IUA: BAB 1

Romance Series 7457

"TOLONG carikan aku isteri?"

Faqih bersuara sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas sofa. Suaranya tenang, tetapi kata-katanya cukup untuk membuat dua insan di hadapannya terpaku.

Serentak, Azizi dan Kalsum berpaling ke arahnya dengan ekspresi terkejut. Mulut mereka sedikit ternganga, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru mereka dengar.

"Kau salah makan ubat ke sebelum datang sini, Angah?" soal Kalsum, jelas terpinga-pinga dengan permintaan abangnya yang nombor dua itu.

"Yalah. Kau biar betul? Serius ke ni?" sampuk Azizi pula sambil menggaru kepalanya, masih cuba menghadam kata-kata Faqih.

Faqih mengangguk santai.

"Betul. Aku seratus peratus serius, dan aku pun dah makan ‘ubat kebenaran’ tadi," balasnya berseloroh, cuba meredakan keterkejutan mereka.

Azizi dan Kalsum saling berpandangan, seolah-olah cuba mencari jawapan antara satu sama lain.

"Ayie, kau tengok adik kau ni. Aku rasa, dia dah buang tebiat lah," ujar Kalsum sambil menggeleng, bibirnya mencebik kecil.

"Aku tak main-mainlah." Nada suara Faqih lebih tegas kali ini.

"Aku betul-betul serius. Carikan aku calon isteri. Aku rasa dah sampai masa untuk aku berkahwin."

Azizi masih ragu-ragu.

"Angah, sebelum ni bukan main lagi kau tolak semua calon yang Mak Long carikan. Sekarang tiba-tiba kau nak kahwin? Kau… demam ke? Nak aku panggil doktor?" Dia berseloroh, tetapi jelas terselit kehairanan dalam nada suaranya.

Faqih menghela nafas panjang.

"Aku seriuslah, Ayie. Dah sampai masa untuk aku kahwin. Lagipun, harta aku yang banyak-banyak tu nak bagi siapa kalau bukan isteri dan anak-anak aku nanti?"

Mendengar itu, Kalsum cepat-cepat mencelah dengan senyuman lebar.

"Angah, bagi jer lah semua harta kau dekat aku. Biar aku jer yang uruskan. Aku kan adik kau yang baik, cantik, dan macam bidadari ni."

Faqih mendengus.

"Laki kau kan banyak harta. Lagi nak harta aku? Lanun betul kau ni."

"Mana ada lanun. Aku cuma nak tolong kau uruskan je. Apa salahnya?" balas Kalsum selamba, masih tersengih nakal.

Azizi hanya mampu menggeleng melihat telatah mereka berdua. Sudah biasa dengan gurauan adik-beradik ini. Namun, kali ini dia lebih serius.

"Angah, aku tanya kau betul-betul. Kau sungguh-sungguh nak kami carikan calon isteri untuk kau? Kau tak main-main?"

Faqih mengangguk penuh yakin.

"Betul, Ayie. Aku nak kau dan adik tolong aku. Kalau boleh, aku nak yang kurus, putih, tinggi."

Suasana sunyi seketika. Mereka terdiam sambil memerhatikan Faqih yang kelihatan selamba.

"Ha!" Jeritan Kalsum tiba-tiba memecah suasana.

Azizi dan Faqih serentak menoleh ke arahnya.

"Aku rasa aku kenal calon yang Angah nak tu," katanya dengan wajah penuh teka-teki.

Faqih terus duduk tegak, matanya bersinar dengan harapan.

"Siapa?"

Kalsum tersengih nakal sebelum menjawab.

"Tu, bihun dekat dapur. Putih, tinggi, kurus. Sesuai sangat dengan apa yang kau idamkan!"

Tawa Kalsum meledak serta-merta, diikuti dengan ketawa kuat Azizi.

Faqih mendecit perlahan sambil menjeling tajam.

"Kau jangan, adik. Nanti kang aku sumpah kau jadi kereta BMW, baru padan muka kau."

Kalsum tidak kalah.

"Eleh, nak bergurau pun tak boleh. Siapalah agaknya yang nakkan kau ni, Angah. Dah la garang, muka pula cam jambatan tak siap. Awek mana lah yang malang dapat dengan kau ni."

Belum sempat Faqih membuka mulut untuk membalas, tetapi Azizi segera mencelah.

"Dah-dah lah. Korang ni asyik nak bertekak je. Nanti kan dua-dua aku sumpah jadi kereta BMW betul-betul."

Faqih dan Kalsum sama-sama terdiam.

Azizi menghela nafas sebelum menyambung.

"Nanti aku cuba usahakan. Aku try tanya Akak Sarah kau, mana tahu dia ada kawan yang single."

Mendengar itu, senyuman Faqih melebar.

"Okaylah. Ayie juga yang terbaik. Bukan macam sorang tu, makan banyak sampai perut pun dah ke depan."

Kalsum menjegilkan mata.

"Aku ni pregnant lah, gila! Memanglah perut aku ke depan, takkan ke belakang pulak?"

Faqih menjelir sebelum ketawa kecil, manakala Kalsum mencebik geram. Azizi hanya mampu menggeleng sambil tersenyum, melihat gelagat dua adiknya yang tak pernah berubah.

“Amboi, kuat betul suara korang ketawa. Sampai ke tingkat atas lagi. Korang berbual soal apa?” tanya Sarah sebaik sahaja turun dari tingkat atas.

“Akak Sarah, duduk sini. Kita tengah fikirkan calon isteri yang sesuai untuk Angah,” beritahu Kalsum sambil menepuk tempat di sebelahnya.

Sarah melabuh duduk di sebelah Kalsum.

“Alhamdulillah, Angah nak kahwin ke?” tanya Sarah teruja.

“Ha ah, dah sampai masanya saya menamatkan zaman bujang saya ni akak…” ujar Faqih penuh serius.

“Bagus jugak tu. Akak ada sorang kawan yang masih single tapi dia ni sejenis yang independent, tak pasti sesuai ke tak dengan Angah tapi boleh jer kita cuba,” kata Sarah bersungguh-sungguh.

“Ya ka? Kawan akak tu tinggi, kurus dan putih tak?” tanya Kalsum.

Sarah terdiam seketika.

“Hmmm dia putih dan kurus tapi tak tinggi. Biasa-biasa jer. Tak boleh ke?” soal Sarah dengan kening yang berkerut.

“Angah kata, dia nak calon yang kurus, tinggi dan putih.” beritahu Kalsum selamba.

“Eh tak!” sangkal Faqih.

“Pandai-pandai jer adik ni,” marahnya.

“Saya nak yang biasa-biasa jer, asalkan dia boleh terima saya seadanya,” jawabnya jujur.

“Wahhh tak sangka abang aku ni baik jugak ya,” kata Kalsum sambil bertepuk tangan.

“Kau diamlah!” Marah Faqih.

“Sibuk jer lah. Call laki kau suruh datang ambik sekarang!” arahnya pula.

“Kejap lagi dia datanglah. Bukan macam orang tu, single!” sindir Kalsum.

"Malaslah nak layan kau ni, adik. Buat hidup aku makin stress saja," ujar Faqih sambil berdiri tegak, nada suaranya jelas menunjukkan keengganan untuk terus berbalah.

Dia mengalihkan pandangan ke arah dua individu lain yang turut berada di situ.

"Ayie, Kak Sarah, saya balik dululah…" Tanpa menunggu jawapan, Faqih terus melangkah ke pintu utama.

"Angah, kau tak nak salam aku dulu ke?" teriak Kalsum dari jauh, suaranya bernada separuh merajuk.

"Tak nak!" balas Faqih selamba tanpa berpaling walau sedikit pun.

Tanpa banyak bicara, dia terus keluar dari rumah. Langkahnya sedikit tergesa-gesa, seolah-olah mahu segera menjauh daripada segala kekecohan yang baru berlaku.

Sebaik sahaja tiba di kereta, dia membuka pintu dan melabuhkan tubuh ke tempat duduk pemandu. Nafasnya dihela panjang sebelum menekan butang penghidup enjin. Bunyi deruman halus memenuhi ruang senyap, tetapi fikirannya tetap berkecamuk.

Tanpa menoleh ke belakang, Faqih memandu keluar dari halaman rumah mewah itu, meninggalkan suasana yang masih dipenuhi tanda tanya.


***

"APA yang ayah buat dalam bilik Hawa?" soal Hawa dengan wajah terkejut sebaik sahaja melangkah keluar dari bilik air. Dia cepat-cepat mencapai tuala dan menutup kepalanya.

Degupan jantungnya semakin kencang. Seingatnya, Hazrul tiada di rumah, dan dia juga sudah mengunci pintu biliknya tadi. Bagaimana lelaki itu boleh berada di sini?

"Ayah tunggu Hawa lah," balas Hazrul dengan nada tenang, tetapi anak matanya tajam menikam wajahnya. Senyuman sinis terukir di bibir.

"Ibu kau tak ada. Apa kata kalau... kau teman ayah malam ni?"

Darah Hawa serta-merta berderau.

"Ayah dah gila ke apa? Keluar sekarang!" teriaknya cemas. Dia cuba melangkah ke arah pintu, tetapi Hazrul yang duduk di birai katil pantas bangkit dan berdiri menghalang laluannya.

"Memang aku gila! Aku tergila-gilakan kau, Hawa!" ujar Hazrul tanpa berselindung. Senyuman nakal semakin melebar.

"Sini, sayang... Ayah janji, ayah buat perlahan-lahan. Mesti Hawa suka."

Perut Hawa terasa sebu. Jijik. Benci.

"Setan mana yang dah hasut ayah sampai hilang akal? Tak takut dosa?" bentak Hawa dengan suara bergetar. Tubuhnya menggigil menahan geram dan takut.

"Keluar dari bilik saya sekarang!" teriaknya sambil menunjuk ke arah pintu bilik.

"Hawa, kenapa marah-marah? Jomlah... sikit saja," pujuk Hazrul dengan nada penuh godaan. Dia cuba melangkah mendekati Hawa.

"Jangan dekat! Kalau ayah sentuh saya, saya jerit!" ugut Hawa, cuba menahan rasa gentar dalam dirinya.

"Jeritlah! Siapa saja yang akan datang tolong kau?" Hazrul tergelak sinis.

"Satu kampung tahu kau tu perempuan jalang. Mereka mesti fikir kau tengah sedap-sedap layan pelanggan kau…"

Hawa terkedu. Matanya membulat. Sakitnya hati mendengar fitnah itu.

"Keluar, aku kata!" jeritnya sekuat hati.

"Shhh… sini, sayang…" Hazrul semakin hampir.

Panik, Hawa segera membaling tualanya ke arah Hazrul. Namun, lelaki itu sempat menepis. Tidak mahu menyerah, Hawa berlari ke arah bertentangan sambil mencapai apa sahaja yang berada di atas meja soleknya. Dia mula membaling barang-barang tersebut ke arah Hazrul tanpa henti.

"Keluar!" tengkingnya lagi.

"Argh!" Hazrul mengerang apabila satu objek keras menghentam dahinya. Darah mula mengalir di kulit kepalanya. Wajahnya berubah merah padam menahan marah.

Hawa terus berdiri tegak, dadanya turun naik. Bersedia jika lelaki itu masih mahu mendekatinya.

Namun, Hazrul mengesat darah di dahinya dengan belakang tangan. Matanya merenung tajam ke arah Hawa.

"Kau… kau tunggu ibu kau balik nanti. Siap kau!" ugutnya sebelum melangkah keluar dari bilik dan membanting pintu.

Hawa segera mengunci pintu sebaik sahaja kelibat lelaki itu hilang.

Kakinya melemah. Dia jatuh terjelopok ke lantai. Tangisannya pecah. Dia menangis sepuas hati, menumpahkan segala ketakutan, kemarahan, dan kesedihan yang terpendam.

Ini bukan kali pertama. Sudah berkali-kali Hazrul cuba melakukan perkara terkutuk kepadanya. Tetapi nasib masih menyebelahinya. Dia masih selamat.

"Ya Allah, sampai bila aku nak hidup macam ni?" bisiknya dalam esakan.

Selepas kematian ayah kandungnya, ibunya berkahwin dengan Hazrul, lelaki yang berpura-pura baik di mata orang tetapi hakikatnya hanyalah syaitan bertopeng manusia.

Berkali-kali dia cuba mengadu kepada ibunya, tetapi tiada siapa percaya. Malah, Hazrul dengan mudahnya memutar belit cerita, menuduhnya sebagai perempuan yang menjual diri.

Dia difitnah di kampung sendiri. Dicaci oleh orang sekeliling.

Dan kini, dia tiada tempat untuk lari.

"Aku dah penat… tolong selamatkan aku, Ya Allah…" rintihnya perlahan.

Selepas hampir 30 minit, bunyi bising di luar bilik menarik perhatian Hawa, membuatkannya berhenti menangis.

“Hawa! Hawa!”

Hawa tersentak apabila namanya dipanggil. Segera, dia menyapu air mata dan melangkah keluar dari bilik.

“Ibu…” panggilnya perlahan sebelum menerpa ke arah Aminah.

Pang!

Tamparan kuat singgah di pipinya. Hawa terkedu, tangannya memegang pipi yang perit.

“Apa kau dah buat dekat ayah kau?” bentak Aminah, matanya menikam tajam.

“Ibu… Hawa tak buat apa-apa,” balasnya dengan suara tersekat-sekat.

“Kalau tak buat apa-apa, kenapa kepala ayah kau berdarah?”

Hawa menggigit bibir.

“Ayah masuk bilik Hawa… dia cuba buat benda tak elok…” katanya, suaranya bergetar.

“Jangan menipu!” jerkah Aminah.

“Ayah kau dah cerita semuanya! Kau bawa lelaki masuk rumah, lepas tu tuduh ayah kau sebab nak tutup salah kau sendiri! Kau nak jadi perempuan jenis apa, Hawa?”

Hawa menggeleng deras, air matanya semakin deras mengalir. Dia berlutut, memegang kaki ibunya erat.

“Ibu, itu semua fitnah. Tolong percayakan Hawa.”

“Kau nak kata ayah kau menipu?”

“Ayah… dia cuba…” Hawa memandang Hazrul yang tersenyum sinis.

“Dia cuba rogol Hawa.”

Pang!

“Kurang ajar! Berani kau tuduh ayah kau macam tu!” Aminah terus menarik tangan Hawa, menolaknya masuk ke dalam bilik.

“Duduk sini sampai kau sedar apa salah kau!”

“Ibu! Tolong buka pintu! Ibu!” Hawa menumbuk pintu, tangisannya semakin kuat.

Di luar, Aminah mengurut dada, menahan amarah.

“Kau sengaja nak buat darah aku naik, kan?”

“Sayang, sudah. Bawa mengucap.” Hazrul menepuk belakangnya perlahan.

“Saya malu, abang. Tak sangka Hawa jadi macam ni…”

“Hawa masih muda, fikiran tak matang. Bila kehendaknya tak dipenuhi, dia memberontak. Tuduhan dia tu cuma alasan.” Hazrul tersenyum, merangkul Aminah.

“Abang tak ambil hati pun. Abang faham.”

“Terima kasih, abang. Kalau bukan sebab abang, tak tahulah apa nasib saya.” Aminah merebahkan kepala ke dada suaminya, sedikit lega.

Hazrul mengusap belakangnya, senyuman sinis terukir. Dia berjaya lagi. Selagi Aminah buta dengan kebaikan pura-puranya, rahsianya akan terus selamat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience