“IBU… hari tu Lisa ada datang sini. Dia balik sebab cuti semester,” ujar Hawa perlahan sambil mengurut perlahan kaki ibunya, Aminah, yang sedang bersandar di kerusi rotan usang di beranda rumah.
“Lama ke dia bercuti?” soal Aminah, matanya memandang jauh ke halaman yang dipenuhi pohon bunga kertas yang sedang mekar.
“Tak lama pun… dia cakap tiga minggu je,” jawab Hawa, cuba menyembunyikan rasa cemburu yang menjentik halus di sudut hatinya setiap kali mendengar tentang Alisa yang berjaya melanjutkan pelajaran.
Aminah tidak membalas. Lama dia merenung sebelum akhirnya memejamkan mata rapat-rapat, seolah-olah hanyut dalam dunia fikirannya sendiri. Suasana beranda menjadi hening, hanya ditemani nyanyian cengkerik yang mula berlagu di hujung petang.
“Ibu…” panggil Hawa perlahan, suaranya seperti berbisik di celah angin petang.
“Hawa teringin nak sambung belajar macam Lisa. Hawa nak jadi cikgu… sama macam arwah abah dulu. Boleh ke, ibu?”
Aminah membuka matanya perlahan-lahan. Dia menurunkan kakinya ke lantai sebelum memalingkan wajah, memandang anak perempuannya yang sedang duduk bersimpuh di hujung kakinya. Wajah Hawa penuh harap.
“Hawa… bukannya ibu tak nak Hawa sambung belajar, tapi Hawa pun tahu, kan… ibu cuma harapkan Hawa seorang je sekarang. Ibu dah tak ada siapa-siapa lagi dalam dunia ni selain Hawa dan adik-adik.”
Nada suara Aminah lembut tapi sarat dengan harapan yang menekan. Tangannya singgah ke bahu Hawa, mengusap perlahan, seolah cuba memindahkan sebahagian beban hatinya kepada anak itu.
“Tapi ibu… ayah boleh tolong ibu dekat kedai. Dia boleh bergilir dengan Hawa untuk jaga kedai,” Hawa cuba juga meyakinkan.
“Memanglah ayah boleh tolong… tapi nanti adik-adik kamu macam mana? Siapa nak tengok-tengokkan mereka waktu ibu dan ayah sibuk? Bukan senang, Hawa…”
Kepala Hawa tunduk. Kata-kata itu menikam terus ke hatinya. Dia mendongak semula, menatap wajah ibunya yang sudah mulai berkerut dek usia dan penat yang tak pernah reda.
“Hawa masih muda, ibu… sekaranglah masanya. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Hawa janji… Hawa akan balik selalu. Bolehlah, ibu?” rayunya, dengan nada penuh harapan.
Aminah menarik nafas perlahan. Wajah Hawa direnung lama sebelum dia bersuara lagi.
“Kalau Hawa pun nak tinggalkan ibu… nanti macam mana ibu nak uruskan semuanya? Ibu cuma ada Hawa. Ibu tak kuat, sayang… Hawa tolong ibu ya?”
Suara itu membuatkan hati Hawa runtuh. Jiwa remajanya ingin terbang tinggi, mengejar cita-cita, tapi tanggungjawab yang terpikul di bahunya terlalu besar. Perlahan-lahan, dia angguk. Bibirnya cuba mengukir senyum, walaupun hatinya hancur.
“Hawa tak nak sambung belajar. Hawa tolong ibu je…” bisiknya perlahan, hampir tidak terdengar.
Aminah terus menarik Hawa ke dalam pelukannya. Hangat pelukan itu menenangkan tapi tidak mampu menahan air mata yang kini mengalir perlahan di pipi Hawa.
“Terima kasih, Hawa. Ibu sayangkan Hawa…”
“Hawa pun sayangkan ibu…” jawabnya, dalam esak yang ditahan.
Mungkin ini takdir yang ditulis untukku… desisnya dalam hati. Dan pada petang itu, cita-cita seorang anak dikorbankan demi kasih dan tanggungjawab kerana bagi Hawa, cintanya pada ibunya lebih besar daripada impiannya sendiri.
***
DARI kejauhan, Ramlah melemparkan senyuman lebar saat melihat kelibat Faqih yang sedang melangkah masuk ke dalam kedai.
Wajah ceria wanita itu membuatkan Faqih tersenyum kecil, seakan sudah dapat meneka isi hati mak saudaranya.
“Macam mana dengan kawan Sarah tu? Okey ke? Cantik tak?” soal Ramlah sebaik sahaja Faqih melabuhkan duduk di hadapannya.
Faqih tersengih nakal.
“Cantik... Macam bidadari,” jawabnya berseloroh.
Ramlah ketawa kecil, lalu menuturkan dengan wajah berbunga-bunga.
“Alhamdulillah. Sejuk hati mak long dengar. Nampak gayanya tak lama lagi, mak long bolehlah merasa nasi minyak kamu, ya?”
Faqih tertawa halus.
“Saya tak buat nasi minyaklah, mak long. Saya buat bihun goreng je,” balasnya bersahaja.
“Hisyy, kamu ni! Merepek pula. Mana ada orang buat bihun goreng masa majlis kahwin,” marah Ramlah manja, disusuli dengan dengusan kecil.
Faqih tersenyum.
“Alaaa, saya bergurau je lah. Nanti bila saya kahwin, kita buat majlis besar-besaran, okey?”
Ramlah menjeling tajam, tapi jelingannya penuh makna.
“Mak long bukannya apa, Faqih. Mak long rasa lega kalau kamu dah kahwin. Rasa macam satu beban tanggungjawab tu dah lepas. Arwah mak ayah kamu tinggalkan kamu dalam jagaan mak long... Itu amanah, Faqih. Dan selagi kamu belum berumahtangga, hati mak long ni tak pernah tenang.”
Nada suara Ramlah bergetar, menyusup lembut ke hati Faqih.
Faqih mengusap bahu wanita itu perlahan, penuh pengertian.
“Saya faham, mak long. Insya-Allah, saya cuba yang terbaik. Mana tahu, si Maria tu memang jodoh yang Allah dah tetapkan untuk saya, kan?”
Ramlah mengangguk perlahan, air matanya bergenang.
“Mak long sentiasa doakan kamu, Faqih. Biar kamu dapat jodoh yang baik-baik. Yang boleh jaga kamu dengan ikhlas.”
Faqih mengangkat kening, senyum nakalnya kembali.
“Insya-Allah, mak long. Tapi mak long ni… berpeluh dekat mata je ke?”
“Kamu ni!” tangan Ramlah ringan menyentuh bahu kirinya, berpura-pura mencubit.
“Aduh! Mak long! Ketam mak long seekor ni dah terlepas… terus gigit bahu saya,” ujar Faqih sambil menggosok bahunya sambil tertawa.
“Apalah yang dua beranak ni sembang sampai ada yang menangis, ada yang menjerit. Seronok sangat ke cerita tu?” tegur Rahmat yang baru muncul dari arah dapur, sambil tersenyum senang hati.
Faqih memandangnya, masih ketawa.
“Mak long ni, duduk dalam air-cond pun boleh berpeluh dekat mata…”
Rahmat mengangguk setuju.
“Mak long kami memang macam tu. Spesies berpeluh dekat mata je…”
Ramlah mencebik manja.
“Hmmm... elok sangatlah tu. Dua-dua suka kenakan aku. Sudahlah, malas aku nak layan. Baik aku masuk dalam dulu.”
Dia bingkas bangun, namun sempat menoleh saat Faqih bersuara.
“Tart telur untuk adik, mak long dah packing ke?”
“Dah. Ada atas meja tu,” jawab Ramlah sambil berlalu.
“Dalam bulan ni saja dah berapa biji kamu belikan tart telur tu untuk si Kalsum. Suka betul dia dengan tart telur mak long kamu,” ujar Rahmat, menggeleng perlahan.
Faqih ketawa, lalu membuka cerita lama.
“Adik tu memang dari dulu lagi suka tart telur. Lagi-lagi kalau mak long yang buat. Pak long dah lupa ke dulu dia pernah kena marah dengan mak long sebab curi makan tart telur pelanggan. Merajuk sampai lari dari rumah, tahu tak?”
Rahmat tergelak.
“Ingat, ingat. Masa tu dia baru habis SPM, buat part-time dekat sini. Nakal betul si Kalsum tu.”
“Sekarang dah naik taraf, pak long. Dah jadi lanun dah sekarang.”
Rahmat berkerut.
“Ya ke? Nak merompak siapa pula?”
“Sayalah, pak long. Ada saja benda dia nak pau. Tak padan dah kahwin dengan orang kaya. Duit abang dia jugak yang dia nak rompak.”
Rahmat mengilai ketawa.
“Ada-ada saja kamu ni, Faqih…”
Faqih turut sama tertawa, namun dalam hatinya terselit rasa hangat. Walau usikan dan senda itu kedengaran remeh, namun ia cukup untuk menghidupkan suasana kekeluargaan yang selalu dirinduinya.
Di sebalik gelak tawa dan gurauan itu, Faqih tahu... kasih sayang yang mereka curahkan padanya tidak pernah berkurang walau sesaat.
“Pak Long, Faqih minta diri dulu ya. Dah nak habis masa rehat ni. Nanti tak pasal-pasal kena pecat pula,” ujar Faqih sambil melirik ke jam tangan di pergelangan, senyuman nipis masih tersisa di bibirnya.
“Okaylah. Hati-hati memandu. Kirim salam pada Kalsum tu. Beritahu dia, kalau ada masa datang sini. Pak Long dah lama tak tengok dia makan tart telur banyak-banyak macam dulu,” pesan Rahmat dengan tawa kecil.
“Baik, Pak Long. Sejak suami dia balik ke Terengganu, makin liat dia nak keluar rumah. Nanti saya sampaikan pesan tu,” balas Faqih, mengangguk sopan.
“Yalah… Hati-hati ya,” pesan Rahmat sekali lagi sambil melambai perlahan.
“Kirim salam pada Mak Long. Assalamualaikum,” ucap Faqih sebelum melangkah keluar dari kedai, senyuman masih terukir.
“Waalaikumsalam,” suara Rahmat kedengaran sayup dari dalam kedai.
Langkah Faqih pantas menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh. Ketika melewati sebuah kafe kecil di sebelah kiri jalan, bau kopi yang hangat dan aroma pastri baru dibakar menyapa hidungnya. Tanpa sengaja, dia menoleh ke dalam.
Langkahnya terhenti. Wajahnya berubah.
“Maria…” desisnya perlahan, hampir tidak percaya dengan apa yang terpampang di depan mata.
Di dalam kafe itu, Maria sedang duduk bersama seorang lelaki, tertawa riang, senyuman tidak lekang dari bibirnya. Jelas sekali, dia bahagia.
Faqih berdiri kaku. Matanya tidak berkelip. Hatinya bergetar hebat, seperti disiat perlahan-lahan tanpa belas.
“Mungkin… mungkin kawan dia,” ujarnya dalam nada yang lemah, cuba menenangkan hatinya sendiri meskipun naluri lelakinya tahu, Maria tidak pernah tertawa sebegitu bersungguh… bersama dia.
Dia berpaling dan melangkah pergi.
Masuk sahaja ke dalam kereta, dia termenung jauh. Pandangannya jatuh ke arah tempat duduk penumpang. Sejambak bunga mawar merah yang dia beli tadi, untuk Maria masih tersandar elok di situ.
Tangannya menggapai perlahan. Mawar itu diangkat, dan direnung dalam-dalam.
“Nampaknya kau dah gagal, Faqih…” bisiknya, suara tersekat di halkum. Dada terasa sesak.
Dengan langkah berat, dia keluar dari kereta. Mawar yang sebelum ini melambangkan harapan dan cinta, kini hanya menjadi lambang kecewa. Tanpa ragu, dia campakkan jambangan itu ke dalam tong sampah di tepi jalan.
Dia tidak menoleh lagi. Tidak mahu lagi berharap.
Faqih kembali ke kereta, menghidupkan enjin dan berlalu pergi bersama luka yang dia telan sendiri.
Share this novel