Series
3850
"SAYANG betul taknak ikut abang? Abang lebih suka sayang yang jadi setiausaha. Boleh elak fitnah," ujar Ehsan ketika Una menyimpul tali leher.
"Takpe. Siapa-siapa jadi pun sama juga. Abang kan tahu jaga batas. Nak takut apa. Lagipun, sayang nak tumpu pada jahitan dan study. Alang-alang Sya pun dah makin besar," jawab Una.
"Taknak ada adik ke?" Ehsan berbisik nakal.
"Ish, abang ni. Ke situ pula. Gatal ek..." sahut Una sambil tampar manja bahu suaminya itu.
"Apa? Tampar abang pulak. Betullah apa abang katakan..."
"Amboi, bukan main lagi dua ekor merpati ni," tegur Farha isteri Idham. Adik kepada Ehsan.
Barulah pasangan itu terdiam. Saat yang sama, Syasya turun dari atas tangga.
"Id dah pergi ke? Abang memang nak ajar dia uruskan syarikat sana," terang Ehsan. Farha tersenyum-senyum sahaja.
"Dah pergi bang," ujar Farha mendekati pasangan itu.
"Kak Una tak bersiap ke? Bukan ke?" tegur Farha sambil meneliti penampilan Una.
"Tak jadi. Akak kan ada kelas. Menjahit lagi," jawab Una ramah.
"Ooo..." Jawab Farha terangguk-angguk. Kemudian pandang pula muka Ehsan.
"Seronok tengok kak Una dengan abang. Romantis betul..." ujar Farha.
"Ish...Farha dengan Id pun apa kurangnya. Pasangan romantik juga," sahut Ehsan sambil memeluk pinggang Una. Una pula spontan melentokkan kepalanya ke bahu Ehsan.
"Hmm...yela," jawab Farha lalu menunduk.
Gedebuk!
"Mama! A...duh..!" Syasya terpekik. Dia tersungkur secara terhentak-hentak punggung atas takah tangga.
"Ya Allah, anak mama!" Una yang terkejut ketika berpaling terus berlari mendapatkan anaknya itu.
"Sya!!!" Ehsan juga meluru. Farha juga. Kesemua mereka terperanjat mendengar bunyi benda jatuh itu.
"Mama! Sakit!!!" panggil Syasya tergapai-gapai tangan ingin memeluk si ibu. Lutut dan punggungnya benar-benar sakit.
"Syasya...anak mama!" Una memanggil terus terduduk dan memeluk si anak.
"Sya, macamana boleh terjatuh ni? Kan papa dah banyak kali pesan, tengok bawah. Tengok bawah. Eh, macamana boleh ada mainan pula ni? Sya bawa mainan ke sekolah ke?" tanya Ehsan segera mengutip barang mainan tersebut. Farha pula menyepi enggan masuk campur.
"Tak papa!" sahut Syasya laju dia menggeleng. Una yang memujuk turut terkejut. Setahu dia, tadi tiada mainan pun.
'Setahu aku ni bukan mainan Syasya tap...'
"Habis tu? Macamana boleh ada barang mainan kat tangga? Ke semalam Syasya main tapi lupa nak simpan? Kan semalam Sya main dengan Fan?" Sambil menyoal Ehsan pandang semua muka-muka yang ada di situ.
"Sya dah simpan papa. Betul, Sya tak tipu papa. Mama!" sahut Syasya mengalih muka memandang ke arah Una pula.
"Apa yang kecoh-kecoh ni?" Suara lain pula masuk campur. Ehsan dan Farha yang berpaling tapi tidak Una dan Syasya. Syasya berbisik.
"Sya, dah simpan mama. Sya ingat, lagipun barang mainan Fan."
Una memandang Syasya lagi. Syasya berkali-kali mengangguk.
"Syasya ni mak. Entah macamana boleh jatuh tangga. Siap ada barang mainan lagi ni," jelas Ehsan.
"Teruk ke luka?" tanya Datin Hasnah turut sama merenung bawah pada Una dan Syasya di pelukan.
"Hmmph...taklah teruk sangat. Terkoyak sikit je tu. Farha, pergi ambil handyplus," arah Datin Hasnah sambil direnung Farha. Ternaik-naik kening nipis Farha.
"Sikit je ni. Dah besar-besar nak menangis. Buat malu saja," leter Datin Hasnah. Una cuma tersenyum sambil mengucup dahi, Syasya.
"Kan ke dah lambat, Ehsan? Biarlah mainan tu isteri kamu simpankan. Ni nanti nak hantar Sya ni lagi ke sekolah. Mak suruh naik bas, kamu berdua tak nak..."
"Masa saya ada je mak. Ni, nanti esok Sya naik van," jelas Ehsan. Una cuma mendengar.
"Hah, lupa pulak mak nak cakap. Nasib kamu tak pergi lagi," ujar Datin Hasnah terkibas-kibas tudungnya.
"Apa dia mak?"
"Nah!" Suara Farha agak kuat ketika menghulurkan handyplus tersebut ke tangan Una. Una pun mengambilnya lantas membukanya. Perlahan-lahan dia lekatkan pada lutut yang terluka.
"Kenal, kan? Dua pupu kamu yang baru balik dari Cambridge, tu? Mak ngah pesan pada mak minta kamu ajar dia tentang selok-belok perniagaan," ujar Datin Hasnah. Una menggigit bibir. Ehsan merenung Una.
"Sudah?" Ehsan. Una mengangguk. Dia dan Syasya sama-sama bangun. Farha memandang Datin Hasnah. Pandangan mereka bagaikan tersirat sesuatu.
"Kamu dengar takni, Ehsan?" Datin Hasnah yang tak senang rasa dengan keletah Ehsan mengabaikan permintaan dia tadi, berterusan menyoal.
"Ya, mak. Saya dengar. Bila dia masuk kerjanya. Dah masuk barulah saya ajar," ujar Ehsan.
"Saya pergi dulu ya, mak. Mak tolong tengok-tengokkan Una dan Syasya ya," ujar Ehsan menitip pesan.
"Hah...ya.Taulah mak. Kamu tu dekat sana nanti jangan lupa singgah rumah Mak Lang kamu. Sampaikan salam mak ni," ujar Datin Hasnah ketika Ehsan menunduk, menyalami tangannya.
Ehsan sempat mengerling ke arah Una, memberikan senyuman nipis yang membawa maksud 'sabar ya sayang.'
Ketika Una mengikuti Syasya dan juga suaminya. Farha dengan Datin Hasnah tersenyum penuh makna. Alat permainan Irfan dibiarkan saja sebelum Farha bergerak dari situ.
"Abang tahu mesti sayang risaukan bila dengar. Sayang jangan bimbang ok. Abang kan dah ada sayang. Buat apa abang nak melayan. Dia pun sedara abang. Mak tu saja yang lelebih," ujar Ehsan setelah meletakkan beg kerja di tempat duduk belakang.
"Bang!"
"Sayang, abang dah lambat ni. Abang pergi dulu. Jaga diri tu baik-baik," potong Ehsan sebelum sempat Una bersuara.
Ping! Hon dibunyikan. Syasya dan Ehsan melambaikan tangan. Una menyambutnya bersama senyuman.
Bunyi deruman kereta kian menjauh, meninggalkan Una dalam keheningan yang sedikit menyesakkan.
"Ehem!" Deheman itu memalingkan Una ke belakang semula. Una tersenyum nipis.
"Una, dah-dah la tu. Pergi kutip mainan yang bersepah tu. Tak manis kalau orang luar masuk tengok rumah macam ni," arah Datin Hasnah sambil melabuhkan punggung di sofa empuknya.
"Baik, mak," jawab Una ringkas.
***
"Mama... Sya betul-betul tak main mainan Fan tadi pagi. Sya nak turun pakai kasut, tiba-tiba Sya terpijak benda tu. Macam mana dia boleh ada kat situ?"
Una terhenti seketika. Hatinya digeletek rasa curiga namun dia cepat-cepat menepis. Dia tidak mahu anaknya itu menyimpan rasa dendam atau sangka buruk pada sesiapa dalam rumah ini.
"Dah, takpe. Mungkin semalam Fan tertinggal, kita tak perasan. Lain kali Sya jalan hati-hati, tengok bawah ya? Dah, tukar baju cepat."
Selesai menguruskan Syasya, Una turun semula ke tingkat bawah. Matanya mencari-cari kelibat ibu mertuanya dan Farha. Mereka berdua sedang asyik berbual di ruang makan sambil menikmati sarapan.
"Farha, kau jangan lupa ingatkan Idham pasal projek kat Melaka tu. Jangan asyik nak berkepit dengan kau je," kedengaran suara Datin Hasnah bercampur tawa kecil.
"Eh, Id tu yang tak boleh berenggang dengan Farha, mak. Kadang-kadang rimas juga. Tak macam Abang Ehsan, fokus sangat dengan kerja sampai Kak Una pun dah terbiasa kena tinggal," sahut Farha, suaranya sengaja ditinggikan sedikit apabila menyedari kehadiran Una di ruang tamu.
Una hanya pura-pura tidak mendengar. Dia membongkok, mengutip satu-persatu bongkah mainan plastik milik Irfan. Tiba-tiba, tangannya tersentuh sesuatu di bawah permaidani tangga, sebuah lagi mainan kereta yang kedudukannya agak tersorok.
'Ada lagi?' Una bertanya pelik. Pun begitu, dia tetap mengutipnya lalu dimasukkan ke dalam raga.
"Una, dah siap kemas?" tegur Datin Hasnah dari jauh.
"Dah mak. Una nak hantar Syasya kejap, lepas tu terus ke kelas menjahit."
"Hah, yelah. Belajar betul-betul menjahit tu. Sekurang-kurangnya ada jugalah faedah kamu duduk rumah ni daripada goyang kaki saja. Mana tahu nanti boleh jahitkan baju raya kami anak-beranak, tak payah hantar butik mahal-mahal," ujar Datin Hasnah tanpa memandang wajah menantunya itu.
Una hanya mampu tersenyum tawar. Dia tahu itu bukan pujian, melainkan satu lagi bentuk sindiran halus.
Share this novel