QALESYA mengangkat beberapa beg plastik ke dalam bonet kereta. Angin malam terasa sedikit dingin, membuatkan kulit tangannya meremang. Dia tersenyum kecil, teringat wajah Haris yang mungkin sedang menunggunya di rumah.
"Abang mesti suka kejutan ni...” bisiknya perlahan.
Saat dia menutup bonet, ekor matanya sempat menangkap bayangan samar pada tiang parkir. Ia seperti kain hitam yang berkibar perlahan. Dia berpaling cepat. Kosong.
Qalesya terdiam seketika, menarik nafas dalam.
'Ah, penat sangat agaknya'.
Dia menggeleng lalu terus masuk ke dalam kereta.
Ting tong!
Haris sudah menunggu dengan senyum lebar. Dia berjalan ke arah pintu lalu membukanya. Tersembul wajah tersenyumnya di balik pintu.
“Sayang lambat. Abang dah rindu," ujar Haris bernada manja.
Qalesya membalas senyuman dalam masa sama, cuba menyembunyikan wajah pucatnya. Dia meletakkan beg di meja makan.
"Maaf, abang... barang banyak sikit. Tadi pun ramai orang.”
Haris mendekat, menyentuh pipinya.
“Kenapa sejuk ni? Awak penat ya?”
Dia menggeleng lalu menyandarkan kepala di bahu suaminya.
“Penatlah juga, bang tapi bila dekat dengan abang, hilang semuanya," jawab Qalesya tersenyum.
Haris tersenyum, merangkulnya erat.
"Macam tu lah. Jangan fikir apa-apa. Dengan abang, awak sentiasa selamat.”
Qalesya mengangguk perlahan. Namun dalam fikirannya, bayangan kain hitam di parkir tadi masih tersisa.
Qalesya cuba mengalihkan fikirannya. Dia memandang beg plastik yang masih belum dibuka.
"Abang tengok ni…” Qalesya mengeluarkan sebungkus kuih kegemaran Haris.
“Saya singgah kejap beli. Abang selalu kata nak, kan?”
Mata Haris bersinar.
“Ha, tahu pun isteri abang ni manja dengan suami dia.” Dia menunduk mencium pipi Qalesya.
“Terima kasih, sayang. Abang suka sangat," sahut suara girang Haris lalu mengunyah.
Qalesya tergelak kecil walau di dalam hatinya masih bergetar. Dia menatap wajah suaminya lama, ibarat kehadiran Haris mampu menolak segala resah yang kian mencengkam lubuk jiwa.
“Abang…” suara Qalesya perlahan, nyaris berbisik.
“Hmm?” Haris menatap matanya penuh lembut. Qalesya terdiam sebentar cuba mencari kata namun akhirnya, dia hanya menggeleng.
"Tak ada apa-apa.”
Haris mengusap rambutnya.
“Kalau ada apa-apa, jangan simpan sendiri. Abang ada untuk awak, ya?”ucap suaminya lantas mengucup dahi.
Qalesya mengangguk, menunduk sedikit. Angin malam merayap masuk melalui celah tingkap dapur yang terbuka sedikit. Tirai tipis bergoyang perlahan dan entah kenapa Qalesya tiba-tiba, terasa seolah-olah ada sesuatu yang sedang memerhati dari luar.
Dia spontan berpaling. Kosong. Hanya bayangan pepohon di luar rumah.
"Sayang?” Haris tegur sambil menyentuh lengan isterinya.
Qalesya cepat-cepat tersenyum.
“Hmm? Eh, tak ada apa-apa. Jom makan dulu?”
Haris mengangguk lalu menarik tangannya ke meja makan.
“Baik, kita makan sama-sama. Abang tak nak isteri abang termenung seorang.”
Mereka duduk bersama. Haris sibuk membuka bungkusan makanan sambil bergurau kecil namun Qalesya sesekali, pasti akan melirik ke arah tingkap.
***
Telefon bimbit di atas meja solek berdering nyaring. Syarifah Aida meraih segera, wajahnya sudah masam mencuka.
"Hello!” suaranya meninggi.
Di hujung sana kedengaran suara lelaki tenang, sedikit serak.
"Kenapa marah-marah ni, Aida? Baru balik kerja, terus kena serang.”
Syarifah Aida mendengus kasar, berjalan ke arah tingkap biliknya.
"Kerja? Kerja konon! Seminggu ni awak asyik balik rumah dia aje. Awak lupa ke, saya ni pun isteri awak? Awak ingat saya ni tunggul?”
Lelaki itu terdiam seketika sebelum menjawab perlahan.
“Aida… jangan cakap macam tu. Saya tak lupa awak. Saya cuma…”
"Saya cuma, saya cuma!” Syarifah Aida meniru sambil mencebik. Tangannya mengetuk bingkai tingkap, menahan marah yang mendidih.
"Dulu awak janji nak adil. Awak janji takkan abaikan saya. Tapi apa jadi sekarang? Awak bermalam kat rumah dia, makan dengan dia, bergurau sakan macam pengantin baru! Saya ni tunggu apa? Tunggu awak ingat yang saya wujud?”
"Aida, tolonglah faham. Dia pun isteri saya. Saya cuba bahagi masa.”
"Bahagi masa kepala otak awak!” potong Syarifah Aida garang.
Nafasnya laju, dada naik turun menahan rasa.
"Balik-balik alasan yang sama. Hak saya awak campak ke tepi. Saya bukan patung hiasan yang awak boleh tinggalkan bila dah bosan, tahu tak?”
Suara lelaki itu kedengaran makin resah.
"Jangan cakap macam tu. Saya sayang awak juga, Aida. Saya cuba seimbangkan...”
"Sayang konon! Kalau betul sayang, kenapa tiap kali giliran saya, awak cari alasan? Awak tahu tak saya duduk seorang diri dalam rumah besar ni, tunggu bunyi kereta awak yang tak pernah muncul?”
Tiba-tiba, suara Syarifah Aida bergetar. Mata putihnya merah menahan air mata. Namun egonya tinggi dan dia tidak mahu kedengaran lemah.
"Apa dia lebih daripada saya, hah? Cantik? Manja? Awak buta sangat sampai tak nampak saya yang dah bertahun dengan awak ni?”
Sunyi sejenak di hujung talian. Lelaki itu hanya menarik nafas panjang.
"Aida… jangan bandingkan. Saya ada alasan saya. Esok saya balik rumah awak, kita bincang baik-baik.”
Syarifah Aida ketawa sinis. Nadanya penuh sindiran.
"Esok? Hah! Kalau awak betul lelaki, malam ni awak balik. Kalau tidak, jangan harap saya akan duduk diam. Saya boleh buat awak menyesal abaikan saya.”
Klik!
Dia terus menamatkan panggilan. Seluruh tangan menggigil. Wajahnya masih merah. Tatap matanya tajam menikam bayangan sendiri di cermin.
Dia menyebut nama itu perlahan, penuh racun. Bibirnya mengukir senyum sinis.
"Kau ingat kau menang? Jangan terlalu yakin. Aku belum kalah.”
***
Haris menarik Qalesya rapat ke dadanya. Kehangatan tubuh suaminya menyaluti rasa dingin yang dari tadi belum hilang. Bibirnya mencari bibir Qalesya, lembut namun mendesak.
"Sayang… malam ni, abang nak awak. Rindu sangat,” ujar Haris, suaranya bergetar dengan nafas berat.
Qalesya cuba membalas ciuman itu tapi dadanya terasa sempit. Ada sesuatu yang berat menekan dari dalam. Hatinya mahu tapi fikirannya masih terikat pada bayangan kain hitam tadi.
Saat tangan Haris merayap ke pinggangnya, Qalesya tiba-tiba menangkap satu bunyi halus dari arah tingkap dapur yang masih terbuka sedikit. Seakan bisikan, terlalu perlahan untuk difahami tapi cukup jelas untuk membuat bulu romanya meremang.
Dia spontan memejam mata, menahan getar.
"Sayang… awak okay?” Haris berhenti, dahinya menyentuh dahi Qalesya.
Qalesya tersenyum paksa cuba menutup keresahan.
“Hmm… okay, bang.”
Haris tidak menyedari jari-jemari isterinya yang menggigil. Dia menyambung belaian, semakin dalam namun Qalesya sesekali, tersentak kecil.
Bayangan tadi seakan menari di hujung matanya setiap kali dia cuba menyerah pada sentuhan Haris. Dia rasa seperti diperhatikan, seolah-olah ada mata lain yang menyorot keintiman mereka.
Air liurnya ditelan perlahan.
Dalam keghairahan yang kian meningkat, Qalesya berbisik terputus-putus.
"Abang… boleh kita tutup tingkap tu, dulu?”
Haris ketawa kecil, menganggap ia sekadar alasan manja. Dia mengusap wajah isterinya.
“Alah… biar sajalah. Angin malam kan nyaman.”
Haris kembali meraih bibir isterinya namun tubuh Qalesya masih tegang. Dalam debar yang cuba disembunyikan, telinganya sekali lagi menangkap bisikan itu. Kali ini lebih dekat, betul-betul di belakang telinganya.
"Dia bukan untuk kau..."
Qalesya tersentak. Jari-jemarinya mencengkam lengan Haris tanpa sedar.
"Sayang?” Haris mendongak, keningnya berkerut melihat wajah pucat isterinya.
"Awak takut ke?”
Qalesya menggoyang kepala perlahan cuba memulihkan senyum.
“Tak cuma rasa macam ada orang…” katanya terputus-putus.
Haris menatap lama kemudian ketawa kecil, cuba mencairkan suasana.
“Ish, awak ni. Kat rumah kita ni mana ada orang lain. Abang je dan isteri abang yang cantik ni.”
Tangannya menelusuri lembut belakang Qalesya, menariknya kembali ke dalam debaran.
Namun setiap sentuhan Haris terasa terhenti-henti pada Qalesya. Dia cuba menyerah cuba menutup mata tetapi bayangan hitam itu muncul jelas di kelopak matanya, kain panjang berkibar dengan siluet seperti tubuh yang berdiri kaku di luar tingkap.
Peluh dingin merembes di pelipisnya. Nafasnya semakin pendek.
"Haris…” suaranya serak, bergetar.
"Tutup… tingkap tu. Tolong.”
Haris akhirnya akur, melihat wajah isterinya yang hampir panik. Dia bingkas bangun, berjalan ke dapur lalu menutup rapat tingkap itu bersama tirainya.
"Ha, dah. Tenang ya, sayang. Abang sini.”
Dia kembali mendapatkan Qalesya, menariknya ke dalam pelukan. Kehangatan itu sedikit menenangkan namun di hati Qalesya, keresahan itu belum mahu pergi.
Malah, sewaktu Haris mengucup dahinya. Dia yakin, yakin benar ada suara halus ketawa perlahan di balik tirai yang baru ditutup tadi.
Qalesya cuba menenangkan nafasnya dalam pelukan Haris. Kehangatan tubuh suaminya seperti benteng terakhir yang memisahkan dia daripada rasa dingin yang merayap halus ke tulang.
"Sayang…” bisik Haris. Irama suaranya serak. Ulas bibirnya menyentuh lembut cuping telinga Qalesya.
"Jangan biar apa-apa ganggu kita. Malam ni, abang cuma nak awak.”
Qalesya memejam mata rapat. Dia cuba menyerah dan membiarkan dirinya hanyut dalam belaian Haris. Jemari Haris menyelusuri lengannya, turun perlahan ke pinggang.
Nafas mereka makin berat, ruang kamar semakin dipenuhi aura intim yang hangat. Namun di celah itu, Qalesya tiba-tiba, merasakan sesuatu yang aneh.
Terasa dingin seakan hembusan nafas orang lain di tengkuknya. Bukan Haris. Ini lain. Terlalu dingin.
Dia tersentak. Kelopak matanya terbuka luas. Haris yang masih dalam debaran segera berhenti, memandang wajah isterinya yang kembali pucat.
"Sayang…” Haris menahan wajah Qalesya dengan kedua tangannya, menatap matanya dalam-dalam.
"Apa sebenarnya ni? Awak nampak apa?”
Qalesya terkedu. Lidahnya kelu. Dia mahu berterus terang tapi bibirnya kaku.
"Ada… ada yang perhati kita, bang,” berbisik, ketakutan jelas tergambar.
Haris menghela nafas panjang cuba mengawal keadaan. Dia menarik tubuh Qalesya rapat ke dadanya sekali lagi, seolah mahu melindungi.
"Dengar sini,” bisik Haris perlahan tapi tegas di telinga isterinya.
“Selagi abang ada… tak ada siapa yang boleh sentuh awak. Percaya abang.”
Qalesya menggigil kecil cuba meyakinkan dirinya. Namun jauh di hujung matanya, dari celah tirai yang sudah ditutup rapat itu. Dia masih dapat melihat sesuatu.
Bayangan kain hitam itu, seakan sedang berdiri kaku menatap mereka. Dan di saat Haris mencium bibirnya sekali lagi, suara ketawa halus itu lebih dekat.
Share this novel