HAWA salah lagi dari segi menilai seseorang. Sean bukanlah orang sombong atau jahat seperti yang dia sangkakan. Sean seorang yang menenangkan. Bahkan, Sean memberi semula semangat dia yang hilang sebentar tadi. Dan harus dia akui berada di sisi Sean itu lebih selamat.
Terima kasih kepada Sean kerana berjaya mengembalikan dirinya semula. Semua rasa traumanya hilang dalam sekelip mata setelah lelaki itu memberi jaminan akan menjaga dia selepas ini.
“Kau dapat mangsa?” Soal Sean tanpa menoleh.
Ekor mata Sean nampak Hawa geleng kepala lemah. Dia sudah dapat menjangka jawapan Hawa. Bukan senang nak menipu. Bukan senang juga mahu menyakinkan orang yang mahu ditipu. Perlu ada keyakinan yang tinggi.
“Sehari kau kena dapatkan 3000 yuan. Hampir-hampir dua ribu ringgit duit Malaysia.”
Itu Hawa tahu sangat. Yang dia tidak tahu adalah kerja-kerja menipu. Mana ada institusi-institusi yang menyediakan kursus penipuan? Kalau ada sekalipun, pasti sudah dibanteras habis-habisan.
“Kalau hari-hari kau gagal, kemungkinan besar kau akan dijual. Dia orang dapat untung.”
Sean bukan nak menakut-nakutkan. Dia bercakap berdasarkan pengalaman kerana dia sendiri telah menjadi mangsa. Disebabkan kegagalan mencapai sasaran, dia dijual kepada sindiket lain. Sudah dua hari dia tercampak di sini. Sama seperti Hawa.
Kerlingan Sean singgah pada Hawa sejenak. Hari pertama jejakkan kaki dia sudah perasan gadis itu. Hanya Hawa yang tidak perasaan kewujudan dia.
“Kau tak perlu tunjuk muka simpati pada aku…Sebab aku pun senasib dengan kau.” Sean perasan pandangan Hawa langsung tidak beralih. Dirinya sedang menjadi tumpuan gadis itu.
“Kau ada soalan?” Sean pusingkan badan. Dapat dia rasakan Hawa ada benda yang nak ditanyakan kepadanya.
“Sebelum tu, nama kau?” Biarpun Sean sudah tahu namanya, dia tetap mahu dengar dari mulut empunya badan sendiri.
“Hawa…” Sebut Hawa setelah seminit berdiam diri. Memadai nama pendek.
“Apa kau nak tanya? Pasal kerja ni?” Sean tak akan kedekut ilmu. Sedia berkongsi asalkan Hawa sayang nyawanya sendiri.
“Kau orang Malaysia?” Hawa muntahkan soalan yang dia tahan-tahankan sejak semalam.
Mengecil sepasang mata Sean. Bukan soalan begini yang dia jangkakan. Dia menjangkakan soalan Hawa itu berkisarkan tentang kerja-kerja sebagai scammer. Jawapan juga telah dirangka dalam masa beberapa minit supaya tidak teragak ketika menjawab. Tetapi Hawa berjaya membuat dia gugup sejenak.
“Tak.” Jawab Sean setelah lama merenung. Jawapan dia jelas-jelas mengecewakan. Dirinya sudah tidak lagi menjadi tumpuan. Hawa sudah berpaling dari dia. Wajahnya muram.
Entah mengapa Hawa ada firasat bahawa Sean itu adalah harapannya untuk melarikan diri dari sini. Lelaki itu mempunyai aura positif yang membuatkan dia merasa selamat. Oleh kerana itu, dia tidak sabar menunggu peluang untuk bertanyakan latar belakang tentang lelaki itu.
Mana tahu jawapan Sean itu meniup segala firasatnya. Soalan pertama Sean sudah gagal untuk diajak berkoleberasi. Dia memerlukan rakan senegara untuk sama-sama berjuang melarikan diri. Tak mahu berpecah-belah disaat akhir demi kelangsungan hidup.
“Aku bagi kau seorang mangsa…Kau cuma perlu guide dia untuk tekan link. Lepas je tekan, duit dia akan disedut. Kau pun akan selamat.”
Hawa pandang sisi wajah Sean. Lelaki itu nampak tidak bersalah. Mungkin kerana pegangan agama mereka yang berlainan. Halal atau haram tiada bezanya bagi lelaki cina seperti Sean. Tetapi tidak bagi Hawa. Dia sangat menitik beratkan dua perkara tersebut.
“Kau nampak tak gembira Hawa…Kau tak nak selamat?”
Di dunia memang Hawa selamat. Belum tentu di akhirat dia akan selamat.
“Kau nak kena rogol macam tadi?”
Hawa baru saja tunduk, terus tegak kepala semula. Rakus dia menggeleng. Kejadian hitam tadi meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap dirinya. Enggan kejadian yang sama berulang kembali.
“Aku tengah selamatkan kau. Jadi, ikut cakap aku. Kau akan selamat sepanjang berada dekat sini.”
Nak tak nak, Hawa akur. Dia menurut saja setiap arahan Sean. Sekelip mata percubaan pertama dia berjaya. Hasil titik peluh secara haram buat kali pertamanya membuahkan hasil yang cukup lumayan. Dia memperoleh sepuluh ribu ringgit! Jumlah itu cukup untuk dia tarik nafas lega dalam masa beberapa hari. Dia bebas dari seksaan. Itu janji Sean kepadanya.
“Good job, Hawa!”
Pujian hasil daripada penipuan tidak membanggakan langsung. Tiada ada rasa teruja. Lebih kepada rasa serba salah. Tidak dapat Hawa membayangkan bagaimana nasib mangsanya itu. Apa yang mampu dia titipkan, semoga satu hari dia dapat berjumpa dengan mangsa-mangsa tersebut untuk meminta ampun biarpun harapan itu tersangatlah tipis.
“Kau ada niat nak larikan diri, Sean?”
Sesaat tubuh Sean mengeras sebelum dia kembali bereaksi biasa. Meneruskan kerjanya tanpa pedulikan Hawa. Tugas dia menyelamatkan gadis itu sudah selesai. Selepas ini, pandai-pandai Hawa lah nak hidup macam mana.
“Ada.”
“Kau pernah cuba?”
“Tak.”
Jawapan pendek Sean kurang memuaskan. Nampak Sean selesa dengan kehidupannya dengan menipu semua orang. Sedangkan gaji yang Sean perolehi tidak berbaloi langsung. Apa Sean rela didera dari segi mental dan fizikal?
Mata Hawa turun pada lengan Sean yang masih ada kesan-kesan lebam. Kesan ditubuh Sean jauh lebih teruk daripada Paan. Ada kesan lebam yang hampir pudar di tulang pipi Sean. Namun hairannya, Sean langsung tidak terkesan dengan luka-luka tersebut. Sean nampak sihat walafiat. Bukan seperti mangsa penderaan.
“Aku nak lari dari sini.” Jujur Hawa. Kalau boleh lari sekarang, itu perkara pertama dia bakal lakukan.
“Kau tengah bermimpi, Hawa.”
Hawa akui kata-kata Sean. Dia sedang bermimpi. Orang-orang suruhan sindiket mengawal rapi tempat ini. Lebih-lebih lagi di laluan keluar dan masuk. Mana mungkin dia dapat melarikan diri dengan mudah.
“Mungkin mayat kau yang akan dapat keluar dari sini.”
Biarpun bahasa Sean agak kasar, namun itu yang perlu Hawa telan. Perlu ada sistem barter jika dia mahu bebas. Sama ada nyawa atau wang ringgit menjadi taruhan.
Mengenang taruhan itu, dia mengeluh panjang.
“Kau percaya Hawa…”
Leher Hawa terlalu banyak senaman. Pantang Sean menyebut namanya, laju saja dia menoleh biarpun tiada hati nak berbual panjang. Aura Sean sukar untuk dia ingkar.
“Ikut petua orang cina dulu-dulu…Setiap kali kau mengeluh, umur kau akan semakin pendek. Tadi aku dengar lima kali kau mengeluh. Lima tahun kau di dunia dah kena tolak.”
Mengarut!
“Kau tak percaya, kan? Aku pun sama.”
Dengar boleh. Tapi percaya tidak sama sekali. Hal tersebut bertentang dengan ajarannya. Boleh jadi syirik!
“Kau senyum, Hawa…”
Tangan Hawa naik meraba muka sendiri. Mana ada dia tersenyum? Berkerut adalah.
“Bukan dekat bibir…Tapi mata kau tengah senyum. Aku boleh nampak senyuman tu.”
Tajam jelingan Hawa bila sepasang mata sepet Sean hilang. Bahu lelaki itu bergegar teruk. Seronok tertawakan dirinya.
“Tak kelakar Sean.”
“Aku bukan hiburkan kau. Tapi untuk diri aku yang tengah berduka.”
Unik cara Sean hiburkan hatinya. Hawa rasa macam nak layangkan penampar sulung kerana dirinya dijadikan bahan jenaka.
“Hidup hanya sekali Hawa…Buat apa nak sedih-sedih. Kita perlu gembira walau sesedih mana pun nasib kita. Masa ni lah aku nak cipta memori indah-indah sebelum pejam mata.”
Habis bertempiaran semua marah Hawa. Ada rasa sedih yang menjalar dan menyentuh tangkai hatinya. Kagum melihat Sean yang berjuang meneruskan hidup biarpun perjalanan hidupnya tidak seindah orang lain.
“Kau fasih bahasa melayu, Sean.” Puji Hawa ikhlas. Orang Malaysia pun ada yang tidak sefasih Sean.
“Atuk aku orang Melaka.”
Besar bukaan mata Hawa. Tak sangka Sean itu ada darah melayu juga.
“Aku pernah duduk Melaka lima tahun. Sekolah situ. Then, aku pindah.” Cerita Sean. Tak kisah berkongsi serba sedikit tentang dirinya.
“Kita lari, Sean! Aku pun orang Melaka. Kau boleh balik rumah atuk kau.” Tanpa sedar, Hawa mendekatkan diri. Lupa jarak yang perlu dia kekalkan.
“Atuk aku dah meninggal tahun lepas.”
Kelip-kelip Hawa pandang Sean.
“Sorry.” Dia tak tahu.
“Kenapa kau nak sangat lari dari sini, Hawa? Ini jalan yang kau pilih. Kau yang tempah tiket ke neraka.” Sean mengabaikan perutusan maaf Hawa. Dia mahu dengar kenapa Hawa boleh berada di sini kalau bukan ini kemahuannya.
Serta-merta bayangan Ayana datang menyapa. Bayang Ayana menjemput kesedihannya yang hilang tadi. Terasa hangat matanya. Sebentar nanti letusan air mata bakal menyusul.
“Aku kena tipu Sean…” Tanpa rasa malu, Hawa menangis. Biarlah apa pun tanggapan Sean, dia tidak kisah.
“Dia janji aku akan jadi jutawan. Rupanya dia jual aku supaya dia dapat bebas.”
Cebik-cebik bibir Hawa bercerita titik sejarah hitam. Bayang Sean daripada satu menjadi dua. Kemudian tiga. Akhirnya hilang ditelan air matanya. Tiada satu pun tertinggal. Semuanya diceritakan kepada Sean. Berharap Sean akan membantu dia dengan apa cara sekali pun untuk keluar dari sini.
“Kau bodoh, Hawa.”
Katalah apa pun, Hawa sedar akan khilafnya.
“Tak ada jalan mudah nak memiliki kekayaan.” Sean belum berhenti mencuci fikiran Hawa.
“Aku tak boleh tolong kau. Diri aku sendiri pun tak tertolong.”
Pipi dikesat. Sean sudah tarik diri. Sama seperti Dila dan Paan. Jadi, Hawa putuskan dia akan teruskan niatnya sendirian. Tanpa sesiapa. Tanpa rasa gentar apa pun bahananya jika tertangkap.
Share this novel