SEBAIK sahaja mereka melabuhkan punggung di sudut pantri pejabat, masing-masing dengan minuman dan snek ringan di tangan, Farhan menoleh ke arah sahabatnya yang kelihatan sedikit lesu.
“Kau dah jumpa ke dengan calon yang kakak ipar kau sebut tu?” soalnya, memecah kesunyian ruang kecil itu.
Faqih hanya mengangguk perlahan sebelum membalas, nadanya malas.
“Hmm… dah.”
Farhan menanti penuh minat.
“So, macam mana?”
“Okay je. Cantik,” balas Faqih sepatah, wajahnya tenang dan sedikit hambar.
Kening Farhan terangkat sedikit. Dia bersandar ke belakang kerusi, mendengus perlahan.
“Kau macam tak berminat je. Kau serius ke ni nak kahwin?” soalnya lagi, kali ini lebih berhati-hati.
“Serius… tapi aku nak jumpa dia tiga kali dulu. Baru boleh tahu sesuai ke tak,” jawab Faqih tenang, tidak tergesa.
Farhan mengangguk kecil.
“Owh macam tu… baguslah. Harap-harap dia serasi dengan kau.”
Dia tersenyum sebelum menambah.
“Faqih, kau kena ubah perangai kau tu. Jangan sibuk sangat dengan kerja. Perempuan suka bila lelaki ambil berat, berusaha nak luangkan masa dengan dia.”
Faqih menjeling sekilas, senyuman senget terukir di bibirnya.
“Aku tahulah. Macamlah kau tak kenal aku. Aku ni pencinta wanita, bro. Aku takkan buat wanita sakit hati, okay? Lelaki yang buat perempuan menangis tu dayus. Lelaki sejati, dia jaga hati wanita dia.”
Farhan ketawa kecil.
“Yalah tu. Baguslah kalau kau fikir macam tu. Aku cuma nak tengok kau bahagia… ada pasangan yang jaga kau macam mana kau jaga dia.” Dia menepuk bahu Faqih perlahan.
Faqih membalas dengan senyuman lebar.
“Doakanlah aku. Mana tahu, tiba-tiba jatuh dari langit seorang wanita persis bidadari.”
Farhan tersengih.
“Amin… Manalah tahu hujung tahun ni aku dapat makan nasi minyak kau.”
Faqih ketawa sambil mengangguk laju.
“Siapa kata aku nak buat nasi minyak? Aku plan nak buat bihun goreng je. Simple.”
Tawa mereka bergema seketika di ruang pantri yang sunyi itu.
Farhan menepuk dahi sambil menggeleng.
“Kau ni memang…”
Dia bangkit perlahan.
“Dah lah. Jangan lupa bulan depan kita outstation.”
Faqih segera menghentikan ketawa. Dahinya berkerut.
“Nasib baik kau ingatkan. Kalau tak memang aku lupa. Petang ni aku keluar cari barang yang dorang minta tu.”
“Okey. Aku pun nak siapkan design bahagian dapur. Harap sempat siap sebelum hujung bulan. Kalau ada apa-apa, kau roger aku.”
“Ya, baik…”
Faqih mengangguk sebelum Farhan berlalu pergi. Dia menarik nafas perlahan dan mula melangkah semula ke meja kerjanya. Beberapa helai kertas disusun dalam fail untuk difotostat. Langkahnya diatur ke mesin fotostat, tangannya mula menjalankan tugas seperti biasa.
Tiba-tiba, derapan kasut tumit tinggi kedengaran menghampiri. Bibir Faqih sedikit terjungkit. Dia menoleh sekilas, tepat seperti yang dijangkakan. Selina, setiausaha kepada majikan mereka, menghampiri dengan senyuman manis.
“Awak nak fotostat ke?” tanya Faqih lembut.
“Ya, tapi sikit je. Awak siapkan dulu kerja awak,” balas Selina, sopan.
“Tak apa. Saya dah siap pun,” ujar Faqih.
“Sini, saya tolong.”
“Tak apa, saya boleh buat sendiri. Beberapa set je untuk meeting nanti,” balas Selina, sedikit segan.
“Ala… tak apa. Sini,” Faqih menghulurkan tangan.
“Betul ke tak apa?” tanya Selina ragu-ragu.
“Betul,” jawabnya sambil tersenyum dan mengangguk.
Selina akhirnya menghulurkan kertas yang dibawanya. Wajahnya berseri dengan senyuman. Faqih mula menjalankan tugas tanpa banyak bicara. Sunyi seketika menyelubungi ruang itu.
“Faqih…” panggil Selina perlahan.
“Ya?” jawab Faqih, masih menumpukan perhatian kepada mesin fotostat.
“Awak… single lagi ke?”
Faqih menoleh sekilas namun tidak terus menjawab. Tangannya terus ligat bekerja.
“Kenapa?”
“Awak kan handsome, rajin, baik… takkanlah masih single? Mesti ramai perempuan tergila-gilakan awak, kan?” usik Selina.
Faqih tergelak kecil.
“Dorang suka saya sebab tu je ke?”
Selina mengangkat bahu.
“Rasanya, ya kot. Takkan sebab lain?”
Faqih tersenyum nipis.
“Selina, kadang-kadang orang sukakan kita bukan sebab rupa. Tapi sebab rasa. Bila kita selesa dengan dia, bila dia faham kita, boleh bertolak ansur dan tak paksa kita jadi orang lain, itu baru cinta yang sebenar.”
Selina terdiam. Wajah Faqih yang tenang namun serius itu direnung sejenak.
“So… kalau awak nak cari pasangan hidup, cari yang boleh terima kekurangan awak. Bukan yang pentingkan diri. Sebab kita nak hidup dengan dia seumur hidup… bukan sehari dua.”
Faqih menghulurkan kertas yang telah siap difotostat.
“Nah.”
Selina menyambutnya.
“Ya, saya faham, Encik Faqih. Terima kasih atas nasihat tu.”
Dia tersenyum kecil.
“Nasib baik saya dah ada boyfriend. Kalau tak, saya rasa saya dah jatuh hati dengan awak.”
Faqih tersenyum tenang.
“Walaupun saya pencinta wanita, tapi saya bukan perampas.” Ujarnya sebelum berlalu.
Selina hanya mampu menggeleng perlahan. Senyuman masih bermain di bibir. Faqih… memang lain daripada yang lain. Tak hairanlah semua orang di pejabat selesa dengannya, kerana budi bahasanya, cara hormatnya… dan kerana dia adalah Faqih.
***
“AYIE, kau tengok adik kau tu…” Kalsum menggeleng perlahan sambil memuncungkan bibir ke arah luar kereta.
“Dengan pakcik penjual goreng pisang tu pun boleh bersembang macam dah kenal sepuluh tahun. Memang tak tahu malu betul adik kau sorang tu.”
Azizi tergelak kecil.
“Kau bukannya tak tahu perangai dia, adik. Dia tu kan jenis mesra alam. Dalam dunia ni, semua orang saudara dia. Kau dengan aku ni, saudara dia yang bau-bau bacang jer…”
Kalsum ketawa mengilai, terhibur dengan jawapan selamba abangnya itu.
“Pukul berapa kita nak balik kalau dia dah start berbual panjang macam tu?” Kalsum memandang jam di pergelangan tangan sambil mengeluh kecil.
Azizi mengangkat bahu.
“Entah. Kejap, aku pergi panggil.”
Dia segera membuka pintu dan melangkah keluar. Langkahnya laju menuju ke arah Faqih yang masih rancak berbual sambil tangan menghulurkan duit kepada pakcik penjual goreng pisang.
“Angah, jom balik. Adik kau tu dah nak beranak dah,” katanya bersahaja.
Faqih tersentak.
“Beranak? Sekarang ke?” Wajahnya berubah panik, dan mulutnya ternganga luas.
“Yalah, kami tunggu kau sorang je sekarang ni,” balas Azizi dengan nada serius yang dibuat-buat.
“Oh ya ke? Ha, jomlah. Pakcik, saya pergi dulu ya. Lain kali kita sembang lagi,” ujar Faqih sambil tersenyum dan melambai ke arah pakcik tersebut.
“Okay, hati-hati memandu…” balas pakcik itu sambil membalas lambaian.
Mereka bergegas masuk ke dalam kereta. Faqih mengambil tempat di tempat pemandu, manakala Azizi melompat masuk ke tempat penumpang.
“Adik, kau boleh tahan lagi ke?” soal Faqih sebaik saja duduk, wajahnya masih tegang.
“Tahan apa?” Kalsum menjawab sambil berkerut dahi.
“Yalah, Ayie kata kau nak beranak. Kau okay ke tak ni?”
Kalsum memandang Azizi, kemudian mengalihkan pandangan kepada Faqih.
“Ya Allah, aku baru lima bulan lah, Angah! Mana ada nak beranak lagi. Kau ni kenapa panik sangat?”
Faqih tergamam.
“Aik? Tapi Ayie kata…”
Serentak itu, ketawa meledak dalam kereta. Kalsum sudah menekup mulut, Azizi tergelak puas hati.
“Aku gurau je lah! Kau tu beria sangat berbual dengan pakcik tu. Lama betul kami tunggu dalam kereta ni. Mujurlah si baby tidur, kalau tak…”
Faqih mendecit geram.
“Korang ni memang sengaja nak kenakan aku, kan? Dah la, malas aku nak layan…”
Dia terus menghidupkan enjin dan memandu keluar dari kawasan parkir dengan wajah yang mencuka.
“Ni semua salah kau lah, Ayie. Tengok, Angah dah merajuk,” sindir Kalsum sambil menjeling Azizi.
“Lelaki mana boleh merajuk. Betul tak, Angah? Lagipun, kakak Sarah korang kan nak masak kari kepala ikan. Siapa merajuk, tak merasa lah…” jawab Azizi selamba, senyum nakal terukir di bibir.
“Abang ni, pandai betul guna taktik tu nak pujuk Angah,” celah Sarah yang dari tadi hanya diam memerhati.
“Ayie ni memang pakar bab pujuk-memujuk. Tu yang si baby ni pun ikut perangai dia. Kecil-kecil dah pandai ambil hati orang,” usik Kalsum sambil mencuit pipi Ayla yang lena di pangkuan Sarah.
Sarah tersenyum dan tunduk memandang si kecil.
“Mestilah. Tengoklah siapa papa dia,” sambut Azizi, membuatkan semua yang berada dalam kereta tertawa kecil.
Namun suara Faqih tiba-tiba mencelah, jelas tidak mahu ketinggalan.
“Seronok ye berborak... tanpa hiraukan hati lelaki yang tersakiti ni.”
“Eh, orang tu dah tak merajuk ke?” usik Kalsum lagi, sengaja menyimbah minyak ke api.
“Merajuklah!” balas Faqih, suara masih tidak puas hati.
“Ada yang terasa sangat tu…” Kalsum menyambung dengan gelak kecil.
Suasana dalam kereta kembali ceria. Ketawa mereka bergema, menenggelamkan rasa kecil hati yang cuma sekelumit. Walaupun Faqih masih bermasam muka, jelas dalam hatinya dia senang dikelilingi mereka yang tak pernah gagal menceriakan hari-harinya.
***
HAWA sedang sibuk mengemas dapur sebaik sahaja pulang dari berniaga di gerai. Wajahnya tampak penat, namun tangannya cekap mengutip pinggan mangkuk yang berselerak di atas meja makan. Semuanya diletakkan ke dalam sinki sebelum dia beralih memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh. Sambil air paip mengalir, dia menyental sisa makanan yang masih melekat di permukaan pinggan. Suasana rumah sunyi seketika, hanya bunyi air dan dengusan nafasnya yang kedengaran.
“Ehem…”
Suara berdeham dari belakang membuatkan jantung Hawa seakan terhenti. Dia segera berpaling. Riak wajahnya berubah pucat, gugup menyelubungi setiap urat nadinya.
“Sibuk nampak,” tegur Hazrul sambil melangkah perlahan-lahan menghampirinya. Senyum sinis terukir di bibirnya.
Hawa tidak membalas sepatah pun. Sebaliknya, gerakan tangannya semakin laju membersihkan pinggan, seolah-olah cuba melarikan diri dalam kesibukan yang direka sendiri. Namun langkah Hazrul makin hampir… dan dalam sekelip mata, tubuhnya sudah dipeluk dari belakang.
“Argh!”
Jeritan Hawa terhenti apabila tangan kasar lelaki itu menekup mulutnya dengan kuat.
“Shhh... diam. Kenapa nak menjerit? Aku tak buat apa-apa pun lagi,” bisik Hazrul di telinganya dengan suara yang dingin dan menggerunkan.
Tubuh Hawa menggigil. Dia meronta-ronta, cuba melepaskan diri dari pelukan yang memualkan itu, tetapi kudratnya tidak mampu menandingi tenaga Hazrul. Lelaki itu semakin berani, tangannya melingkari pinggang Hawa sebelum mula meraba tubuhnya tanpa segan.
“Lepas! Jangan sentuh aku!” Hawa meraung dalam hati. Namun suara itu tidak terluah. Nafasnya makin sesak.
Dengan seluruh kekuatan yang masih bersisa, Hawa menyiku perut Hazrul sekuat hatinya. Jeritan tertahan keluar dari mulut lelaki itu sebelum tubuhnya terundur beberapa langkah. Tanpa menunggu, Hawa segera mencapai pisau pemotong di atas meja dan mengacukannya ke arah Hazrul.
“Jangan dekat! Aku bunuh kau!” jerit Hawa lantang, matanya merah menahan air mata dan ketakutan yang meluap.
Hazrul terhenti. Wajahnya bertukar bengis.
“Kau dah gila ke apa? Letak pisau tu!” tengkingnya, menahan marah dan terkejut.
“Astaghfirullahalazim! Apa ni, Hawa?” Suara Aminah kedengaran dari arah pintu dapur, jelas terkejut melihat pisau di tangan anaknya.
“Entah apa kena dengan si Hawa ni… tiba-tiba ambil pisau, jerit-jerit macam orang tak betul,” ujar Hazrul cepat-cepat, wajahnya berpura-pura terkejut, berlagak tidak bersalah.
“Hawa, letak pisau tu! Dah dirasuk syaitan ke apa kau ni?” herdik Aminah. Nada suaranya tinggi, tajam menusuk ke telinga.
Hawa menggeleng perlahan. Air mata yang ditahan tadi mengalir deras.
“Ayah… ayah…” katanya perlahan, suaranya bergetar, tersekat-sekat dalam tangisan.
“Aku kata letak pisau tu sekarang! Atau kau nak aku panggil polis?” ancam Aminah garang, menuding jari.
Tangan Hawa yang menggeletar akhirnya melepaskan pisau. Ia terhempas ke lantai dengan bunyi yang menggema di segenap ruang dapur. Dia berdiri kaku, tubuhnya terketar-ketar, bibirnya tidak mampu bersuara lagi.
“Yang abang masuk dapur ni buat apa sebenarnya?” soal Aminah, matanya tajam memandang wajah Hazrul.
“Aku nak minum air, tapi bila nampak Hawa mengamuk, terus hilang selera. Baik aku keluar, karang tak pasal-pasal kena kelar,” jawab Hazrul sinis sambil berlalu pergi, sempat menjeling tajam ke arah Hawa.
Aminah hanya menggeleng, namun tidak berkata apa-apa. Matanya mengikuti langkah Hazrul keluar dari dapur sebelum dia berpaling kembali kepada Hawa.
“Hawa, kau nak tercegat sampai bila? Cepat kemas dapur ni. Lepas tu sediakan makan malam untuk adik-adik kau. Jangan nanti anak-anak aku mati kebulur pula!” bebel Aminah sebelum berlalu pergi tanpa menoleh lagi.
Tinggallah Hawa terjelopok di lantai, tubuhnya masih menggigil. Esakannya perlahan tetapi perit. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri, namun air mata tak mahu berhenti mengalir. Tangan yang masih terketar-ketar membetulkan baju yang sedikit terangkat, cuba menutup maruah yang terasa diceroboh. Dengan perlahan, dia menggosok tubuhnya sendiri, seolah-olah mahu menghapuskan rasa jijik yang meresap ke dalam kulit.
“Ya Allah… selamatkan aku…” bisiknya dalam hati, penuh dengan rasa putus asa dan luka yang tiada siapa peduli.
Share this novel