Muiz menghulurkan sekeping not lima ringgit sambil tersenyum kambing.
'Ya tuhan.. Ampunkan dosa aku yang telah tumpas oleh godaan nafsu dan syaitan hari ini!' pinta Muiz di dalam hati.
***
Keesokan harinya...
"Kau tak pergi kafe hari ni?" tanya Amir. Hairan dia melihat Muiz menggalas beg komputer riba. Mustahil dia mahu buat kerja di kafeteria yang bising itu.
"Tak, hari ni aku nak jimat duit." tegas Muiz. Sebenarnya dia cuma mencipta alasan agar tidak terserempak dengan gadis semalam lagi. Setelah kejadian memalukan itu, Muiz benar-benar segan untuk bertemu dengan gadis itu.
"Eh, bukan selama ni kau memang selalu simpan duit ke? Minggu ni pun baru first time kau berbelanja." Amir menjadi semakin curiga.
"Haa... Entahlah. Tiba-tiba tak ada selera nak makan." Muiz mencipta alasan lain pula.
'Aikk... Tadi kata nak jimat duit, tiba-tiba tak ada selera pula.' perasaan Amir bertukar curiga.
Seolah-olah tahu apa yang difikirkan oleh Amir, Muiz melajukan langkahnya dan mendahului Amir. Dia terus membelok menuju perpustakaan dan meninggalkan Amir bersendirian dalam keadaan bingung.
***
Pintu kayu dikuak sebelum kaki kanannya dibawa masuk ke dalam. Udara lembap yang keluar dari pendingin hawa seolah-olah menjemput kehadiran Muiz ke dalam ruangan sederhana besar itu. Muiz tersenyum lega. Pasti selesa kalau mengerjakan segala tugas di sini. Kebetulan, sekarang memang sedang musim panas.
Sedang matanya melilau mencari tempat duduk yang kosong, matanya terhenti pada satu sosok tubuh perempuan yang sedang tekun membaca buku.
'Ah, perempuan tu lagi?!' bentak Muiz tanpa suara. Sedaya-upaya Muiz mencari tempat duduk yang jauh daripada gadis itu. Tetapi tiada!
Dengan tidak rela, Muiz melabuhkan punggung tidak jauh di sebelah meja si gadis. Dia terus membuka beg galasnya untuk mengeluarkan komputer riba. Sempat juga mata Muiz menjeling sebuah buku nota di atas meja gadis itu.
'Nur Fatin Nazira'
'Itu ke nama dia?' Muiz pandang semula wajah si Fatin. Kelihatan dia masih tekun membaca buku.
'Ah, apa ni Muiz? Kenapa susah sangat kau nak kawal mata kau ni?' Muiz menggeleng laju sebelum menarik keluar komputer riba daripada beg.
***
Dua hari berlalu, tetapi Muiz masih tidak dapat melupakan sosok wajah Fatin daripada fikirannya. Setiap kali dia termenung, pasti wajah Fatin yang akan muncul untuk beberapa ketika. Kadang, Muiz berasa serba salah kerana selalu memikirkan tentang perempuan yang bukan mahram.
"Muiz?"
Muiz terpaku. Dia mendengar suara lunak menyebut namanya berkali-kali walaupun tiada sesiapa di sana. Kawasan di sekeliling hanya dipenuhi dengan warna putih yang tak berpenghujung. Mata Muiz melilau mencari pintu keluar.
"Muiz... Muiz!" suara itu masih memanggil.
"Aku dekat mana?! Siapa kau?!" teriak Muiz sambil mencari punca suara. Tiba-tiba, dia melihat ada satu cahaya putih di hadapan. Tanpa berfikir panjang, dia langsung membuka seribu langkah mendekati cahaya itu. Tetapi, langkahnya terhenti sebaik sahaja melihat satu sosok tubuh wanita dengan pakaian serba putih benar-benar di hadapannya.
Fatin!
"Muiz.." panggil gadis itu. Alunan suaranya lembut bak bidadari sehingga mampu mencairkan hati seorang lelaki. Jantung Muiz berdebar dengan lebih kencang. Matanya tertancap pada senyuman yang terukir di bibir manis Fatin. Tak dapat lagi untuk di deskripsi kan bagaimana indahnya rupa bidadari di hadapannya ini. Gadis itu terus-menerus menyebut nama Muiz dan memanggilnya sehingga Muiz sendiri sukar untuk mengawal tindakan. Perlahan-lahan dia melangkah mendekati bidadari itu.
Selangkah..
Demi selangkah.
Semakin dekat jarak di antara mereka, semakin kuat jantung Muiz berdetak sehingga mampu didengari telinganya sendiri. Setelah beberapa tapak, muncul pula satu cahaya lain yang lebih besar dari arah berlawanan. Cahaya misteri itu seolah-olah sedang mengejar Muiz. Dia terus berlari menjauhi cahaya itu sebelum matanya terbuka dengan sendiri.
'Astaghfirullah..' ucap Muiz seraya bangkit dari pembaringannya. Dia memandang sekeliling, masih ruangan bilik yang sama. Tiada sebarang cahaya aneh yang menghampiri. Paling penting, tidak ada perempuan!
Tangan kanan diusapkan ke dada belah kiri bagi menenangkan jantung yang terlalu laju berdegup.
'Ya Tuhan.. Ujian apa lagi ni?' Muiz meraup wajah menggunakan kedua-dua belah tangan. Masih kedengaran jelas alunan suara perempuan yang memanggil-manggil namanya dari jauh.
'Haishh.. Tak boleh jadi ni!'
Muiz bergegas turun dari katil menuju ke pintu tandas. Pili air dibuka sebelum Muiz mula mengambil wuduk.
'Ketahuilah bahawa itu semua hanyalah permainan syaitan yang suka melihat manusia bermaksiat dan mengingkari Tuhannya.'
Muiz mengimbas kembali ucapan yang pernah dia dengar semasa menghadiri kuliah subuh beberapa hari yang lalu.
Laju Muiz membentang tikar sejadah lalu menunaikan beberapa solat malam yang ringkas.
"اللَّهُمَّ غُضَّ بَصَرِي، وَطَهِّرْ قَلْبِي"
(Ya Allah, tundukkanlah pandanganku dan sucikanlah hatiku)
Doa Muiz dalam sujud yang terakhir.
"Ya Allah, tundukkanlah pandanganku dan sucikanlah hatiku." Doa Muiz dalam sujud yang terakhir.
Share this novel