Series
3850
"Sampai hati kamu tengok je adik ipar kamu terlentang macam ni?" Suara Datin Hasnah kedengaran bergetar, seolah-olah dia sedang menahan tangis yang amat sangat.
Una yang baru saja mahu melangkah masuk ke bilik, terhenti. Dia berpaling, memandang drama di depannya dengan rasa mual.
"Ma, Una nak ubatkan Sya jap. Sya pun sakit kena sebat tadi."
"Sya tu budak lagi, kejap lagi baiklah! Ni Farha ni, kalau rahim dia jatuh macam mana? Kalau pinggang dia patah macam mana? Kamu nak bertanggungjawab?"
"Kesian menantu mak... sudahlah kaki sakit, kena buli dengan budak-budak, sekarang jatuh pula. Malangnya nasib kamu, Farha..."
Una mengetap bibir. Dia tahu itu semua taktik Datin Hasnah untuk meraih simpati dan membuatkan Una rasa bersalah. Tapi melihatkan mertuanya yang sudah tua itu merintih-rintih sambil memegang pinggang sendiri (kononnya sakit sebab nak angkat Farha), hati kecil Una terusik juga.
"Sya, duduk sini kejap. Mama tolong tok ma," bisik Una perlahan.
Syasya hanya mengangguk lemah, matanya masih bengkak. Una mendekati mereka.
"Mari Una bantu papah dia ke sofa."
"Hah, tau pun nak menolong! Ingatkan dah jadi batu tadi," sindir Datin Hasnah dalam tangisan palsunya.
Dengan susah payah, Una memapah Farha. Farha sengaja memberatkan badannya, malah sempat lagi dia mencubit lengan Una dengan kuat tanpa sedar dek Datin Hasnah. Una menyeringai sakit tapi dia diamkan saja.
Setelah Farha dibaringkan di sofa, Datin Hasnah mula melancarkan serangan psikologi.
"Una... mak ni dah tua. Mak tak larat nak tengok korang bergaduh macam ni. Farha ni tetamu kita, dia sakit. Kalau kamu keluar dari rumah ni sekarang, mak rasa mak takkan tenang. Mak takut mak mati dalam keadaan rumah tangga anak-anak mak kucar-kacir..." Datin Hasnah memegang dada, nafasnya dibuat-buat sesak.
"Ma... jangan cakap macam tu," Una mula serba-salah. Niatnya nak packing baju tadi terus terbantut.
"Kalau kamu sayang mak, janganlah pergi. Duduklah sini, jagakan Farha sementara dia tak sihat ni. Anggaplah ni sebagai tebus salah anak kamu tu pada dia. Boleh ya, Una?" Datin Hasnah merayu dengan wajah paling sayu yang dia ada.
Una memandang ke arah Syasya yang memerhati dari jauh. Dia tahu, kalau dia kekal di sini, dia dan Syasya akan terus menjadi hamba. Tapi kata-kata 'mati tak tenang' daripada mertuanya itu benar-benar mengunci langkahnya.
"Yelah ma... Una tak jadi keluar. Una duduk sini dulu," jawab Una lemah.
Farha yang sedang berbaring, sempat mengukir senyum kemenangan di sebalik bantal yang menutup mukanya.
'Padan muka kau, Una. Ingat senang nak lari? Aku belum habis kerjakan anak kau lagi!' desis hati busuk Farha.
Datin Hasnah mengesat air mata 'palsunya' dengan hujung tudung.
"Baguslah. Dah, pergi dapur. Masakkan bubur untuk Farha. Dia kena makan ubat tu," arah Datin Hasnah tatkala melihat Una sudah menutup botol minyak afiat.
"Mama..." Syasya juga sakit. Sebab itulah, dia memanggil.
"Lepas Una ubatkan anak Una. Una tolong masak, boleh?" Una meminta. Dia mengharapkan sedikit toleransi dari mertua dan adik iparnya itu.
"Alah, bukan lama benar masak bubur tu kan?" Datin Hasnah tetap mahukan menantu bukan pilihannnya itu masakkan bubur untuk menantu kesayangannya.
"Mama..." Syasya juga memanggil. Lututnya benar-benar berdenyut. Una semakin serba-salah. Syasya juga sakit, dia tahu itu.
"Sya, tunggu sekejap ya. Kesian kat unty. Biar mama masak bubur," ujar Una dan akhirnya dia memilih untuk bangun dan ke dapur.
Ketika dia sedang bangun, Farha sempat membuka penutup botol minyak afiat.
Di dapur, Una menahan perasaan. Memang dia ingin keluar dengan segera tetapi dia takut tidak mendapat persetujuan Ehsan.
'Dah tentu-tentu abang tu akan pilih mak dia jugak. Ya Allah, kuatkan lah hatiku buat sementara ini.'
"Ma... mama fikirkan apa tu?" Suara kecil itu menenggelamkan episod-episod sekejapan tadi.
"Sya tahu. Tentu mama fikir pasal unty Farha kan? Sya pun tak sukalah dengan unty. Tengok lutut Sya ni. Lengan Sya ni. Sakit tau, mama..." Syasya mengambil kesempatan itu mengadu semuanya. Dia betul-betul tak berpuas hati dengan Farha. Nasiblah Irfan tidak mengikut perangainya.
"Sya...siapa ajar cakap macam itu? Mama papa tak pernah ajar. Tak baik cakap macam tu pada orang yang lebih tua daripada kita," nasihat Una biarpun dia juga ada rasa marah.
Imbas kembali...
Una mengacau bubur di dalam periuk dengan gerakan yang perlahan, fikirannya melayang jauh. Kata-kata Syasya tadi benar-benar menghiris tangkai hatinya. Dia tahu anaknya itu tidak bersalah namun dalam rumah ini, kebenaran selalunya tewas di tangan drama dan air mata palsu.
Tiba-tiba, satu jeritan nyaring memecah kesunyian dapur.
"Arghh! Sakit! Mak! Sakit!"
Una tersentak. Itu suara Farha. Dia segera mematikan api dapur dan berlari ke ruang tamu, diikuti oleh Syasya yang terhencut-hencut.
Sesampainya di sana, Una terpaku. Datin Hasnah sedang memangku kepala Farha yang meronta-ronta di atas sofa. Botol minyak afiat yang tadi diletakkan Una di atas meja, kini sudah tumpah ke lantai malah, sebahagian besar isinya membasahi kain langsir dan permaidani mahal Datin Hasnah.
"Apa lagi yang jadi ni, ma?" tanya Una cemas.
"Apa lagi? Kamu tanya apa lagi?!" Datin Hasnah menjerit sambil menuding jari ke arah Una.
"Kamu letak botol minyak ni terbuka ya? Farha nak capai tadi, habis tumpah kena mata dia! Kamu sengaja kan, Una? Kamu nak butakan adik ipar kamu sendiri?!"
"Mana ada, ma! Una dah tutup tadi sebelum ke dapur," bela Una. Dia teringat jelas dia sudah memulas penutup botol itu rapat-rapat.
Farha menangis teresak-esak, menutup matanya dengan tangan.
"Sakit... pedih... Kak Una, kalau tak suka Farha ada kat cakap. Jangan buat macam ni... mata Farha ni aset Farha, mak..."
Syasya yang berdiri di belakang Una tiba-tiba bersuara,
"Tadi Sya nampak Unty Farha buka sendiri botol tu masa mama bangun!"
Pang!
Satu tamparan hinggap di meja kopi, menyebabkan Syasya terdiam ketakutan.
"Budak ni memang tak habis-habis nak memfitnah! Sama je perangai dengan mak dia!" Datin Hasnah sudah berdiri tegak, hilang sudah lakonan sesak nafasnya tadi.
"Una, sekarang juga kamu kemas semua ni. Lap minyak ni sampai bersih. Bau ni boleh buat mak pening! Lepas tu, bawa Farha pergi klinik!"
"Tapi ma, bubur belum siap. Sya pun belum makan ubat..." Una cuba melawan namun suaranya tenggelam.
"Bubur tu biar mak yang tengokkan! Sekarang kamu buat apa yang mak suruh! Ke kamu nak mak mati kat sini sebab strok tengok perangai kamu?"
Una menarik nafas panjang. Dia memandang Syasya yang sudah mula mengalirkan air mata kerana ketakutan. Di satu sudut hati, dia mahu melawan. Dia mahu menjerit bahawa dia tahu semua ini adalah lakonan.
Namun, telefon pintarnya yang berada dalam poket apron bergetar. Satu pesanan ringkas (SMS) masuk daripada Ehsan...
"Sayang, abang kena stay back kat pejabat malam ni. Tolong jagakan mama ya? Dia mengadu sakit dada tadi. Nanti abang balik, kita bincang pasal cuti kita."
Una memejamkan mata rapat.
'Bincang pasal cuti?'
Ehsan langsung tidak tahu isterinya sedang 'disembelih' hidup-hidup di rumah sendiri.
"Una? Tunggu apa lagi? Pergi ambil kain buruk!" pekik Datin Hasnah.
Una tunduk. Dia mencapai kain buruk di tepi meja. Sambil melutut mengelap minyak yang tumpah, dia sempat menangkap pandangan mata Farha dari celah jarinya satu pandangan mengejek, penuh dengan kemenangan.
'Sabar, Una... sabar demi Syasya,' bisik hati kecilnya. Namun dia tahu, benteng kesabarannya kini hanya menunggu masa untuk runtuh menyembah bumi.
Share this novel