SIE#03

Romance Series 1708

KETENANGAN permukaan air kolam itu berkocak dek ayunan sepasang kaki milik gadis bernama Ellyna Safia. Benaknya jauh menerawang ke destinasi yang dia sendiri tidak pasti. Jika dapat dilihat dengan mata kasar, pasti saraf otaknya bagaikan wayar-wayar yang berselirat dan kelihatan berserabut di sana-sini.

Sengaja dia bawa diri ke situ jauh dari gangguan Alma dan Eryk. Duduk di luar dapat juga dia menghirup udara segar daripada terperap selalu di dalam bilik. Hari minggu begini dia cuma ingin menghabiskan masa di rumah. Namun, kehadiran dua insan yang telah merampas hidupnya itu merosakkan segala-galanya. Jiha, rakan baiknya pula berada di luar kawasan. Bertambah bosan hidupnya kini tanpa sebarang aktiviti.

"El…," panggil suatu suara.

Nadanya lembut namun bersulam gusar. Pandangan pula meliar ke segenap ceruk kawasan itu. Kedua-dua belah tangan diseluk ke dalam kocek seluar. Checkered shirt berwarna kelabu yang tersarung elok di tubuhnya itu menjadikan pemilik suara tersebut kelihatan lebih kacak.

Elly membekukan diri. Dia tidak kuat untuk menoleh. Sungguh, fikirannya kini kacau-bilau. Asakan demi asakan ujian yang menimpa dirinya meletakkan dia dalam situasi yang tidak menyenangkan.

"El…, saya tahu El marahkan saya. Tapi, percayalah, El. Saya tak reda atas apa yang berlaku."

El mengangkat tangan, menahan dari Eryk meneruskan butir bicara. Dia muak mendengar segala alasan dari Eryk. Bukti yang terbentang di depan mata sudah cukup menjelaskan segala-galanya. Dia bukanlah gadis bodoh, menerima dan menelan saja rayuan basi dari lelaki berhidung belang seperti Eryk.

"El..," panggil Eryk dengan nada meleret.

Sentuhan di bahunya membuatkan El terus saja bangun dan menolak dada lelaki itu sehingga Eryk terdorong ke belakang. Nafas Elly tidak keruan. Siapa Eryk yang boleh menyentuhnya sesuka hati?

"Jangan sesekali kau berani sentuh aku dengan tangan kotor kau tu." Keras suara Elly memberi amaran.

"Eryk rindukan El," tutur Eryk berselindung. Memang itu yang dia rasakan sekarang ini.

Eryk seperti biasa cuba bermain mata dengan Elly. Gadis itu merenung ke dalam mata Eryk yang irisnya bersinar saat dipanah mentari pagi. Kelihatan air matanya juga bertakung di pinggir kelopak. Semerta kewarasan Elly menariknya kembali ke alam realiti. Spontan bibirnya mengoyak senyuman sinis buat Eryk.

"Rindu? Hahaha… bukan kepada aku yang patut kau ungkapkan ucapan tu. Sepatutnya isteri kau saja yang berhak mendengar segala pujuk rayu kau. Bukannya aku!"

Eryk terasa kelat salivanya yang mengalir di kerongkong. Elly benar-benar bencikan dia dan ini bermakna terhapuslah sudah cinta antara mereka selama ini. Semudah itu. Semudah kerdipan mata Elly berubah. Tidak tahukah Elly dia juga adalah mangsa keadaan?

Puas dia mencari peluang untuk bersemuka dengan buah hatinya itu; menjelaskan dan menjernihkan hubungan mereka semula seperti dulu. Malangnya Elly sering saja menghindar, malah menghukum dirinya umpama penjenayah yang bakal dijerut ke tali gantung.

"Untuk kali ni Eryk mohon, tolong bagi Eryk peluang untuk menerangkan hal yang sebenarnya. Lepas tu terpulanglah pada El untuk…"

"Diam, aku kata diam!" Elly menekup kedua-dua belah telinganya dengan tapak tangan. Mata dipejam rapat. Semakin dekat lelaki durjana itu dengan dirinya semakin berdarah luka di hatinya yang tidak pernah sembuh. Tubuh Elly menggigil.

Melihatkan situasi itu Eryk terus menerpa ke arah Elly dan cuba menenangkan emosinya yang kian memberontak. Elly meronta-ronta minta dilepaskan. Tiba-tiba satu tamparan hinggap ke pipi kanan Elly. Eryk dan Elly serentak menoleh ke arah jasad yang berdiri angkuh dengan pandangan tajam bak helang.

"In case kau lupa, Eryk tu abang ipar kau, merangkap suami aku. Yang kau masih lagi nak menggatal dengan dia kenapa?" herdik Alma menggegarkan gegendang telinga mereka berdua.

Secara automatik pegangan Eryk di pergelangan tangan Elly terlepas. Elly menepis geli, jijik dengan sentuhan Eryk pada dirinya tanpa kerelaan itu.

"Aku tak pernah lupa. Cuma kau tolong ingatkan suami kesayangan kau tu supaya jangan kacau hidup aku. Semak la kau orang!” Telunjuk Elly lurus ke arah Eryk yang terpunduk.

Elly menjerit seperti orang gila. Kedamaian yang dia harapkan di rumah sendiri bertukar seperti neraka yang melahar kepanasan. Kepalanya semakin serabut dan sakit. Hatinya juga sakit melihat sandiwara Eryk dan Alma di hadapannya.

Elly mula membuka langkah untuk meninggalkan kawasan itu namun segera ditahan oleh Alma dengan sebelah tangannya

"Alma, sudah." Eryk cuba memberi amaran. Sebaliknya Alma menghadiahkannya satu senyuman angkuh.

Lengan Eryk ditarik manja dan melingkarkan lengan sasa itu agar memeluk dirinya lebih rapat. Lenggok tubuh Alma secara gedik tu sengaja ditayang di depan Elly.

"Kau sematkan dalam hati kau untuk selama-lamanya yang Eryk sekarang ni milik aku." Lantas kepalanya dilentokkan lagi ke dada Eryk.

Jujur, walaupun hati Elly sudah tiada ruang lagi buat Eryk, namun lelaki itu pernah membahagiakan dirinya selama beberapa tahun ini. Elly melangkah sebal meninggalkan pasangan sejoli itu di kolam renang. Pintu bilik dihempas kuat melampiaskan segala isi hati yang terpendam. Puan Noryn dan Encik Kamal sendiri pun terkejut. Mereka berpandangan sesama sendiri. Puan Noryn jungkit bahu bagi menjawab soalan Encik Kamal melalui interaksi pandangan mata.

'Ish… balik-balik hati aku yang sakit. Hati ni pun… kenapa la kau sensitif sangat,' omel Elly dengan linangan air mata.

***

"ELLY dengan kakak pilihlah nak pencil box mana satu."

Encik Kamal mengulum senyum tatkala membawa kedua-dua orang anak perempuannya itu ke sebuah kedai alat tulis. Hatinya begitu teruja membuat persiapan persekolahan anak-anaknya buat pertama kali yang bakal melangkah ke alam persekolahan tidak lama lagi. Sekali imbas Alma dan Elly kelihatan seperti pasangan kembar seiras. Walhal jarak masa mereka berdua lahir berselang dua tahun juga.

"Elly nak warna pink!" ujar Elly tersengih.

"Boleh, sayang. Kakak pulak nak pilih yang mana?" Lensa mata Encik Kamal dijatuhkan ke wajah polos Alma yang rambang mata memilih warna kesukaannya."

"Kakak nak warna hitam," jawab Alma dengan yakin.

"Kakak pasti? Bukan ke kakak suka warna pink jugak?" soal Encik Kamal lagi.

"Kali ni kakak nak warna hitam. Bosanlah asyik warna pink je." Ekor mata Alma menjamah ke wajah Elly yang tersengih sejak tadi.

Encik Kamal tersenyum. Usai pembayaran mereka menuju ke sebuah restoran makanan segera. Setelah mengisi perut mereka balik ke rumah.

Sehari sebelum sesi persekolahan bermula, Elly dan Alma membuat persiapan barang persekolahan masing-masing. Menyedari pencil box miliknya tertinggal di bilik Alma, dia segera melangkah ke bilik kakaknya yang terletak bersebelahan sahaja.

Baru saja Elly hendak melayangkan ketukan di pintu, dia melihat Alma mengisi alat tulisnya ke dalam pencil box berwarna pink. Jantung Elly berdetak kuat. Dia mengintai di balik pintu untuk melihat tindakan Alma seterusnya. Ternyata Alma meletakkan pencil box berwarna pink itu ke dalam beg sekolah miliknya tanpa rasa bersalah.

"Kenapa kakak ambil pencil box Elly?" jerit Elly dengan hentakan kaki ke lantai.

"Ma… mana ada. Ini kakak punya. Elly punya yang ni."

Alma mengunjukkan pencil box berwarna hitam kepada Elly.

"Elly punya warna pink, bukan warna hitam!" Air mata Elly mula bertakung di pelupuk.

"Elly punya warna hitam, kakak punya warna pink!" tegas Alma penuh yakin.

Mukanya merah padam cuba mempertahankan kebenaran. Kedua-dua belah tangannya mencekak pinggangnya sendiri.

"Baba… ibu!"

Elly menjerit sekuat hati memanggil kedua-dua ibu dan bapanya. Air mata sudah lencun di pipinya. Elly mengeluarkan pencil box yang berada di dalam beg sekolah Alma. Alma juga tidak berdiam diri. Tubuh kecil Elly ditolak sehingga dia jatuh terjelupuk ke lantai. Dahinya terkena pada bucu katil, lalu kulit nipis itu tersiat dan mengalirkan darah pekat.

Elly tetap tidak berputus asa. Gagah dia melawan. Rambut Alma yang separas bahu itu ditarik kuat. Dihempas tubuh Alma ke lantai. Entah di mana datangnya keberanian dalam diri Elly, dia duduk di atas badan Alma dan mengunci pergerakan Alma drngan tubuhnya sendiri.

Muka Alma ditampar bertubi-tubi sehingga Alma menyeringai kesakitan. Titisan darah yang mengalir di dahi Elly menitis ke wajah Alma. Walaupun saiz badan Elly lebih kecil dari kakak sulungnya itu, namun kudrat dan kekuatannya lebih hebat dari Alma.

"Ya Allah! Elly, kenapa buat kakak macam tu?"

Sepantas kilat Puan Noryn meleraikan perbalahan dua beradik itu. Encik Kamal menggeleng dan terkejut. Tubuh Elly diangkat dari terus menghempap tubuh Alma yang kesakitan. Lebih terkejut lagi bila terlihat kesan darah yang terpalit di baju Alma.

"Ibu, sakit! Elly buat Alma…," lirih Alma yang berselindung di belakang ibu mereka.

Dengan rambut kusut masai, Elly mengambil barang kepunyaannya lalu memeluk erat ke dada. Kecederaan di dahinya terlindung dek juraian rambut yang menata di dahi.

"Itu Alma punya!"

Alma kembali merampas pencil box berwarna pink itu dari dakapan Elly. Sekali lagi berlaku pertelingkahan hingga memaksa Encik Kamal campur tangan.

"Elly, Alma, sudah! Apa nak jadi dengan kamu berdua ni? Bergaduh macam anjing dengan kucing."

Encik Kamal terpaksa menengking kedua-dua anak gadisnya dari terus menuding jari antara satu sama lain.

"Baba, Alma ambik pencil case Elly." Lirih suara Elly mengadu.

Encik Kamal terpandang akan pencil case berwarna pink yang berada dalam pegangan Alma itu. Alma pun satu hal. Hari tu pilih warna lain. Lepas tu buat perangai pulak dengan adik. Pening kepala dibuatnya.

Encik Kamal kalah dengan renungan sayu Alma. Apa lagi dengan hinggut tangis Alma yang tidak henti-henti. Pandangannya beralih kepada Elly yang menahan sedih dan marah. Tanpa membuang masa Puan Noryn mendakap kemas tubuh kecil Elly. Pasal pencil case pun boleh bergaduh sampai tarik-tarik rambut mereka berdua ni.

"Elly, nanti Baba belikan pencil case yang baru, tau. Yang itu kasi kakak."

Berat lidah Encik Kamal untuk membuat keputusan. Apakan daya dia punya alasannya tersendiri.

"Werkk! Aku dah cakap ini aku punya," ejek Alma dengan lidah terjelir. Bertambah sakit hati Elly. Muncung bibirnya kerana merajuk dengan keputusan ayahnya.

"Baba memang! Baba lebih sayangkan kakak dari Elly!"

Tubuh kecil itu lolos dari pelukan Puan Noryn bersama esakan kecil. Puan Noryn memprotes tindakan suaminya itu yang berat sebelah terhadap Alma. Sebab itulah Alma semakin naik lemak jadinya. Selalu sangat diberi muka.

"Alma, okey? Ada luka kat mana-mana?"

Bertambah remuk hati Elly tatkala Encik Kamal lebih mengambil berat tentang Alma dan tidak dirinya.

Elly menekup wajahnya dengan bantal. Dia menangis bukan kerana berebutkan sangat pencil case tersebut. Sebaliknya sedih dengan sikap Baba nya yang seringkali menyuruh dia mengalah dengan Alma. Apa istimewanya Alma di mata ayahnya pun dia tidak tahu.

Elly tertidur dalam tangisan. Sedar-sedar saja jarinya naik ke muka mengusap pipinya yang basah.

"Allah…"

Dia tertidur rupa-rupanya selepas insiden pergaduhannya dengan Alma di kolam renang. Berdenyut-denyut kepalanya hingga ke pelipis. Sah migrain nya datang lagi. Tancapan mata Elly pada jam di dinding biliknya itu mengingatkannya kepada sesuatu.

Satu janji paksa yang terjadi antara dia dan lelaki perasan handsome itu termeterai apabila Izz mengugutnya untuk Elly membayar ganti rugi yang tinggi akibat dari kemalangan tempoh hari.

Ah! Satu lagi masalah! Apa nak buat, sendiri yang cari penyakit. Hadaplah Elly!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience