Special Chapter 3

Mystery & Detective Completed 15884

Kalau ada yang mengatakan Hawa gila, dia akui. Sejak dari tadi bibir dia tidak lekang dari senyuman. Ada jugalah sepuluh minit begitu. Senyuman hanya hilang dalam dua saat sebelum muncul kembali.

“Buat apa?” Tegur satu suara.

“Ni…” Sebuah album bersaiz A4 Hawa suakan. Mengajak empunya suara turut serta.

“Paparazi bersepah. Mana-mana pun ada." Kata Hawa lagi.

Penyakit tersenyum Hawa berjangkit dekat orang sebelah. Bukan main lebar lagi tersenyum. Kalah dia. Siap tayang deretan gigi yang tersusun rapi. Tengok gambar biasa pun boleh terhibur.

“Biasalah…Tak ada kerja, sibuk cari gosip murahan. Nasib baik gambar ni tak tersebar. Dah satu kerja lagi upah pegawai penyiasat kekang gosip supaya tak tular. Jenuh nanti.” Komen Hawa bersama satu jelingan khas untuk orang sebelah.

“Abang kan ada. Tak payah susah payah upah orang lain. Cakap je. Abang ramai anak buah yang pakar.”

Terjuih bibir Hawa. Bab mendongak ke langit boleh serahkan pada orang sebelah. Semua kepakarannya akan disenaraikan. Saja nak cerita kehebatannya supaya sayang Hawa itu semakin bercambah-cambah.

“Ni ha…” Hawa menunjuk gambar dia berjubah. Selendang berlilit ala kadar tapi kemas. Namun bukan itu yang menjadi isu. Ada isu lain yang lebih menggemparkan.

Bukan main orang sebelah tenung gambar yang Hawa tunjukkan. Macam nak tembus gaya.

“Aib tu..." Sengaja Hawa menyebut perkataan tersebut supaya faham bahagian mana yang terdedah.

“Mana? Tak nampak pun baju koyak dekat mana-mana?” Tanya Sean setelah lama mengamati gambar tersebut. Pada pandangan dia, satu aib pun tiada.

“Tengok betul-betul imam Sean. Tengok pakai mata hati. Bukan dengan mulut.”

Dalam binggung, Sean turuti. Dari hujung kepala sampai ke hujung kaki gambar isterinya diimbas biarpun ada sedikit rungutan gara-gara mulut dikritik.

“Oh…I see.”

Bangga Hawa bila Sean menemukan kekurangan di dalam gambar tersebut. Itu tandanya Sean peka. Tahu menjaga aibnya.

“Abang nampak lengan baju sayang terselak sikit…Tapi nasib baik sikit. Gambar boleh edit letak emoji untuk tutup lengan tu."

Kelip-kelip Hawa pandang Sean.

"Lepas ni abang akan lebih berhati-hati.”

Hawa mengeluh keras. Nampak gayanya Sean gagal.

“Bukan tu abang…Ni…Ni…” Jari runcing Hawa lurus pada perutnya yang sedikit membukit.

“Tak ada siapa yang tahu pun masa tu sayang mengandung. Bila gambar siap, semua rahsia pecah.”

“Oh…”

Respon Sean buat Hawa melongo sejenak. Itu saja reaksi suaminya? A big ‘O’?

“Jadi…Masa tu semua dah tahu lah ni?” Lurus Sean bertanya.

Ikutkan perancangan asal, mereka sepakat untuk sembunyikan hal tersebut. Mahu berikan kejutan bila tiba masa yang sesuai. Tetapi, kolaberasi secara rahsia bersama Sean gagal. Sean lah punca segalanya berantakkan.

“Ya…Semua.” Ujar Hawa geram.

Sejak rahsia mereka tersebar meluas, Hawa menerima ucapan tahniah tanpa henti. Itupun setelah kandungan mereka cecah usia tujuh bulan. Sekarang dia hanya menunggu masa kelahiran anak sulung mereka.

“Apa boleh buat…Yang penting majlis Dila dengan Paan berjalan lancar gara-gara sayang. Semuanya terkawal. Sesuai seperti yang dirancang. Baby dalam perut pun bagus, bagi kerjasama penuh tanpa banyak ragam."

Pandai Sean cantas semua bibit-bibit kemarahan dia. Saja bagi sejambak pujian. Biar dia kembang setaman.

“Terima kasih juga pada abang. Tanpa abang, sayang tak larat buat semua seorang diri.” Tak jadi Hawa nak marah bila teringat bagaimana Sean kerah semua tenaganya sepanjang majlis berlangsung. Kalah tuan tanah majlis.

“Suami dayus je biarkan isteri sarat mengandung buat semua kerja.”

Hawa mencebik. Sean sekarang semakin handal mendabik dada. Sejak-sejak berbadan dua, penyakit suaminya semakin menjadi-jadi. Dan semakin sukar dibendung.

“Baby macam mana?”

“Sehari dua ni kurang aktif.” Jujur Hawa.

“Ada catat gerakkan baby? Cukup sepuluh kali?” Mengalahkan misi cara Sean bertanya.

“Jangan risau…Cukup.” Sebelum Sean ajak dia check in hospital, ada baiknya dia yakinkan suaminya bahawa diri dirinya dan bayi dalam kandungan baik-baik saja.

“Mungkin baby tak sabar nak keluar.” Hawa mengusap perlahan perut. Sesaat kemudian dia merasakan gerakkan perlahan dan lembut.

“Abang, baby respon.” Hawa letak tangan Sean di atas perut dia. Rasa teruja. Ingin berkongsi rasa tersebut dengan suaminya.

“Mana? Tak ada pun?” Meraba-raba Sean bila dia gagal merasai gerakkan tersebut. Hampa pun ada.

“Tidur kut.”

“Tunggu lah dah keluar nanti, babah kacau sampai tak boleh tidur.” Telapak tangan Sean masih melekap di perut Hawa. Tak puas hati bila dia langsung tidak menerima sebarang respon sepanjang kehamilan isterinya.

Boleh jadi bayi dalam perut sedang lancarkan mogok. Maka dia perlu beri lancarkan kempen demi meraih perhatian dengan menabur janji.

“Keluar cepat. Nanti babah bawa jalan-jalan…Beli toys, pergi playground.”

Dua minit sepi, terasa telapak tangan Sean berombak. Rasa teruja dia yang kian merundum, naik mendadak. Membesar sepasang matanya.

“Sayang! Baby dengar.”

“Itu tandanya, baby dah sain kontrak. Babah kena tepati janji. Dua benda akan dituntut kelak. Toys and playground.” Siapa suruh berkempen tadi. Kan sudah dapat undian penuh.

“Babah janji. Tukar cawangan pun sanggup asalkan boleh bercuti dengan sayang dan anak kita.” Semakin rancak Sean menabur janji. Lupa rintangan yang perlu dia tempuhi demi tukar ke unit lain.

Bagi Hawa, unit apa pun kerja Sean, dia tidak kisah. Asalkan suaminya ada sedikit masa untuk diluangkan bersama. Faham sangat dengan kerja suaminya yang tidak menentu. Kadang, berhari-hari baru nampak kelibat Sean di rumah. Selebihnya ada operasi.

AGAK lama Sean labuhkan bibir di ubun-ubun kepala Hawa. Sampai dia naik segan. Berbahang teruk kedua belah pipinya.

“Abang, tolong kawal diri. Kita bukan menikah lagi. Tapi baru dapat baby.” Bisik Hawa keras bila tidak ada tanda-tanda Sean nak jauhkan diri.

Barulah dahi Hawa dapat menghirup udara segar. Hilang segala kehangatan. Dan teguran dia mengundang rungutan suaminya. Rungutan berbaur pemberontakkan.

“Tak boleh ke serius sikit? Ada je modal nak kenakan abang.”

“Sayang serius lah ni…Tengok, semua pandang kita senyum-senyum. Macam tengah tengok aksi terlarang." Muncung Hawa terhala pada orang tua mereka tidak jauh dari sini.

“Suka fikirkan orang lain. Biar lah orang nak tengok pun, mata orang. Bukan boleh kawal."

Amboi. Cara Sean jawab sangat pentingkan diri. Lupa yang mereka masih di tempat umum. Masih dalam radar semua orang selagi belum check out.

“Abang baru nak rasa terharu dapat jadi babah.” Adu Sean dengan muka yang sesiapa saja pandang akan merasa lucu.

“Okey, sorry.” Hawa segera tarik tangan Sean semula bila suaminya angkat punggung. Mahu sertai orang tua mereka.

Orang tua mereka macam tahu-tahu saja ada krisis rumah tangga sedang melanda. Semua pakat keluar dari sini. Diusungnya sekali bayi kecil yang baru lahir. Memamg kebetulan Hawa sedang bersiap-siap untuk keluar dari hospital setelah tiga hari dua malam menginap di hospital.

"Abang." Seru Hawa bila Sean pura-pura sibuk mengemas pakaian dia.

"Ermm..."

Sahlah Sean merajuk.

"Abang." Panggil Hawa lagi. Kurang berpuas hati cara Sean menyahut.

"Abang sibuk. Nanti bincang dekat rumah." Sean siap mengemas semua baju. Hanya tinggal perkakas makan dan minum sebelum mereka keluar dari sini.

"Bil hospital?"

"Abang dah selesai kan awal-awal tadi." Jawab Sean tanpa sedikit pun pandang muka dia.

Parah benar rajuk suaminya. Pandang muka Hawa pun tak sudi. Baru sebentar tadi Sean menunjuk sisi romantiknya. Ada ribut besar yang melanda dan telah meranapkan sisi tersebut.

"Ada lagi belum bayar."

Segera Sean menoleh. Mencari raut wajah isterinya.

"Bil apa?" Tanya Sean serius.

Tak berkedip Hawa pandang Sean. Tiba-tiba lidah kelu bila melihat betapa serius suaminya. Betapa marahnya lelaki bernama Sean.

"Bil apa yang abang terlepas pandang?" Tanya Sean lagi sambil mendekat. Semua bil dia sudah selesai awal. Lebih tiga kali dia periksa senarai komitmen bulanan mereka.

"Bagi tahu abang." Kali ini Sean sudah berada di depan Hawa. Tidak sedikit pun dia larikan pandangan mata.

"Bil..." Hawa jadi takut untuk bersuara.

"Abang tak marah." Tahu apa yang ada dalam kepala Hawa.

"Bil telefon."

Kening Sean naik tinggi.

"Abang dah bayar. Bil sayang naik dua kali ganda sebab telefon semua orang. Kelam kabut nak bersalin punya pasal sampai lupa call abang."

Hawa akui khilafnya.

"Tapi sayang drive sendiri pergi hospital. Tanpa sebarang bantuan."

Sean mula mengungkit. Cerita tersebut tidak sedap didengari. Maka Hawa perlu pimpin suaminya ke arah perbualan yang manis-manis. Yang memberi lebih rasa bahagia.

"Sayang rasa ada tunggakkan. Sebab sejak dari tadi kita hilang komunikasi."

Diam dipihak Sean.

"Jadi, selesaikan selepas pantang."

Jeda. Hawa hilang ayat saat terpandang jari Sean yang menunjuk ke arah sesuatu.

"Sini paling banyak tunggakkan." Jari Sean menyentuh bibirnya sesaat.

Itu kan. Penyakit lain Sean sudah muncul.

"Selesaikan tunggakkan, baru boleh sambung semula komunikasi."

"Kejamnya!" Komen Hawa perlahan.

"Nak dapatkan sesuatu memang kena kejam."

Bibir Hawa terjuih sambil betulkan tudung.

"Oh, satu lagi."

"Apa dia?" Soal Hawa dengan kening naik tinggi.

Sean kembali merapat sebelum dia bisik sesuatu.

"Pastikan tak ada lipstik. Abang tak suka. Ada marking. Abang suka yang natural beauty."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience