SIE#04

Romance Series 1708

SEAWAL jam 7 pagi Elly sudah terpacak di hadapan kondominium Sky Residences itu.

'Hesy… mana dia ni?' gerutu Elly dalam hati.

Berkali-kali dia melihat jam tangan. Janji Melayu betul. Cakap tunggu dia jam 7 pagi. Ini dah masuk jam 8.30 pagi. Memang nak kena mamat ni agaknya.

Dua hari sebelumnya…

"Saya dah fikir masak-masak," kata Izz di corong telefon.

"Saya peduli apa awak fikir masak-masak ke, mentah-mentah ke. Bukan urusan saya." Elly mencelah dengan tiba-tiba sekaligus merencatkan perbualan mereka.

"Awak ni memang tak tahu sabar, kan? Boleh tak dengar saya habis cakap dulu?"

“Emmm… cakaplah!” Acuh tak acuh Elly membalas.

“Saya nak bincang sesuatu.”

Suara tegas di hujung talian itu tidak memberi ruang untuk basa-basi.

Elly menghela nafas.

“Kalau pasal motor tu, saya dah cakap saya nak bayar kos baiki. Awak nak apa lagi?”

“Bukan pasal kos.” Izz berhenti sejenak menekan suara.

“Motor saya rosak teruk sebab awak langgar. Bengkel kata ambil masa sebulan dua juga nak siap. Jadi…”

Elly memotong. “Jadi apa? Jangan cakap awak nak minta saya beli motor baru pula!”

“Awak jadi pemandu peribadi saya selama seminggu,” kata Izz laju.

Elly terdiam sejenak. Kemudian, dia ketawa kecil, sinis.

“Apa? Pemandu peribadi? awak dah hilang akal ke?”

“Awak dah langgar motor saya,” Izz menjelaskan dengan nada sabar yang jelas dibuat-buat.

“Saya perlukan pengangkutan untuk ke tempat kerja dan urusan lain. Logiklah awak yang bertanggungjawab,” sambung Izz lagi.

“Tak logik langsung!” Elly membalas dengan suara tinggi.

“Saya dah setuju bayar kos baik pulih itu dah cukup. Tak ada dalam perjanjian saya nak jadi pemandu atau supir awak!”

“Kalau awak tak setuju,” balas Izz perlahan, “Bagi saya pinjam kereta awak.”

Kata-kata itu membuat Elly terdiam. Dadanya berombak, geram bercampur resah.

“Awak ugut saya, ya?” tanyanya geram.

“Saya cuma guna hak saya.” Izz kedengaran sinis.

“Jangan risau. Saya akan tetapkan syarat-syarat tertentu. Saya janji takkan susahkan awak sangat.”

“Syarat?” Elly mendengus.

“Awak dah buat hidup saya susah sekarang ni!”

Izz terus menyambung tanpa mempedulikan rungutan Elly di hujung talian.

“Pertama, awak hantar dan ambil saya dari rumah tepat pada masanya. Kedua, kalau ada mesyuarat luar atau shooting dan recording awak kena tunggu saya. Ketiga, jangan hilang sabar walaupun saya marah.”

Elly ketawa sinis lagi. “Wah, macam bos besar. Ada syarat-syarat lain lagi tak?”

“Satu lagi,” Izz menambah dengan nada santai.

“Jangan memandu macam awak nak masuk litar lumba. saya tak nak mati muda.”

“Awak ni!” Elly hampir meletup.

“Okeylah, saya setuju. Tapi saya ada syarat juga.”

Izz terkejut. Nampaknya gadis ni bukan calang-calang gadis yang pernah dia jumpa sebelum ini.

“Syarat? Apa pula syarat awak?”

Elly tersenyum sinis walau dia tahu Izz takkan pernah nampak senyumannya.

“Jangan buat saya tunggu lebih dari sepuluh minit. Kalau lebih, cari alternatif sendiri.”

Di hujung talian, Izz ketawa kecil. “Baik, bos.”

“Jangan panggil saya bos!” Elly membentak sebelum terus menamatkan panggilan.

Dia menghempas telefon bimbitnya ke meja. Hatinya mendidih. Walau keras kepala, Elly tahu dia tidak punya pilihan. Apa lagi yang boleh dilakukan untuk menebus kesalahannya selain menerima permintaan lelaki itu?

“Sebulan aje…” bisik hati Elly cuba meyakinkan diri sendiri.

Beberapa minit kemudian Elly terpandang akan sosok tubuh seorang pemuda berkacamata hitam dengan jaket kulit dalam rona yang sama sekaligus mematikan lamunannya. Ayunan langkah pemuda itu kian mendekati kereta kesayangan Elly.

"Assalamu'alaikum…," ucap Izz sejurus punggungnya dilabuhkan ke tempat duduk penumpang.

"Wa'alaikummusalam… Awak tahu tak sekarang ni jam berapa?" sembur Elly menyinga. Hidungnya kembang kempis menahan marah.

"Sorry, jadual saya berubah last minute. Jangan marah, okey?" Kedua-dua belah telapak tangan Izz dirapatkan tanda permohonan maaf.

"Banyak la awak punya maaf. Nak pergi mana ni?" tanya Elly malas.

“Awak ikut je GPS saya bagi ni.”

Izz meletakkan telefon pintarnya pada ruang khas di dalam kereta Elly. Tanpa banyak soal Elly memandu ke lokasi yang ditunjukkan di dalam GPS.

Hujan renyai membasahi jalan ketika Elly memandu kereta kesayangannya. Di sebelahnya, Izz duduk dengan tenang. Wajahnya serius, sesekali melirik kepada telefon pintarnya.

“Boleh tak awak laju sikit? Kita dah lambat ni,” ujar Izz tanpa menoleh.

Elly menjeling. Tangannya menggenggam stereng dengan kuat.

“Saya dah pandu ikut had laju. Kalau awak nak lebih laju, tolong suruh polis buat pengiring.”

Izz menghela nafas dan enggan berdebat lagi. Dia tahu Elly memang keras kepala. Walaupun dia memaksanya menjadi pemandu peribadi gadis itu tetap tidak mempermudah keadaan.

Setibanya di stesen TV, Elly memberhentikan kereta di pintu masuk.

“Okey, awak boleh turun sekarang. Saya balik dulu.”

“Eh... eh... eh…Balik? Siapa bagi kebenaran untuk awak balik?” Izz menoleh dengan kening terangkat.

“Siapa yang akan jemput saya nanti?”

Elly mengetap bibir. Nampaknya Izz sengaja mempermain-mainkan dia hari ini.

“Saya bukan supir awak, Izz.”

“Tapi sekarang awak memang supir saya.” Nada suara Izz tegas.

“Park kereta dan tunggu saya di dalam.”

Elly membuka mulut untuk membantah tetapi Izz sudah keluar dari kereta dan menghempas pintu. Geramnya Elly meluap-luap tetapi dia tetap memandu ke tempat letak kereta. Berbakul-bakul sumpahan dilemparkan kepada Izz.

Di dalam studio kelihatan Izz sedang ditemubual oleh penyampai TV terkenal. Dia bercakap dengan yakin tentang projek terbarunya. Senyuman kecil menghiasi wajahnya setiap kali dia menjawab soalan.

Elly pula duduk di salah satu sofa di ruang menunggu studio. Dia memandang jam dinding dengan keluhan panjang. Sudah hampir sejam dia di sini dan Izz masih belum selesai.

‘Kenapa lambat sangat?’ gumam Elly sambil menyilang tangan.

Matanya mula terasa berat. Ruang menunggu yang sejuk dengan pendingin hawa membuatkan dia semakin mengantuk. Akhirnya, kepala Elly terkulai di sandaran sofa dan dia… terlelap.

“Bangun.”

Suara itu membuat Elly tersentak. Dia membuka mata dan melihat Izz berdiri di hadapannya, memandangnya dengan senyum yang sukar dia mengertikan.

“Awak tidur?” tanya Izz sambil melipat tangan.

“Taklah. Saya buat eksperimen mata tertutup.”

Elly menguap kecil dan mengubah posisi duduknya dengan tegak. Entah bagaimanalah rupanya semasa dia tertidur tadi. Sempat juga dia mengkritik diri sendiri kerana cuai.

“Dah habis?”

“Dah. Terima kasih sebab tunggu.”

Izz memandang jam tangannya.

“Tapi lepas ni kita kena singgah satu tempat lagi.”

“Apa?” Elly melompat bangun.

“Awak tak cakap apa-apa pasal tempat lain!”

“Relax.” Izz menepuk bahunya sambil melangkah keluar dari studio.

“Awak kan supir saya. Tugas awak ikut saya saja.”

Elly mengetap bibir menahan geram. Dalam hatinya dia bersumpah akan membalas dendam terhadap lelaki itu suatu hari nanti.

Setelah meredah perjalanan yang agak sesak mereka berdua tiba di konti radio tersohor untuk satu sesi temu ramahnya. Di sebelah, Izz kelihatan tenang seperti biasa leka membaca nota di telefon bimbitnya.

“Elly, awak tak rasa lapar ke? Kita tak singgah sarapan dulu ke?” Izz bertanya tanpa menoleh.

Elly menjeling malas.

“Saya tak biasa bersarapan. Buang masa saja,” jawab Elly malas.

“Tak biasa atau awak malas?” Izz membalas.

“Banyak cakaplah awak ni,” gumam Elly seraya fokusnya tetap pada jalan raya.

Setibanya di konti radio Elly duduk di ruang menunggu sementara Izz masuk ke studio. Beberapa jam berlalu dan perut Elly mula berbunyi. Dia memegang perutnya cuba menahan rasa tidak selesa yang semakin mencucuk.

‘Kenapalah aku tak makan roti tadi,’ rungutnya menyedari perutnya masuk angin.

Tidak lama kemudian, Izz keluar dari studio dengan senyuman puas.

“Selesai. Jom, hantar saya balik.”

Elly mengangguk malas sambil menahan rasa sakit di perutnya.

Di dalam kereta hanya kesunyian yang menemani mereka berdua. Elly fokus kepada pemanduannya dan cuba mengabaikan rasa perutnya yang semakin perit. Sesekali dia menarik nafas panjang berharap angin di perutnya cepat reda.

“Awak okey?” tanya Izz tiba-tiba memandang wajah Elly yang kelihatan pucat.

“Okey…” Elly menjawab pendek tetapi peluh di dahinya jelas membongkar rahsia.

Tiba-tiba, satu bunyi “pffttt!” memenuhi ruang kereta.

Elly membulatkan mata terkejut dengan apa yang baru berlaku. Wajahnya merah padam. Dia mengutuk diri sendiri kerana tidak dapat menahan angin daripada keluar.

Izz menoleh perlahan memandang Elly dengan kening terangkat.

“Awak terkentut?”

Elly tergagap. “Saya… saya tak sengaja! Perut saya masuk angin, okey?”

Izz cuba menahan ketawa tetapi gagal. Suaranya bergema di dalam kereta.

“Seriuslah, Elly! Awak kentut depan saya? Bau dia pun…” Izz menutup hidungnya dengan tangan.

“Diamlah, Izz!”

Elly membentak sekaligus menahan malu yang amat. Dia membuka tingkap cuba menghilangkan bau. Tatkala cermin tingkap diturunkan tidak semena-mena sebuah lori sampah melintasi kereta yang dinaiki mereka dan angin luar yang menerobos masuk membuatkan keadaan menjadi lebih lucu.

“Tak cukup dengan kentut, awak nak masukkan bau luar pula? Bagus, Elly! Kombinasi terbaik!” Izz tergelak lebih kuat.

Elly mengetap bibir menahan rasa malu dan sakit perutnya.

“Kalau awak tak nak saya berhenti tepi jalan dan tinggalkan awak kat sini, lebih baik awak zip mulut awak tu.”

Izz cuba menenangkan diri tetapi senyuman masih tidak hilang dari wajahnya.

“Okey, okey. Tapi serius, lain kali sarapanlah. Supaya insiden kentut ni tak jadi lagi.”

Elly mendengu s tapi dalam hati dia berjanji untuk makan sesugatu sebelum keluar rumah. Dia tahu walaupun Izz menyindir lelaki itu tetap prihatin.

Namun, insiden itu pasti akan menjadi bahan dan modal ejekan selamanya

Perjalanan itu dirasakan amat jauh bagi Elly. Di dalam kereta suasana hening sementara Elly memandu dengan muka masam mencuka. Perutnya masih terasa pedih sejak pagi tadi. Tetapi dia tetap keras kepala enggan mengaku lapar.

“Awak berhenti kat kedai depan tu,” arah Izz memandang ke luar tingkap.

Elly menjeling. “Awak nak beli apa? Saya tak boleh tunggu lama. Ada kerja lain lagi nak buat.”

“Benda yang penting untuk kehidupan manusia.”

Izz menjawab santai sambil memandang Elly dengan senyuman sinis.

Elly mendengus tanda tidak puas hati namun tetap berhenti di hadapan sebuah kedai serbaneka.

“Cepat sikit. Saya tak nak duduk sini lama-lama.”

Beberapa minit kemudian Izz kembali ke kereta dengan beg plastik kecil di tangannya. Dia masuk ke dalam kereta membuka plastik tersebut dan mengeluarkan sebungkus roti.

“Nah.” Izz menghulurkan roti itu kepada Elly.

Elly menjeling tanpa mengambilnya.

“Berapa kali saya nak cakap… saya tak lapar.”

“Awak tak lapar atau awak keras kepala?” Izz bertanya dengan nada mencabar.

“Saya tak lapar.” Elly menjawab tegas memalingkan muka ke arah tingkap. Muncungnya boleh dilihat dari sisi.

Izz menghela nafas panjang. Jelas kesabarannya mula menipis.

“Dengar sini, Elly. Awak ni dah macam bom jangka. Perut awak berbunyi dari tadi. Kalau awak tak makan sekarang, jangan salahkan saya kalau awak pengsan tengah jalan.”

“Saya tak akan pengsan.” Elly membalas, degil.

“Baik.” Izz membuka bungkusan roti itu menariknya sepotong dan tiba-tiba menyuapkannya ke mulut Elly.

Elly terkejut dan cuba menepis tangan Izz.

“Hei! Apa awak buat ni?”

“Menyelamatkan nyawa awak, Elly. Makan!” Izz menegaskan sambil terus menyuap roti itu ke mulut Elly.

Elly cuba bersuara tetapi suara marahnya berubah menjadi bunyi tidak jelas kerana roti memenuhi mulutnya.

@Mmph! Mmmph!”

Izz ketawa kecil melihat wajah Elly yang kemerah-merahan. Separuh marah, separuh terpaksa mengunyah roti itu.

“Tengok? Tak susah pun. Awak cuma perlu kunyah dan telan.”
Elly akhirnya menelan roti itu dengan wajah masam.

“Awak ni gila, tahu tak?”

“Kalau saya tak buat macam ni, awak takkan makan sampai esok. Saya tak nak tanggung dosa tengok awak pengsan sebab kedegilan awak yang tak kena tempat ni.”

Elly memandang Izz dengan pandangan geram tetapi dia tahu lelaki itu betul. Malangnya, rasa malu dan egonya tidak membenarkan dia mengaku.

“Dah, makan lagi.”

Izz menghulurkan sepotong roti lain. Akalnya mula memikirkan sesuat. Lantas dia tersenyum nakal.

“Atau awak nak saya suapkan lagi?”

Elly mendengus marah.

“Saya boleh makan sendiri lah!”

Dia merampas bungkusan roti dari tangan Izz.

Izz ketawa puas hari sambil bersandar di tempat duduk.

“Akhirnya…. Kadang-kadang kau kena buang sikit ego kau, Elly. Tak elok untuk perut.”

Elly hanya menjeling tajam, tetapi dalam hati dia tahu dia tak boleh menang melawan lelaki itu.

Elly tiba di perkarangan kediaman elit Sky Residences. Sebelum keluar dari kereta Izz sempat memberi titipan.

“Awak buat tugas dengan agak bagus pada hari pertama. Untuk jadual esok saya akan teks kemudian.”

“Boleh keluar cepat Bos Izz? Saya ada kerja lain nak buat lepas ni.”

Izz tersenyum lebar. Suka dia tengok wajah Elly dengan rambut perang hampir ke paras pinggang. Seluar jeans slim cut dipadankan dengan kemeja putih menyerlahkan kecantikan semula jadi Elly sebagai seorang gadis muda.

“Cantik… tapi garang.” Izz berkata perlahan.

“Apa dia? Jangan ingat saya tak dengar.”

Izz tersengih dan menggaru belakang kepalanya.

“Okey, terima kasih sebab tunaikan janji awak Cik Elly. Esok kita jumpa lagi.”

Belum sempat Izz menoleh setelah melangkah keluar dari kereta, kedengaran deruman enjinnya mengaum membelah suasana petang. Izz menggeleng lalu melangkah ke lobi untuk menaiki lif.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience