IUA: BAB 2

Romance Series 7457

FAQIH melangkah masuk ke dalam sebuah kafe yang disebut oleh Sarah malam semalam. Derapan kasutnya bergema perlahan di atas lantai kayu, dan anak matanya liar meneliti setiap wajah dalam ruang yang sederhana tenang itu. Suasana kafe dihiasi dengan lampu gantung berwarna kuning suram, cukup mendamaikan untuk sebuah pertemuan pertama.

Pandangannya terhenti pada sesosok tubuh wanita yang mengenakan baju berwarna dusty pink, persis seperti yang diberitahu oleh Sarah. Hatinya berdebar sedikit. Dia menarik nafas perlahan sebelum melangkah menghampiri.

“Assalamualaikum. Maaf ganggu. Cik ni... kawan Sarah ke?” soal Faqih sopan, suaranya tenang namun penuh berhati-hati.

Wanita itu segera mendongak. Wajahnya jelas menunjukkan rasa terkejut seketika, sebelum bibirnya melakar senyuman manis yang menggamit rasa selesa.

“Waalaikumsalam. Ya. Saya, Maria. Err... nama awak Faqih, kan?” balas Maria dengan suara lembut.

“Ya, saya Faqih,” jawabnya ringkas, sambil menarik kerusi lalu duduk bertentangan dengannya.

“Saya minta maaf sebab lambat sikit. Ada urusan kerja tadi,” tambahnya dengan senyuman kecil.

“Eh, tak apa. Saya pun baru je sampai,” balas Maria, cuba menyembunyikan rasa kekok yang mula menyapa.

Sejenak, suasana menjadi sepi. Hanya kedengaran bunyi senduk dari dapur dan bisikan pelayan di kaunter. Masing-masing mencari ruang untuk memulakan bicara, namun seolah-olah lidah mereka terikat.

“So... awak memang single ke?” soal Faqih, cuba mencairkan suasana.

Maria tertawa kecil, namun segera mengangguk.

“Ha’ah, single lagi. Awak pula?”

“Saya pun single. Hmm... awak serius ke mencari pasangan?” soalnya, nadanya lembut namun jelas menunjukkan minat yang mendalam.

Maria mengangguk tenang.

“Ya, tapi saya nak berkenalan dulu. Biar kita saling kenal, baru fikir untuk ke langkah seterusnya.”

Jawapan itu membuatkan Faqih tersenyum nipis. Dia mengangguk perlahan, menyetujui pandangan tersebut.

“Betul tu. Saya setuju. Tak perlu tergesa-gesa. Biar kenal hati budi dulu.”

Handsome jugak adik ipar Sarah ni... desis Maria dalam hati sambil matanya merenung wajah lelaki di hadapannya. Tak sangka aku boleh duduk semeja dengan jejaka macam ni. Rugi kalau terlepas.

“Biar lambat kahwin, asalkan jangan tersalah pilih pasangan. Kita nak hidup dengan dia bukannya sehari dua... tapi sampai bila-bila,” ujar Maria perlahan, namun penuh makna.

“Yup, betul tu. Kalau tersalah pilih, boleh merana zahir dan batin,” balas Faqih dengan senyum masih terukir.

“Setuju sangat,” sahut Maria, disertai tawa kecil yang membuatkan suasana semakin santai.

“Jadi... berapa lama awak perlukan untuk kenal seseorang sebelum buat keputusan untuk berkahwin?” soal Faqih, tidak mahu melepaskan peluang untuk lebih memahami wanita di hadapannya.

Maria tersenyum sedikit.

“Hmm... bergantung. Kalau serasi, kenapa perlu lambat-lambat? Nanti tak sempat, dirampas orang.”

Faqih tersenyum nakal.

“Kalau tak sempat dirampas orang, mungkin sempat diambil Tuhan, betul tak?”

Maria tergelak kecil, menekup mulut.

“Betul sangat tu. Pandai awak buat lawak, ya?”

“Dah memang hobi saya,” jawab Faqih selamba, membuatkan Maria sekali lagi tergelak kecil.

“Kelakar jugak awak ni. Tak sangka betul...”

“Saya ni kadang-kadang je kelakar... kadang-kadang serius,” balas Faqih bersahaja. Namun dalam hatinya, dia turut merasa tenang melihat reaksi Maria.

“Sekejap ya, saya nak buat pesanan. Awak nak pesan apa-apa?” tanya Faqih sopan.

Maria menggeleng.

“Tak apa, terima kasih.”

Faqih tersenyum sebelum melangkah ke kaunter yang tidak jauh dari meja mereka.

“Assalamualaikum. Boleh saya dapatkan satu iced latte dan croissant?” pesannya ringkas sambil tersenyum kepada barista.

“Boleh, nanti kami hantar ke meja ya,” jawab barista itu mesra.

“Saya duduk di sana, dengan wanita sana tu,” jelas Faqih sambil menunjuk ke arah Maria.

Barista itu mengangguk.

“Baik, Encik.”

Faqih mengucapkan terima kasih. Sempat dia membetulkan kolar bajunya dan menarik nafas panjang sebelum kembali ke arah Maria.

Beberapa minit kemudian, pesanan tiba. Seorang barista menghampiri meja mereka dan meletakkan minuman dan makanan Faqih.

“Terima kasih,” ucapnya sopan.

Barista itu membalas dengan anggukan sebelum beredar.

Maria menyisip straw minumannya perlahan. Pandangannya sesekali melirik ke arah Faqih yang sedang mengacau kopi dengan sudu. Hati kecilnya masih berdebar, namun kini debaran itu terasa menenangkan.

“Awak kerja dekat mana, ya?” soal Maria, cuba membuka topik baharu.

Faqih mengangkat wajahnya.

“Saya kerja dengan syarikat reka bentuk dalaman. Sekarang lebih kepada pengurusan projek. Kadang-kadang kena turun site juga.”

“Oh, menarik... Saya suka tengok rumah yang cantik dan kemas. Kalau saya ada rumah sendiri nanti, mungkin saya akan cari awak,” ujar Maria sambil tersenyum malu, matanya tidak berani menatap tepat ke wajah Faqih.

“Boleh je. Tapi kena janji satu perkara,” balas Faqih, matanya sedikit nakal namun masih terkawal.

Maria angkat kening.

“Janji apa?”

Faqih tunduk sedikit, menggoyang sudu dalam cawan lalu bersuara perlahan.

“Kalau nak saya reka rumah awak... awak kena pastikan saya tuan rumahnya juga.”

Maria tergelak kecil, namun wajahnya sudah memerah.

“Pandai awak ni... gatal sikit-sikit, ya?”

Faqih turut tertawa.

“Saya cakap ikut logik je. Nak reka rumah senang kalau tahu citarasa isteri sendiri, betul tak?”

Maria menggeleng kepala perlahan.

“Cepat sangat awak ni berangan...”

“Tapi awak tak tolak, kan?” Faqih balas, matanya kini sedikit berani menatap wajah Maria yang jelas gugup menahan senyuman.

Maria pura-pura mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Angin petang meniup langsir halus kafe, mencipta bayang-bayang lembut di atas meja mereka. Suasana terasa tenang, seperti masa sengaja melambatkan langkahnya untuk memberi ruang kepada dua hati yang sedang mula mengenal rasa.

“Awak jenis macam mana dalam hubungan?” soal Maria perlahan. Soalan itu lebih kepada ingin mengenal hati budi lelaki di hadapannya.

Faqih menghela nafas perlahan.

“Saya jenis yang jaga. Bila saya sayang, saya jaga sungguh-sungguh. Tapi saya juga perlukan orang yang boleh buat saya rasa tenang, bukan penat.”

Maria mengangguk perlahan, hatinya tersentuh.

“Saya suka lelaki yang jujur macam tu. Saya pun sama. Saya tak nak terburu-buru, tapi kalau hati dah yakin, saya takkan berpaling.”

Mereka saling berpandangan seketika. Dalam diam, kedua-duanya tahu, ada sesuatu yang mula tumbuh perlahan-lahan. Masih terlalu awal untuk disebut cinta, namun cukup kuat untuk membuatkan mereka berharap.

Suasana kembali senyap, tapi kali ini bukan kerana kekok. Sebaliknya, mereka sedang menikmati moment yang tidak perlu dihiasi dengan banyak kata. Hanya ada bunyi muzik latar yang perlahan, dan degup jantung yang tidak menentu.

“Apa kata... kalau kita jumpa lagi minggu depan? Makan tengah hari ke... atau awak nak ajak saya beli perabot rumah contoh ke?” usik Faqih, mengangkat kening sedikit.

Maria tergelak sambil menunduk, pipinya kembali merona.

“Tengoklah macam mana... Tapi kalau awak ajak elok-elok, mungkin saya setuju.”

Faqih mengangkat tangan ke dada.

“Janji saya ajak elok-elok. Dengan adab penuh.”

Maria tersenyum. Dan dalam senyumannya itu, ada satu harapan yang mula berputik.


***

Hawa duduk termenung di pangkin kayu di halaman rumah, jari-jemarinya masih memegang penyapu yang sudah lama terhenti dari bergerak. Daun-daun kering yang berselerakan di tanah seolah-olah menjadi saksi lamunannya pagi itu. Hatinya terasa tenang, tidak seperti kebiasaan. Mungkin kerana rumah itu buat sementara waktu bebas dari kehadiran Hazrul, bapa tirinya yang berpura-pura baik. Lelaki itu keluar menyertai rombongan tabligh dan tidak akan pulang untuk beberapa hari.

Ketika bayu lembut menyapa pipinya, satu suara nyaring memecah kesunyian pagi.

“Hawa!”

Teriakan itu membuatkan Hawa tersentak kecil. Dia segera menoleh. Seorang wanita sedang berlari-lari anak ke arahnya dengan senyuman lebar yang menghiasi wajah.

“Alisa…” bisik Hawa perlahan, bibirnya turut melakar senyum tipis yang terbit dari dasar hati.

“Hawa, lamanya tak jumpa kau!” ucap Alisa sebaik sahaja mereka bertentangan mata.

Tanpa menunggu, mereka terus berpelukan erat, bagai dua jiwa yang sudah lama terpisah. Hawa terasa rindu yang terpendam meledak sebaik tubuh sahabatnya itu mendakapnya.

“Tulah. Dah lama sangat tak nampak muka kau. Kau sihat? Bila balik kampung?” tanya Hawa dengan wajah berseri, gembira menyambut kepulangan teman lamanya.

“Alhamdulillah, sihat. Baru semalam sampai. Sekarang ni cuti semester. Jadi aku fikir eloklah aku balik jenguk keluarga… dan teman kau sekali,” balas Alisa sambil mengenyit mata.

“Kau pula macam mana? Sihat?”

“Sihat juga, alhamdulillah. Seronoknya cuti panjang, kan? Ceritalah sikit dekat aku, macam mana kehidupan dekat universiti tu?” pinta Hawa, matanya bersinar-sinar penuh teruja.

Alisa pun mula bercerita tentang kampusnya yang luas, pensyarah-pensyarah yang garang tetapi baik hati, rakan-rakan sekuliah, dan segala pengalaman yang dia kumpul dalam semester pertamanya. Setiap patah katanya membuatkan Hawa hanyut dalam bayangan dunia yang jauh dari realitinya sekarang.

“Wahhh… mesti seronok, kan?” ujar Hawa, senyum kagum masih terukir di bibir.

“Memang seronok pun. Tapi penat pun ada,” balas Alisa sambil tergelak kecil.

“Eh, kau bila nak sambung belajar?”

Soalan itu membuatkan senyuman Hawa perlahan-lahan pudar. Pandangannya jatuh ke tanah.

“Aku… tak tahulah, Lisa. Ibu aku tak pernah cakap apa-apa pasal tu. Bila aku sebut pun, dia cuma diam…”

“Hawa, SPM kau dulu cemerlang. Takkan ibu kau tak nak kau sambung belajar? Ilmu tu penting, Hawa. Kita masih muda… sayang kalau biar masa berlalu macam tu saja,” ujar Alisa bersungguh-sungguh.

“Aku tahu… tapi aku tak tahu macam mana nak buka mulut dengan ibu aku. Hari tu pun bila aku dapat tawaran, dia minta aku tolak.”

Alisa terkejut.

“Yang UPSI tu ke? Sayangnya… aku ingat kau memang nak jadi cikgu.”

Hawa mengangguk perlahan.

“Itulah cita-cita aku dari dulu lagi. Tapi ibu aku kata aku perlu tolong dia uruskan kedai makan. Lagipun… ayah aku pun lebih suka aku duduk rumah, jaga kedai…”

Nada suaranya menurun saat menyebut tentang bapa tirinya.

Alisa terdiam sejenak, sebelum menggenggam jemari Hawa erat-erat, memberi kekuatan.

“Hawa, kau kena cuba cakap dengan ibu kau lagi sekali. Mana tahu kali ni dia terbuka hati. Kau berhak kejar impian kau…”

Hawa mengangguk kecil, cuba menyematkan semangat yang diberikan sahabatnya ke dalam hati yang sudah lama suram.

“Insya-Allah… aku akan cuba. Mana tahu masih ada rezeki. Aku pun nak rasa juga pengalaman macam kau rasa sekarang.”

“Insya-Allah, Hawa. Aku doakan Allah lembutkan hati ibu kau dan izinkan kau sambung belajar. Aku nak tengok kau jadi cikgu, macam impian kau dulu…”

Alisa merangkul bahu Hawa dengan penuh kasih. Rangkulan itu hangat, seperti pelukan dari harapan.

“Terima kasih, Lisa. Kau satu-satunya yang faham aku… selalu ada bila aku perlukan.”

Suara Hawa mula bergetar. Matanya berkaca, dan sebelum sempat air mata tumpah, dia segera mengalihkan pandangan ke arah langit biru. Mungkin di sana, Tuhan sedang mendengar doa seorang gadis yang ingin mengubah takdirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience