BAB 4

Thriller Series 481

SURIA pagi menebarkan cahaya ke ruang tamu. Qalesya duduk di meja makan, menikmati sarapan roti bakar dan kopi panas sambil menunggu Haris bersiap. Rumah itu terasa aman seakan malam penuh debar semalam, tidak pernah wujud.

Haris muncul dari bilik, segak dengan kemeja biru muda. Senyumannya terukir seperti biasa. Dia sempat merangkul bahu Qalesya lalu meraih secawan kopi.

"Awak jangan fikir banyak-banyak lagi, sayang.Tengahari nanti abang call, kita lunch sama.”

Qalesya tetap jua tersenyum walau hatinya masih berat dengan kata-kata Nadimah semalam.

'Betulkah Haris dah bercerai? Atau aku ditipu bulat-bulat?'

Dia hanya mengangguk perlahan.

“Baiklah, bang.”

Selesai bersarapan, Haris melangkah keluar. Qalesya mengikut ke pintu pagar, sekadar menghantar. Dia berdiri di situ, melihat kereta suaminya keluar perlahan dari garaj.

Saat itulah, matanya menangkap sesuatu di seberang jalan.Seorang wanita dalam persalinan ringkas berwarna pastel sedang berdiri di sisi kereta yang diparkir.

Wajahnya bersolek tipis namun ekspresinya menusuk. Anak matanya tidak lepas memerhati Haris.

Qalesya terpaku. Dia tidak kenal wanita itu tapi jelas sekali pandangan si perempuan penuh makna.

Jantung Qalesya berdegup lebih kencang.

'Siapa dia? Kenapa pandang Haris begitu?'

Kereta Haris semakin menjauh. Wanita itu masih memandang, sebelum cepat-cepat menunduk dan berpaling seolah tidak mahu disedari.

Dia masuk ke dalam keretanya lalu menghidupkan enjin. Qalesya menggigit bibir. Perasaan yang tadinya tenteram kembali bercelaru.

"Kalau betul kau yakin tentu kau tak macam ini. Mustahillah setiap penipuan tu perfect. Sesekali, pasti ada lompongnya juga..." Ingatan pada kata-kata Nadimah bermain lagi.

Dia menghela nafas panjang cuba menolak resah itu. Namun pandangan wanita asing tadi terbayang-bayang, seakan menambahkan titik hitam pada keyakinannya terhadap suami sendiri.

"Siapa? Selalu tak pernah pun nampak?" Qalesya bertanya lagi.

Qalesya menutup pagar perlahan. Kopi pagi yang tinggal separuh sudah terasa pahit, lidahnya sendiri enggan menipu hati lagi.

"Ah, takde apa-apalah Sya. Kau tu saja yang terlalu dalam fikir benda yang bukan-bukan. Takkan abang nak buat macamtu..."

Sepanjang hari itu, Qalesya cuba menenangkan hati. Dia mengemas rumah, melipat kain, memasak serta semua rutin seperti biasa. Tapi bayangan wajah wanita pagi tadi tetap menghantui fikirannya.

***

Ketika duduk di ruang tamu petang itu, Qalesya memandang lama ke arah pintu pagar rumahnya.

Dia memeluk bantal kusyen erat ke dadanya yang terasa sesak. Bibir pula masih berbisik meyakinkan diri sendiri.

“Haris milik aku. Dia suami aku. Dia takkan tipu aku...”

Walau hakikatnya, kata-kata itu lebih mirip doa daripada keyakinan.

“Penat?” soal Haris lembut, jemarinya masih mengusap rambut Qalesya yang terurai di dadanya.

Qalesya hanya menggeleng kecil sambil tersenyum, meski hatinya masih bergolak.

"Tak… cuma tenang,” ujarnya perlahan memujuk diri sendiri.

Haris mengangkat wajahnya sedikit lalu mencium dahi Qalesya lama.

"Abang suka tengok Qalesya macam ni. Macam semua beban dunia hilang bila ada dengan abang.”

Kata-kata itu membuatkan Qalesya hampir menitiskan air mata. Dia ingin percaya dan ingin merasa bahagia meskipun, suara Nadimah tentang kebenaran status Haris masih bergaung di benaknya.

"Selagi Qalesya ada dengan abang, jangan takut apa-apa, ya?” tutur Haris penuh yakin.

Qalesya hanya mengangguk, tidak berani membalas kata. Dia merapatkan wajah ke dada lelaki itu cuba menutup segala debar dengan bunyi degup jantung yang kedengaran stabil.

Senja itu semakin pekat, langit di luar tingkap berbalam jingga dan ungu.

Qalesya kembali ke ruang tamu dengan dua cawan kopi panas. Dia meletakkan satu di hadapan Haris lalu duduk rapat di sisinya. Aroma kopi memenuhi ruang, memberi alasan untuk mereka sama-sama diam tanpa perlu berbicara panjang.

"Wangi,” kata Haris sambil menyedut perlahan. Kerlingan matanya sempat menjeling Qalesya yang sedang menunduk.

“Macam bau isteri abang sendiri.”

Qalesya tergelak kecil. Laju menampar lengannya.

“Asyik nak mengusik saja. Minum kopi elok-elok, bang.”

Haris tertawa namun jemarinya tetap sempat menggenggam tangan Qalesya. Sentuhan itu membuatkan hati Qalesya bergetar tapi kali ini, dia menekan rasa bimbang yang mahu muncul. Dia paksa dirinya untuk tidak lagi memikirkan kata-kata Nadimah.

'Kalau aku biarkan, aku sendiri yang akan binasa. Aku kena percaya. Aku kena belajar bahagia tanpa fikir semua benda yang belum tentu betul.'

"Abang, esok kita keluar makan kat luar ya,” ujar Qalesya tiba-tiba.

Dia mahu mengubah suasana. Dia mahu mencipta memori baharu yang lebih indah. Haris mengangguk sambil mengusap lembut rambut isterinya.

“Abang ikut saja. Mana-mana pun boleh. Janji dengan Qalesya.”

Dia tersenyum cuba menyalakan keyakinan dalam hati. Kopi panas disedut sedikit, pahitnya terasa tapi dia biarkan sahaja.

'Mungkin beginilah cinta. Ada pahit. Ada manis tapi aku tetap mahu telan kerana aku tak mahu kehilangan.'

Malam itu mereka menonton televisyen bersama, ketawa kecil pada drama yang ditayangkan. Berkongsi kudapan di meja kopi, umpama tidak ada bayangan yang menghantui Qalesya. Dia membiarkan dirinya larut dalam momen itu.

Sebelum tidur, ketika Haris memeluknya erat. Qalesya menutup mata sambil berbisik perlahan.

“Saya bahagia, bang. Saya bahagia dengan abang.”

Haris tidak menjawab, hanya mengucup ubun-ubun isterinya lama. Qalesya tahu, mungkin ada sesuatu di luar sana yang mampu menghancur tetapi malam itu, dia memilih untuk percaya.

Dia memilih untuk abaikan segala resah dan berpaut hanya pada hangat pelukan suaminya.

Qalesya cuba mengabaikan semua bisikan Nadimah yang masih terngiang dalam kepala. Dia tidak mahu hidupnya diganggu dengan rasa was-was. Haris ada di sisinya kini, itu sudah cukup.

“Sayang nampak letih… penat ke jalan tadi?” tanya Haris sambil mengusap perlahan rambut isterinya.

Qalesya tersenyum nipis.

“Taklah, cuma banyak fikir. Kadang-kadang benda kecil pun boleh jadi beban dalam kepala.”

Haris menarik tubuhnya ke dada.

“Lepaskan semua tu. You ada I, kan? Itu saja yang penting.”

Dia mengangguk perlahan. Walau hatinya masih bergetar dengan keraguan, dia cuba menanam rasa percaya.

“Ya… cuma I takut, Haris. Takut kalau semua ni terlalu indah untuk jadi nyata.”

Lelaki itu mengangkat wajahnya, memandang tepat ke dalam matanya.

“Tak perlu takut. Apa pun jadi, I tetap dengan you. You isteri I, Qalesya. Jangan biar sesiapa rosakkan kebahagiaan kita.”

Qalesya memejam mata sebentar, seolah-olah mahu menyerap setiap kata yang keluar dari bibir suaminya. Dia tidak mahu lagi diselubungi rasa gusar. Sekurang-kurangnya, buat masa ini.

"Kalau macam tu… janji jangan tinggalkan I,” tutur Qalesya berbisik.

Haris tersenyum, bibirnya mendarat lembut di dahi Qalesya.

“Never.”

***


Malam merayap perlahan. Lampu meja kecil di sisi katil memberi cahaya samar yang cukup untuk menerangi wajah Haris yang sedang lena.

Qalesya terjaga, matanya terbuka luas. Dia memandang suaminya lama, mahu mencari kebenaran dalam setiap garis wajah itu.

"Haris… betul ke semua ni milik aku?” bisiknya. Keliru. Celaru.

Dia mengangkat tangan perlahan, menyentuh pipi Haris. Lelaki itu sedikit bergerak tetapi masih dalam tidur. Nafasnya stabil. Damai. Seolah tiada apa yang pernah berlaku.

Qalesya tersenyum tipis cuba meyakinkan diri. Namun di hatinya, ada jurang kosong yang semakin sukar ditutup. Qalesya menggenggam jemari Haris erat-erat.

"Abang, jangan tipu Qalesya… tolong jangan,” bisiknya lagi walau tahu Haris tidak mendengar.

Esok paginya, Haris bangun awal seperti biasa. Dia mengejutkan Qalesya dengan ciuman ringan di dahi.

"Tidur lagi ya. Abang kena keluar awal sikit hari ni,” katanya dengan senyuman yang sama.

Senyuman yang selalu berjaya mencairkan hati Qalesya. Dia hanya mengangguk.

“Jaga diri, bang.”

Dan Haris melangkah keluar, meninggalkan aroma segar cologne yang masih berbekas di ruang bilik. Qalesya menarik selimut hingga ke dada. Tubuhnya menggigil bukan kerana dingin tetapi kerana rasa tidak pasti yang kian menebal.

Dia bangun juga akhirnya, berjalan ke jendela. Dari celah langsir, dia sempat melihat kereta Haris membelok keluar. Matanya liar mencari. Naluri yang tidak mahu diam membuatnya menoleh ke seberang jalan.

Kosong. Tiada siapa.

***

Mbah Surti merenung lama ke wajah Syarifah Aida. Matanya yang berkedut itu seakan menembusi lapisan cantik luarannya, menyingkap sesuatu yang lebih gelap.

"Hmm…” dengusnya sambil jemarinya yang berkuku hitam mengetuk perlahan bekas kaca di hadapan.

"Aku tahu kau bukan kosong. Kau sudah ada ilmu, kan? Bukan sekali dua kau main dengan cermin, bukan sekali dua kau guna kata-kata untuk tundukkan orang.”

Syarifah Aida terdiam. Wajahnya berubah sedikit tapi cepat-cepat dia menarik senyum tipis.

"Mbah… saya tahu serba sedikit. Tapi saya mahu lebih. Saya mahu sesuatu yang orang lain tak boleh lawan.”
Suara Syarifah Aida tenang tapi dalamnya sarat dengan obsesi.

Mbah Surti menggeleng. Ketawanya hambar.

"Orang yang sudah berilmu, kalau minta susuk itu bahaya. Api dengan api, kau tahu akibatnya? Kau takkan dapat manis saja. Kau mungkin terbakar sendiri. Kau sanggup?”

Syarifah Aida menegakkan tubuhnya. Suaranya naik setingkat, berbaur keras kepala.

“Sanggup! Saya tak peduli risiko. Saya cuma mahu orang pandang saya, tak berani lawan saya. Saya mahu suami saya… tak pernah berpaling lagi. Kalau ada perempuan lain, biar dia terbakar dengan pandangan saya!”

Mbah Surti menatapnya lama. Senyumannya penuh sindiran.

"Kau tamak, anak. Kau sudah ada ilmu tapi masih lapar. Kau fikir dunia ini tunduk pada cantik? Pada susuk? Kau silap. Susuk hanya tipu daya. Kalau hatimu hitam, susuk hanya membesarkan bayang-bayang kegelapan itu.”

Syarifah Aida menggenggam beg tangannya, jari-jarinya putih menahan marah.

"Biar! Asalkan saya dapat apa yang saya mahu. Mbah, saya datang bukan untuk dengar ceramah. Saya datang untuk bayar harga. Tolong pasangkan. Saya tak nak tunggu lagi.”

Udara dalam rumah itu seakan jadi lebih berat. Kemenyan yang dibakar makin pekat. Mbah Surti akhirnya menghela nafas panjang, menundukkan kepala.

"Baiklah, kalau itu pilihanmu…” suaranya parau, seakan merelakan sesuatu yang berbahaya.

“Tapi ingat, aku hanya perantara. Kalau kau rebah itu bukan kerana aku. Itu kerana kau sendiri yang rakus.”

Syarifah Aida tersenyum puas. Wajahnya bercahaya oleh nafsu untuk memiliki apa yang diinginkan, meskipun cahaya itu berbau muram.

Mbah Surti mengeluarkan sebuah bekas kecil dari kotak kayu lama. Di dalamnya terletak jarum-jarum halus berkilau samar ditimpa cahaya pelita. Syarifah Aida tetap menelan liur walau anak matanya bersinar ghairah.

"Inilah yang kau mahu sangat,” ujar Mbah Surti seperti mencabar.

"Sekali jarum ini masuk, hidupmu bukan lagi milikmu. Kau akan selalu dituntut. Kau faham maksudku?”

"Saya sanggup. Tak ada apa yang boleh buat saya undur lagi.”

Mbah Surti menyalakan kemenyan lebih banyak. Asap putih menebal. Ada bayang-bayang lain bergerak dalam kepulan itu. Bau kemenyan bercampur dengan hanyir darah ayam hitam yang tadi sudah dikorbankan.

Mbah Surti mula melafazkan mantera. Suaranya bergetar, bercampur antara bahasa Jawa halus dan jampi Melayu lama.

“Sira cahya suci, anoraga kang maring dumadi,
nyawiji, nyawiji… kanti rahsa,
tumraping awak iki, dadi ayu, dadi pengasih…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience