“MACAM MANA boleh jadi macam ni, Izz?” Abil merangkap pengurus kepada Izz kelihatan risau dengan keadaan Izz.
“Nak buat macam mana, Abil. Dah takdir aku nak jadi macam ni. Kita pergi balai dululah, buat report.”
Sesekali Izz menyeringai sakit. Terasa pedih dan berdenyut pula luka di sikunya.
Abil terus ke klinik sebaik sahaja menerima panggilan daripada Izz. Mujurlah tiada kecederaan serius yang Izz alami. Sekadar calar dan luka kecil di siku dan lutut. Nabil atau lebih mesra disapa Abil itu telah berkhidmat sebagai pengurus Izz sejak jejaka itu menjuarai sebuah pertandingan nyanyian yang tersohor di Malaysia suatu ketika dulu.
Sejak itu mereka seperti belangkas. Malangnya ketika Abil tidak bersama Izz kerana ada hal kecemasan, penyanyi kesayangan ramai itu pula ditimpa musibah yang tidak disangka-sangka.
"Kau kena langgar lari ke apa ni? Budak tu memandu dalam keadaan mabuk ke? Kereta dia teruk tak?" Bertali arus soalan yang keluar dari bibir Abil. Izz menggeleng geli hati. Abil bila menggelabah macam bertih jagung jadinya.
"Perempuan tu okey je. Sihat walafiat. Aku pun cedera sikit je ni. Takde patah tulang ke apa. Tak baik tuduh dia macam tu, tau. Dia cuma serabut je. Takde la mabuk macam kau cakap tu. Hesy!"
Entah kenapa Izz berasa kasihan pada gadis itu. Tatapan mata gadis itu kosong. Dia seperti tiada hala tuju. Gadis kerek yang ditemui secara tidak sengaja itu sebenarnya amat manis pada pandangannya. Dalam anganan dia tersengih sendiri.
"Bertuah punya budak. Kita cakap sorang-sorang rupanya. So, interview dengan R TV malam ni cancel la?"
"Nampak gayanya macam tu lah, Abil. Takkan aku nak masuk TV dengan muka macam ni? Sembab, jalan pun terdengkot-dengkot."
"Hmmm… apa pulak la aku nak goreng dekat dia orang ni." Abil tepuk dahi. Sebelah tangan lagi memegang stereng dengan kemas.
Usai hal di balai mereka berdua pulang saja ke rumah. Tanpa membuang masa, Izz terus saja menghilangkan diri di dalam bilik lalu merebahkan tubuh di katil bersaiz queen itu.
Sebelah kelopak mata Izz terangkat tatkala tombol pintu biliknya dipulas seseorang dari luar. Muka bulat Abil terpacul di balik pintu.
"Jangan lupa makan ubat. Aku tak nak kau jatuh sakit. Recording single baru tak lama lagi. Karang orang cop kau tak berdisiplin satu hal pulak aku nak kena bersihkan nama kau."
"Ye la, ye la. Bak sini ubat tu. Nanti-nanti aku makanlah, " jawab Izz malas.
Sebotol air mineral diletakkan di meja sisi katil bersama ubat-ubatan. Izz mengucapkan terima kasih kepada Abil sebelum Abil keluar dari bilik itu.
***
Siang berganti malam dengan terlalu pantas. Dalam keterpaksaan Elly memandu kereta kesayangannya ke rumah. Semakin dekat dia dengan pagar rumah berwarna hitam itu, semakin sempit dadanya terasa.
Lampu kereta dipadamkan. Sebelah kaki melangkah keluar dari kereta. Sempat Elly menyambar beg silang berjenama terkenal di tempat duduk bersebelahan. Kaki begitu berat melangkah menghampiri pintu utama. Tanpa ketukan tombolnya diputar dan serentak daun pintu ditolak perlahan.
“Assalamu’alaikum…”
“Wa’alaikumussalam, Elly… duduk sini makan sekali,” panggil Puan Noryn.
Tanpa melihat sekalipun Elly sudah dapat meneka siapa yang ada di meja makan. Melihatkan manusia-manusia yang dibencinya sepenuh hati berada di depan mata, bagaimanalah dia boleh ada selera untuk menelan makanan.
“Elly dah kenyang. Elly masuk bilik dulu.” Buru-buru Elly menyusun langkah.
“Elly…,” panggil satu suara garau. Elly memejam mata. Nafas dihela dalam-dalam. Awal pula Baba balik malam ni. Selalunya jam 10 malam baru nampak batang hidung di rumah.
“Mari sini makan sama-sama.”
Elly genggam erat jari-jemari. Mana mungkin dia menghadap muka-muka hipokrit itu sekarang ini.
“Termenung apa lagi? Ajak makan pun kena fikir panjang dulu?”
Elly tahu tiada kompromi lagi jika ton suara itu dilontarkan. Perlahan-lahan tubuh genit Elly berpusing dan menapak malas ke meja makan.
Kerusi bersebelahan ibunya ditarik lalu duduk di situ; sekaligus memaksa dirinya berhadapan dengan Alma dan abang iparnya sendiri. Elly menguis-nguis nasinya dengan sudu. Seleranya mati.
Menelan nasi itu umpama menelan debu-debu pasir. Puan Noryn mengelus paha Elly lembut. Dia cukup mengerti apa yang bergolak dalam hati anak dara bongsunya itu.
"Sayang… rasalah ketam masak butter ni. Penat Alma masak tau."
Alma meletakkan ketam itu ke dalam pinggan suaminya. Terasa loya pula tekak Elly dengan kemanjaan yang sengaja ditonjolkan Alma di depan mereka.
'Sayang… rasalah ketam masak butter ni. Penat Alma masak tau. Masak tahi kucing!' cemuh Elly dalam hati.
Macam lah dia tidak tahu skil masakan Alma di tahap mana. Jangankan goreng telur, masak air pun belum tentu menjadi.
"Elly dah kenyang."
Elly bangkit dari tempat duduk bersama pinggannya lalu menuju ke dapur. Tanpa disedarinya, sepasang mata ralit memerhatikan segala gerak-geri Elly sehingga ke sudut hujung rumah itu.
"Elly, letak ajelah pinggan tu dalam sinki. Biar Mak Jarah yang cuci."
Wanita berusia itu cuba merampas pinggan tersebut dari tangan Elly namun berjaya Elly tepis dengan sopan.
"Elly boleh basuh sendiri aje, Mak Jarah. Bukannya susah pun," jawab Elly seraya tersenyum.
Mak Jarah tahu apa yang bergolak dalam hati Elly, anak majikan yang telah dia asuh sejak kedua-duanya masih kecil lagi. Elly tidak pernah menganggap dirinya sebagai orang gaji semata-mata di rumah itu. Elly sangat rapat dengan Mak Jarah dan cukup menghormati dirinya sebagai orang yang lebih tua.
Usai membasuh pinggan, Elly mengelap tangannya dengan kain. Tekaknya yang haus perlu dibasahkan dengan minuman. Segera peti ais yang sama tinggi dengan dirinya itu diselongkar. Setin air soya dikeluarkan dan dituang ke dalam gelas lalu dia duduk di kerusi bersebelahan kitchen island.
"Mak Jarah bangga sangat dengan Elly."
Elly berpaling dan tersenyum tawar. Dia mengerti dengan maksud Mak Jarah.
"Di luar saja Elly nampak kuat, Mak Jarah. Hakikatnya, hati Elly ni retak seribu," tutur Elly sebak. Tangan kanannya meramas-ramas bajunya sendiri.
"Mak Jarah faham, nak. Tapi Elly tidak boleh menidakkan takdir. Elly dengan Eryk memang takde jodoh." Sebak hati Mak Jarah melihat Elly yang masih dihurung kesedihan.
"Elly faham. Elly boleh terima kalau kami tidak berjodoh. Tapi kenapa Eryk mesti kahwin dengan Alma? Selama ni, Elly ingat Eryk ikhlas sayangkan Elly, sebagaimana ikhlasnya hati Elly menerima segala kekurangan dia dalam hidup Elly.
Tapi… bila segala-galanya terbongkar, Elly jadi bingung. Elly rasa marah, benci, dikhianati oleh Eryk… dan… yang paling Elly benci… adalah Alma, kakak Elly sendiri."
Air mata Elly tidak dapat ditahan lagi daripada mengalir. Mak Jarah memeluk kasih bahu Elly. Ubun-ubun gadis itu dikucup. Sememangnya sakit apabila sebuah kepercayaan itu dikhianati. Apatah lagi rasa sakit itu datangnya daripada insan-insan yang Elly sayangi.
“Sabar ye, nak. Ada hikmah di sebalik semua yang terjadi. Elly anak yang baik. Dari kecil tak pernah buat orang tua susah hati. Pasti ada ganjaran hebat yang menanti Elly.” Mak Jarah cuba meleraikan kekusutan hati anak asuhannya itu.
Air mata di pipi Elly dilap dengan jari-jemari tuanya. Jauh di lubuk hati, Mak Jarah berdoa agar Elly dapat menemui seseorang yang lebih menghargai dirinya berbanding Eryk.
“Elly naik dulu, ye. Kepala Elly sakit sangat.”
Mak Jarah mengangguk faham. Ketika keluar dari ruang dapur, Elly dan Eryk berpapasan. Eryk berasa simpati dengan keadaan Elly yang tidak terurus sejak dia diijabkabulkan dengan Alma. Gadis itu tidak lagi seceria dulu. Segala gelak tawanya hilang berganti kedukaan yang tidak berpenghujung.
Seandainya masa dapat diputar, dia tidak mahu melukakan hati gadis kesayangannya itu walau sekelumitpun. Biar dirinya sahaja yang disakiti, tapi tidak sekali-kali hati Elly. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Dia harungi saja hari-hari bersama Alma yang telah sah menjadi isterinya sejak dua bulan yang lalu.
Beg silang miliknya dilempar sahaja ke katil bersama tubuh genitnya juga. Tangannya naik memicit pelipis. Sakit kepalanya semakin menjadi-jadi selepas dia menangis. Tidak mahu berlengah lebih lama, Elly masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri. Dibiarkan saja tubuhnya yang keletihan itu dijirus air hangat. Setelah itu dia mengambil wudhuk untuk menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslim. Usai sahaja salam diberi, telefon pintarnya berdering dengan lagu ‘At My Worst.’ Bercantum kedua-dua belah keningnya apabila melihat nama yang tertera di skrin.
’Izz Hensem? Siapa pulak ni?’
Dalam ragu-ragu dia meleretkan punat hijau ke tepi. “Hello…,” ucap Elly penuh persoalan.
“Kita ni orang Islam, sebaiknya kita mulakan dengan ucapan salam. Cuba gantikan “Hello” dengan “Assalamu’alaikum.” Sedap sikit telinga ni dengar.”
Berganda-ganda kesakitan kepala Elly tatkala ditegur oleh suara mamat handsome di hujung talian.
“Awak mesti dah lupa saya, kan? Tapi saya tak pernah lupakan awak,” tutur suara itu lagi.
“Ish… awak ni siapa, hah?” Elly duduk di atas katil dengan telekung yang masih tersarung.
“Saya? Awak bertanggungjawab kepada saya selepas apa yang awak buat pada saya pada hari ni.” Izz ketawa nakal. Suka dia bila dapat mengenakan gadis yang melanggarnya siang tadi.
Otak Elly berkerja keras menyusun kejadian-kejadian yang dialaminya hari itu. Seketika kemudian mulutnya terlopong.
Share this novel
nexx