Bab 2 - Tawaran semula

Romance Completed 35552

“APA?”

Mengekek terus sahabat baiknya itu gelak berguling sambil memandang Sofea Jane yang sedang makan Maggi. Kata Sofea Jane dia berlatih dulu makan Maggi kerana sekarang dia sudah menjadi penganggur walaupun Melisa tahu yang Sofea Jane masih ada simpanan.

“Bodoh, kan? Kau bayangkan kalau next interview aku cari kerja. Dorang tanya aku pasal soalan, kenapa ya berhenti tempat lama? Oh, sebab saya cantik sangat. I’m too pretty to handle.” Sofea Jane terus meneguk sup Maggi cawan yang masih suam itu.

Ah! Hatinya panas.

“Nah, kau pergi join Dewi Remaja jelah,” cadang Melisa sambil mengunyah Ramen di tangannya.

“Kang satu Malaysia pula insecure dengan aku. Eh, bodoh punya alasan. Mana aku nak cari kerja ni Mel? Aku ada impian nak kena capai. Aku nak buat apa ni? Rumah ni aku baru renew contract dua tahun tau. Kereta aku tu nak bayar pakai apa nanti? Aku kena cari kerja sekarang ni, apa pun aku kena kerja esok jugak,” kata Sofea Jane menggaru kepalanya sehinggakan rambutnya agak serabai tapi masih kekal cantik.

Lagi berdekah Melisa dibuatnya. “Betullah tu. Hmm, kau rehatlah dulu. Aku percaya takat sebulan kau tak kerja. Tak luaklah duit kau tu sebab kau pandai menyimpan. Kau tenang dulu and sambil tu update Linkedin kau. Nanti aku ask around jugak.”

Keluhan dilepaskan Sofea Jane sambil takut memikirkan masa depannya. Mereka terus diam dan khayal dengan aktiviti masing-masing. Sofea Jane sedang menonton dokumentari How to Become a Tyrant?

Dia tak boleh kalah, dia tak boleh lemah. Tak naklah dia kembali duduk semula dengan apaknya dan emak tirinya itu. Ditambah pula ada dua orang adik tiri yang tidak seibu dan sebapa dengannya.

Bapaknya pun kahwinlah dengan anak dara ke janda tak ada anak ke. Ini hamak sangat dengan janda anak dua yang memang dah lama intai peluang dalam keluarganya semenjak emaknya ada lagi.

Haa, rindunya kat mama.

Sofea Jane melihat Melisa yang tersenyum-senyum seperti sedang memuja seseorang. “Kau tengok video apa tu?”

Kedengaran seperti video podcast dan sememangnya Melisa bekerja dalam dunia korporat. Dia adalah copywriter kepada syarikat yang sama Sofea Jane bekerja.

“Aku tengah tengok podcastlah. Mamat ni dia ada company tapi bukan buat fashion atau jual barang kecantikan dia business packaging. So mamat ni kata kena selalu berdaya saing dan kreatif apa yang orang mahukan. Business ni akan cepat berkembang kalau kita mudahkan orang. Simple as that. Dahlah handsome, kaya, ada company. And dia single,” kata Melisa sambil menonton video itu sambil tersenyum.

Terus saja Sofea Jane datang di sebelah Melisa dan melihat siapa lelaki yang handsome sangat itu. Terus saja bulat matanya dan sesak nafas dibuatnya. Dia kenal sangat mamat ni. “Nama dia Zafran kan?”

“Ben Zafran bin Zaki. Kau jangan nak Zafran sangatlah. Dunia Internet semua panggil dia Mr. Ben okey,” jawab Melisa dan menyimpan telefonnya dan memandang sahabat baiknya itu.

Sofea Jane hanya mengangguk perlahan dan tersenyum manis. “Kau nak makan apa-apa tak malam ni. Aku nak belanja.”

“Kau biar betul? Tadi kemain kena makan maggi sampai dapat kerja. Dahlah biar aku yang belanja kau,” balas Melisa yang selalu ada bersama dengan Sofea Jane semenjak mereka bekerja di syarikat yang sama.

Entah kenapa Sofea Jane seperti tidak sabar mahu mengetahui tentang Ben Zafran dengan lebih baik lagi. Aduh, kenapalah dia reject awal sangat lelaki itu?

BANGUNAN itu dipandang dengan penuh harapan. Sebaik saja memarkirkan keretanya dengan yakin dia melangkah masuk ke arah lobi bangunan empat tingkat itu. Setiap langkahnya pasti ada saja mata yang memandang.

“Hai, I nak jumpa Mr. Ben Zafran.” Yakin Sofea Jane menyebut nama lelaki itu sambil tersenyum manis dan lirikkan nakal diberikan kepada penyambut tetamu di lobi itu.

“Sorry, nama siapa? Sebab kalau ikutkan jadual Mr. Ben memang Mr. Ben tak ada appointment belah petang hari ini. Nak jumpa sebab apa ya?” tanya penyambut tetamu itu dengan senyuman manis.

Sofea Jane tarik nafas. “You boleh tak tolong sampaikan kat dia nama I. Sofea Jane.”

“Okey baik.” Terus saja penyambut tetamu itu menghubungi pembantu peribadi Ben Zafran. Kemudian, dia mengangguk sambil memandang Sofea Jane dengan kerutan pada wajahnya. Kemudian, dia mengangguk lagi.

Selepas meletakkan telefon terus saja penyambut tetamu itu senyum memandang Sofea Jane. “Miss Sofea or Madam?”

“Miss.”

“Okay, Miss Sofea boleh naik lift yang paling kiri. Lift priority dan terus ke tingkat empat. Mr. Ben Zafran tengah tunggu di atas,” kata penyambut tetamu itu dengan sopan. Dia juga jatuh hati melihat raut wajah Sofea Jane yang cantik dan manis itu.

Tersenyum Sofea Jane. “Terima kasih you.”

Langkahnya terus menuju ke lif yang dikatakan tadi. Dan, dia masih menjadi perhatian di situ. Semua mata melihat dia yang menaiki lift priority yang dikhaskan untuk CEO dan orang-orang penting saja yang menaiki lift itu.

Pintu lif tertutup dan Sofea Jane melepaskan keluhannya. Sebenarnya penat juga menjadi pusat perhatian ini. Nombor lif yang sudah beranjak ke nombor empat membuatkan Sofea Jane menegakkan postur badannya semula.

Ting!

Pintu lif terbuka dan…

“Hai.”

Wajah Ben Zafran yang menyapanya terlebih dahulu. Entah kenapa jantungnya dipalu degupan yang kencang. Kenapalah Ben Zafran tak datang menemuinya hari itu memakai pakaian seperti ini. Barulah meyakinkan.

“Kau dapat mimpi apa datang sini?” tanya Ben Zafran tanpa berbasa-basi lagi.

Sofea Jane mengetap giginya. Sempat dia memandang sekeliling dan mengeluh kecil memang cantik sungguh pejabat Ben Zafran ini. Pelbagai jenama rupanya dia telah bangunkan.

“Boleh kita bercakap kat bilik kau?” tanya Sofea Jane.

Ben Zafran mengangguk dan menunjukkan jalan ke arah biliknya. Lagi ternganga Sofea Jane dibuatnya segala susunan di dalam bilik itu sungguh teratur dan melihatkan konsep pejabat yang berstail.

Perlahan Sofea Jane duduk di kerusi berhadapan dengan meja kerja Ben Zafran. Ben Zafran duduk sambil menegakkan badannya dan melipatkan lengan baju kemejanya naik ke siku dan mendedahlan urat tangannya.

“So? Apa cerita kau kat sini? Aku rasa tertanya-tanya pulak. Kau mimpi apa?” tanya Ben Zafran dengan wajah seriusnya.

Keluhan dilepaskan Sofea Jane. “Kau ada kerja kosong tak?”

“Apa?”

“Ergh! Kau ada kerja kosong tak? Aku ada kelayakkan dan pencapaian aku pun bagus. Tak rugi kalau kau hire aku,” kata Sofea Jane dengan bersungguh. Dia memang memerlukan kerja sekarang ini.

Lama Ben Zafran memandangnya. “Kau bukan kata dah ada kerja ke? Company yang kukuh lagi.”

“Ya, memang aku ada cakap macam tu tapi… aku diberhentikan.” Sofea Jane pandang wajah Ben Zafran yang berkerut. Mestilah nak tanya kenapa kan.

“Kenapa?” tanya Ben Zafran.

Sofea Jane membalas, “Alasan dia bodoh sangatlah.”

“Aku rasa tak bodoh untuk orang lain,” balas Ben Zafran ingin tahu. Dia bersandar pada kerusi dan berpeluk tubuh.

“Sebab cantik sangat. Isteri bos aku insecure sampai perempuan gila tu pasang CCTV kat area tempat kerja aku. Gila. Malu tau aku nak cerita benda macam ni. Kang kata ujub, riak dengan kurniaan Allah. Tapi, aku cuma menerima semua ni dengan baik. Tolonglah aku. Aku tahu hari tu aku reject kau, tapi aku memang kena kerja sebab… sebab aku adalah sebab dia. Kau boleh interview aku dan aku sanggup belajar. And, aku fast learner tau,” sambung Sofea Jane dan tersenyum manis sambil kenyitkan matanya.

Memang begitu reaksi Sofea Jane bila bercakap dengan orang yang dia selesa.

Terkejut Ben Zafran bila Sofea Jane mengenyit mata kepadanya. Dia berpura-pura fikir sedangkan dia masih dengan niat dan tujuan asalnya dulu.

“Okey. Aku memang ada jawatan kosong. Tapi, aku percaya bila kau sebut fast learner. Maksudnya kau akan cepat adapt dengan jawatan ni,” kata Ben Zafran sambil ke depankan badannya.

Sofea Jane tersenyum dan mengangguk. Lega hatinya. Akhirnya ada kawan yang boleh membantunya.

“Alasan bos kau sebab kau cantik tu aku memang percaya dan aku pun risau kalau isteri-isteri pekerja aku akan insecure juga,” sambung Ben Zafran.

Berubah wajah Sofea Jane.

“So, aku nak kau fikirkan balik pinangan aku untuk kau jadi isteri aku. Dan, kau boleh kerja kat sini. Okey?” Suara Ben Zafran sangat jelas dan membuatkan Sofea Jane terdiam.

Sunyi.

“Kenapa?”

“Sebab kau yang cakap macam tu dengan aku. Lagipun, kalau kau jadi pekerja aku nanti aku pulak yang insecure, tak boleh fokus kerja, bahaya untuk company. So, macam mana? Bayangkan kau dapat nafkah dari aku dan gaji lagi. Macam mana?” Tersenyum Ben Zafran ketika ini kerana dia tahu wanita seperti Sofea Jane yang berdedikasi ini selalu mementingkan kebaikan untuk dua belah pihak.

Sofea Jane pandang geram dengan Ben Zafran. “Kau ni memang tau… bagi aku fikir.”

Ben Zafran terus berdiri. “Aku tinggalkan kau 10 minit. Sebab business tak boleh lambat. Kalau lambat nanti rugi.”

Terus saja langkahnya dibawa keluar dari biliknya dan meninggalkan Sofea Jane.

Terus saja Sofea Jane menunduk dan mengetuk-ngetuk kepalanya pada meja di hadapan. Entah kenapa dia boleh berada dalam situasi ini. Mulutnya ditampar berkali-kali sebab menyombong sangat dulu.

“Apa aku nak buat ni? Fikir Sofea…”

Entah macam mana 10 minit sudah berakhir dan Sofea Jane terus menegak bila pintu bilik Ben Zafran dibuka dari luar.

“Dah fikir?” tanya Ben Zafran sambil berdiri dan bersandar pada permukaan pintu. Tanganya dimasukkan ke dalam kocek seluar.

Sofea Jane mengeluh lalu bangun dan berdiri di hadapan Ben Zafran. “Okey, kita kahwin. Tapi, kita akan cerai kalau aku dah cukup kaya. Atau kau dah miskin balik.”

Tergelak Ben Zafran dan kenyitkan matanya dengan senyuman menggodanya.

Share this novel

Yaya
2025-11-25 17:12:29 

HAHAHAHAH bahaya sofea janes ni ???


NovelPlus Premium

The best ads free experience